Hanum
mendekati anak gadisnya yang sedang leka memancing di tali air di hadapan
rumah. Itulah hobi Roseyatimah jika pulang ke kampung.
Menghabiskan masanya di gigi air sambil melayan perasaan sendiri. Kalau penulis
buku tentu idea akan mengalir keluar. Anaknya tidak berbakat dalam bidang
tersebut. Ada ketika hati keibuannya
berasa simpati dengan nasib Roseyatimah yang dilahirkan berbeza sungguh
daripada adik-adiknya yang lain. Kulitnya gelap sangat bagaikan wanita
Afrika. Sedangkan dia suami isteri
tidaklah gelap sangat. Pernah juga
terfikir pihak hospital tertukar anaknya dengan orang lain, sehinggakan memaksa
mereka suami isteri menjalani ujian darah untuk menentukan bahawa
Roseyatimah benar-benar anak
mereka. Keputusan mendapatkan
Roseyatimah adalah darah daging mereka.
Kenapa dia berkulit gelap? Hanya
ALLAH SWT jua yang tahu, mungkin juga mewarisi kulit arwah nenek suaminya. Sewaktu kecil, anaknya sering dihina dan
dibuli oleh rakan sekampung kerana keadaan fizikalnya itu. Simpati menerpa di hati. Biarlah buruk pandangan orang, namun dia
tetap sayang kepada anak gadisnya itu.
Malah Roseyatimah merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Cuma, akalnya pendek memilih bidang yang
langsung tidak sesuai dengan dirinya.
“Rose ada masalah ya?” tanya Hanum setelah melabuhkan punggung di
sebelah Roseyatimah.
“Mana ada mak.” Roseyatimah menoleh, memandang wajah emaknya
yang masih kelihatan muda biarpun usia sudah menjangkau lewat 40-an.
“Rose kan anak mak,takkan mak tak
kenal anak sendiri. Kena buang
kerja?”
“Taklah mak!” jawapan dan nada yang
sama.
“Rose… carilah kerja lain jika kerja sebagai
setiausaha tidak sesuai dengan Rose, atau pun Rose sambung belajar kembali.
Ambil bidang lain pula,” cadang Hanum.
Roseyatimah memandang wajah emaknya
tidak berkelip. Emaknya psikikkah? Tahu akan keadaann dirinya? Macam tidak percayalah pula. Dahinya berkerut. Dia mengeluh. Penat juga main
sembunyi-sembunyi seperti ini. Kalau dia
berterus-terang, agak-agak kena marah tak?
Dia berfikir seketika. Kalau kena
sembur dengan kedua orang tuanya, bagaimana?
Takut juga.
“Rose dah salah pilih kerjaya ke
mak?” soalnya. Dadanya sebak.
Angan-angan Mat jenin dan menongkah arus tidak sentiasa memihak kepada
diri, kalau salah percaturan diri sendiri yang rugi.
“Mungkin! Tetapi ilmu yang ada bukan
sia-sia. Masih boleh digunakan untuk masa hadapan. Jadi, apa cadangan Rose seterusnya?” Hanum tersenyum, dia cuba menjadi seorang ibu
yang memahami kepada anak gadisnya yang sudah matang usianya. Dia berharap Roseyatimah mahu berubah dan
menerima nasihat orang lain.
“Nantilah Rose fikirkan.” Kailnya bergoyang, mungkin ikan sudah memakan
umpan. Roseyatimah menarik pancing. Memang benar, seekor ikan keli bergerak-gerak
minta dilepaskan di mata kail. Dia
tersenyum gembira. Sedap digoreng
garing-garing. Makanan kegemarannya,
ikan keli goreng.
“Nak mmancing lagi ke?” tanya Hanum.
“Awal lagi mak. Biarlah Rose di
sini, dapat dua tiga ekor baharu Rose berhenti ya,” jelas Roseyatimah. Dia masih memikirkan
tentang masa hadapannya. Tidak mungkin
dia mengganggur begini. Dia mesti cari
kerja baharu. Dia tidak mahu menyusahkan
kedua orang tuanya. Kalau dia hendak
sambung belajar sekalipun biarlah duitnya sendiri atau memohon pinjaman PTPTN.
“Jangan berjemur pula!” tegah Hanum.
“Baik mak.” Roseyatimah melemparkan
senyuman. Pesanan seorang ibu, biar
bagaimana buruk fizikal seorang anak, di
mata seorang ibu tetap cantik dan jelita.
Dia tersenyum sendiri. Biar buruk
wajah, jangan buruk perangai, itulah pesanan ayahnya selalu.
Apalah kerja yang sesuai dengan
jiwanya? Kenapalah dia berdegil hendak jadi setiausaha juga? Bukan tiada kerja lain lagi. Banyak di pasaran. Kenapa tugas itu juga yang menjadi pilihan
hatinya? Apa yang istimewa sangat menjadi seorang setiausaha? Penat sungguh mengeluh. Dia takut hendak bertukar kerjaya, takut
tidak sesuai dengan dirinya. Kalau jadi
kerani, bagaimana? Roeyatimah terus berkira-kira
untuk memilih kerjaya yang kena dengan hatinya.
Penat berfikir, baiklah layan tangkap ikan keli, bisik hati kecilnya.
“Cik Rose! Bila balik?”sapa seorang
wanita yang agak berumur daripada emaknya.
Roseyatimah memandang empunya
suara. Aduhai. CNN bergerak sudah sampai. Kenapalah hari ini wanita itu lalu di hadapan
rumahnya.
“Mak Limah,” sapa Roseyatimah lembut. Kalau ikutkan hati
ketika itu juga dia melarikan diri. Biar
wanita itu tidak sempat menegur dan bertanya khabar dirinya.
“Cuti ke? Atau kena buang
kerja?” tanya Mak Limah sambil
menyengih, menampakkan barisan giginya yang semakin berkurangan akibat mamahan
usia.
“Cutilah! Kenapa pula nak kena buang
kerja?” sakit benar hatinya mendengar butir bicara Mak Limah. Pantang sungguh dia mendengar ayat ‘buang
kerja’. Memanglah dia kena buang
kerja? Kenapa? Ada masalah? Bukan dia
seorang yang dibuang kerja, ramai lagi.
“Manalah tahu, bos Rose bosan tengok
bulan mengambang saja. Sesekali nak juga
tengok pelangi selepas hujan.” Semakin lebar senyuman Mak Limah.
Pandai pula berkias bagai. Nama pun orang tua, banyak bahasa melankolik
di jiwa agaknya.
“Saya bukan bulan Mak Limah. Bos
saya pun tidak teringin nak tengok pelangi.
Apa yang dia nak tengok adalah kerja yang diberi siap semuanya!” katanya
agak keras. Suka membandingkan dirinya
dengan bulan, mentang-mentanglah bulan hanya muncul di waktu malam.
“Ait! Marah? Oh ya kebetulan bertembung dengan kau ni, Mak
Limah nak sampaikan berita. Haikal
datang meminang si Aina. Kalau kau tak
balik ke KL lagi, bolehlah datang ke majlis pertunangan Aina dan Haikal ya,”
cerita Mak Limah. Rupanya kedatangannya ada tujuan.
Haikal? Aina?
Haikal sudah tamat belajarkah? Sudah pulang ke tanah air? Kenapa tidak
mencarinya? Hatinya panas
tiba-tiba. Bila pula Haikal dan Aina
berkawan? Setahunya Aina dan Haikal tidak boleh berjumpa, pasti bergaduh.
Bergaduh pun sebab dirinya. Aina sama
seperti Mak Limah, suka mengejek dan memperkecilkan dirinya. Dia tahulah Aina itu cantik, manis dan
bergaya, persis Che Ta, pelakon yang
cantik menawan itu. Hendak dibandingkan
dirinya sudah tentu jauh panggang dari api.
Semakin menanar hatinya. Haikal
memilih musuhnya sebagai teman hidup. Tidak guna punya sahabat! Dia mengumam sendiri.
“Mak kau ada di rumah?” tanya Mak Limah dengan wajah
berseri-seri.
Ala, setakat bertunang dengan
Haikal, apa nak hairan. Dia nanti akan
berkahwin dengan anak raja, tunggulah! Katanya di dalam hati. Marah membuak-buak, kalau berdarah pasti
basah laman rumah orang tuanya itu.
Hatinya terhiris. Haikal sahabat baiknya sewaktu di bangku sekolah,
kenapa tidak mencarinya? Kenapa tidak
memberitahunya akan bertunang, sudah ada kekasih. Roseyatimah berasa terhina. Terasa dirinya
semakin jauh daripada Haikal. Dia akan kehilangan Haikal. Sudah pasti Aina
tidak suka dia rapat dengan Haikal, biarpun hati mereka tiada sedikit pun
perasaan cinta. Tetapi persahabatan
itulah yang bernilai. Sebut pasal anak
raja? Anak raja mana yang berkena dengan
dia? Raja Gopallah kut.
“Hoi, Dayang Senandung! Mak kau ada di rumah? Mengelamun pula?”
herdik Mak Limah.
“Apalah Mak Limah, lemah jantung
saya kerana terkejut!” Roseyatimah
mencebik.
“Mak Limah tanya kau tak jawab?” Mak
Limah menggeleng laju.
“Ada!” sepatah sahaja dia menjawab.
Mak Limah melangkah meninggalkan
Roseyatimah sendiri, melayan rasa hati yang parah terluka akibat perbuatan
sahabat sendiri. Sudahlah dia ditimpa malang, bertambah malang bila ada di
kampung. Kenapalah waktu ini pula si Haikal itu pulang dan bertunang! Memang menyakitkan hati betul! Jeritnya dalam
hati.