Usai solat subuh, dengan bantuan ayahnya yang waktu mula-mula
dahulu membantah, kerja yang berat menjadi mudah. Meja
empat segi yang memang berada di dalam stor rumah keluarganya itu sudah
dibawa keluar oleh ayahnya dan diletakkan di hadapan laman rumah yang
berhampiran dengan jalan utama kampung itu.
Poster tulisan tangan ditampal menggunakan selotep di hadapan meja bagi
memberitahu apa yang dijual di situ. Percubaan
pertama, tidak perlu lauk-pauk yang banyak, cukuplah ada ayam goreng, sambal
ikan bilis, telur goreng, telur rebus, hirisan timun dan kacang tanah goreng.
Daun pisang dan kertas pembungkus
nasi sudah siap sedia menunggu pelanggan pertama. Hanya masak beberapa kilo. Hari baharu dan pertama kali, tidak perlu
masak banyak-banyak. Setengah jam
berlalu, cuaca sudah mula terang.
Matahari sudah mula menerbitkan
cahayanya.
“Kau buat apa tu Rose? Jual nasi lemak?” sapa Mak Intan jiran sebelah rumahnya yang sedang
menyapu sampah di laman rumahnya.
“Erk… taklah, jual ayam
mentah!” jawab Rose, takkanlah tidak
nampak apa yang tertulis di hadapan mejanya itu.
“Pandai pula bergurau pagi-pagi ni
ya? Kebetulan mak cik pun belum
sarapan. Mintalah dua bungkus,” kata Mak
Intan seraya mengeluarkan duit dari poket bajunya. Malas
pula nak buat sarapan pagi ini, tadi baharu berkira-kira nak sarapan dengan
biskut kering sahaja, tiba-tiba ada orang jual nasi lemak. Anak jirannya sendiri pula itu.
“Memandangkan mak cik pelanggan
pertama saya, saya bagi lauk telur kat mak cik.
Kalau sedap datang lagi, kalau tak sedap kenalah bagi tahu, ya mak
cik,” terang Rose.
Terkial-kial jugalah dia membungkus, maklumlah pengalaman
pertamanya. Silap haribulan berterabur
nasi di dalam bungkusan itu. Nampak macam
mudah sahaja membungkus nasi lemak berbentuk tiga segi itu. Rupanya renyah juga.
“Kenapa tiba-tiba berniaga nasi
lemak pula ni?” tanya Mak Cik Intan dengan wajah kehairanan.
“Tukar profesion Mak Intan,” kata Rose sambil menyengih. Selepas ini
banyaklah pertanyaan dan soalan cepumas yang perlu dijawabnya. Terutama daripada emak Ain, musuh tradisinya
itu. Boleh pijar badan. Sabarlah naknya sang hati.
Emak tidak membantunya
berniaga. Biarlah dia berasakan susah
senangnya. Pengalaman tidak boleh dibeli
dengan wang atau hanya mendengar cerita, perlu alami sendiri.
“Baguslah!” Mak Intan berlalu dengan dua bungkus nasi
lemak.
Baru dapat seorang pelanggan. Tidak mengapa, baharu hari pertama, sabar
menanti dan menunggu. Hembusan bayu pagi
terasa sejuk di tubuh. Matanya memandang
kiri dan kanan. Beberapa buah kenderaan
lalu lalang, hanya memerhati dan mengangkat tangan jika mereka mengenali
dirinya. Berhentilah, beli nasi lemak.
Main lambai-lambai sahaja. Apa kes? Dia
berleter di dalam hati.
Sebuah kereta Wira berhenti di tepi
jalan, keluar seorang perempuan muda, bergaya.
Macam kenal sahaja, perempuan muda itu mencebik memandangnya. Dengan penuh gaya membuka cermin mata hitam
yang sedang dipakainya.
Ain?
Rose menelan air liur sendiri.
Yalah, takkan nak telan air liur musuhnya itu. Rose memandang ke arah lain. Sah-sah akan terkena bebelan sulong awal pagi
itu. Apalah dosanya bertembung dengan
manusia berwajah jembalang itu.
“Hai, jual nasi lemak pula ke? Kena halau dari bandar ke?” sindir Ain dengan
mulutnya mencebik.
“Kau nak beli ke?” soal Rose. Menyampah tengok gedik dan lenggok
tubuh Ain yang menyakitkan mata. Malas melayan mulut dengan perempuan itu.
Buat sakit hati yang sudah sedia sakit kalau berhadapan dengan Ain. Sama gedik dengan emaknya. Padanlah emak dan anak, sepisis.
“Nasi lemak ni? Kau yang masak? Uhuh… sah-sah tak sedap!” kata Ain agak kuat.
“Kau tak rasa lagi, mana tahu tak
sedap?” soal Rose. Tiada kerja lain,
kalau jumpa dia asyik nak memerli dan menyindir. Entah apa dosanya terhadap perempuan yang
sebaya dengannya itu. Bikin panas hati
sahaja.
“Uhuhuh… apa kelas makan nasi lemak
tepi jalan?” sindir Ain dengan muka kelat, bibirnya dicebikkan.
“Uhuhuh… apa kelas aku jumpa
perempuan mulut longkang! Busuk macam air kumbahan!” Rose tidak mahu
kalah. Dia mencekak pinggang.
“Apa kau cakap? Perempuan hitam legam! Jangan-jangan kau kena buang kerja, siapa
yang sudi ambil orang macam kau ini bekerja?
Setiausaha pula tu! Cis… meloyakan tekak saja,” jerkah Ain. Terasa hatinya dengan sindiran Rose menyengah
sehingga ke tulang hitam. Dia mula
menyinsing lengan baju blaus yang dipakainya.
“Hey, ikut suka mulut kau saja
panggil aku perempuan hitam legam? Aku
tak kacau kau pun, kenapa kau kacau aku?”
marah Rose. Dia sudah bersiap
siaga. Sudah lama dia menyimpan perasaan
geram dengan Ain.
“Ikut suka hati akulah! Mulut
aku!” Ain menjelirkan lidah.
“Mulut kau ya!” Rose memasukkan jarinya ke dalam bekas sambal
dan mulalah bertindak melumurkan sambal tumis itu ke mulut Ain.
“Hoi! Main kasar nampak!” Ain tidak
sempat mengelak. Mulutnya pijar kena lumur dengan sambal tumis itu.
Dia meronta kuat. Dia mengangkat
tangan untuk menampar Rose.
Tangan Rose pantas menahan tangan Ain dari singgah ke
pipinya. Ingat dia patung.
Ain bertindak menolak meja yang
tersusun lauk-pauk nasi lemak Rose yang sedia untuk dijual. Bertaburan semuanya ke tanah.
Terjerit Rose melihat hasil usahanya
menyembah tanah. Berpinar matanya
menyaksikan bekas-bekas itu berserakan di tanah. Mahu sahaja dia bunuh perempuan mulut celupar
itu.
“Kau dah melampau!” Rose menerkam ke arah Ain. Tiada belas ehsan
lagi. Dia menumbuk muka Ain, menendang
perut Ain. Sudah terlalu lama dia
bersabar. Sejak di bangku sekolah. Kena buli dengan Ain dan kawan-kawannya pun
dia tidak melawan. Masih boleh
bersabar. Ingatkan permusuhan mereka
akan berakhir apabila masing-masing sudah meningkat dewasa, malah semakin
hangat dan panas. Sudahlah perempuan itu
merampas teman baiknya, kini berani pula merosakkan perniagaannya. Dia sudah tidak peduli lagi. Tamparan sulong singah ke wajah jelita Ain
yang disolek tebal. Hati Rose panas,
mendidih, menggelegak, bagaikan dibakar hidup-hidup.
“Ya ALLAH! Apa ni?” Hanum berlari laju mendekati anak
perempuannya yang sedang bergomol.
Matanya sempat lagi memerhati bekas-bekas berisi lauk-pauk nasi lemak
jualan anak perempuanya bersepah di tanah.
Hanum menarik Rose, menjauh daripada Ain yang sudah menangis kesakitan,
terjerit-jerit rakan sekolah anaknya itu.
Habislah, mahu riuh satu kampung
nanti bila Mak Limah tahu anak perempuannya kena ganyang dengan Rose. Apalah masalah anaknya dan anak Mak Limah
ini? Pening kepala Hanum dibuatnya.
“Kenapa ni Rose? Ain?” tengking Hanum geram. Kalau budak lagi, tentulah dia faham, kenapa
mereka bergaduh. Ini sudah layak
dipanggil mak orang.
“Perempuan mulut longkang ini yang
mulakan dulu mak!” kata Rose geram.
Dadanya berdegup kencang.
Tangannya menggigil menahan geram dan marah. Kalau diikutkan kata hati, mahu sahaja dia
tonyoh muka perempuan gedik itu ke tanah tar yang kasar itu. Biar padan dengan muka, ingat cantik sangat,
detik hati kecil Rose yang sedang menanar itu.
Habis perniagaannya hari ini, hanya sempat menjual dua bungkus nasi
lemak sahaja. Terasa air mata mengalir
di tubir matanya. Penat lelahnya malam
tadi dan sebelum subuh tidak berbaloi, lantaran kehadiran musuh tradisinya
itu.
“Aku mulut longkang? Kau mulut air
kumbahan!” jerkah Ain. Dia menolak kasar
tangan Hanum yang memegangnya. Dia
mengetap bibir dan menunjukkan penumbuk ke arah Rose.
“Aku belum selesai dengan kau!?
Jerit Ain, matanya tajam menikam mata Rose yang sudah sedikit mengendur. Bagaikan bilah tajam menusuk sehingga mampu
membutakan matanya.
Memang perempuan sihir agaknya, detik hati
kecil Rose. Dia memerhatikan sahaja
langkah Ain berlalu pergi dengan hati yang panas. Rose mencebik.
“Apa Rose buat ni?” marah
Hanum. Disuruh berniaga, dilawannya
bergaduh! Aduhai… kalaulah Mak Limah
datang menyerang. Bertambah panjang jalan cerita hari ini. Hanum menepuk dahi.
Rose tidak sanggup memandang mata
emaknya yang menikam matanya. Kalau
pandangan Ain boleh butakan mata, pandangan emaknya boleh menghilangkan
penglihatannya. Alahai… masalah, masalah.
Mak Limah CNN itu pasti tidak akan berdiam diri. Mahu bergaduh satu kampung jadinya
nanti.
“Apa tercegat lagi tu! Cepat kemas!”
Hanum mengetap bibir. Apalah nak jadi
dengan anak perempuannya itu. Kalau
tidak sabar dengan usikan orang lain,
macam mana nak berniaga?
Rose mengutip bekas-bekas yang sudah
dikotori oleh tanah merah. Bengkak hatinya.
Pilu rasanya. Mahu sahaja dia
meraung ketika itu. Kenapalah perempuan
sengal itu ada di kampung waktu ini?
Kenapa tidak cari laluan lain sahaja? Kenapa lalu di hadapan rumahnya? Dia sudah mula merepek, membebel dalam hati. Apalah malang nasibnya hari ini.