BAB 6
“KALAU kau nak mandi, kau pergilah. Aku
tunggu kat sini aje.” Azwa duduk di atas batu besar. Tiupan angin laut menerpa
ke tubuhnya. Terasa nyaman dan dingin.
“Takkan aku nak
mandi sorang-sorang aje? Kau mandilah sekali. Bukan jauh pun. Tepi tu aje.
Jomlah!” desak Zaliah sambil menarik tangan Azwa membuatkan Azwa tergelunsur ke
bawah. Terus terduduk di atas pasir.
“Aku tak nak!
Aku takut dengan ombak tu. Aku takut kalau lemas lagi. Siapa pulak yang nak
tolong kita nanti? Degil betullah kau ni!” marah Azwa lalu duduk bersila di
atas pasir. Alang-alang seluarnya sudah kotor.
Zaliah
mendengus.
“Penakut!”
Azwa mencebik
bibir pada Zaliah.
“Kau tak lemas
jadi kau tak tahu betapa traumanya aku.”
“Okeylah, aku
mandi kat tepi tu. Kau duduk sini cari ilham macam mana nak jadi kaya. Jangan
gatal nak ke mana-mana pulak,” pesan Zaliah, akhirnya mengalah.
Zaliah sudah
bersedia dengan sebuah pelampung yang baru dibelinya. Pelampung yang mempunyai
gambar Spongebob Squarepants. Macam budak tak cukup umur saja Zaliah ni!
“Iyalah…
elok-elok mandi tu. Biasanya petang-petang macam ni banyak ular laut. Kalau ada
benda licin kat kaki kau tu, cepat-cepatlah naik.” Sengaja Azwa menakutkan Zaliah
yang kononnya berani sangat.
Zaliah merenung Azwa
tidak berkelip. Kemudian dahinya mula berkerut-kerut. Sah, dia sudah termakan
dengan kata-kata Azwa. Penakut jugak rupanya! Ular memang binatang yang paling
ditakuti Zaliah di dunia ini. Nampak ular lidi pun Zaliah dah lari tak cukup
tanah. Geli sangat.
“Kau tunggu apa
lagi? Pergilah mandi. Tadi tak sabar-sabar benar gayanya,” tegur Azwa bila
melihat Zaliah terkebil-kebil berdiri di hadapannya bagaikan patung cendana.
“Iyalah… aku nak
pergilah ni.”
“Hah, pergilah.
Yang kau tercegat kat sini lagi buat apa? Kau takut ek?” Azwa tersenyum
mengusik.
“Mana ada!” Zaliah
berlari-lari anak menuju ke pantai walaupun langkahnya teragak-agak. Malulah
dia mahu mengaku takut. Pasti Azwa akan ketawakan dia nanti.
Azwa hanya
ketawa melihat gelagat Zaliah dari kejauhan. Bukan Zaliah seorang saja yang
mandi di situ, ada beberapa keluarga lain yang turut serta bermandi manda. Kali
ini mereka mencari tempat yang terbuka. Semakin lama semakin ramai pula yang
turun ke pantai dan suasana menjadi semakin meriah.
“Hai,” sapa satu
suara dari belakang.
Pantas Azwa
menoleh. Qallif berdiri di belakangnya dengan senyuman terukir di bibir. Azwa
sudah tidak tentu arah. Kenapa lelaki ini sentiasa ada di mana saja dia berada?
Entah mengapa harus wujud perasaan kalut bila bertemu lelaki ini. Satu perasaan
yang tidak pernah Azwa rasa dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Apa hebatnya
lelaki yang berdiri di belakangnya ini hingga mampu membuat jiwanya huru-hara?
“Boleh saya
duduk sebelah?” pinta Qallif.
Belum sempat Azwa
memberi keizinan, Qallif sudah pun duduk terlebih dahulu dengan selambanya.
“Mana awak tahu
kami di sini?” tanya Azwa.
“Instinct,” jawab Qallif sepatah.
Dia memakai topi
dan seperti biasa mengenakan kaca mata hitam membuatkan wajahnya sedikit
terlindung. Oh, ada kemera Canon EOS 60D tersangkut di lehernya. Nampaknya
Qallif meminati bidang fotografi. Hanya juru gambar sahaja yang biasa
menggunakan kamera sebegitu. Jangan dia ambil gambar aku yang tengah berserabai
ni, sudahlah! Bisik hati Azwa.
Lama mereka
mendiamkan diri. Melayani perasaan masing-masing. Mata Azwa tidak lepas dari
memerhatikan Zaliah yang sedang terumbang-ambing di pukul ombak. Sesekali Zaliah
melambaikan tangan ke arahnya. Jika diikut hati mahu saja Azwa pergi menyertai Zaliah
namun bila terkenangkan saat getir bersabung nyawa beberapa hari lalu, perasaan
teruja itu terus lenyap begitu saja.
Hairan melihat
Qallif yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. Dia sibuk mengambil gambar dengan
kameranya. Biasanya Qallif yang akan memulakan topik untuk mereka berbual, tapi
tidak kali ini. Mungkin kerana ketiadaan Zaliah. Biasanya mulut Zaliah yang
becok itu yang memeriahkan suasana. Tanpa Zaliah, mereka berdua masing-masing
berasa kaku.
“Biasanya kalau
ada waktu terluang, awak buat apa di sini?” tanya Azwa sekadar mahu
menghapuskan kesepian yang bertandang.
Qallif tersenyum
dan memandang ke arah Azwa.
“Memancing.
Kadang-kadang snorkeling ataupun join aktiviti
skuba. Baru pagi tadi saya pergi menyelam dengan beberapa orang pelancong lain.
Cantik tau dasar laut kita ni. Banyak terumbu karang dan spesies ikan yang
cantik-cantik. Kalau awak pandai berenang dah lama saya ajak awak sekali,”
jelasnya.
Azwa angkat
kening. Panjang pulak jawapannya. Ingatkan nak diam saja sampai bila-bila.
Skuba? Macam best aje bunyinya tapi
mustahillah dia boleh menyelam ke dasar laut. Berenang pun tenggelam-timbul. Silap
hari bulan terus tak timbul-timbul. Buat malu pada ikan-ikan dalam laut tu
saja. Silap-silap anak ikan nemo pun ketawa berdekah-dekah melihat dia lemas.
“Kenapa tak
datang dengan kawan-kawan atau keluarga? Tentu lebih seronok kan?” soal Azwa
lagi, sepasang matanya redup menatap wajah Qallif yang terlindung di sebalik
kaca mata hitamnya itu.
Qallif diam
seribu bahasa. Wajahnya sedikit berkerut. Dia menguis-nguis pasir pantai dengan
ranting kayu hingga membentuk satu lubang kecil. Pertanyaan Azwa dibiarkan
pergi bersama angin lalu.
“Awak tentu
ramai kawan kan?” tanya Azwa lagi, ingin tahu.
“Tak ada apa
yang menarik untuk dikongsi dengan awak. Hidup saya membosankan. Sebab itulah saya
bercuti ke sini. Tak sangka pulak boleh jumpa awak. Tak sia-sialah saya
tinggalkan rumah dan kerja,” ujar Qallif tersenyum.
“Keluarga awak
masih ada?”
Qallif tidak
selesa dengan soalan itu. Lama dia mendiamkan diri tanpa ada tanda-tanda ingin
menjawab.
“Qal?” Azwa
tetap ingin tahu walaupun Qallif enggan menjawab.
Tidak salah
rasanya bertanya serba sedikit tentang keluarga. Sudah empat hari mereka
mengenali antara satu sama lain, baru kali ini Azwa membuka topik keluarga. Dan
ternyata topik itu mengganggu ketenangan Qallif. Kenapa ek? Azwa tertanya-tanya
sendiri.
“Ada. Kenapa awak
tanya? Awak nak jumpa keluarga saya ek? Dah bersedia nak jadi calon menantu
mereka?” usik Qallif.
“Ke situ pulak
perginya! Awak ni memang kuat perasan ek?”
Qallif ketawa.
Apatah lagi melihat pipi Azwa sudah kemerahan. Tahu pun malu! Buat seketika
Azwa tidak bertanya lagi. Pandangannya dihalakan pada Zaliah.
“Kenapa diam
pulak ni?”
“Malaslah nak
tanya, nanti awak perasan pulak.”
“Okeylah, awak
nak tanya apa lagi? Saya akan cuba jawab dengan serius,” ujar Qallif seakan
memujuk.
Azwa kembali
memandang Qallif. Lelaki itu melebarkan senyuman. Kaca mata hitam di wajahnya
sudah ditanggalkan. Renungan sepasang matanya itu buat jantung Azwa dup-dap
dup-dap.
“Awak memang
orang Penang?”
Qallif menjawab
soalan Azwa hanya dengan satu anggukkan.
“Awak tinggal
dengan keluarga?”
Sekali lagi
Qallif mengangguk. Raut wajahnya sudah berkerut-kerut menerima soalan
bertubi-tubi dari Azwa.
“Kalau awak
tinggal dengan keluarga, kenapa awak masih rasa bosan?” tanya Azwa lagi.
Qallif pandang
wajah Azwa. Macam James Bond pulak dia ni. Habis nak dikoreknya rahsia aku.
Berapa banyak bulu kaki aku, dia tak nak tanya ke? Rungut Qallif di dalam hati.
Dia rimas dengan soalan-soalan itu. Apatah lagi bila melibatkan soal keluarga.
Dia akui, dia tidak punya keluarga yang bahagia seperti orang-orang lain. Dia
lari ke Cherating ni pun sebab keluarga. Rimas kerana keluarga sibuk ingin
menjodohkannya dengan pilihan mereka. Macamlah dia ni tak laku sangat. Perlukah
dia ceritakan semua masalahnya itu pada Azwa? Ah, buat malu saja!
“Kami jarang
jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Awak ni ejen perisik dari
mana ya?” usik Qallif.
Azwa ketawa
kecil. Sedar kelancangan mulutnya bertanya itu dan ini. Rasanya tak salah dia
bertanya daripada mereka menjadi tunggul kayu di tepi pantai ini. Dia sekadar
mewujudkan suasana harmoni sebagai tanda persengketaan mereka selama ini sudah
ditamatkan tanpa sebarang pertumpahan darah. Gencatan senjata sudah bermula
dengan rasminya sejak dua hari yang lalu.
“Ejen 004 cawangan
KL,” sambung Azwa bersahaja.
Qallif terus
ketawa.
“Oh… tapi kan,
baru kali ni saya dengar ada ejen perisik sulit yang tak tahu berenang. Siap
lemas lagi waktu mandi di pantai,” usik Qallif.
Azwa menarik
muka masam. Malunya dia dengan gurauan Qallif itu.
“Sorrylah sebab banyak sangat tanya.
Sebenarnya saya memang macam ni. Kalau dah kenal dengan seseorang, saya mesti
nak tahu latar belakangnya. Barulah rasa selamat. Saya kena tahu dengan siapa saya
bergaul. Saya tak suka orang hipokrit. Bagi saya, kejujuran tu penting dalam
persahabatan,” ujar Azwa, sekali gus menjelaskan mengapa dia ingin tahu latar
belakang Qallif dengan lebih terperinci. Itu pun jika lelaki itu masih mahu
meneruskan persahabatan yang baru saja terjalin ini.
Manusia zaman
sekarang ni ada pelbagai cara dan taktik untuk menyamar. Zahirnya memang
kelihatan baik dan jujur. Padahal, dalam kebaikan itu ada maksud tersembunyi.
Jika bukan kerana terhutang budi dengan Qallif, jangan harap lelaki ini
berpeluang duduk di sebelahnya seperti sekarang. Muka saja nampak alim, hati
belum tentu.
“Saya kerja di
sebuah syarikat arkitek di Penang. Umur 28 tahun. Adik beradik ada dua. Saya anak
sulung. Untuk pengetahuan awak, saya ni bukan orang berada. Keluarga saya orang
biasa-biasa aje,” ujar Qallif.
Azwa tersenyum.
“Berada atau tidak
bukan jadi ukuran. Apa yang penting, kita ada kesungguhan untuk merubah nasib
kita. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” tambah Azwa.
“So, saya dah lulus untuk jadi kawan awak?
Perempuan zaman sekarang ni biasanya mementingkan kebendaan. Setakat lelaki
macam saya ni mereka tak pandang sebelah mata pun.”
“Sebenarnya
semua tu bergantung pada penilaian masing-masing. Ada orang pentingkan wang
ringgit untuk masa depan yang terjamin. Ada sesetengah orang pula lebih memilih
kasih sayang dan keikhlasan hati. Tapi bagi saya, kedua-duanya patut berjalan
seiring. Barulah perjalanan hidup kita ni lebih teratur. Wang ringgit bukan
segala-galanya tapi ia perlu untuk kehidupan seharian. Kasih sayang pula adalah
keperluan rohani manusia. Jadi, biarlah ia seimbang. Kesederhanaan itu pun
dituntut dalam agama kita kan,” jelas Azwa panjang lebar.
Qallif tersenyum
senang. Azwa memang berbeza dari gadis-gadis lain yang pernah dikenalinya.
Kesederhanaannya membuatkan dia kelihatan sempurna.
“Asyik tanya
pasal saya aje… awak macam mana pulak?” Qallif pula bertanya.
Matanya tekun
merenung wajah Azwa yang begitu manis pada pandangan matanya. Mata orang lain dia
tak tahulah. Mata lain-lain, citarasa pun lain-lain. Tapi Qallif tak kisah
dengan mata orang lain. Janji matanya sejuk menatap wajah gadis itu, cukuplah.
“Apa yang awak
nak tahu?”
“Keluarga awak.
Selain Zaliah sebagai kawan awak yang paling rapat.”
“Saya berasal
dari Sungai Besar, Selangor. Anak keempat daripada lima orang adik-beradik. Saya
ada seorang kakak, dua orang abang dan seorang adik lelaki. Mereka semua
tinggal di sekitar Selangor. Saya sendiri pun baru saja habis kursus di UiTM
Dungun, Terengganu. Masih menganggur. Rasanya lepas bercuti ni saya nak start cari kerja di KL,” jelas Azwa
sejujurnya.
Azwa rasa bangga
setiap kali bercerita tentang keluarganya. Tiada kekayaan yang melimpah-ruah
dalam hidupnya namun kehidupannya cukup bahagia. Tiada yang lebih bahagia
selain dapat berkumpul bersama ahli keluarga di kampung. Menaman sayur di
belakang rumah adalah rutin hariannya bersama emak sewaktu di kampung. Entah
apa khabarnya terung, kacang panjang, cili besar dan labu yang ditanamnya sebelum
berangkat ke Terengganu dulu. Agaknya dah bercucu ke pokok terung tu. Hisy…
masak pajeri sedap tu!
“Awak ambil
kursus apa?”
Teguran Qallif
mengejutkan Azwa daripada kenangan lama. Terkebil-kebil dia memandang Qallif. Azwa
tidak dapat mencerna soalan Qallif. Itulah, asyik berangan saja!
“Awak ambil
kursus apa, sayang?” ulang Qallif bersahaja.
“Oh, perhotelan.”
Azwa tersengih-sengih. Malu bila Qallif dapat membaca kekalutannya.
Qallif
mengangguk-angguk kepala.
“Kalau tak silap
saya, Sungai Besar tu kawasan padi. Awak ni anak petani ek?”
“Tak juga. Dulu,
arwah atuk memang seorang petani. Abah pun biasa buat kerja-kerja di bendang.
Tapi itu cuma kerja sampingan saja. Abah sebenarnya dulu kerja di pejabat JKR Sungai
Besar. Tapi sekarang dah bersara. Kerja-kerja di bendang semuanya diupahkan
pada orang lain. Abah dah tak larat nak buat sendiri,” jelas Azwa.
“Selalu balik
kampung?”
“Selalu jugak
kalau ada cuti panjang.”
Qallif
tersenyum. Teringin benar dia melihat pemandangan sawah padi yang biasa
dilihatnya di drama-drama Melayu di kaca televisyen. Melihat secara dekat tidak
berpeluang lagi. Bagaimana agaknya kehidupan di kampung?