Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,808
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12

Hatinya berdebar-debar. Sejak dia berhenti kerja, ini kali pertama dia menghadiri temuduga. Cuba menenangkan diri. Syarikat Maju Jaya bukanlah syarikat bertaraf antarabangsa tetapi bolehlah, dari tiada. Roseyatimah memakai blaus ala potongan kebaya berwarna biru laut, seluar slack perempuan berwarna hitam. Tudung juga berwarna hitam. Dia berzikir di dalam hati, tidak lupa berdoa juga. Semoga rezeki berpihak kepadanya. Ada beberapa orang gadis muda yang hampir sebayanya duduk di sebelahnya. Mungkin hadir untuk ditemuduga juga.

“Hello, saya Murni,” sapa gadis muda yang cantik bergaya di sebelahnya.

Tangan dihulur mereka bersalaman. Begitu juga dengan seorang lagi gadis yang hanya menundukkan kepala serta melakarkan senyuman. Tundukan dibalas dengan anggukan dan senyuman juga.

“Roseyatimah,” katanya memperkenalkan diri.

“Nak temuduga jawatan tukang cuci ke?” tanya Murni sambil memberi senyuman paling manis.

Terkedu seketika Roseyatimah. Dia memandang penampilan dirinya. Puas dia mencium bau badan sendiri. Di mana yang tidak kena? Nak tersenyum atau bambu minah seorang ini. Adakah dia dikatakan nak temuduga jawatan tukang cuci? Buruk sangkah dirinya. Mahu sahaja dia menjerit sekuat hati. Hanya senyuman dilakarkan. Malas nak bersoal jawab. Nanti ada pula yang kena bom atom yang ada di dalam hatinya itu. Mampu menahan geram di hati sahaja.

Hampir setengah jam menunggu akhirnya namanya di panggil. Roseyatimah melangkah masuk dengan penuh yakin. Segala sijil semuanya dibawa. Ini untuk meyakinkan penemuduga, dia seorang yang aktif dan kreatif. Biarlah paras rupa buruk asalkan mutu kerja terjamin bagus. Pujilah diri sendiri, tiada siapa yang nak memujinya. Sedar kekurangan diri sendiri.

Daun pintu diketuk perlahan. Setelah mendengar arahan menyuruhnya masuk, baharulah daun pintu dibuka perlahan dan penuh sopan. Bukan hipokrit, itulah cara untuk menampilkan diri ketika bertemu penemuduga. Sopan santun aspek yang dipandang juga. Langkah dengan yakin, senyuman terukir di bibir. Tunduk hormat, mendekati kerusi yang diletakkkan di tengah-tengah antara tiga orang penemuduga yang setia menanti. Sedang bercakap sesama sendiri. Dua orang lelaki dan seorang wanita. Berketrampilan menarik. Mungkin mereka dari bahagian HR.

Mereka memandangnya serentak. Dia menunduk hormat sekali lagi. Pandangan mereka seperti kehairanan. Dia sudah biasa dengan pandangan itu. Mungkin kehairanan melihat kulitnya atau dirinya sendiri. Lantaklah! Tiada kuasa untuk menolak pandangan buruk orang terhadap dirinya.

“Awak Roseyatimah bt Seman?” tanya lelaki yang berkaca mata, tubuhnya sedikit berisi. Misai tebal ular sawa. Roseyatimah tersenyum dalam hati, sempat pula menilai rupa orang lain, sedangkan diri sendiri… kalau orang tengok boleh pengsan.

“Ya tuan,” jawab Roseyatimah. Dia menghulurkan fail yang berisi sijil-sijilnya.

Ketiga-tiganya meneliti seorang demi seorang. Mereka terangguk-angguk seperti burung belatuk. Entah apa yang dianggukkan, dia sendiri malas nak ambil tahu.

“Awak pernah jadi setiausaha di Syarikat Milinium? Hebat! Kenapa berhenti?” tanya wanita yang berambut perang, bibirnya merah menyala. Solekannya sedikit tebal. Nak berlakon drama atau filemkah? Biasanya hanya pelakon atau artis yang buat persembahan akan solek setebal itu.

“Ya puan, saya diberhentikan kerana kontrak saya sudah tamat,” jawab Roseyatimah jujur. Memang benarlah. Bukan dia menipu. Walaupun tahu apa alasannya, biarlah mereka menilai sendiri.

Mereka terus bertanyakan beberapa soalan tentang bidang kerja sebagai setiausaha. Dia menjawabnya dengan mudah, kerana dia memang minat dengan kerjaya itu. Sehinggalah…

“Awak perasan tak, kulit awak begitu gelap sekali, kalah India di Malaysia. Tak pasti saya warna kulit awak yang sebenar? Dah seperti punggung kuali,” kata seorang lagi penemuduga yang duduk santai memandangnya.

Sinis sekali renungannya. Wajahnya serius, langsung tidak senyum. Hidungnya punyalah mancung, kalau Hitrik Roshan. Tubuhnya langsing. Mungkin juga tinggi. Mana nak nampak, diakan sedang duduk. Roseyatimah mengeluh. Terasa pula hatinya, adakah kulitnya disamakan dengan punggung kuali? Penghinaan yang mampu membuatkan dia menyerang lelaki itu sekarang juga. Namun, dia bertahan, tarik nafas perlahan-lahan dan lepaskan juga perlahan-lahan. Penemuduga itu sengaja nak menduganya. Nak lihat sama ada dia seorang yang penyabar atau tidak. Roseyatimah hanya tersenyum. Penghinaan adalah satu latihan untuk menjadi manusia penyabar.

“Melihat fizikal diri awak, rasanya tak sesuai jadi setiausaha, tukang cuci bolehlah,” kata seorang lagi.

Roseyatimah masih tersenyum.

“Yalah, kenapa awak pilih kerjaya ni? Tak sesuai langsung. Setiauasaha seorang yang putih, cantik dan bergaya. Awak langsung tiada pakej seperti itu,” sampuk wanita itu pula.

“Kerana minatlah saya pilih kerjaya ini!” jawab Roseyatimah agak kasar sedikit. Sakit telinganya dihina begitu. Tidak perlulah mengulang-ulang perkataan tentang keadaan fizikalnya. Dia sudah mengenali dirinya, sejak lahir lagi, warna kulit itu sahajalah yang ada di tubuhnya.

“Orang Afrika lagi gelap, tuan, puan!” ujar Roseyatimah dengan muka selamba.

“Itu orang Afrika, awak pula orang Melayu,” kata wanita itu dengan muka cemberut.

Apa hal nak marah pula? Kalau tidak suka kepadanya, tidak mengapa. Tetapi jangan menghina.

“Terima kasihlah tuan-tuan dan puan.” Roseyatimah mengambil semula fail berisi maklumat dirinya, resumenya. Dia mengetap bibir. Menahan marah. Dia memusingkan tubuhnya dan melangkah keluar. Dia juga ada maruah diri. Bukan boleh sesuka hati diperkecilkan. Dia tidak menghiraukan panggilan mereka. Langkahnya semakin laju. Semakin parah hatinya disakiti. Susahlah hidup di dunia ini jika hanya memandang kecantikan dan rupa paras yang sempurna. Tiada tempatkah untuk orang seperti dirinya?

Dia menyandar di sofa sambil menonton televisyen, kisah pagi tadi kalau boleh nak dilupakan. Wajah-wajah mereka yang telah menemudugakannya itu, kalau boleh juga tidak mahu diingati. Buat sakit hati sahaja. Dia mendengus kasar. Kalau naik angin meroyan dia, mahu dia serang mereka tadi. Masih ada akal yang waras. Masih sihat dan segar. Jangan jadi manusia yang tidak bertamadun. Kesabaran itukan separuh daripada iman. Sabar Rose, sabar! Itulah ayat yang sedang berlagu di hati.

Bunyi daun pintu ditolak orang membuatkan dia menoleh pantas. Terpacul Zaiton dengan senyuman terukir di bibir. Dia menapak mendekati Roseyatimah.

“Macam mana temuduga tadi?” tanyanya riang.

“Hampeh!” jawab Roseyatimah.

“Kenapa pula? Kau buat hal ke?”

“Jangan nak tuduh! Mereka perli dan hina warna kulit aku. Aku tak tunggu, terus angkat kaki. Kalau aku tunggu rasanya ada yang mati di tali gantung,” luah Roseyatimah. Dia menyengih.

Zaiton cemberut, simpati pun ada juga. Kasihan sahabatnya itu. Semoga sahabatnya itu mampu bersabar dengan ujian ini. Kalau dia sambung belajar lagi baik. Tinggalkan bidang kesetiausahaan. Nak minta kerja apa lagi? Mungkin boleh cuba kerja sebagai gadis tol, tiada siapa yang nampak paras rupa, hanya tangan yang bekerja tetapi memakain sarung tangan. Dia tersenyum sendiri.

“Apa senyum sorang-sorang?” tempik Roseyatimah.

“Apalah kau ni Rose? Buat terkejut saja.” Zaiton menayangkan wajah cemberutnya.

“Kau bersabar ya Rose,” nasihat Zaiton. Hanya itu yang mampu dilakukan ketika ini. Apalah dayanya. Kalau dia ada syarikat sendiri, boleh juga ajak Roseyatimah bekerja dengannya. Jadi setiausahanya, tidak perlu cari orang lain. Ini, dia pun bekerja dengan orang.

“Tengah bersabarlah ni…” Roseyatimah mengangkat kening.

“Kau kuat, itu sebab ALLAH uji kau dengan ujian seperti ini,” pujuk Zaiton.

“Mungkin.” Roseyatimah memandang ke arah lain. Matanya mula berkaca. Melihat dirinya sendiri membuatkan hatinya pedih dan sedih. Dia tidak meminta dilahirkan begini, bukan salah kedua orang tuanya juga. Bukan salah sesiapa. Takdir, inilah takdir dirinya. Kenapa mereka tidak mahu menerima?

“Aku mandi dulu, nanti kita keluar makan bersama. Aku dah dapat gaji. Malam ini aku belanja kau makan, ya Rose?” Zaiton bingkas bangun. Dia tidak mahu memandang wajah duka sahabatnya itu. Hatinya akan diulit pilu. Dia tidak mahu menangisi nasib Roseyatimah. Dia akan terus membantu. Dia akan cuba mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk teman serumahnya itu. Tentu Roseyatimah tidak mahu pulang ke kampung. Dalam keadaan begini, pasti hatinya akan kecewa dileterkan pula kedua orang tuanya nanti.

“Okey,” wajahnya dimaniskan. Dia juga tidak mahu Zaiton susah hati dengan keadaannya. Biarlah dia tanggung sendiri masalahnya. Zaiton sudah banyak membantunya. Memberi sokongan sahaja sudah cukup baginya. Hanya Zaiton kawan baiknya setelah dia kehilangan Haikal di tangan musuh ketatnya. Apapun masalahnya dengan Haikal, dia tetap mendoakan kebahagian bekas sahabatnya itu. Erk… sahabat boleh jadi bekas tak? Dia tersenyum dalam hati.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.