Ain
mengetap bibir, dia baharu saja sampai dari Kuala Lumpur, Haikal sudah balik ke
sana. Tunangnya sahaja mengelak untuk
berjumpanya. Whatsapp tidak berbalas,
telefon tidak berjawab. Takkan nak tulis besar-besar di wall FB pula
kut? Geram betul dibuatnya. Hembusan angin bendang terasa nyaman seketika hatinya yang sedang panas itu. Ain menghentak-hentak kaki melangkah masuk ke
dalam rumah banglo setingkat itu. Kalau
ikutkan hati mahu sahaja dia berpatah balik ke Kuala Lumpur, kalau tidak
memikirkan letih memandu sendiri. Apa
punya perangai agaknya tunangnya itu.
“Kenapa dengan kau ni Ain? Haikal baharu saja bertolak balik KL, kau
pula baharu sampai,” kata Mak Limah. Dia
baharu sahaja selesai masak tengahari.
Kalau Ain balik semalam, bolehlah jumpa Haikal.
“Kenapa mak tak suruh dia
tunggu!” bentak Ain dengan wajah
mencuka.
“Mana boleh nak tahan dia, bukan
jadi menantu mak lagi. Baharu bakal menantu.” Mak Limah duduk di sebelah Ain
yang mengeluh sahaja sejak sampai tadi.
“Kau bergaduh ke dengan
Haikal,” tanya Mak Limah perlahan. Nampak lain benar sikap anak dan bakal
menantunya itu. Seorang ke utara, seorang
ke selatan. Majlis perkahwinan mereka tidak lama lagi. Kalau terjadi perkara
yang tidak diingini malulah.
“Taklah!” Ain mengerling. Takkanlah dia nak cerita apa
yang berlaku. Haikal pun satu, sudah
terang lagi bersuluh, jelas dan nampak sangat-sangat yang mereka bergaduh. Pulang ke kampung tidak bersama. Dia balik kampung, Haikal sudah balik Kuala
Lumpur. Panggilan tidak berjawab. Memang
menyakitkan betul.
“Kalau tak bergaduh kenapa balik
kampung, muka macam kena sembelit?”
tegur Mak Limah. Dia mengeluh.
Susah betul budak sekarang.
Bercintalah konon, sikit-sikit gaduh, langsung tidak bersatu hati atau
mahu bertolak ansur. Sama-sama degil, sama-sama keras kepala. Ini, belum kahwin. Kalau sudah kahwin nanti, macam mana pula
keadaannya.
“Biasalah, rajuk-rajuk sayang.”Ain
tersenyum.
“Rajuk-rajuk sayang? Jangan rajuk lama sangat, kalau dia tak nak
pujuk, kau tu pergi pujuk. Jangan
berkeras sangat. Orang lelaki ni banyak pilihan. Kalau terlepas ke tangan si
hitam tu pula, padan muka kau!” Sengaja dia provok
anak gadisnya itu. Dia tahu benar, Ain bencikan Rose. Guna nama perempuan hitam legam itu pasti
selesai semua masalah.
“Hish, mak ni… cakap tu
berlapiklah. Satu doa tu mak!” Ain
kurang senang. Kalaulah betul-betul terjadi, bagaimana? Aduh, tak sangguplah. Malulah dia.
Tercemarlah namanya. Sekali lagi kalah
di tangan si hitam legam itu. Tak sanggup, dan tak sudi. Jangan harap! Kalau si hitam itu suka dengan Haikal dan
tunangnya pun sama, langkah mayat dia dulu!
Mana boleh jadi. Ain panas hati
semula. Macam suis eletrik yang dicas
semula. Apalah emaknya cakap seperti
itu. Bikin sakit jiwa sahaja.
“Mak bukan solat lagi, mana boleh terkabul. Cakap saja.
Jangan kau ambil mudah semua perkara.
Hati lelaki ini kena jaga dan belai selalu. Jangan biar terlopong, kosong. Kang ada yang singgah memenuhkan ruang. Masa
tu nak menangis sehingga buta mata pun tak boleh buat apa-apa, ada faham?” nasihat Mak Limah.
“Yalah mak!” Ain mengerling. Mulut maknya kalau bercakap, tidak ada
insuran langsung. Main cakap
sahaja.
“Mak, kita buka restoran nak?” tanya Ain, sebenarnya tujuan dia pulang nak
bertanyakan hal tersebut. Mana boleh
biarkan musuh tradisinya itu menjadi ahli perniagaan dan pemilik restoran. Dia pun mampu.
“Restoran? Nak buat apa? Bukan mudah nak berniaga Ain. Perlu komitmen siang dan malam. Kau nak
susahkan mak ke? Dah elok-elok mak duduk
rehat, goyang kaki, hujung bulan dapat duit, kena memerah peluh di
restoran. Apa halnya ni?” Mak Limah hairan dengan sikap Ain.
“Ala, kita buka saja, lepas tu
gajikan orang,” kata Ain, begitu senang
sahaja baginya.
“Kalau semudah itu buka restoran,
ramai peniaga tepi jalan tu dah buka, anak oi!
Modalnya lagi. Nak buka di mana,
tempat kena strategik. Kalau setakat
buka kat bandar tu, siapa yang nak datang makan. Dah bercambah restoran yang ada. Pandai ke kau nak masak?” terang Mak
Limah. Kenapa pula tiba-tiba nak buka
restoran? Sudah makan gaji elok-elok, nak
berniaga pula. Kalau nak sangat
berniaga, kenapa harus restoran? Banyak
lagi perniagaan lain yang boleh dibuat selain buka restoran, rasanya dia tidak
sanggup.
“Ala mak! Bolehlah…” rayu Ain dengan
penuh mengharap.
“Kenapa ni? Cuba terang kat
mak?” tanya Mak Limah ingin tahu.
“Tak ada apa-apalah. Saja
nak beralih bidang dan jadi seorang usawahan. Takkan tak boleh.” Ain menyengih.
“Bukan tak boleh, tapi carilah
perniagaan lain. Kalau restoran memang mak tak setuju.” Mak Limah menolak. Dia ada seorang kenalan yang buka
restoran. Kalau pandai memasak tidak
menjadi masalah. Kalau tidak tahu, tukang masak lari, habiskan restoran
itu. Masalah pekerja lagi. Bukan mudahlah oi! Detik hati kecil Mak
Limah.
“Mak ni, susahlah!” Ain merajuk.
“Mak bukan apa, kalau gagal
perniagaan restoran kita. Bukan
sikit-sikit duit yang terbang. Memanglah
mak mampu, tapi kenalah juga berhati-hati dan berjimat cermat. Jangan ingat kita ada duit, semuanya nak
dihabiskan. Kena fikirkan juga masa
depan Ain sendiri. Majlis perkahwinan Ain tidak lama lagi. Banyak juga pakai
duit tu. Tak payahlah Ain,” tolak Mak
Limah lembut.
“Mak ni kedekutlah!” Ain bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik.
Mak Limah mengekori dari belakang.
“Bukan kedekut! Ain, berniaga ni perlu ada ilmu dan
kepandaian. Ain tak ada pengalaman,
kalau setakat nak ikut orang, mak takut gagal nanti. Jangan ikut hati, jangan
ikut rasa. Nanti kita juga yang
susah.” Mak Limah mengeluh. Anak tunggalnya ini memang degil
orangnya. Susah nak terima nasihat. Ikut cakap dia sahaja. Macam manalah Haikal nak mendidik anaknya
nanti.
“Yalah, mak. Nak cakap apa, takkan Ain nak paksa pula.
Kalau mak tak bagi, tak apalah.” Rajuk Ain.
Dia menghempas tubuh ke atas katil.
Matanya berasa mengantuk. Nak
berehat seketika sebelum memandu semula pulang ke Kuala-Lumpur. Nampaknya
kenalah dia gunakan cara lain untuk berlawan dengan si hitam itu.
“Susah betullah bercakap dengan anak
mak sorang ni!” Mak Limah mengeluh. Dia
keluar dari situ. Membiarkan Ain
merehatkan diri. Kalau Haikal marah atau
menjauhkan diri daripada anaknya itu, tentu ada sebab musababnya.
Ain membuka mata sebaik sahaja
emaknya keluar dari biliknya itu. Dia
bingkas bangun dan duduk bersila di birai katil. Dia mencapai telefon bimbitnya
dan mendail nombor tunangnya. Dia perlu
selesaikan masalahnya dengan Haikal.
Dalam marah tetap ada rindu di hati.
Dalam geram tetap ada sayang yang membukit di jiwa. Walaupun hati sakit, perasaan kasih dan
sayang tidak pernah mengurang. Malah bertambah
tebal di sanubari. Kenapalah marah
dengannya lama-lama sangat. Kenapalah
sukar dipujuk atau kenapalah tunangnya itu tidak mahu memujuknya.
Puas didial, tetapi tiada
jawapan. Malah terus masuk ke dalam peti
simpanan. Nampak sangat Haikal sengaja
mencipta perang dingin dengannya.
Sengaja nak menyakitkan hatinya.
Tidak ada perasaan sayangkah dengan dirinya lagi? Orang lelaki kalau merajuk lebih teruk
daripada orang perempuan rupanya. Eee…
kenapalah jadi seperti ini. Ini semua Rose
punya pasallah! Tidak pasal-pasal si
hitam itu menjadi kambing hitam. Diri
sendiri yang salah, senang-senang sahaja salahkan orang lain. Eh, peduli apa dia. Memang perempuan hitam itu bersalah. Dia
bergaduh dengan Haikal pun sebab perempuan itu. Tidak betulkah? Ain mencebik.
Dia berbaring semula,, menulis pula
pesanan ringkas ke dalam whatsapp tunangnya.
Sudah berbaris panjang dia menulis sejak semalam, satu pun tiada balasan
daripada Haikal. Marah betul tunangnya itu. Dia mengeluh berat. Petang nantilah dia bergerak balik ke Kuala
Lumpur. Bukan jauh sangat. Matanya
semakin layu dan akhirnya dia terlelap.