Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 16 ~ Bos Hidung Belang

            KELIBAT Nur Najwa berjalan seiring dengan seorang lelaki kacak dan seorang anak perempuan telah dilihat oleh Dato’ Khairy. Dia yang sedang menyandar di bahagian belakang kereta dan kebetulan sedang melalui depan bangunan Mega Bina Holdings itu berpusing 180 darjah memerhati siapakah gerangan lelaki dan anak perempuan yang bersama Nur Najwa itu.

            “Budin, siapa yang berjalan dengan Najwa tu?” tanya Dato’ Khairy kepada pemandunya yang sama melayan rentak hidung belang bosnya itu.

            Yalah... sebagai pekerja mana boleh dia hendak bangkang tidak tentu hala? Ikut pun apa salahnya... kalau disenangi oleh bosnya, bagus untuk periuk nasi dia juga. Tetapi silap dia juga kerana membuka cerita tentang janda berhias itu. Sekarang ini, selera bosnya asyik ke situ sahaja.

            “Tak pernah nampaklah bos... macam orang Cina aje?” jawab Budin si pemandu.

             Dato’ Khairy menggangguk senang hati. Clientlah tu!

            “Lepas ni nanti... singgah Blooming Florist... beli tiga kuntum bunga ros warna merah. Hantar pada Najwa tu,” arah Dato’ Khairy sambil menghulurkan wang kertas RM30. “Seperti biasa... tulis dari Secret Admire.”

            “Tiga kuntum aje bos?”

            “Hisy! Berapa banyak pulak nak beri? Tiga kuntum tu cukuplah... dia mesti faham maksudnya,” ujar Dato Khairy sambil senyum melebar ke telinga. Baru dua tiga minggu ini dia beralih arah mahu cuba memikat setiausaha si janda berhias yang bertugas di Mega Bina Holdings itu.

            Si Budin yang memandu mengerling cermin pandang belakang melihat telatah bosnya yang hidung belang. Sudah ada ura-ura hendak ke Tanah Suci, tapi masih belum serik lagi rupanya. Masakan dia lupa dengan kisah isteri muda yang baru tahun lepas diceraikannya itu? Lepas itu pula dia sibuk memikat anak perempuan Tan Sri Azizan yang bekerja sebagai tutor kolej. Rupanya, perempuan itu pula adalah teman wanita kepada anak sulongnya. Haru betul skandal Dato’ Khairy ni... sampai anaknya merajuk dan membawa diri keluar negeri.

            Tak ingat?

            Mujur dia tidak dihambat oleh Datin Sabariah kerana bersubahat membawa bosnya itu menikah di Narathiwat.

            Dalam kesibukan Datin Sabariah ke hulu dan ke hilir sebagai Pengerusi Kelab Datin, dapat juga rupanya dia menghidu kisah suaminya yang sempat membuka cawangan lain. Peliknya, selepas mendapat tahu, dia tidak pula menangis melolong... malah dilihat bertambah baik dan manja dengan suaminya. Ke mana sahaja suaminya pergi, tentu dia ada sama.

            Hah! Part yang paling best tu, bila giliran suaminya balik ke rumah isteri muda, Datin Sabariah sama mengekor ke sana. Hehehe....

            Pening kepala Dato’ Khairy melayan kerenah manja tiba-tiba Datin Sabariah yang sudah macam anak kecil tidak mahu dipisahkan dari bapanya itu. Tidak disangka Datin Sabariah mengatur strategi yang berkesan sekali. Dia pula yang pandai-pandai menelefon si muda untuk menyediakan makan tengahari untuk dia dan Dato’ Khairy yang akan pulang ke situ. Si muda yang melihat rasa nak muntah hijau dibuatnya... dah gaya orang gaji pula dia diperlakukan. Berbulu biji matanya melihat perangai manja madunya itu... hanya Tuhan sahaja yang tahu.

            Kawan rapat, saudara mara dan kenalan semua geleng kepala melihat keakraban dan sportingnya Datin Sabariah di dalam mengharungi hidup bermadu. Malah dia sama pelawa yang muda bila sampai giliran Dato’ Khairy ke rumahnya. Memang gila... beranikah si muda itu mahu mengikut sama kalau tidak diganyangnya?

             Akhirnya... si muda beralah dan minta diceraikan kerana tidak tertahan dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh Datin Sabariah. Memang cara yang digunakan itu makan dalam... ibarat kena santau si muda itu kerana makan hati.

              Budin senyum bila mengingatkan perangai Datin Sabariah yang menang di dalam menangani masalah rumahtangganya itu. 

              Budin senyum lagi. Memang tak serik-serik Dato’ ni... kalau dicadang merisik untuk anak lelakinya si Khairul Syafiq tu, bukankah lebih baik?

“Bos!” panggil Budin sambil mengerling cermin pandang belakang.

“Apa lagi?” sergah Dato’ Khairy yang menyangka si Budin mahukan duit tambahan. Macam Tina si penyambut tetamu Mega Bina tu... tiap kali bila ditanya, tangan kanannya sudah ditadah minta habuan. Cekik darah betul!

“Apa kata kita risik untuk Along?”

Budin cuba beri pendapat kepada yang lebih baik pula.

“Hisy! Berserban dan berjubah macam tu... siapa yang suka?” marah Dato’ Khairy. “Emaknya hantar keluar negeri suruh belajar jadi pereka fesyen untuk ambil alih butik ni nanti... dia pergi jadi lebai macam tu, apa kejadahnya?” 



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh