Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
80,225
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 4

Aina, Aten, Ree dan Jay sedang mengambil makanan di kafe B pada keesokan harinya. Tiba-tiba sahaja mereka mahu menukar angin daripada kafe A ke kafe B pula. Nama pun hari Ahad; hari cuti, hari melepak, hari berehat dan macam-macam lagi. Tidak pula untuk berkejar-kejar ke kelas dan kuliah. Oleh itu, mereka mahu berjalan-jalan cari makanan di kafe B.

Tambahan pula, lauk di kafe A cepat sangat habis. Adakah pelajar-pelajar Kluster A kuat makan atau tuan punya kafe tidak melebihkan kuantiti makanan? Kadang kala, kalau lambat habis kuliah, memang berlaparlah segelintir pelajar kerana sudah kehabisan lauk. Terpaksalah mereka menjamah biskut atau roti sahaja buat pengalas perut untuk ke kelas seterusnya pada pukul 2.00 petang. Kasihan, kan, mereka? Tidak mengapalah. Jimat sikit! Tidak perlu ke mesin ATM selalu semata-mata untuk mengeluarkan duit.

Kalau nak dibandingkan dengan kafe B, memang jauh bezanya macam bumi dengan planet Pluto! Kafe B menyediakan pelbagai jenis lauk. Memang tidak tahu nak pilih yang mana satu. Padahal, makanan saja pun, bukannya memilih baju raya. Ayam goreng di kafe B memang kaww! Namun, ada dua perkara yang kurang digemari pelajar-pelajar apabila membeli makanan di situ. Harga makanan di situ memang agak ‘cantik’ jika dibandingkan dengan kafe A. Mahal sungguh! Kadang-kadang satu pinggan makanan boleh cecah RM5.00! Namun, disebabkan oleh kelaparan dan keenakan yang tidak dapat disangkal, mereka sanggup mengeluarkan duit macam air terjun.

Seperkara lagi yang tidak disukai ialah makanan di kafe B agak pedas. Makanan di situ sedap tetapi terpaksa menahan lidah. Sudah beberapa kali juga Aten terpaksa menahan sakit perut ketika peperiksaan kerana makan makanan yang pedas. Bibir Ree dan Aina juga pernah menjadi seperti merah saga kerana kepedasan yang melampau. Jay sahaja yang nampak cool. Lidahnya memang sudah biasa disuap dengan makanan pedas sejak dari sekolah menengah lagi. Oleh itu, kepedasan makanan kafe B bagaikan makan keropok je. No hal!

Tengah hari itu tidak ramai yang makan di kafe. Mungkin ramai yang keluar ke Masjid Tanah atau lebih hebat lagi ke Mahkota Parade. Mungkin mereka hanya menjamah selera di sana sahaja. Mungkin juga ada sebilangan ibu bapa yang datang melawat anak-anak mereka pada hari tersebut. Ibu bapa apabila sudah berjumpa dengan anak masing-masing, sudah semestinya ada bekalan makanan yang dibawa dari rumah. Maklumlah, masakan ibu lebih enak daripada masakan cef terhebat di dunia. Jikalau tidak membawa bekalan pun, mesti mereka membawa anak-anak ke restoran di luar matrik sahaja. Lebih selesa untuk meluangkan masa dengan anak-anak.

Setelah membayar makanan di kaunter makanan, Jay mencari tempat duduk yang agak strategik untuk menjamu selera. Strategik yang dimaksudkan ialah meja makan mesti berada betul-betul di bawah kipas dan terletak berhampiran dengan televisyen. Televisyen di kafe B memang sangat besar. Oleh itu, jika menonton dari jauh memang boleh lihat skrin televisyen. Sound sahajalah yang tidak dapat dikesan oleh deria pendengaran.

Jay mengambil tempat beberapa tapak berhampiran dengan televisyen. Walaupun meja tersebut tidaklah betul-betul 90 darjah di bawah kipas, namun tempat itu nampak agak selesa. Duduk bawah kipas juga tidak elok juga. Takut nanti lauk sejuk. Nanti tidak sedap pula rasanya!

Jay meletakkan pingannya di atas meja dan berlalu ke sinki untuk membasuh tangan. Dia kembali ke tempat duduknya dan mendapati kawan-kawannya sudah bersiap sedia untuk mula menyuap. Masing-masing menghadap televisyen. Maklumlah, sudah lama tidak pulang ke rumah, rasa rindu pula untuk menonton televisyen. Apabila di rumah, televisyen di pandang sebelah mata sahaja. Apabila di matrik, terjumpa televisyen bagaikan terjumpa emas. Amboi, dramatik sungguh!

Ketika itu, cerita yang ditayangkan ialah cerita Barbie and The Twelve Dancing Princesses. Walaupun cerita tersebut tidak sesuai dengan peringkat umur mereka yang sudah meningkat remaja, mereka layankan sahaja cerita tersebut bagi menghilangkan kebosanan yang menyingkap jiwa.

Jay merupakan salah seorang penonton yang suka dengan kartun Barbie. Barbie yang asalnya patung nampak sangat cantik dalam filem. Bukan itu sahaja, Jay memang suka dengan gaun dan baju yang dipakai oleh watak tersebut. Cantik, menawan, anggun, ayu dan seangkatan dengannya. Setiap cerita yang dipertontonkan mesti akan ada slot Barbie menukar baju dengan ajaibnya! Kan best kalau dapat tukar baju lawa-lawa macam tu juga?

Tambahan pula, kebanyakan cerita Barbie mempunyai watak putera raja yang kacak! Itulah bahagian yang ditunggu-tunggu apabila dia menonton cerita tersebut. Putera raja yang gagah perkasa datang menyelamatkan si puteri yang dalam bahaya. Oh, sungguh romantik sekali!

Iklan ditayangkan.

Terbeliak mata Jay apabila iklan yang ditayangkan ialah iklan mengenai kumpulan JYJ! Menurut iklan tersebut kumpulan boy band popular dari Korea itu akan mengadakan fan-meeting di Malaysia! Wah, beruntungnya sesiapa yang dapat berjumpa dengan mereka! Boleh minta tanda tangan! Boleh melihat mereka beraksi di atas pentas!

“Wah, JYJ nak datang Malaysia! Nak jumpa mereka!” tutur Aten dengan suara yang terlebih teruja. Dia memang salah seorang peminat yang sangat menyukai JYJ. Jay pula biasa-biasa sahaja minatnya terhadap kumpulan tersebut. Apa-apa pun, Beast merupakan kumpulan nombor satu di hati Jay!

“Nak pergi macam mana? Duit pun tak ada,” ujar Aten lagi dengan nada yang mengendur. Agak kecewa barangkali. Duit yang ada cukup-cukup untuk membuat perbelanjaan sepanjang berada di matrik. Tidak mungkin dia akan menghabiskan elaun semata-mata untuk membeli tiket yang mencecah ratusan ringgit. Tidak mengapalah! Boleh tonton konsert JYJ di laman sesawang YouTube. Percuma je!

Cerita Barbie kembali.

Beberapa saat kemudian, beberapa pelajar lelaki lalu di hadapan meja tempat mereka makan. Adi, rakan sekelas Jay merupakan salah seorang daripada mereka.

Jay yang asyik menyuap nasi ke dalam mulut tiba-tiba sahaja terbatuk. Batuknya memang tahap kronik! Sampai terkeluar nasinya! Air diminum untuk mengurangkan batuk. Aina yang duduk bersebelahan mengurut belakang Jay. Aina, Aten dan Ree menggeleng-geleng kepala sahaja. Itu baru JYJ yang keluar iklan, belum Beast lagi. Jikalau Beast, mungkin sudah muntah agaknya.

“Hai, Jay!” tegur Adi sambil duduk berhadapan dengan Jay. Dia kelihatan santai dengan skinny jeans dan T-shirt hitam. “Jauh betul kau merantau hari ni.”

“Saja tukar selera,” balas Jay pendek. Sebenarnya, bukan sebab iklan JYJ dia terbatuk-batuk seperti orang sakit. Dia terbatuk kerana ternampak klon Jaejoong yang lalu di hadapannya tadi. Klon Jaejoong merupakan kawan Adi!

Adi dengan selambanya mengambil sedikit ikan bilis goreng yang berada di dalam pinggan Jay. Tidak senonoh betul! Namun, Jay biarkan sahaja. Apa yang lebih mendebarkan adalah klon Jaejoong yang sedang duduk bersebelahan dengan meja makan mereka. Klon Jaejoong tersebut sedang menonton cerita Barbie sambil menunggu Adi yang menyibuk duduk di hadapan Jay.

“Jay, kau nampak Mimi tak?” tanya Adi. Mimi merupakan salah seorang kawan sekelas Jay yang rapat dengan Adi. Hubungan mereka memang sangat rapat sehingga Adi menggelar Mimi itu seperti adiknya.

“Manalah aku tahu. Dia kan adik kau. Takkan kau tak tahu adik kau kat mana? Apa hal kau cari dia?” tanya Jay pula.

“Macam biasalah. Aku nak pinjam report Chemistry. Macam kau tak tahu. Kau dah siap report?” jawab Adi. Alang-alang Jay sudah berada di hadapan mata, baik pinjam laporan eksperimen milik Jay sahaja. Dia memang pemalas lebih-lebih lagi dalam membuat laporan. Dia malas tetapi rajin pula berjalan dari blok asrama lelaki ke kafe B. Kafe tersebut dahlah memang jauh dari asrama mereka.

“Belum,” jawab Jay pendek.

“Baru nak pinjam kau punya tapi kau tak siap pula,” tutur Adi.

“Kalau aku dah siap pun bukannya aku bawa report aku pergi kafe. Tak kuasa aku.”

“Yalah. Kedekut betul! Manalah pula si Mimi ni?”

“Kau pergilah telefon atau mesej Mimi tu. Mesti dia laju turun dari bilik dia sebab abangnya ada kat sini. Saja je kacau aku nak makan.”

“Amboi kau! Sombong dengan aku,” ujar Adi sambil menekan telefon bimbitnya. Mungkin dia mengirim mesej kepada Mimi dan mengatakan dia sudah berada di kafe.

“Hari ni je aku sombong dengan kau sebab kau kacau aku nak makan.”

“Kau kalau bab makan memang nombor satu. Patutlah pipi kau tembam!”

“Ish, itu pun adik kesayangan kau! Pergi main jauh-jauh sana!” kata Jay apabila ternampak Mimi. Adi terus berjumpa dengan gadis itu dan mengambil laporan.

Klon Jaejoong pula mengikut Adi dari belakang. Mereka terus berlalu dari kafe. Sebaik sahaja mereka hilang dari pandangan mata, Jay menarik nafas lega. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berasa lain macam sahaja apabila ternampak klon Jaejoong. Darah dipam laju oleh jantung secara tiba-tiba. Tangan menjadi sejuk.

Semalam, telefon bimbitnya jatuh. Kini, nasi pula yang terkeluar daripada mulutnya. Selepas ini, tidak tahulah apa yang akan terjadi apabila dia terjumpa lelaki itu. Mungkinkah dia akan tergelincir jatuh? Mungkinkah lututnya boleh tercabut? Mungkinkah dia akan mencair seperti marjerin yang terkena haba? Clumsy!

Apakah perasaan ini?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina