BAB 1
AZWA menjeling jam Casio di tangan
kirinya. Pukul 4.30 petang. Cuaca di luar masih panas berbahang. Bibir Azwa
berdecit bila teringatkan Zaliah yang sedang menunggu di pantai. Rakan baiknya
itu punyalah jakun dengan pantai sampai tak sempat menunggu hari redup sedikit.
Sudahlah dia terlupa membawa sunblock.
Hitamlah kulit dia nanti. Punyalah banyak pusat peranginan lain di Malaysia, Cherating
juga yang menjadi pilihan Zaliah. Dua tahun lepas, mereka bercuti ke sini juga.
Azwa berdiri di
pintu chalet. Dari kejauhan dia melihat Zaliah asyik bermain ombak di tepi
pantai. Seorang diri pun boleh jadi, bisik hati Azwa. Kata Zaliah, ini
percutian terakhirnya sebagai wanita bujang sebelum bergelar isteri kepada
Saiful Izzat. Azwa ikutkan saja hasrat terakhir sahabatnya itu walaupun duit di
dalam poket tidak begitu mencukupi. Silap hari bulan dia jugak yang terpaksa
ikat perut bila duit yang diberi abah habis dibuat berjoli. Semua ini demi
Zaliah.
Zaliah melambaikan
tangan bila menyedari Azwa sedang memerhatikannya dari chalet yang mereka sewa.
Pasti Zaliah tidak sabar ingin mandi di laut yang saujana mata memandang. Zaliah
memang suka dengan pantai. Peliknya, walaupun 150 juta kali dia bercuti di
pantai, Zaliah tetap tak pandai berenang. Begitu juga dengan Azwa. Dua kali
lima saja mereka ni.
Seketika
kemudian Azwa sudah berlari-lari anak menuju ke persisiran pantai ingin
menyertai Zaliah. Di tangannya merangkul dua buah pelampung yang berbentuk
huruf o. Satu untuk dia dan satu lagi untuk Zaliah. Kalau tak guna pelampung
alamatnya mati lemaslah mereka. Jangan cari malapetaka. Zaliah tu darah tengah
manis. Bakal pengantin baru katakan. Jika berlaku perkara tidak diingini
terhadap Zaliah, siapa pula yang ingin bersanding dengan Saiful Izzat nanti?
Angin bertiup
agak kuat hingga mengerbangkan rambut Azwa yang sudah disikat rapi. Menyesal
pula tak ikat rambut. Kononnya rambutnya yang cantik beralun itu akan kekal
cantik selama 24 jam walaupun ditiup angin. Sah, Azwa sudah tertipu dengan
iklan syampu di kaca televisyen. Sekarang rambutnya sudah kelihatan seperti
sarang burung.
Dam!!
Dalam kekalutan Azwa
memikirkan rambutnya yang kusut itu, tanpa sengaja dia terlanggar sesuatu. Mujurlah
kakinya masih mampu berdiri dengan stabil. Kalau tidak sia-sia saja tergolek
atas pasir ni. Hisy, siapa pulak yang tanam pokok kat sini? Malunya kalau ada
orang nampak. Azwa menyelak rambut yang menutupi mukanya. Seorang lelaki
berdiri di hadapannya dengan wajah menginga. Azwa tergamam.
Eh, manusia
rupanya… ingatkan pokok!
“Awak ni ada
masalah apa ya?” tanya si pemuda sambil berpeluk tubuh.
Azwa yang masih
tergamam hanya menggeleng kepala lambat-lambat.
“Lain kali
berjalan tu pakai mata. Jangan nak menonong aje sampai orang besar macam ni pun
tak nampak!” marah si pemuda. Tiba-tiba saja suaranya meninggi. Matanya tajam merenung
Azwa tidak berkelip.
Azwa tersentak.
Dia berlagak tenang walaupun agak terkejut dengan sergahan lelaki itu. Berlagak
betul! Tak ada adap sopan langsung! Pantang betul kalau orang tak tahu nak
berbudi bahasa macam ni. Dia ingat aku sengaja nak langgar dia? Azwa cuba
menyabarkan hati yang sudah mula mahu berasap.
“Maaf,” pinta
Azwa sepatah.
“Maaf, maaf,
maaf, senang aje kan? Langgar orang lepas tu minta maaf,” bebel si pemuda
dengan angkuhnya.
“Saya
betul-betul tak sengaja.”
“Lain kali
berjalan tu pandang depan. Jangan asyik nak berangan aje. Inilah masalahnya
orang perempuan, tengah berjalan pun masih sibuk nak betulkan rambut.”
“Bukan sebab
rambut ni saya terlanggar awak,” bantah Azwa.
“Habis tu, sebab
apa? Macamlah saya tak nampak awak sibuk betulkan rambut awak yang mengerbang
tu.”
“Eee… jahat
betul mulut awak ni kan? Saya tak nampak awak sebab pelampung ni besar sangat.
Lagipun saya dah minta maaf kan?”
Lelaki itu
terdiam sejenak. Matanya masih tajam memandang Azwa.
“Cuba awak
tengok bawah,” pintanya.
Azwa memandang
ke bawah seperti yang diarah. Dia terlihat aiskrim Cornetto Wall’s yang jatuh
di atas pasir. Perisa coklat. Memang nampak sedap. Azwa kembali memandang wajah
pemuda yang rendah tahap kesedaran siviknya itu.
“Tengok, sampai
jatuh aiskrim saya. Saya tak sempat nak makan lagi tau. Awak mesti ganti
aiskrim tu. Mesti!”
“Kalau saya tak
nak ganti?” balas Azwa dengan berani.
“Saya tak
teragak-agak untuk saman awak!” balas si pemuda dengan pantas. Nada suaranya
masih kasar dan menyakitkan halwa telinga Azwa.
Hisy… kecoh
betul mamat ni! Pasal aiskrim pun nak mengamuk sakan. Nak suruh aku ganti pulak
tu. Siap nak saman menyaman lagi, desis hati Azwa dengan perasaan yang cukup
meluat. Mujur saja memang salahnya, jika tidak sudah lama lelaki itu makan
seliparnya.
“Awak jangan risau okey. Hal kecikaje ni. Setakat aiskrim pun nak bising
macam ayam nak bertelur. Awak ni memang jenis suka kecoh ek?” sindir Azwa.
Pemuda itu
terdiam. Berkelip-kelip matanya memandang Azwa.
“Satu lagi, saya
pantang kalau orang suka terjerit-jerit tak tentu pasal ni. Sakit telinga saya
tau tak? Cubalah belajar bersopan sikit. Bercakap elok-elok, tak boleh ke? Awak
orang Melayu kan?” Azwa cuba mengawal nada suaranya. Lembut tapi sinis. Lelaki
macam ni memang patut disekolahkan sekali-sekala.
Sejurus berkata
begitu, Azwa terus melangkah pergi tanpa sempat lelaki itu ingin membidas
kata-katanya. Sengaja Azwa tidak mahu mendengar jawapan lelaki itu. Nanti dia
juga yang sakit hati. Dia berjalan pantas menuju ke deretan kedai tidak jauh
dari mereka. Pasti askrim itu dibeli di kedai itu memandangkan hanya di situ
satu-satunya kedai runcit yang ada selain kedai makan, kedai pakaian dan kedai
cenderahati.
“Hei, awak nak
ke mana pulak tu?” tanya si pemuda.
“Nak ganti
aiskrim awaklah. Saya ni jenis tak suka berhutang dengan orang. Lagipun malulah
saya kalau pasal aiskrim pun nak dibawa ke mahkamah. Macam budak-budak aje!”
Si pemuda
terdiam, namun dia segera mengikuti langkah Azwa dari belakang. Tanpa Azwa
sedari, pemuda itu sebenarnya sedang menahan senyum melihat gelagat Azwa.
“Aiskrim pun nak
minta ganti. Memang dasar Haji Bakhil! Berkira! Kedekut!” Azwa membebel-bebel
sendiri.
“Apa awak cakap
tadi?” si pemuda yang mengekori di belakang menegur. Dia kurang jelas dengan
apa yang gadis itu bebelkan. Hanya perkataan ‘Haji Bakhil’ saja yang kedengaran.
Azwa diam. Buat
tidak tahu saja. Hanya jelingan tajam yang diberi sekilas lalu.
“Awak kata saya
kedekut?”
“Tak ada
apa-apalah. Sibuk betul. Saya bukan bercakap dengan awak pun.” Azwa membidas
tanpa memandang si pemuda yang sedang bercekak pinggang di belakangnya.
“Oh, awak
bercakap sorang diri rupanya. Awak memang ada sejarah masuk Tanjung Rambutan ek?
Kesian… harap muka saja cantik, gila rupanya.” Dengan selamba si pemuda berkata.
Ada ketawa kecil mengiringi kata-katanya itu.
Hati Azwa sudah
terbakar tahap mercun bola. Namun hanya ditahan rasa marah itu di dalam hati.
Dia malas ingin melayan. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menimbulkan
provokasi dalam dirinya.
“Awak datang
sini dengan siapa?” Tiba-tiba si pemuda bertanya sambil cuba berjalan seiring
dengan Azwa. Kali ini suaranya sudah mengendur. Tapi kedengaran seperti
mengada-ngada pula.
“Kawan.”
“Mana dia?”
“Ada kat tepi
pantai sana.”
“Kawan awak tu,
lelaki ke perempuan?”
Azwa menjeling
wajah lelaki yang cukup sifat itu. Zahirnya memang nampak sempurna, hanya
perangainya saja yang separuh siap. Sudahlah berlagak, berkira, banyak tanya
pulak!
“Jangan banyak
tanya boleh tak? Pilih aiskrim yang awak nak tu cepat sebelum saya ubah fikiran,”
jawab Azwa sedikit keras.
Kini mereka
sudah berada di dalam kedai runcit. Azwa membelek-belek majalah sekali imbas.
Kedai runcit itu agak sempit tapi semua barang keperluan harian boleh didapati
di sini. Ia lengkap walaupun nampak agak berserabut dan tidak teratur. Ada
pulak letak air minuman bersebelahan dengan cecair peluntur Clorox? Nak suruh
orang mati agaknya, kutuk Azwa di dalam hati.
“Saya dah tak
berminat nak makan aiskrim. Tekak saya ni teringin nak makan kerepek kentang
Mister Potato pulak. Awak bayar ya?” pinta si pemuda dengan selamba.
Azwa menghela
nafas. Sabar ajelah! Tanpa banyak soal Azwa mengangguk sahaja. Malas ingin berlama-lama
menghadap muka lelaki itu. Bukannya kacak pun. Yang penting, selepas ini dia
tidak berhutang apa-apa dengan lelaki bermulut longkang itu.
Si pemuda
tersenyum senang melihat anggukkan si gadis. Dia mengambil sebungkus snek
Mister Potato bersaiz besar. Kemudian dia membuka pula peti sejuk. Pelbagai
jenis minuman sejuk tersusun di dalamnya. Serta-merta tekaknya berasa dahaga.
“Saya nak jus oren
sekali. Tekak ni rasa kering pulak,” pintanya lagi.
Azwa terus berpaling
menghadap si pemuda sambil bercekak pinggang. Ewah! Ewah! Dah bagi betis nak
paha pulak! Lelaki ini memang tak boleh diberi muka. Lepas ni entah apa pula
yang dia minta. Silap-silap dia akan minta dibelikan majalah untuk dibaca di tepi
pantai. Lepas tu minta macam-macam lagi termasuk temankan dia tidur malam ini.
Ya ALLAH, jauhkanlah
aku daripada makhluk perosak seperti ini. Semoga percutianku ini dilindungi dan
terpelihara daripada perkara-perkara mungkar. Amin. Azwa berdoa di dalam hati.
“Saya hanya akan
bayar jumlah yang tak melebihi harga aiskrim yang jatuh tadi. Selebihnya awak
bayar sendiri,” ujar Azwa lalu pergi ke kuanter pembayaran.
“Saya tak bawak
duit. Lagipun jus oren ni tak mahal pun. Cuma RM2.50 aje,” jelas si pemuda
dengan muka tak malunya.
“Tak boleh! Saya
pun tak bawak duit jugak!” Azwa separuh menjerit bagai kesabarannya sudah
semakin nipis dengan kerenah lelaki itu.
Si pemuda hanya
memandang si gadis dengan riak tidak puas hati. Jus oren di dalam peti sejuk
dipandang bersilih ganti dengan wajah Azwa. Dia menelan air liur sebelum
menutup semula pintu peti sejuk itu.
Azwa
mengeluarkan wang kertas dari poket seluarnya. Mujurlah ada RM5.00. Duit baki
makan tengah hari tadi. Harga Mister Potato itu RM2.90. Selesai melakukan
pembayaran pada tauke kedai yang ala-ala mamak itu, Azwa terus melangkah keluar
dari kedai runcit tanpa menoleh ke belakang lagi.
Lelaki itu
biarlah jadi sejarah yang tak perlu dikenang langsung, fikir Azwa dengan
perasaan lega.
“Awak ni kejam
betullah. Kalau saya tercekik macam mana? Air tak ada ni?” rungut seseorang
dari belakang.
Azwa terkejut
bila mendengar suara itu. Dia fikirkan lelaki itu sudah membawa haluannya
sendiri. Mengapa masih ada di belakangnya?
“Itu bukan
masalah saya. Awak yang kedekut sangat nak keluar duit sendiri, siapa suruh!” Azwa
menjawab tanpa memandang si pemuda.
Si pemuda
tersenyum namun senyuman itu pastinya tidak dilihat oleh Azwa.
“Siapa nama
awak? Awak buat apa di sini? Bercuti ek?” soal si pemuda buat-buat ramah.
Azwa mengeluh
panjang. Dahinya berkerut sedikit memandang lelaki itu. Sudahlah berlagak, berkira,
kedekut, banyak tanya, suka menyibuk pulak tu! Dia nak apa lagi ni? Omel Azwa
di dalam hati.
“Awak ada
masalah apa ya?” Azwa buat-buat bertanya.
“Tak ada apa-apa
masalah.”
“Kenapa awak
masih ikut saya lagi? Saya dah ganti aiskrim awak kan?” soal Azwa sambil
berpeluk tubuh. Bulat matanya merenung lelaki yang berwajah selamba itu.
Si pemuda hanya tersengih
santai. Dia buat bodoh sahaja.
“Awak ni garang
sangatlah. Macam serigala. Nasib baik muka tu cantik, kalau tidak saya pun tak
teringin nak tanya nama,” ujarnya tanpa rasa bersalah.
“Awak dah tahu
saya ni macam serigala, buat apa awak ikut saya lagi? Tak takut dengan
serigala? Kuku saya ni pun dah lama tak mencakar muka orang,” balas Azwa
berani. Peluh yang merembes di dahi diseka dengan tangan. Sakit sungguh hatinya
melihat muka bersahaja pemuda itu memandangnya.
Si pemuda ketawa
kecil. Bersinar-sinar matanya merenung wajah Azwa yang masam seperti asam
kelibi.
“Tak baik
marah-marah macam ni. Kita ni kan orang Melayu, ada adap sopan dan budi bahasa.
Saya bukan nak buat jahat dengan awak pun, cuma nak tahu nama awak aje. Takkan
disebabkan itu pun awak nak transform
jadi serigala jadian.” Si pemuda seolah-olah memulangkan kata-kata Azwa sebelum
itu.
Azwa buat muka
menyampah. Malas melayan dan terus berlalu pergi.
“Nama saya Qallif,”
beritahu si pemuda tanpa dipinta.
Dia menghulurkan
tangan sebagai tanda perkenalan. Cuba mewujudkan suasana harmoni dengan gadis itu.
Namun salam Qallif tidak disambut. Azwa buat tidak endah saja. Tidak kuasa dia
ingin berkenal-kenalan dengan lelaki itu. Sakit hati ditengking lelaki itu
masih terasa hingga kini.
“Dah, pergi main
jauh-jauh. Saya tak suka awak ikut saya. Urusan kita berdua dah selesai,” ujar Azwa
sambil mempercepatkan langkah. Terkial-kial dia berlari. Namun semakin laju
langkahnya diatur semakin pantas pula lelaki itu mengejarnya.
“Saya cuma nak
tahu nama awak aje. Takkan itu pun tak boleh? Bukan kena bayar pun,” kata
Qallif dari belakang.
Ya ALLAH! Dia
ikut aku lagi! Azwa menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia mengetap bibir
kegeraman. Rasa sakit hati dan takut bercampur aduk. Bimbang jika lelaki itu
mempunyai niat yang buruk terhadapnya.
“Awak tak faham
bahasa Melayu ke? Ke saya kena guna bahasa Jerman?” getus Azwa.
“Pandai ke awak
cakap bahasa Jerman?”
Azwa diam. Sakit
hati dengan soalan bodoh itu.
“Cuba awak
perkenalkan diri awak dalam bahasa Jerman?” pinta Qallif sengaja ingin
mengenakan Azwa.
“Awak tak perlu
tahu siapa saya sebab lepas ni saya tak fikir kita akan jumpa lagi. Segalanya
berakhir di sini. Jadi awak tak payahlah sibuk-sibuk nak tahu nama saya,” tegas
Azwa.
“Tempat ni bukan
besar sangat. Kalau ditakdirkan kita berjumpa lagi, macam mana?”
“Anggap saja
saya tak kenal awak dan awak tak pernah kenal saya.”
Qallif terdiam.
Diperhatikan saja si gadis mengutip pelampung yang ditinggalkannya tadi. Tanpa
kata gadis itu terus berlari meninggalkannya bagaikan lipas kudung. Tanpa
ucapan selamat tinggal. Jauh sekali sebuah senyuman sebagai tanda
kenang-kenangan.
Cakap baik-baik
salah, cakap kasar pun salah. Tak faham betul perempuan zaman sekarang ni,
rungut Qallif di dalam hati.
Jika diikutkan
hati yang sedang kemaruk ini, mahu saja Qallif mengejar gadis itu lagi. Namun
dibatalkan niatnya itu memandangkan wajah si gadis sudah kemerahan merenungnya sebentar
tadi. Risau juga jika gadis itu tiba-tiba bertukar menjadi Hulk.