Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
80,246
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 16

“Abang Haffiy, hari ni kita nak belajar apa pulak?” tanya Jef. Selepas sarapan pagi, Puan Julia terus pergi ke pasar. Dato’ Johari pula sudah berangkat ke Aurora. Banyak urusan yang perlu diselesaikan sejak dia kemalangan.

Semakin hari kesihatan Johari dan Jef semakin baik. Walaupun ada beberapa anggota badan Jef yang masih lagi berbalut, dia dapat merasakan badannya semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Hari ni kita belajar pasal wave nak tak?” soal Haffiy kembali.

“Apa-apa je. Jef tak kisah.”

Jay yang baru sahaja mandi kelihatan turun tangga untuk ke dapur. Terasa perutnya sangat lapar. Malam tadi dia langsung tidak dapat tidur mengenangkan yang kediamannya kini ada tetamu tidak diundang. Eh, bukan tidak diundang. Diundang sebenarnya tetapi diundang oleh emak dan abahnya.

Memandangkan Haffiy berada di bilik tetamu yang betul-betul terletak elok bersebelahan dengan bilik tidurnya, dia langsung tidak senang duduk mahupun baring. Kejap-kejap, tergolek ke situ. Kejap-kejap, tergolek ke sini sampai jatuh katil. Pendingin hawa yang suhunya disetkan 16 darjah celcius itu pun rasa tak sejuk lagi. Pintu biliknya pula jangan kata. Memang kunci habis! Cicak nak masuk pun tak boleh. Bagi tujuan keselamatan terjamin, mangga sebesar-besar alam digunakan untuk mengelakkan penceroboh lebih-lebih lagi Haffiy masuk ke dalam. Kalau boleh rasa mahu paku papan juga pada pintu itu macam dalam cerita Hana Kimi.

Selepas Subuh tadi, dia terus terbongkang di atas katil. Tahu-tahu, pukul sepuluh pagi baru dia celik mata. Kalau hari-hari macam ni, memang sah nanti dia akan dapat mata panda. Mana tidaknya, perangai macam kelawar. Batwoman!

Kaki melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka. Jem strawberi diambil. Kini, matanya mencari-cari kelibat roti pula.

“Manalah roti ni?”

Seluruh pintu kabinet di dapur rumahnya itu diselongkar. Namun, bayang-bayang sampul roti Gardenia yang berbelang merah, putih dan biru itu langsung tidak kelihatan walaupun sekilas.

“Wahai roti Gardenia, menjelmalah kau! Aku lapar ni.” Jay mengomel lagi bersendirian di situ. Dah macam cerita Laksamana Do Re Mi pulak.

Zam zam ala kazam!

Tapi, itu jampi nak bagi karpet ajaib terbang. Bukannya nak suruh roti Gardenia tu muncul. Ada tak apa-apa mantera yang boleh tunjukkan makanan kat mana?

“Harry Potter...kalaulah kau ada...adinda di sini memerlukan pertolongan kau.”

“Ehem...”

“Oh, Harry Potter! Di manakah kekanda? Cepatlah muncul sebab adinda kat sini sudah lapar banget.”

Jay masih lagi dengan angan-angan Harry Potter tanpa disedari yang Haffiy berada di belakangnya.

Haffiy mahu gelak sakan melihat gelagat Jay. Suka berangan jugak perempuan ni rupanya. Jay yang masih lagi terloncat-loncat untuk melihat kabinet atas semakin mencuit hati Haffiy.

“Alahai, Harry Potter ni tak keluar-keluar jugak. Roti tak ada. Apa pun tak ada. Aku nak makan apa ni?”

“Itulah...tidur lagi lepas Subuh. Kan rezeki dah tak masuk,” sampuk Haffiy.

Jay yang sedang memegang sebiji telur terkejut.

“Oh mak kau terabur!”

Alamak, aku termelatah depan mamat ni! Malu gila. Haffiy ni pun satu. Suka sangat muncul entah dari mana.

“Hahaha...trademarkmana awak ambil tu? Mak saya tak teraburlah. Mak saya elok je ada kat rumah tu.”

“Kau punya pasallah ni. Habis telur ni dah pecah. Punyalah susah aku nak ambil telur ni kat dalam kabinet. Sekarang dah pecah.”

Kain dicapai untuk mengelap sisa-sisa telur yang telah pecah tadi.

Krukk...krukk...krukk...

“Amboi, kuat betul bunyi perut awak, Jannah,” celah Haffiy yang mengambil air oren di dalam peti sejuk.

Jay memegang perutnya. “Hwa! Nak makan apa ni?” Tiba-tiba Jay meringis langsung terduduk di atas lantai. Serius dia sudah tidak ada tenaga. Kaki dihentak-hentak bagaikan anak kecil berumur 10 tahun tak dapat makan ais krim. “Mak, lapar!”

Haffiy menyeringai memandang Jay. “Hei, dah macam budak kecil awak ni. Ambil jelah telur tu buat sarapan. Setakat buat alas perut jadilah.”

Jay memasamkan muka. Sebab kaulah telur tadi pecah! Kalau tak memang aku dah senang-lenang makan. Mahu tak mahu, dia terpaksa mengambil telur di dalam kabinet yang agak tinggi itu. Mahu tak mahu, dia terpaksa meloncat untuk mencapai beberapa biji telur.

Beberapa kali cubaan melompat, sebiji telur pun tidak tergapai. Alahai, Mr. Egg, please be nice to me.

Jay mengeluh. Dia melompat sekali lagi namun hasilnya tetap sama. No egg reached. Baru sahaja dia mahu melompat semula, tiba-tiba ada tangan yang mengambilkan beberapa biji telur dari dalam kabinet itu.

Haffiy.

Jay tercengang. Haffiy betul-betul berada di belakangnya kini. Air liur ditelan. Kenapa berdegup semacam ni Jay? Jay lantas mendongak melihat Haffiy memandangkan lelaki itu lebih tinggi daripadanya.

Lub...dup...lub...dup...

Haffiy menunduk sedikit. Jay yang sedang melihatnya dipandang.

Mata masing-masing saling bertemu. Lama.

Handsomenya...’

‘Cunnya...’

“Ehem...”

“Abang Haffiy ni, orang suruh ambil biskut dia pergi ambil air oren pulak.” Jef berlagak tenang walaupun sebenarnya dia menjadi pemerhati sejak tadi. Takut drama semakin berlarutan, dia berdehem terus. Sebenarnya, memang dia mengada-ngada menyuruh Abang Haffiy ambilkan air oren. Saja cover bakal abang ipar. Hehehe...

Pelik juga dia. Kenapa Kak Nurul berkasar dengan Abang Haffiy? Padahal, dulu punyalah dia asyik bercerita pasal lelaki itu. Haffiy itulah. Haffiy inilah. Muka Haffiy sebiji macam Jaejoong budak JYJlah. Macam-macam cerita kakaknya itu tetapi sejak kebelakangan ini kalau disebut sahaja nama Haffiy, kakaknya itu mesti melenting.

Tapi, kalau tengok drama yang baru berlangsung dekat dapur tadi, mereka macam ada chance nak...hehehe... Nak kahwin tau! Jangan fikir benda lain.

“Ha? Ambil biskut?” Haffiy yang baru tersedar terus menapak jauh sedikit daripada Jay.

“Yalah,” balas Jef selamba. “Tu yang kat tangan abang tu air oren, bukan biskut. Dah jom sambung belajar.”

Pelik. Telinga aku ni berfungsi lagi rasanya. Kalau tak berfungsi, macam mana pulak aku boleh dapat 4 flat masa peperiksaan semester satu dulu? Mesti telinga aku ni tak boleh dengar lecture kalau tak boleh guna. Mungkin telinga aku ni dah penuh frekuensi bebelan Jay kot. Habis ear drum aku.

Baru saja termenung, tiba-tiba dia terasa satu hentakan kuat di kepalanya. Cecair likat mengalir di kepala. Apa benda ni?

Jangan risau. Cecair itu bukannya darah tetapi telur. Jay yang ketuk kepala Haffiy guna telur yang Haffiy ambil tadi. Bengong sangat Haffiy tu. Kepala yang dah tak betul perlu diperbetulkan.

“Aduh, sakitlah! Kenapa awak hentak kepala saya ni? Sampai pecah telur tu,” erang Haffiy sambil memegang kepalanya. Melekit-lekit.

“Saja je.” Jannah selamba.

“Ish, budak pendek ni. Nak saya ketuk kepala awak guna batang penyapu?” Haffiy berura-ura mahu mengambil penyapu di sebelah mesin basuh.

“Tak nak...tak nak...tak nak...”

“Ha, tahu takut.” Haffiy menjeling Jay buat julung kalinya. Mata je jeling tapi dalam hati ada taman. Berbunga-bunga sampai nak layu dah. Rasa nak tersenyum je. Ah, Haffiy sudah mereng!

Anda semua pernah layan cerita 3 Idiot? Ingat tak perbualan Rancho bersama Pia?

“Apabila dia berdiri depan awak, adakah awak rasa seperti angin bertiup? Skaf berterbangan secara slow motion. Adakah bulan kelihatan lebih besar daripada langit?”

Ya, itulah yang dirasakan Haffiy sekarang!

“Abang Haffiy! Cepatlah!”

“Kejap, Jef! Abang pergi basuh kepala kejap!”

***

“Akak, tolong ambilkan air oren boleh tak?” minta Jef. Ketika itu, kakaknya sedang melayari internet di meja yang sama dia belajar dengan Haffiy.

Hari itu, dia malas menelaah buku. Buat tutorial pun dia tak ada mood sebab semuanya sudah dilangsaikan sebelum pulang ke rumah. Masa lapang yang ada hanyalah menemani adiknya sambil melayari internet. Apabila bosan, dia beralih selera dengan menonton filem. Pada Jay, rumah adalah tempat untuk dia honeymoon. Belajar hanya di kolej. Jika di rumah, tak payah fikir-fikir sangat. Nanti penat. Baik dia berpenat-lelah di kolej sahaja.

“Akak, kau dengar tak ni?”

Jay tersedar daripada lamunannya. “Ya, aku dengar. Tunggu sekejap. Aku pergi dapur.” Nasib baiklah adik aku ni sakit. Kalau tak, jangan haraplah aku nak ambilkan air. Ada kaki, ada tangan, ambil sendiri.

“Jannah, saya pun nak air oren jugak!” jerit Haffiy dari depan.

“Huh, malas aku nak ambilkan. Kau bukannya sakit pun. Mengada-ngada terlebih!”

Segelas air oren di bawa ke meja belajar. Air dihulurkan kepada Jef. Sesudah itu, dia mengambil tempat duduk dan melayari internet macam tidak ada apa-apa. Lantak kaulah, Haffiy. Pergi layan diri ya.

“Jannah, saya pun nak air jugak,” rengek Haffiy persis budak tadika.

Eww. Geli geleman dengar.

“Ambillah sendiri. Suruh aku buat apa?” kata Jay selamba. Mata masih menghadap skrin komputer riba.

Haffiy menggesel lengan Jef. Nak minta tolonglah tu. “Jef, a little help please...

“Akak, nak air oren lagi secawan.”

Jay mencebik. Macamlah dia tak tahu Haffiy yang suruh. Dah nama pun duduk di meja yang sama. Mestilah dia nampak. “Malaslah. Kau kan ada abang baru. Suruhlah dia ambilkan.”

Haffiy memandang Jef. Penuh berharap.

“Aduh, akak. Kepala aku sakitlah. Psss...” Jef memegang kepalanya yang masih lagi berbalut.

“Sakit? Sakit macam mana? Sakit sangat ke?” Jay terus menuju ke arah Jef. Dipegang lembut kepala adiknya.

“Sakit sangat ni, kak. Aduh!”

“Mana ubat kau? Biar aku ambilkan.” Tidak keruan nampaknya Jay. Risau!

“Ubat aku kat dapur. Kat dalam peti sejuk. Nama ubat tu Sunkist.”

“Kejap aku pergi ambil,” Jay tergesa-gesa untuk pergi ke dapur tetapi baru beberapa langkah diambil, dia terhenti. Sunkist? Sedap betul nama ubat Jef ni. Macam pernah kudengar tapi di mana ya?

“Hoi, tu air Sunkist! Bukan ubat Sunkist! Kurang asam jawa punya adik!” Kepala Jef ditenyeh-tenyeh.

“Aduh! Sakitlah.”

“Tadi nak sangat rasa sakitkan? Bak sini kepala kau aku tolong sakitkan.”

Haffiy menjadi pemerhati. Alahai, ada-ada je budak dua orang ni.

“Ala kau ni. Tolonglah. Dah alang-alang kau belum duduk tu, tolonglah pergi dapur kejap.”

“Yalah.”

Jef memandang Haffiy lalu tersengih, “Piece of cake.”

Kaki Jay terus melangkah ke dapur. Air Sunkist dibancuh. Rasa geramnya masih lagi berbuku dalam hati sehinggakan air yang digodak tertumpah ke lantai sedikit. Ah, biarlah! Nasib baiklah kau ni adik aku Jef. Kalau adik orang lain, memang aku tak layan. Entah-entah penyapu yang aku bagi.

Sesudah menggodak bancuhan air, dia bercadang mahu ke depan semula tetapi...

“Pang!”

“Hoi, kenapa tu, kak? Kau geram kat aku lagi ke? Kau jangan geram kat aku. Geram kat Abang Haffiy ni. Dia yang nak air oren sangat!” Jef menjerit dari meja belajarnya. Haffiy hanya ketawa.

“Jef...” Hanya itu yang mampu keluar daripada kotak suara Jay.

“Eh, kenapa Jannah diam je?” Haffiy memandang Jef. “Macam ada yang tak kena.”

“Aah. Entah-entah...”

Jef dan Haffiy terus berlari ke dapur.

“MasyaALLAH!”

Masing-masing terkejut. Air tertumpah membasahi lantai. Kaca bertaburan di sana sini. Darah merah mengalir laju. Jay hanya membisu. Kelu.

“Jannah, awak tak apa-apa?” Haffiy bergerak ke arah Jay yang terduduk sambil memegang kakinya yang berdarah akibat terpijak kaca. Kaca-kaca yang jelas kelihatan cuba dielakkan.

Tiada apa-apa yang terkeluar daripada mulut Jay. Haffiy yang mendekatinya dipandang.

“Haffiy...”

“Jannah, saya dukung awak eh.” Jelas wajah kerisauan Haffiy. Banyak betul darah yang mengalir keluar.

“Haffiy...sakit.”

Jay memeluk tengkuk Haffiy dan membiarkan dirinya diangkat oleh lelaki itu. Haffiy mengendong gadis itu lalu membaringkannya di atas sofa. Luka pada kaki Jay dilihat dulu sebelum mengarah Jef untuk mengambil first aid kit.

Jay hanya diam tidak terkata. Sekejap-sekejap, bibirnya diketap menahan kesakitan. Ada kala matanya ditutup. Ngeri melihat kaki sendiri tercucuk kaca yang agak besar.

Tingkah laku Haffiy dipandang. Dia relaks sahaja apabila mengeluarkan kaca. Padahal, Jay ketika itu sudah meronta-ronta sakit. Mengalir juga air matanya ketika itu.

Wajah Haffiy dipandang lagi. Dilihat sahaja lelaki itu membersih dan membalut kakinya. Haffiy hanya tenang membuat kerjanya di tepi sofa.

“Dah siap.” Haffiy bersuara akhirnya. Dilihatnya lilitan kain yang membaluti kaki Jay. Kemas. Tak ada yang terbuka. “Sakit lagi tak?”

Jay menegakkan duduknya. “Sakit sikit.”

“Jangan banyak gerak sangat tau. Duduk je sini.” Haffiy mahu beralih tetapi ditahan oleh Jay.

“Awak nak pergi mana?”

“Saya nak pergi tolong Jef kemas dapur. Saya nak vakum sekali semua ruang and make sure tak ada serpihan kaca yang tertinggal,” balas Haffiy. Dia baru sahaja nak gerak ke dapur tetapi ditahan sekali lagi oleh Jay.

“Haffiy.”

“Ya, cik Jannah? Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?”

“Terima kasih.”

Haffiy melihat jauh ke dalam mata Jay. Kaki kirinya melutut langsung tangannya menepuk-nepuk lembut kepala gadis itu.

“Awak duduk sini je eh. Jangan rindu kat saya tau.”

Dush!

Satu penumbuk mengena muka Haffiy!

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina