Tubuhnya
dihempaskan di atas sofa. Terasa lenguh
seluruh tubuh memandu seorang diri melawan kesesakan lalu lintas. Siapa suruh
balik waktu orang ramai pulang dari tempat kerja. Salah dirinya sendiri. Bekal
nasi lemak dan lauk sambal sotong kering sudah diletakkan di atas meja
makan. Kejap lagilah dia akan panaskan.
Zaiton pun masih belum pulang dari kerja. Baiklah dia berehat dan bersantai-santai
seorang diri di dalam rumah yang hampir seminggu juga ditinggalkan. Terasa rindu dengan tilam dan bantal
sendiri.
Kerja apa yang dia akan
lakukan? Sambung belajar? Ada juga
manfaatnya. Kalaulah dia mendengar
nasihat emak dan ayahnya dahulu memilih bidang perubatan, sudah tentu
nasibnya tidak jadi seperti hari ini.
Jadi doktor tidak perlu cantik atau lawa. Inilah akibatnya ikut nafsu dan otak
sendiri. Puas berangan dan berfikir, akhirnya dia terlelap juga.
“Amboi, sedapnya dia tidur
senja-senja ni? Tak tahu ke waktu begini
syaitan dan iblis sedang merayap!” bebel Zaiton sendiri. Dia mendekati Roseyatimah yang sedang enak dibuai
mimpi. Tubuh sahabatnya digoyangkan. Terjerit-jerit dia memanggil
Roseyatimah. Memang tidur mampus, detik
hati kecil Zaiton. Dia terus ke dapur. Secawan air sejuk dibawa ke ruang tamu. Dia menyengih. Inilah caranya mengejutkan orang yang susah
bangun tidur.
“Hujan! Hujan!” jerit Roseyatimah,
terkapai-kapai dia bangun dari tidur.
Terpisat-pisat dia memandang sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.
“Banyak kau punya hujan dalam rumah
ni?” Zaiton mencekak pinggang.
“Kau ni Ton!” Roseyatimah
mendengus. Sedap-sedap sedang bermain
hujan dengan Shah Rukh Khan, muncul pula gergasi yang tidak diundang. Dia mencebik.
“Kenapa tidur di waktu senja ni?
Pergi mandi, nanti kita solat sama-sama.
Lepas tu keluar makan.” Zaiton
menyengih.
“Aku letihlah. Aku sedang syok main hujan dengan Shah Rukh
Khan, tiba-tiba kau muncul.” Roseyatimah
mengenyeh matanya.
“Shah Rukh Khan? Kasihan kau tengok pelakon tu. Tentu dia alami mimpi buruk bersama kau!”
sindir Zaiton.
“Apalah punya teruk kawan aku sorang
ni, sampai hati kau hina aku, Ton?”
“Dah jangan nak berangan. Bai jual
roti kalau suka kat kau pun dah kira bagus.
Ini Shah Rukh Khan… banyak tinggi
punya angan-angan hah?” gurau Zaiton.
“Kau memang! Kalau tak usik aku tak
sah!” Roseyatimah bingkas bangun dan
mula menggeletek Zaiton. Berderai gurau
senda mereka berdua. Kalau orang tengok
cara mereka bercakap, sudah pasti ramai yang menyangka mereka bergaduh
Usai solat maghrib berjemaah, mereka
sama-sama makan malam nasi lemak yang dibekalkan oleh Hanum tadi. Sambal tumis dan nasi lemak di panaskan di
dalam microwave.
“Sedapnya sambal sotong yang mak kau
masak ni, terbaiklah,” puji Zaiton.
Berkali-kali dia bertambah sehingga habis sambal tumis sotong kering itu
dimakannya. Siap meratah lagi.
“Makanlah, memang mak aku ingat nak
bagi kat kau makan.” Roseyatimah
tersenyum puas melihat Zaiton berselera
menjamah masakan emaknya. Bangga juga jika ada orang yang memuji masakan
emaknya itu. Memang air tangan adalah
terbaik, tiada siapa yang akan menafikannya.
“Kau balik kampung, mak kau tak
tanya ke?” Zaiton menyuap nasi ke dalam
mulut, matanya tertumpu ke arah Roseyatimah yang makan pun bagaikan tidak
sudi. Mungkin sudah kenyang atau masih
memikirkan nasib dirinya.
“Mahu tak tanya! Rasa berdosa pula aku menipu mereka.” Roseyatimah mengeluh. Bukan ada niat untuk berbohong, tetapi dia
tidak mahu orang tuanya susah hati.
“Habis? Kau bohong merekalah?” Zaiton
berhenti mengunyah.
“Terpaksa,” kata Roseyatimah lirih.
“Terpaksa? Baiklah kau berterus-terang. Tak baik menipu orang tua, berdosa!” Zaiton tidak bersetuju dengan perbuatan
Roseyatimah. Tindakannya itu akan mengundang masalah nanti. Apa salahnya berterus-terang, sekurang-kurangnya
kedua orang tua sahabatnya itu ada idea apa yang harus dilakukan.
“Tak gamak aku nak cakap dengan
mereka, aku dibuang kerja. Tentu kecewa
hati mereka.” wajah sugulnya muncul
semula. Roseyatimah mengeluh. Nasi lemak yang sedap itu bagaika kurang enak
di tekaknya.
“Yalah… aku faham. Kalau aku di tempat kau pun, sudah tentu aku
bertindak seperti kau juga.”
Terbayangkan wajah mereka saja sudah buat hatiku terluka. Zaiton menghabiskan nasi di dalam
pinggan. Sudah dua kali dia
menambah. Kalau tiap-tiap hari ada
makanan seenak ini, pasti berat badannya naik semula. Sebagai setiausaha kenalah dia menjaga
penampilan diri.
“Apa aku nak buat Ton?” Roseyatimah mengangkat pinggan ke
singki. Dia membasuh dan meletakkannya
di rak pinggan-mangkuk yang sedia ada.
Menapak kembali ke meja makan.
“Cari sajalah kerja di
mana-mana. Tidak kisahlah kerja apapun,
asalkan halal,” nasihat Zaiton.
“Tengoklah…” Berat hatinya hendak mencari kerja. Melihat dirinya sahaja, pasti ramai yang
menolak. Memang tidak adil dunia ini,
benarkah ada pilih kasih? Hanya mereka yang cantik sahaja diberi peluang? Dia mendengus kasar. Mungkin ada majikan yang baik hati di luar
sana. Mungkin juga belum bertemu jodoh
dengan majikan yang baik dan mahu menerima dia seadanya.
“Kenyang betullah perut aku ni, rasa
hendak pecah saja,” kata Zaiton sambil
mengusap perutnya yang kekenyangan.
“Hah! Dah jangan nak jadi ular sawa,
lepas tidur membungkang! Jom jalan-jalan
ringankan tubuh kat taman kanak-kanak di bawah,” ajak Roseyatimah. Dia suka bersantai di taman permainan yang
terdapat di tingkat bawah apartment itu.
Kadangkala ada juga kanak-kanak dan jiran tetangga yang duduk ambil
angin setelah makan malam. Naik buaian
yang disediakan membuatkan hatinya tenang pula.
Macam budak kecil. Kalau siang
pasti dia kena halau. Roseyatimah
tersenyum sendiri.
“Ala… malaslah!” Zaiton malas hendak keluar. Kalau boleh dia ingin melepak sahaja di depan
kaca televisyen sambil melelapkan mata.
Sesekali beri televisyen tengok dia pula. Selama ini hanya dia sahaja yang melihat peti
televisyen itu. Zaiton tersenyum
sendiri. Entah apalah dia merapu. Apa yang dia tahu matanya sudah
mengantuk. Apalah pula kawan,
malam-malam ajak pergi taman permainan?
“Banyak kau punya malas! Mari teman
aku…” paksa Roseyatimah.
“Kau ni memang suka main paksa,
kan?” Zaiton mencebik. Kalau Roseyatimahlah, tiada siapa mampu
berbuat apa-apa. Entah-entah bukan pasal
kulitnya hitam legam itu dia dibuang kerja tetapi perangainya yang suka memaksa
itu. Manalah tahu dia memaksa bosnya buat sesuatu yang tidak disukai. Itu sebab
bosnya tidak suka dengannya. Nasib
baiklah dia sudah lama mengenali Roseyatimah dan sudah masak benar dengan
perangai gadis itu. Tetapi dia tahu,
Roseyatimah seorang yang baik, jujur dan bertanggungjawab. Cuma… hmmm. Tiada
perkataan yang mengalir keluar dari mulutnya.
Mahu atau tidak terpaksalah dia mengikut kehendak Roseyatimah, kalau
ditolak ajakkannya nanti, menangis pula?
Susahlah, siapa nak pujuk? Zaiton
mencebik. Kawan punya pasal, ikutkan
sahaja.
Usai mengemas meja makan, mereka
melangkah keluar. Daun pintu ditutup
rapat. Roseyatimah tersenyum riang. Dia
tahu Zaiton tidak akan menghampakannya.