Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,824
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 27

Ain mengetap bibir. Dia tidak boleh duduk diam. Hatinya menggelegak sahaja panasnya. Rasa terbakar seluruh tubuhnya. Kenapa perempuan buruk itu selalu sahaja berjaya? Rasa nak ditumbuk-tumbuk sahaja muka Rose yang selamba sahaja tadi waktu dihina. Langsung tidak menyerang atau berganjak. Kalau perempuan itu bertindak mudahlah untuk dia menghinanya lagi. Dia memandang kiri dan kanan, kenapalah lelaki yang seorang ini selalu lambat kalau diajak berjumpa. Ain memeluk tubuh. Air pesanannya semakin mencair aisnya. Rasa panas sahaja kakinya, rasa mengeletar tubuhnya apabila mengenangkan perempuan hitam legam itu sudah menjadi pemilik restoran. Tidak pula dia mendengar cerita apa-apa daripada emaknya di kampung. Emaknya pantang ada berita terbaharu pasti sampai kepadanya. Anak kucing Mak Joyah hujung kampung beranak pun sampai kepadanya. Nak dilarang emaknya bercerita, nanti merajuk pula.

“Maaf lambat. Jalan sesaklah!” kata Haikal dan terus duduk di sebelah Ain. Wajah masam mencuka Ain sudah diketahui pasti ada yang tidak kena. Kes apa pula kali ini? Haikal mengeluh dalam hati.

“Alasan lapuk!” jawab Ain. Jelingan tajam diberikan.

Aduh! Terbakar hatinya, detik hati kecil Haikal. Dia tersenyum dalam hati.

“Kenapa pula awak macam nak telan orang saja? Tak makan ke tengahari tadi?” gurau Haikal. Tidak mahu membiarkan wajah Ain terus masam begitu. Langsung tak menarik dipandang.

“Memang saya nak telan orang!” luah Ain, wajahnya semakin muram.

“Awak bergaduh dengan siapa pula kali ni?” Haikal tahu benar perangai garang tunangnya itu.

“Sahabat lama awak tulah! Si hitam legam!” jawab Ain kasar.

“Mana pula awak jumpa dia?”

Ain menceritakan apa yang dia nampak dan jumpa. Paling penting mesti ada tokok tambah, Haikal tidak akan percaya kalau cerita itu tidak meyakinkannya.

“Awak silap tengok orang kut? Takkanlah Rose ada restoran sendiri?” Haikal tidak percaya cerita yang didengarinya. Tidak mungkin Rose ada restoran sendiri. Jadi rakan kongsi? Banyak betul duit dia.

“Takkan saya tak kenal si hitam tu? Saya belum buta lagi, dalam gelap pun saya boleh kenal perempuan tu tau!’ Ain memuncungkan bibirnya.

“Yalah, awak cukup kenal dengan Rose, sampai bayang dia pun awak boleh cam, kan?” usik Haikal.

“Esok saya nak ajak awak tengok sendiri, mungkin dengan awak dia boleh bercerita, macam mana dia ada duit banyak buka restoran?”

“Laa… nak buat apa? Awak ni kenapa? Biarkanlah dia. Bukan ganggu kita pun!” Haikal tidak bersetuju. Entah hantu mana merasuk tunangnya itu. Sampai hal seperti itu pun dia nak ambil tahu. Biarkanlah. Lantaklah Rose nak jadi apa pun, ada negara sebuah pun dia peduli apa. Bukan ada kena mengena dengan dirinya.

“Awak ni tetap tak nak faham perasaan saya, kan? Sakit hati saya tengok budak hitam tu berjaya dan lebih daripada saya tau!” luah Ain.

“Ain, tak baik tau awak bersikap seperti ini. Biarkanlah Rose tu, bukan dia ganggu awak pun. Kenapa awak pula tidak mahu memahami perasaan saya. Janganlah jadi pendengki dan cemburu dengan kejayaan orang lain. Awak sudah cukup sempurna. Pekerjaan pun baik,” nasihat Haikal.

“Kalau awak tak nak bantu saya siasat di mana budak hitam tu dapat duit, sampai boleh buka restoran, biar saya buat sendiri!” kata Ain tegas. Dia memandang ke arah lain. Sakit hati sahaja memandang wajah Haikal yang suka membantah kenaknya.

“Hish awak ni? Takkan nak malukan diri sendiri? Perkara remeh saja tu!” Susahnya nak menasihati orang degil seperti Ain. Kalau tidak kerana hati sudah sayang, takkan dia sanggup menunggu. Lebih-lebih lagi majlis perkahwinannya semakin hampir. Kalau terjadi apa-apa, tentu malu keluarga kedua belah pihak. Mungkin dia masih berpeluang menasihati tunangnya itu. Dia tidak boleh putus asa. Sebagai bakal ketua keluarga, bakal suami dia harus membimbing Ain menjadi seorang muslimah sejati dan isteri yang solehah. Dia akan cuba membuang aura negatif yang ada dalam diri tunanganya itu. Biarlah dia menjadi pendidik kepada orang yang dicintainya.

“Awak! awak! awak mengelamun lagi ya? Dengar tak cakap saya ni?”

“Dengarlah, saya sedang berfikirlah ni.” Haikal menjeling. Penat sungguh kepala otaknya terpaksa memikirkan perkara yang bukan ada kena mengena dengan kehidupan hariannya.

“Kalau dia boleh buka restoran, kita pun boleh, kan?” Akal Ain terus berjalan.

“Awak dah gila ke? Awak ingat senang nak buka restoran? Kedai tepi jalan pun kita belum tentu mampu, tahu tak?” tempelak Haikal. Memang sudah sawan tunangnya itu. Ingat mereka masih dalam dunia persekolahan? Semua ikut nafsu dan ikut rasa. Memang sengaja cari pasal.

“Mak saya ada duitlah! Setakat nak melabur seratus, dua tidak jadi hal punya,” kata Ain bangga.

“Berapa? Seratus ringgit maksud awak?” Haikal sudah mula nak naik angin.

“Yalah!” Ain buat muka selamba. Dia tahulah, bukan kecil modal untuk membuka sebuah restoran, itu sebab berasa hairan… mana Rose dapat duit untuk berkongsi buka restoran? Orang tua perempuan hitam itu bukan seorang yang berada. Mereka hidup biasa-biasa sahaja.

“Awak ni ikutkan sangat perasaan cemburu awak terhadap Rose, berapa kali saya nak bagi tahu, antara awak dengan dia macam langit dengan bumi. Takkan tak faham-faham lagi?” bentak Haikal. Mahu sahaja tangannya belangkong kepala yang degil itu.

“Awak takkan faham!”

“Memang saya tak faham? Cuba awak fahamkan saya?” marah Haikal.

“Saya tak suka tengok dia berjaya! Dia tak layak berjaya pun!’ tengking Ain tanpa memperdulikan orang sekeliling yang memenuhi taman selera itu.

“Buanglah hati awak yang busuk tu Ain,” pujuk Haikal.

“Kalau awak tak nak juga menyiasat, biar saya buat sendiri. Jangan halang apa yang saya nak lakukan, faham!”

“Awak memang degil!” marah Haikal lagi.

“Ah! Persetan semuanya. Keputusan saya, biar saya tentukan!” Ain tidak mahu kalah.

Haikal hanya mampu menggeleng kesal. Hatinya turut mengeleng menolak perbuatan Ain yang tidak boleh diterima akal yang sihat. Untuk apa menyibukkan diri dengan hal orang lain.

“Kenapa awak sukar sangat nak ditegur? Kenapa awak sukar sangat nak berubah?” marah Haikal, kadang-kadang hilang juga sabarnya dengan sikap pendengki yang ada dalam diri Ain. Kenapalah tunangnya mempunyai hati sehitam ini. Agak-agaknya lebih hitam daripada kulit Rose. Harapkan kulit putih bersih, tapi hati kotor. Erk… sedap sahaja dia mengutuk tunang sendiri. Kalau ikut ketidaksabaran dirinya, mahu sahaja dia tinggalkan Ain.

“Awak pula kenapa? Asyik nak bela budak hitam tu?” tengking Ain. Manalah hatinya tidak panas. Dia harapkan sokongan padu daripada tunangnya itu, alih-alih lain pula yang berlaku.

“Budak hitam tu, kawan kita jugalah Ain… lupakan sengketa lama, alahai. Bercakap dengan awak ni macam bercakap dengan tunggul, tak ada perasaan!” Semakin sakit pula hatinya. Semakin keras kepala dan degil. Apalah nasib dirinya.

“Itu kawan awak! bukan saya!” bentak Ain, bibirnya muncung ke hadapan.

Haikal mendengus kasar.

Penat sungguh melayan kerenah orang perempuan kalau cemburu dan iri hati. Terutama ada busuk hati. Hitam buntut kuali, hitam lagi hati Ain agaknya. Hitam Rose, mungkin hitam lagi jiwa Ain. Simpati terhadap sahabat lamanya itu datang menyinggah. Haikal mengeluh kesal dengan sikapnya sendiri. Sepatutnya dia terus menjadi sahabat kepada Rose sehingga ke mati. Bukan seperti hari ini. Dia seolah-olah mementingkan diri sendiri. Sudah dapat gading bertuah, rotan tidak berguna lagi. Buruk benar perangainya, entah-entah hatinya juga sama hitam dengan Ain.

Hatinya terusik memikirkan Rose. Adakah sahabat lamanya itu sudah tidak lagi bekerja sebagai setiausaha? Bekerja pula di restoran? Dia mesti berjumpa dengan Rose. Buruk atau baik, perempuan itu tetap kawan sekampung dan satu sekolahnya. Kenalah dia ambil tahu juga. Lagipun mereka sudah lama kenal. Sudah mengenali keluarga masing-masing. Kalaulah emak dan ayah Rose bertanyakan tentang sahabatnya itu, malulah kalau dia jawab, tidak tahu. Jangan mereka syaki apa-apa sudahlah. Nanti, yang malu adalah dirinya sendiri. Soal Ain perlahan-lahan dia akan cuba mengubah hati perempuan itu dan menukarkannya kepada keputihan. Erk… takkan kena makan ubat bagi putih kut? Haikal tersenyum dalam hati. Kalau senyum seorang diri, tidak pasal-pasal kena sergah dengan tunangannya yang masih masam mencuka.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.