Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awak Cun!
Awak Cun!
Lily Irdina
26/8/2014 11:22:46
79,879
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 1

“Aduh, penatnya!” kata Jannah setelah membuka pintu biliknya.

Dilihatnya ketiga-tiga ahli biliknya yang lain sedang membuat tugasan yang diberikan pensyarah masing-masing. Aina yang masih berbaju kurung sedang membuat tutorial matematik manakala Fathin dan Fareeha sedang khusyuk mengulang kaji subjek kimia. Barangkali ada kuiz keesokan harinya. Patutlah rajin semacam! Kalau tidak, pasti bantal-bantal mereka penuh dengan peta hasil air liur basi yang mengalir semasa tidur. Petang-petang begini memang seronok jika dapat memeluk bantal! Lagi-lagi Fathin atau nama panggilannya Aten. Hobinya bukan memeluk bantal tetapi memeluk katak!

Eww!!

Katak dipeluk-peluk? Tak pernah dibuat orang!

Jangan salah sangka ya! Aten memang suka memeluk katak tetapi yang versi patung. Nasib baik patung katak miliknya semua comel-comel belaka. Jika katak betul dibuat peluk, emmm.... faham-faham sendirilah apa rasanya.

Jannah mencabut pin dan membuka tudung yang membaluti rambutnya yang separas bahu. Dicampaknya tudung tersebut di atas katil.

‘Lantaklah tudung! Biarlah kau berkedut! Kelas dah habis pun,’ bisik Jannah dalam hati. Jikalau dia ada kelas seterusnya, tidak mungkin tudung itu dicampak-campak. Tudungnya itu pasti disangkut dengan penuh kasih sayang agar tidak munculnya kedutan yang bakal merosakkan cara pemakaian tudungnya. Mesti susah dipakai tudung tersebut apabila berkedut. Senget di situ, senget di sini. Baginya pemakaian tudung mestilah kemas tanpa kedutan. Baginya kedutan bagaikan musuh negara! Tidak boleh diberi muka!

Jannah melabuhkan punggungya di atas katilnya yang agak empuk. Walaupun tidak seempuk katil di rumah, namun, dia bersyukur dengan apa yang ada. Dia bersyukur kerana tidak perlu tidur di atas lantai yang sejuknya mencengkam tulang. Dia tidak perlu merasai sakit-sakit badan kerana tidur tidak berlapikkan apa-apa. Dia terima dengan apa yang ada walaupun kelengkapan di Kolej Matrikulasi Melaka sudah usang dimamah usia. Satu-satunya kolej matrikulasi di Melaka itu merupakan kolej matrikulasi yang tertua di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika katil bergoyang dan pintu lokar yang tidak boleh berkunci.

Jannah atau lebih mesra dengan panggilan Jay mengeluh penat. Dia baru sahaja pulang daripada kuliah matematik. Puan Anita, pensyarah matematik, mahu menghabiskan bab kedua pada hari itu juga. Oleh sebab itu, masing-masing sibuk membawa gula-gula sebagai makanan tambahan daripada mengelakkan rasa kantuk. Yang bawa nasi bungkus juga ada ke dalam dewan kuliah. Pelajar lelakilah yang berani berbuat demikian. Pelajar perempuan bersopan santun. Malulah katakan!

“Kenapa kau balik lambat sangat, Jay?” soal Fareeha.

“Cikgu Anita buat kuliah tadi. Mana tak penat! Mengantuk sangat! Pening kepala kami dibuatnya belajar matematik petang-petang.”

Jay mengeluh. Kini, dia sudah berada di kolej tersebut selama sebulan lamanya. Sebetulnya, dia tidak suka melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi. Dia lebih suka jika dia terus melanjutkan pelajaran di universiti. Walaupun subjek yang diambil tidaklah sebanyak seperti di sekolah dahulu, namun, subjek yang dipelajari lebih susah dan mendalam. Penat jangan cerita. Kelas bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dan hanya akan berakhir pada pukul 4.00 petang.

‘Kalau macam ni hari-hari, macam mana aku nak hidup kat matrikulasi ni? Argh, lagi sembilan bulan pula tu! I’m a dead girl!’ detus hati Jay.

Sesungguhnya, Jay sudah mula berfikir kepenatan yang harus dihadapinya. Penat menghadiri kelas. Belum lagi kelas tambahan yang dilakukan oleh pensyarah. Penat untuk membuat tutorial. Penat untuk membuat tugasan. Oh, tidak!

‘Aku perlu positif! Ada hikmah aku menyambung pelajaran kat sini!’

Jay mencari azam. Dia dimasukkan ke matrikulasi kerana dia tidak mempunyai mana-mana tawaran dari mana-mana universiti. Oleh itu, terpaksalah dia mencari semangat untuk mendapatkan 4.00 agar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor tercapai.

Berlainan pula kisahnya dengan Fareeha dan Aten. Mereka masing-masing mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti tetapi mereka menolak. Mereka hanya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma. Tidak sanggup untuk belajar selama tiga tahun barangkali, oleh sebab itu mereka membuat keputusan untuk berada di matrik.

“Rajin betul pensyarah kau buat kelas petang-petang,” kata Aten. Nota kimia diletakkan di atas meja belajar. Sudah bosan membaca fakta. Kalau mengira tidaklah berasa bosan sangat agaknya.

“Biasalah. Cikgu nak kejar syllabus. Beberapa bulan lagi ada peperiksaan pertengahan semester,” balas Jay sambil mencapai air botol yang terletak di bawah meja. Ditonggaknya botol itu. Hilang juga hausnya.

“Ree, kau ada kuiz ke esok?” tanya Jay kepada Fareeha atau popular dengan gelaran Ree.

“Ya. Sebab tulah aku melekat kat atas kerusi ni. Kalau tak jangan haraplah,” balas Ree sambil membaca nota. Dibelek-beleknya nota kimia dengan bersungguh-sungguh. Moga-moga apa-apa yang dibacanya tadi tersimpan dalam otak.

“Patutlah rajin semacam!” kata Jay. “Hehehe...”

“Kau memang cemburu kan tengok aku rajin!” kata Ree lagi.

“Tak kuasa aku nak cemburu dengan kau. Baik aku cemburu kalau kau rampas boyfriend aku!”

“Kau boyfriend pun tak ada, nak rampas macam mana?” kata Aten pula.

“Ah, kenapalah soalan ni susah sangat?” celah Aina yang senyap sedari tadi membuat tutorial matematik. Kalkulator di atas mejanya diketuk-ketuk tanda tidak puas hati. Kertas di hadapan mata diconteng-conteng geram kerana masih tidak mendapat jawapan yang diingini.

“Sabar, Aina!” kata Aten melihat Aina yang sudah membaling kertas conteng tadi ke atas lantai. Makin bersepah bilik mereka yang sudah sedia macam tongkang pecah.

“Tak nak sabar lagi. This question is killing me!” kata Aina mengeluarkan suara nyaringnya. Jika suara nyaring miliknya sudah dikeluarkan, maka memang bergemalah bilik mereka. Bukan sahaja bilik tidur, malah satu aras memang akan mendengar suaranya.

“Jom ikut aku main badminton,” ajak Jay mengambil langkah mengelakkan suara nyaring Aina keluar lagi. Tidak mahu dia mencari fasal dengan ketua blok yang biliknya hanyalah terletak betul-betul di tingkat atas.

Aina menolak kerusinya dan membuat sesi regangan sebentar. Terasa penat menyelubungi tubuh setelah duduk di atas kerusi sejak pulang dari kuliah tadi. Ree dan Aten juga begitu.

Jay mengeluarkan raket badminton dari dalam lokarnya. Diambil juga bola tangkis. Dilantun-lantun bola itu menggunakan raket tadi. Tidak sabar rasanya mahu bermain badminton. Tidak sabar rasanya mahu menghilangkan tekanan.

Selesai membuat regangan, mereka semua turun ke bawah. Mereka mahu bermain di hadapan blok. Blok mereka yang terletak betul-betul di tepi jalan merupakan bangunan yang paling hadapan berhampiran dengan pondok jaga dan padang ragbi.

Jay menghulurkan raket kepada rakan-rakannya. Dia dan Aina hanya memakai baju kurung waktu itu. Mereka langsung tidak menukar baju T-shirt. Memang tidak sesuai langsung!

Ree dan Aten juga begitu. Walaupun mereka berpakaian T-shirt dan seluar, namun, selipar sahaja yang tersarung di kaki masing-masing. Tidak mementingkan ciri-ciri keselamatan langsung!

Ah, peduli apa! Apa yang terletak dalam benak fikiran mereka sekarang ini hanyalah untuk menghilangkan tekanan dan tidak kurang juga untuk mengurangkan berat badan. Belajar, belajar juga. Kesihatan perlu dijaga, bak kata pepatah, otak yang cerdas terletak pada tubuh yang cergas.

Aina memukul bola tangkis dan disambut oleh Jay. Aina bermain dengan Jay manakala Aten menjadi lawan Ree. Masing-masing bermain seperti pemain badminton Malaysia. Tidak mahu kalah langsung! Suara jantan semua terkeluar! Terjerit-jerit apabila menyambut bola. Belum lagi apabila bola tidak dapat disambut. Angin yang tidak boleh disentuh ditendang-tendang tanda tidak puas hati. Peluh melekat di dahi. Namun, rasa mahu bermain lagi.

“Hoi cik adik, lain kali main pakai telekung pun tak apa!” Tiba-tiba kedengaran suara budak lelaki dari padang ragbi.

Masing-masing berbaris di tepi padang menghadap blok mereka. Tidak sangka pula rupanya mereka sedang diperhatikan oleh budak-budak lelaki. Belum lagi yang lalu-lalang di tepi jalan sambil berjoging. Semuanya ketawa melihat mereka bermain dengan hanya berbaju kurung! Tidak kurang juga yang mengambil gambar. Habislah selepas ini laman sesawang Facebook penuh dengan gambar mereka bermain badminton dengan hanya berbaju kurung.

Aduh, malunya!

Jay dan Aina sudah berlari naik blok!

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lily Irdina