“Perhatian
kepada semua pelajar blok A1, anda diminta untuk turun ke bawah sekarang juga.”
Kedengaran suara ketua blok, Minah memberikan pengumuman menggunakan pembesar
suara yang terletak di hadapan pejabat penyelia. Suaranya jelas menunjukkan dia
sedang berkobar-kobar pada pagi itu.
“Sabarlah, Minah oi! Jam baru pukul
7.30 pagi,” Jay pula membebel di dalam bilik A1.2.5 sambil memandang jam di
telefon bimbitnya. Dia baru hendak mengenakan tudung berwarna hitam ketika itu,
tiba-tiba kedengaran suara ketua blok yang memecah keheningan pagi dan
ketenteraman Jay mahu memakai tudung. Kacau daun betul!
“Kalau tudung aku senget-benget pagi
ni, memang siaplah kau, Minah! Kalau aku lari lambat hari ni, semua gara-gara
kau yang merosakkan mood aku nak
pakai tudung!” kata Jay lagi. Ish...ish...ish! Pagi-pagi lagi Jay sudah
merepek. Kenyataan yang dikeluarkan sungguh mengarut. Masakan Minah yang
disalahkan jika berlari lambat ketika larian Mini KAKOM diadakan pagi itu.
Pagi Sabtu itu, larian Mini KAKOM
bakal diadakan. Larian itu diadakan pada peringkat kebangsaan. Semua kolej
matrikulasi di seluruh Malaysia mengadakan larian tersebut, cuma larian
diadakan di negeri masing-masing sahaja.
“Kenapa Minah suruh kita turun awal
pagi ini? Larian kan start pukul 8.30
pagi. Sekarang baru pukul 7.30,” tutur Ree pula.
“Entahlah. Biasalah Minah tu. Ketua
blok berdedikasi kononnya,” kata Aten.
Pelajar-pelajar yang mendiami bilik
A1.2.5 iaitu Aten, Ree dan Jay memang kurang menggemari ketua blok mereka iaitu
Minah. Minah sering menjeling mereka bertiga. Atas alasan apa, mereka sendiri
tidak tahu. Mungkin disebabkan Aten, Ree dan Jay selalu membuat kekecohan di
blok menyebabkan Minah tidak menyukai sikap mereka.
Selalu
juga mereka ditegur memandangkan bilik mereka betul-betul berada di bawah bilik
Minah. Namun begitu, mereka juga selalu dimarahi walaupun mereka tidak membuat
apa-apa kebisingan. Pernah sekali, jiran bilik Aten, Ree dan Jay berborak pada
tengah malam sehingga terkeluar suara gedik terlebih sudu teh. Keesokan
harinya, Minah bertemu dengan Aten dan memarahinya tidak tentu pasal.
Dikatakannya, Aten dan ahli bilik telah membuat kekecohan semasa pelajar sedang
tidur. Padahal, malam itu, Aten, Ree dan Jay memang sudah melayari bahtera di
alam mimpi. Aten membiarkan sahaja dia dimarahi. Dia malas mencari gaduh dengan
sesiapapun. Dipekakkan sahaja telinga Aten mendengar bebelan Minah yang sebiji
macam mak cik-mak cik bergosip.
“Alamak, tudung ni buat hal pula
pagi-pagi!” kata Jay sambil membetulkan lipatan tudungnya. “Ini semua Minah
punya fasal!” Tidak habis lagi rupanya bebelan Jay yang sama seperti bebelan
seorang nenek tua.
“Kita nak berlari jelah. Bukannya
nak ke bandar pun. Tak perlulah cantik-cantik, cik adik Jay,” ujar Aten yang
sedang menyapu sedikit bedak pada mukanya.
“Kau kata orang, kau tu pun sama
saja. Tu tengok tu! Apa yang kau sapu pada muka kau tu?” balas Jay. “Bedak
bertepek! Kita nak berlari jelah. Bukannya nak ke bandar pun. Tak perlulah
cantik-cantik, cik adik Aten!”
Jay memulangkan paku buah keras
kepada Aten. Ree menggeleng kepala sahaja melihat telatah dua ahli biliknya.
Pantang berjumpa, ada sahaja yang mahu didebatkan.
“Biarlah aku pakai bedak. Bedak ini
mengandungi SPF 20 tau. Memang sangat baik untuk perlindungan muka daripada
sinaran matahari. Tak adalah gelap nanti kulit aku,” kata Aten panjang.
Jay mencebik. “Yalah tu. Aku rasa
malam yang tak ada matahari pun kau guna bedak tu jugak kan?”
Aten tersengih. Dia memang
menggunakan bedak itu pada setiap ketika. Baik malam atau siang. Dia memang
sangat menjaga kecerahan kulitnya. Pantang jika kulitnya gelap sedikit, dia
mesti akan berjangkit penyakit bebelan Jay. Bayangkanlah sebuah bilik yang
didiami oleh dua orang tukang bebel tidak berbayar, memang patutlah bilik itu
selalu kecoh.
“Bedak tu mesti mahal kan?” tanya
Jay mendekati Aten tiba-tiba setelah memakai tudungnya. Lantaklah tudung! Betul
juga kata Aten. Mereka mahu berlari sahaja. Tidak perlu berlagak ayu.
“Kenapa? Nak pakai jugalah tu,”
sakat Aten.
“Hehe. Nak pakai sikit boleh?” tanya
Jay. Muka tembamnya dibuat-buat comel. Aten rasa mahu picit sahaja pipi
tembamnya itu.
“Yalah. Jangan terlebih dos pula
ya!” balas Aten.
“Aku pakai sikit jelah.”
Aten menghulurkan bedak yang dipakai
kepada Jay. Jay menyapu sedikit bedak itu pada mukanya. Buat perlindungan muka
kononnya. Kulit mesti sentiasa dijaga. Jika tidak, macam mana mahu berkenalan
dengan klon Jaejoong a.k.a Haffiy?
Eh, ke situ pula dia!
Jay tersengih sendirian apabila
mengenangkan Haffiy. Lelaki itu mesti berada berdekatan dengannya pada
saat-saat dia ditimpa kesusahan. Teringat lagi Jay apabila Haffiy membantunya
mengutip duit syiling yang bertaburan di hadapan gim. Beberapa hari yang lepas,
dia telah membantu Jay berdiri apabila Jay tersungkur. Kejadian berlaku di
tempat yang sama pula tu! Gimnasium! Waktu itulah dia terus mengambil
kesempatan untuk bertanyakan nama Haffiy. Dah alang-alang terjatuh tu, terus
jelah tanya nama. Keh..keh..keh...
Haffiy
bagaikan superhero! Superman,
Spiderman, Batman! You name it! Oh,
hati Jay memang sangat berbunga-bunga waktu itu! Perasaannya tidak dapat
dikawal sehingga air liurnya terkeluar daripada mulut!
“Jay!” sergah Aten. “Kau ni memang
tak senonohlah!”
Jay tersedar daripada lamunan.
Terkulat-kulat dia jadinya akibat jerkahan Aten.
“Jay! Air liur kau meleleh! Ewww!”
jerit Ree pula.
Jay lantas melihat cermin di pintu
lokar. Memang benar dia terliur. Ah, malunya! Cepat-cepat dia mengambil tisu
dan mengelap mulutnya.
“Kau teringat pada siapa sampai air
liur kau meleleh? Ish, buat malu kaum perempuan je kau ni!” kata Aten.
Jay tersengih. Dia malas mahu
membuka cerita mengenai Haffiy. Nanti bermacam-macam soalan yang terkeluar
daripada mulut Aten dan Ree. Bukan dia tidak tahu kawannya yang dua orang itu
merupakan penyiasat persendirian yang tidak bertauliah. Memang penat mulutnya
nanti mahu melayan karenah Aten dan Ree jika mereka tahu dia sedang berfikir
mengenai Haffiy, si pujangga hati.
“Sengih pula dia,” tutur Ree. “Cakap
jelah apa yang terbenam kat fikiran kau tu. Ha, tengok tu aku dah gune bahasa
sastera ni!”
“Tak ada apa-apalah,” Jay
berseloroh.
“Yalah tu.”
“Betul. Aku terfikir fasal ketupat
dengan rendang mak aku buat masa hari raya. Tu pasallah aku terliur.”
“Raya lama lagi cik adik Jay,” kata
Ree. “Puasa ganti pun kau tak habis bayar lagi, dah berangan nak sambut hari
raya.”
Aten ketawa melihat gelagat Jay yang
menggelikan hati itu. Dia berkata, “Sudahlah. Jom turun bawah. Nanti Minah membebel
macam Jay.”
Satu cubitan hinggap di lengan Aten.
***
Aten, Ree dan Jay khusyuk memanaskan
badan di padang berdekatan astaka kolej. Semua pelajar berbaris mengikut blok
asrama masing-masing. Memandangkan Blok A1 merupakan blok asrama yang pertama,
pelajar-pelajar perempuan yang mendiami di kolej tersebut diminta untuk
berbaris di hujung bersebelahan dengan barisan pelajar lelaki yang mendiami
asrama C5.
Malu juga apabila perlu memanaskan
badan bersebelahan dengan pelajar lelaki. Namun, sesi regangan harus diteruskan
sebelum berlari. Hal ini adalah supaya otot dapat bertugas dengan berkesan.
Oleh yang sedemikian, kecederaan dapat dielakkan.
Aten, Ree dan Jay berlari setempat
selama beberapa saat. Kemudian, semua pelajar menarik nafas sedalam-dalamnya
sebelum memulakan larian.
“Pelajar perempuan diarahkan untuk
berlari dahulu untuk mengelakkan kesesakan,” ucap Puan Hamidah yang merupakan
salah seorang pensyarah kokurikulum. Beliau nampak sangat bersemangat pada hari
itu. Maklumlah, berlari merupakan salah satu aktiviti yang paling digemarinya.
Beliau
mesti akan berlari jika berasa tertekan. Berbanding dengan orang zaman sekarang
yang kebanyakannya melepaskan tekanan dengan memberontak, dia lebih suka
melepaskan apa-apa yang terbuku di hati dengan berlari. Memang bagus untuk
kesihatan. Memang patut bentuk tubuh Puan Hamidah yang sudah mencecah hampir 40
tahun itu masih slim macam Beyonce.
Selepas ini, bolehlah para remaja di luar sana melepaskan tekanan dengan
berlari. Nescaya generasi akan datang akan tampil lebih sihat dan cergas.
Cewah!
“Sedia, priiitttt!”
Pelajar-pelajar perempuan semua
berlari keluar dari astaka menuju ke pintu pagar kolej. Ada yang terus berlari
sepantas Clark Kent yang juga dikenali sebagai Superman. Ada yang berlari anak
sahaja. Ada juga yang tidak berlari langsung.
Aten, Ree dan Jay mengambil
keputusan untuk berlari anak sahaja. Jarak dari astaka ke pintu pagar kolej
agak jauh juga. Namun, larian tetap diteruskan tanpa berhenti. Di samping itu,
mereka terserempak juga dengan jiran bilik mereka iaitu Wawa, Yuyu dan Shasha.
Mereka kelihatan sempoi sahaja. Tidak berlari sakan seperti Aten, Ree dan Jay.
“Korang, nanti singgah warung tepi
jalan. Kita lepak-lepak dulu kat situ,” kata Yuyu.
“Boleh je tapi kau belanja kami eh,”
balas Ree.
“Korang bertiga memang. Semuanya nak
suruh orang belanja,” kata Wawa pula.
“Hehe. Biasalah, hidup kena berjimat
cermat,” ujar Aten sambil ketawa kecil. “Kami lari dulu ya!”
Setelah keluar pintu pagar kolej,
Aten, Ree dan Jay bergerak ke simpang jalan. Jay yang sememangnya tidak
meminati sukan larian sudah berasa penat walaupun baru berlari tidak sampai
sepuluh minit. Walaupun begitu, dia masih cuba menyaingi larian Aten dan Ree.
Kaki Jay sudah mula mengurangkan
kelajuan. Kakinya sudah mula berat. Dia tidak tahu jika dia boleh bertahan
untuk meneruskan larian.
“Jay, kau okey?” tanya Ree melihat
Jay yang diagaknya mahu berhenti berlari.
“Okey,” balas Jay pendek. “Kalau aku
berhenti berlari, korang terus je tau. Tak payah tunggu aku. Aku ni memang
gajah sikit.”
Jay masih lagi menggagahi dirinya
untuk berlari walaupun dia sudah mencungap-cungap.
‘You
can do it, Jay!’ desis hati kecil Jay.
Disebabkan kata-kata semangat yang
dituturkan dalam hati, Jay masih lagi meneruskan lariannya walaupun pada ketika
itu, dua lagi kawannya sudah jauh berada di hadapan.
Lari...lari...lari.
‘You
can do it. You can do it. Oh, no! You can’t do it!’
Akhirnya, Jay berhenti juga daripada
meneruskan larian. Kakinya seperti dihempap batu besar yang menghalangnya
daripada berlari laju. Dengan tenaga yang dihasilkan oleh Adenosine Triphospahte (ATP) masih berbaki lagi dalam badannya, dia
berjalan sahaja di atas jalan bertar itu.
Kadang-kala, dia berlari sebentar.
Kemudian, dia akan berhenti berlari. Begitulah juga pada minit-minit
seterusnya.
Sempat juga dia menikmati pandangan
di luar kolej setelah beberapa lama menjadi ‘banduan’ di matrik. Jalan di situ
kebanyakannya lurus walaupun kawasan itu merupakan kawasan kampung. Banyak juga
kedai-kedai terbina. Jay menelan air liur sahaja apabila ternampak warung
menjual air kelapa. Oh, alangkah enaknya jika setitis air kelapa sejuk
menyentuh lidahnya! Sudahlah dia memang kehausan waktu itu.
Namun
begitu, dia malas hendak singgah di warung itu memandangkan semua pelajar asyik
dengan larian masing-masing. Dia tidak mahu menjadi ‘kepala’. Manalah tahu jika
pelajar-pelajar lain mengikut rentaknya membeli air kelapa di warung tersebut.
Bertambah-tambah kaya pemilik warung itu dengan hasil jualan air kelapa yang
mendadak secara drastik. Selepas itu, tidak pasal-pasal pula dimarahi oleh
pensyarah kerana tidak meneruskan larian. Oh, namanya harus dijaga!
Jay berlari anak lagi. Kini, dia
sedang berlari berhadapan dengan pantai di Pengkalan Balak.
Subhanallah!
Memang cantik laut yang diciptakan
oleh ALLAH. Terasa damai melihat ombak yang menghempas pantai. Terasa nyaman
apabila angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi pada pagi hari. Jay mencuci mata
sebentar melihat keindahan alam. Ada juga antara para pelajar yang berhenti
sebentar untuk mengambil gambar di tepi pantai. Memang pengalaman yang sangat
berharga.
Jay
teringin juga untuk merakam memori berada di tepi pantai tetapi dia
meninggalkan telefon bimbitnya di bilik. Jika dia mahu bergambar sekalipun,
keseronokannya tidak akan sama jika dibandingkan dengan keseronokan mengambil
gambar bersama rakan-rakannya yang sudah jauh meninggalkannya.
Beberapa minit berlalu. Kini, Jay
sudah hampir sampai ke kolej. Beberapa pelajar lelaki juga sudah melepasi
lariannya. Mesti laju budak lelaki itu berlari. Sedangkan, pelajar perempuan
yang dilepaskan berlari terlebih dahulu.
Jay berlari ketika berada di simpang
jalan. Fikirannya hanya mengimaginasikan katil empuk yang berada di biliknya.
Alangkah seronoknya saat-saat badan yang keletihan dihempaskan di atas katil.
Girangnya hati dapat melelapkan mata menghilangkan keletihan setelah berlari
merentasi desa.
“Awak!” Pergelangan tangan Jay
direntap menyedarkannya daripada berangan di siang hari. Jay ditarik daripada
berada di tengah jalan.
Jay terkejut besar apabila terdapat
sebuah kereta yang melepasi simpang. Dia nyaris dilanggar oleh kereta!
“Awak ni kalau teruja sangat nak
berlari pun tengoklah kiri kanan dulu.”
“Hei, suka hati sayalah nak jalan
pandang mana-mana...” Jay tidak sempat menghabiskan dialognya di saat matanya
tertancap pada wajah seorang lelaki yang baru sahaja menyelamatkannya daripada
dilanggar kereta. Dia kenal muka itu. Ya, tidak lain dan tidak bukan....
Haffiy!
“Awak ni buat saya risau tahu tak!”
kata Haffiy lagi yang berunsur lebih kepada teguran. Jelas kerisauan pada
mukanya yang memerah kerana cuaca pagi yang agak panas.
‘Oh, superheroaku kembali menyelamatkanku!’
“Awak okey?” tanya Haffiy
menyedarkan Jay daripada lamunannya. Baru beberapa saat berlalu Jay mengelamun
lagi? Ish, memang tidak patut!
“Err... saya okey,” balas Jay. Dia
memandang pergelangan tangannya yang dilitupi baju itu masih dipegang oleh
Haffiy. Lelaki itu terus melepaskan tangan Jay setelah menyedari tindakannya
itu. “Gomapsumnida. Eh, maksud saya,
terima kasih. Awak dah selamatkan nyawa saya.”
“Ya ALLAH! Nasib baik saya ada kat
simpang jalan tu tahu tak. Saya memang tak dapat bayangkan apa jadi kalau awak
kena langgar tadi,” kata Haffiy.
“Saya minta maaf. Saya dah
menyusahkan awak. Salah saya tak tengok jalan tadi,” ujar Jay. Sesungguhnya, dia
berasa bersalah kerana tidak fokus. Dia bersalah kerana menyusahkan Haffiy.
“Sudahlah. Lepas ni, awak mesti
berhati-hati tau!”
Jay mengangguk. Dia dan Haffiy
menyambung larian masing-masing sehingga sampai ke kolej. Mereka menuju ke
tempat letak kereta pensyarah untuk mengambil makanan yang disediakan khas
untuk para pelajar.
Makanan disediakan mengikut blok
asrama. Jay bergerak ke balai makanan untuk pelajar blok A1 manakala Haffiy
bergerak ke balai makanan bahagian lelaki. Setelah mengambil makanan, Jay
mencari kelibat Haffiy yang diagaknya berada di kawasan pelajar lelaki.
“Awak cari siapa?” Kedengaran suara
Haffiy menegurnya dari belakang. Jay menoleh dan ternampak jejaka tersebut
berdiri betul-betul di belakangnya.
“Err...tak ada sesiapa,” jawab Jay.
Rasa bersalah masih menggunung di hati. “Awak, saya minta maaf sangat-sangat.
Sebab saya, awak susah.”
“Don’t
mention it, Jannah. Takkan saya nak biarkan awak kena langgar tadi. Really, it’s nothing.Syukur awak
selamat.”
Jay yang masih lagi dalam keadaan
terkejut berkata, “Terima kasih, Haffiy. Saya tak tahu macam mana nak balas
jasa awak.”
“Tak apa. Jasa yang boleh awak balas
pada saya adalah hanya berhati-hati di jalan raya. Jalan tu jangan nak menonong
je. Okey?”
Dussh! Rasa terpukul betul Jay
dengan kata-kata Haffiy. Jay hanya mengangguk. Akur bagaikan menerima arahan big boss. Senyuman dihulurkan dan
dibalas dengan senyuman ikhlas Haffiy.
“Saya balik bilik dahulu ya,” ucap
Jay.
“Okey. See you later, Jannah.”
***
Pintu
bilik A1.2.5 dibuka. Kelihatan Jay memasuki bilik lalu menutup pintu itu. Aten
dan Ree pelik dengan Jay waktu itu. Sekejap-sekejap dia tersengih. Lepas tu dia
akan menunjukkan riak terkejut.
“Kau ni kenapa?” tanya Ree yang
masih berpakaian sukan.
“Er...tak ada apa-apa. Aku cuma
terkejut tadi masa nak lintas jalan, aku hampir kena langgar kereta,” jawab
Jay.
“Ha?” sahut Aten dan Ree serentak.
Masing-masing terperanjat dengan berita yang baru disampaikan oleh Jay.
“Habis, kau tak apa-apa?” tanya Ree
langsung bergerak ke arah Jay. Diperiksanya tubuh badan Jay jikalau kawannya
itu menghadapi sebarang kecederaan. Sebagai pelajar sains hayat, dia berasa
bertanggungjawab untuk membantu Jay. Walaupun cita-citanya bukanlah untuk
menjadi seorang doktor, dia perlu memastikan rakannya berada dalam keadaan
selamat dan sejahtera.
Aten juga begitu. Sebagai remaja
bertanggungjawab lagi bersahsiah tinggi, dia perlu memastikan Jay berada dalam
kondisi yang sebaik mungkin. Selepas menjadi pengganti Aina sebagai ketua aras,
dia mesti menjaga keselamatan anak buahnya. Dia memegang muka Jay dan
mencari-cari jika terdapat apa-apa kesan luka.
Sungguh mengambil berat budak-budak
bilik A1.2.5.
“Korang, aku okey,” tutur Jay
melepaskan tangan Aten daripada memegang mukanya. “Korang tak perlu risau. Aku
tak terjatuh, terlanggar, tersungkur dan apa-apa yang semaksud dengannya. Nasib
baik ada seorang student yang tarik
aku daripada berada kat tengah jalan tadi.”
“Fuh, lega! Kau fikir apa sampai kau
hampir dilanggar? Ini mesti kau tak tengok kiri dan kanan jalan kan?” tanya
Ree.
Jay tersengih menunjukkan barisan
giginya.
“Ish, budak ini! Boleh pulak
tersengih. Kau tahu tak nyawa kau hampir melayang?” ujar Aten pula. “Buat kita
orang risau saja. Lain kali berhati-hati kat jalan raya tu. Jangan nak berangan
je. Memang takdir kau ada orang selamatkan. Cubalah kalau tak ada orang
berdekatan dengan kau tadi? Aku memang tak dapat bayangkan!”
Aten bebel panjang. Dia sudah
menghidapi penyakit bebel. Terpaksalah Jay menahan telinga. Ree juga tidak
pasal-pasal menjadi mangsa bebelan Aten.
“Ya, nenek Aten. Cucu ikut nasihat nenek. Cucu
berjanji akan lebih berhati-hati selepas ni. Cucu akan lebih fokus apabila
berada di jalan raya,” kata Jay membahasakan dirinya ‘cucu’. Perasan muda pulak
dia!
Aten berpuas hati mendengar janji
yang ditaburkan oleh Jay. Sesungguhnya, dia memang tidak dapat membayangkan
jikalau Jay kemalangan. Dia sayang Jay. Dia sayang semua kawannya! Cukuplah
Aina sahaja yang keluar dari matrik. Janganlah yang lain pula mengikut jejak
lagkah Aina. Kalau pergi jejak menara gading tak apa. Kalau jejak hospital
macam mana?
“Nenek dah makan?” tanya Jay sengaja
berlelucon.
“Belum, cu,” balas Aten. “Jomlah
makan sekali.” Dia bergerak ke meja tengah dan membuka bungkusan makanan yang
diambil di tempat letak kereta pensyarah tadi.
Melihat Aten yang mahu mengisi
perut, Jay dan Ree juga membuka bungkusan masing-masing. Terasa lapar pula
perut setelah berlari sejauh tujuh kilometer. Seronoknya dapat melegakan deria
rasa dengan makanan yang diberikan walaupun makanan tersebut hanyalah nasi
goreng dengan telur mata kerbau.
“Bila korang berdua sampai kolej?”
tanya Jay sambil menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
“Adalah dalam sepuluh minit yang
lepas,” jawab Ree.
“Kiranya, laju jugaklah aku berlari
tadi walaupun tak seriringan dengan korang,” kata Jay.
“Bolehlah tahan,” kata Aten pula.
“Em..satu pencapaian yang bagus,
Jay!” Jay memuji diri sendiri. Tidak disangka dirinya yang malas mahu
mengangkat kaki boleh berlari sejauh tujuh kilometer. Sungguh menakjubkan!
Sungguh membanggakan!
Mereka meneruskan suapan. Disebabkan
oleh kelaparan yang ‘tidak’lah melampau mana, mereka menghabiskan makanan
mereka dalam masa hanya tiga minit. Sekali lagi, pencapaian tersebut sungguh
membanggakan! Memang pelajar bilik A1.2.5 memiliki selera yang menakjubkan!
Mereka bertiga keluar dari bilik
untuk membuang sampah. Bungkusan yang telah kosong tadi tidak dibuang ke dalam
tong sampah bilik tetapi di buang ke dalam tong sampah yang terdapat di hadapan
tandas untuk mengelakkan bau. Mereka bertiga memang sungguh clean freak! Bau sikit memang terasa nak
muntah.
Kadang-kala,
mereka akan menyemburkan minyak wangi yang mahal lagi limited edision yang digunakan oleh mereka untuk mengharumkan lagi
bilik tidur. Selalu juga ahli bilik lain memuji keharuman dan kewangian bilik
mereka di samping hiasan bilik yang memukau mata. Memang patut Aten, Ree dan
Jay seringkali kembang hidung! Nasib baik tak kembang punggung.
Mereka membasuh tangan di bilik air
dengan menggunakan sabun wangi. Jika tidak menggunakan sabun, sudah tentu
tangan mereka akan mempunyai bau yang kurang menyenangkan hidung. Ada bau
minyak, ayam dan ikan melekat-lekat di jari-jemari. Oh, itu tidak boleh sama
sekali!
Setelah mencuci tangan, mereka
kembali ke bilik. Aten menghala ke katil Aina dan melihat luar tingkap. Dari
situ, kelihatan masih ramai pelajar tidak kira lelaki mahupun perempuan yang
baru sampai ke kolej. Tersenyum juga dia apabila mengenangkan dia dan rakan
sebiliknya dapat berlari pantas dan dapat pulang ke kolej dalam masa beberapa
minit sahaja.
Aten melihat lagi suasana di luar.
Terdapat sekumpulan pelajar lelaki yang baru sahaja sampai.
“Chaiyok!
Chaiyok!” Tiba-tiba sahaja Aten menjerit ke luar tingkap. Terperanjat Ree
dan Jay dibuatnya. Buang tabiat apa? Mereka segera memanjat katil Aina dan
melihat ke luar tingkap juga.
Aten tergelak sahaja melihat gelagat
budak-budak lelaki yang baru tiba itu memanjangkan leher. Mahu mencari empunya
suara lunak lagi comel plus plus
barangkali.
Nasib baik tingkap bilik mereka
tidak terbuka luas. Oleh itu, keadaan tersebut menyukarkan pelajar lelaki itu
melihat mereka bertiga di bilik.
“Korang! Cepatlah lari!” Ree pula
menjerit.
“Cepat! Cepat! Cepat!” Jay juga
tumpang sekaki memberi semangat kepada budak-budak lelaki tersebut. Mereka
ketawa sahaja apabila terdapat pelajar perempuan memberi sorakan ikhlas
daripada hati. Barulah bersemangat mahu berlari! Mendengarkan sorakan itu,
mereka terus berlari anak. Berlari perlahan pun tidak mengapa. Tahap kekacakan
harus dijaga.
Aten, Ree dan Jay seronok mengacau
budak-budak lelaki tersebut. Kelakar melihat mereka terjengah melihat
celah-celah tingkap mencari si puteri comel rupawan. Mereka melihat lagi para
pelajar yang baru tiba di kolej. Terdapat beberapa pelajar perempuan yang baru
sampai. Namun, mereka biarkan sahaja.
“Tak seronok kacau budak perempuan,”
kata Aten menjadi ketua dalam projek mengacau orang. “Nanti mereka hentam kita
balik.”
“Mana kau tahu?” tanya Jay.
“Kau tengok ni eh,” tutur Aten
sambil melihat kembali suasana luar melalui celah-celah tingkap. Mencari mangsa
kononnya.
“Korang! Cepat lari!” jerit Aten
dari dalam bilik. Sengaja dibuka tingkap luas-luas membiarkan pelajar-pelajar
perempuan tersebut dapat melihatnya dari luar.
Seperti jangkaan Aten, budak-budak
perempuan itu nampak Aten yang berada di dalam bilik. Mereka terus berkata,
“Tak ada kerja lain ke?”
“Ha! Kan aku dah cakap. Itulah pasal
aku tak suka kacau budak perempuan. Tindak balas yang diberikan agak negatif,”
ujar Aten dengan pendapatnya.
Beberapa saat berlalu. Kemudian, ada
lagi sekumpulan pelajar lelaki yang berjalan berhadapan dengan blok asrama
mereka. Mereka nampak penat. Maklumlah, berlari mengelilingi padang sebanyak
satu pusingan memerlukan tenaga yang banyak, inikan pula sejauh tujuh
kilometer. Aduh, memang kematu kaki dibuatnya!
“Aten, tu ada lagi budak lelaki,”
kata Ree.
“Hoi!” jerit Aten. “Cepatlah lari!
Kitorang pun penat jugak tapi kitorang lari tau!”
Jay dan Ree ketawa kecil melihat
aksi Aten.
“Betul tu! Tak macholah korang ni!”
pekik Jay pula.
“Cepat! Cepat! Cepat!” Ree tetap
memberi sokongan padu kepada budak-budak lelaki itu. “Faster! Faster! Faster!”
“Okey ma’am!” balas budak-budak lelaki itu serentak. Mereka terus
mengangkat kaki berlari.
“Woohooo!”
jerit Aten, Ree dan Jay keseronokan. Gembira rasanya dapat menaikkan semangat
pelajar-pelajar untuk bersukan. Memang sikap mereka patut dicontohi. Majulah
sukan untuk Malaysia!
“Yeah!
Cayalah korang!” jerit mereka lagi. “Cepat! Cepat! Cepat!”
“Hoi, budak aras dua!” Kedengaran
suara seorang perempuan yang sangat dikenali tiba-tiba menjerit dari tingkat
atas. “Senyaplah sikit! Tak malu ke?”
Macam kenal ya suara itu.
“Minah!” Tekaan mereka memang tepat.
Minah yang mengeluarkan suara yang tidak berapa comel mengarahkan mereka untuk
senyap sebentar tadi.
Aten, Ree dan Jay terus menutup
tingkap dan menyorok di sebalik lokar Aina yang kosong. Kalau tubuh mereka
kecil seperti bayi, sudah tentu mereka akan menyorok di dalam lokar itu!
Aten berkata dengan nada yang
perlahan, “Aduh, kacau daun betullah Minah ni!”
“Relakslah, Minah ni!” ujar Ree
pula. “Kita cuma beri semangat je. Bukannya kita mengurat pun budak-budak
lelaki itu. Apa yang nak dimalukan?”
“Betul tu,” kata Jay mengiakan
kata-kata Ree. “Beri semangat pun salah ke? Semasa kat sekolah dulu pun, cikgu
pasukan aku selalu suruh para pelajar bersorak semasa bersukan tau! Barulah ada
nama semangat kesukanan.”
“Minah tu memang dengki dengan
kita,” tutur Aten. “Kita bising salah. Kita tak buat bising pun salah. Aku tak
fahamlah dengan dia!”
***
“Padan
muka kena marah!” kata Minah yang berada di atas katil di biliknya. Ketika itu,
dia keseorangan di bilik. Ahli-ahli biliknya yang lain belum pulang lagi.
Mungkin mereka masih lagi menghabiskan larian.
Jangan
dipandang rendah kelebihan Minah. Mulut yang terlebih rajin membebel itu
sebenarnya sama rajin dengan kakinya yang rajin berlari. Apabila mahu ke bilik,
dia akan berlari. Jika dia mahu ke kafe, dia akan berlari memanjat tangga untuk
ke situ. Dia berlari jika dia hendak ke kelas. Di samping itu, dia akan berlari
juga apabila dia mahu ke tandas. Oleh sebab itu dia boleh sampai ke kolej
semula dalam masa yang sekejap sahaja.
“Mengacau aku nak tidur je,” bebel
Minah lagi. Tahap bebelannya semakin meningkat dari hari ke hari. Baru sebentar
tadi dia memarahi ahli-ahli bilik A1.2.5. Walaupun dia tidak tahu siapa
sebenarnya yang membuat kebisingan, dia pasti bahawa dalang di sebalik
kebisingan yang mengganggu tidurnya pada pagi itu tidak lain dan tidak bukan
hanyalah Aten dan konco-konco biliknya. Ya, dia memang pasti!
Sesungguhnya, dia memang tidak suka
dengan ahli bilik A1.2.5 iaitu Aten, Ree dan Jay. Melihat wajah mereka sahaja
dia rasa meluat. Dia tidak suka akan mereka kerana mereka selalu mengganggu
ketenteramannya lebih-lebih lagi semasa dia sedang tidur. Aten, Ree dan Jay
selalu membuat kebisingan pada waktu petang; waktu yang selalu dihabiskan untuk
tidur di katil empuknya. Baru-baru ini, dia telah memarahi Aten yang dituduhnya
telah membuat kebisingan pada waktu malam. Padahal, dia sendiri tidak tahu
gerangan siapa yang berborak seperti berada di pasar malam.
‘Ah,
biarkan Aten dan konco-konconya kena marah!’ desis hati kecil Minah. ‘Aku akan
gunakan kuasa aku sebagai ketua blok untuk marah sesiapa je yang aku
suka!’
Minah! Minah! Sepatutnya dia perlu
membuat siasatan dahulu. Dia tidak boleh menuding jari kepada sesiapapun. Dia
hanya mementingkan tidurnya sahaja! Ish...ish...ish!