BAB 9
SETELAH
menghabiskan dua hari dalam kebosanan, Azwa dan Zaliah akhirnya meninggalkan
Cherating dengan hati yang ceria. Buat pertama kali mereka berasa sungguh lega
meninggalkan percutian itu. Apa tidaknya, percutian itu bagaikan tidak memberi
apa-apa makna sejak Qallif meninggalkan mereka dan pulang ke Penang dengan
tergesa-gesa.
Azwa teringatkan Qallif lagi. Wajah lelaki
itu membayangi fikiran dan perasaan Azwa ketika ini. Kenapa harus bayangannya
muncul di saat-saat begini sedangkan aku tidak kenal diri Qallif secara
peribadi? Bisik hati Azwa untuk sekian kalinya.
Sampainya
hati Qallif meninggalkan mereka begitu saja. Padahal chalet mereka hanya selang
beberapa buah sahaja. Rasa terkilan dengan sikap Qallif masih terasa hingga
kini. Dan kerana rasa terkilan itu juga menyebabkan Azwa nekad tidak
menghubungi Qallif hingga ke hari ini, walaupun dia tahu nombor telefon lelaki
itu.
Qallif
tiada kena mengena dengan diri Azwa. Dia datang bagai menyinggah sebentar.
Tiada kepentingan sama sekali. Dia hanya sekadar kawan seperti teman-teman Azwa
yang lain. Namun, kenapa harus ada sekelumit perasaan kesal di sudut hati Azwa
terhadap Qallif? Perasaan Azwa seolah-olah tidak membenarkan dia melupakan
lelaki itu begitu sahaja.
Jika
Qallif sekadar seorang kawan, kenapa Azwa harus merasa kehilangannya?
Seandainya mereka sudah bertahun mengenali diri masing-masing, kekesalan yang sedang
Azwa tanggung ini pasti tidak menjadi satu tanda tanya buatnya. Tapi mereka
baru berkenalan beberapa hari yang lepas. Apa yang ada dalam hubungan mereka
kalau setakat empat hari itu? Kalaupun kawan biasa, mungkinkah biasa yang
ditafsirkan lebih jauh dari erti kata yang sebenar?
“Hai
kakak kusayang, macam mana holiday?
Seronok tak?” sapa Zaqwan, adik Azwa yang bungsu. Dia masuk ke bilik dan duduk
di atas katil Azwa sambil tersengih-sengih.
“Bolehlah.”
Ringkas jawapan Azwa sambil membuka beg pakaiannya.
Zaqwan
memerhati kakaknya yang kelihatan cukup keletihan. Mungkin perjalanan jauh
membuatkan Azwa nampak tidak bermaya.
“Bolehlah
aje? Tak best ke?”
“Mestilah
best.”
“Tak
ada gambar?”
“Akak
mana ada bawak kamera,” kata Azwa bagaikan tiada mood ingin melayani adiknya yang banyak tanya itu. Sudah diberikan
buah tangan pun masih banyak soal.
“Tangkap
gambar guna handphone pun tak ada?” soal
Zaqwan lagi.
Dia
cuba mencapai telefon bimbit Azwa yang diletakkan di atas lantai bersebelahan tempat
Azwa sedang duduk.
Namun
belum sempat Zaqwan menyentuhnya, Azwa lebih dulu menyambarnya.
“Tak
ada. Kau tahu kan akak ni memang tak suka bergambar. Akak pergi sana pun sebab
temankan Kak Zaliah aje. Dia yang beria-ia sangat nak pergi ke Cherating tu,”
jelas Azwa sambil menyembunyikan telefon bimbitnya ke belakang.
Dan
yang paling penting sekali, dalam telefon bimbitnya itu ada gambar Qallif. Malulah
Azwa jika Zaqwan terlihat gambar itu nanti. Pasti Zaqwan yang busybody tahap dewa itu akan bertanya
bermacam-macam soalan.
Azwa
patut mengucapkan terima kasih pada Zaliah. Zaliah yang mengambil gambar itu
ketika di tepi pantai beberapa hari yang lalu. Bolehlah gambar itu menjadi
kenang-kenangannya bersama Qallif. Aduhai, parah kau ni, Azwa!
“Kedekut!”
getus Zaqwan.
“Nanti
bila akak dah kerja kat KL, akak duduk dengan Abang Hanif ya?” sambung Zaqwan
pula.
Azwa
berhenti memunggah pakaiannya keluar. Pandangannya kini difokus pada Zaqwan
yang masih setia melangut di atas katilnya.
“Hmm…
Mana Wan tahu?”
“Abah
yang cakap. Abah tak percaya kalau akak duduk sendiri.”
“Kenapa
pulak?”
“Akak
kan perempuan, bahaya duduk sendiri di KL tu. Lagipun, akak bukan biasa sangat
dengan KL tu,” jelas Zaqwan.
Azwa
mencebik. Dia baru saja berangan-angan ingin meminta tolong Zaliah mencarikan
rumah sewa di Kuala Lumpur nanti. Sebenarnya rancangan abah itu sudah lama Azwa
tahu, cuma dia masih menaruh harapan abah akan mengubah pendirian yang satu
itu. Tidak betah rasanya tinggal di rumah Abang Hanif. Bukan abah tak tahu
rumah Abang Hanif itu sempit. Sebolehnya Azwa tidak mahu menyusahkan Abang
Hanif. Dia mahu berdikari sendiri.
Azwa
meneruskan kerjanya mengeluarkan pakaian dari beg besarnya. Ada sesetengahnya
baju kotor yang tidak sempat dicuci. Dia perlu mengasingkannya supaya tidak
bercampur aduk.
“Kata
abah, anak dara zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Takut kejutan budaya.
Sampai KL nanti terus lupa diri. Nampak aje bertudung liput tapi perangai
nauzubillah, mengalahkan dot dot dot. Sebab tu abah tak percaya pada akak.
Takut-takut kalau nanti akak pun termasuk dalam golongan lupa diri tu.”
Azwa
terdiam sebentar. Naik meremang bulu romanya mendengar kata-kata Zaqwan yang
sudah mula buka ceramah bina negara. Zaqwan ni memang suka jadi penyampai radio
tak bertauliah. Takkanlah abah langsung tak percaya pada aku? Bisik hati Azwa.
“Abah
cakap macam tu ke, kau yang cakap?”
Pantas
Zaqwan mengangguk.
“Abahlah
yang cakap.”
“Akak
tahu kau saja menambah-nambah cerita kan? Dahlah, malas akak nak layan kau.”
Azwa
keluar dari bilik bersama baju kotornya menuju ke dapur. Dia memasukkan baju
kotor itu ke dalam mesin basuh. Setelah menghidupkan mesin basuh, dia melangkah
ke peti sejuk. Mencari minuman untuk menghilangkan dahaga. Sebotol Vitagen
berperisa anggur diambil. Entah siapa punya, Azwa rembat saja. Apa yang ada di
dalam peti sejuk itu sudah dikira harta bersama.
Azwa
duduk di meja makan. Menimbang-nimbang apa yang harus dia lakukan. Haruskah dia
menghubungi Zaliah untuk memaklumkan keberangkatannya ke Kuala Lumpur beberapa
hari lagi? Duduk di kampung lama-lama pun bukan ada faedah, buat mengabiskan
boras aje!
Pasti
Zaliah manusia paling teruja mendengarnya. Aduh! Lecehnya kena duduk di rumah
Abang Hanif pulak. Azwa mula membayangkan betapa sesaknya rumah itu. Betapa
kecilnya rumah itu untuk memuatkan semua penghuninya.
“Termenung?”
tegur Che Midah yang baru masuk ke dapur.
Azwa
hanya tersengih. Malu kerana gelagatnya diperhatikan tanpa sedar. Mungkin sejak
tadi lagi emaknya memerhatikan sikapnya yang boleh dianggap seperti ayam berak
kapur sejak balik dari Cherating ini.
“Dah
puas bercuti patutnya muka tu ceria. Ini tidak. Muka macam belacan.”
“Apalah
mak ni, samakan muka orang yang cun ni dengan belacan.”
Che
Midah ketawa. Dia mengambil penyapu dan mula menyapu di ruangan dapur yang
sederhana besar itu. Azwa hanya memerhati dengan pandangan kosong. Mak ni
memang tak pernah duduk diam. Ada saja kerja yang nak dibuatnya. Tak cukup di
dalam rumah, Che Midah akan berkebun pula di belakang rumah. Rajin
sangat-sangat.
“Abah
mana, mak?” soal Azwa.
“Keluar
ke kedai sekejap,” jawab Che Midah tanpa memandang Azwa.
Azwa
tersenyum. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia bertanya. Jika dengan
abah, Azwa tak berani nak banyak songeh. Abah agak tegas dalam membuat
keputusan.
“Mak,
confirm ke orang kena duduk dengan
Abang Hanif nanti?”
“Confirm la… apa tak comfirm pulak?”
“Orang
bukan apa mak, rumah Abang Hanif tu sempit sangat. Dia satu keluarga pun dah
macam tin sardin, ini nak tambah sorang lagi.”
Che
Midah diam sebentar. Dia duduk di hadapan Azwa setelah selesai menyapu sampah
di dapur.
“Habis
tu Az nak duduk mana pulak? Rumah Abang Hanif aje yang dekat KL. Abang Kamarul
duduk di Bangi. Kak Fida pulak di Shah Alam. Semuanya jauh-jauh. Lainlah kalau
Az nak kerja di Shah Alam, bolehlah duduk di rumah Kak Fida,” jelas Che Midah
dengan tenang.
“Orang
cadang nak duduk rumah sewa aje. Senang. Tak adalah susahkan Abang Hanif.”
Dahi
Che Midah sudah berkerut memandang Azwa. Alamak! Satu petanda kurang baik.
“Rumah
sewa? Bagi sangatlah abah Az tu.”
“Apa
salahnya duduk rumah sewa? Mak takut kalau Az buat benda bukan-bukan ke? Mak ni
macam tak percaya dengan anak mak ni. Az pandailah nak jaga diri, mak.
Takkanlah Az nak buat benda bukan-bukan pulak. Az cuma nak kerja aje,” pujuk
Azwa.
“Kalau
nak duduk sendiri, mak tak kisah tapi untuk permulaan ni Az duduklah rumah
Abang Hanif dulu. Nanti bila Az dah biasa dengan KL tu, barulah Az pindah rumah
sewa. Lagipun abah tak izinkan Az duduk sendiri. Bahaya. Az tu kan perempuan,
kalau lelaki mak tak risau sangat,” nasihat Che Midah dengan sabar.
Akhirnya
gadis itu melepaskan keluhan panjang. Dia memutuskan untuk mendiamkan diri sahaja.
Pasrah.