Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Bab 14 ~ Bos baru

NUR Najwa Sallehuddin menekan brek kaki dan memasukkan gear parking. Brek tangan diangkat sehabis mampu. Semenjak kejadian bertemu dengan kelibat lelaki yang berjubah dan berserban putih petang Jumaat di kawasan parkir di bahagian basement bangunan pejabat itu, dia tidak lagi berani untuk meletakan keretanya di sana. Biarlah berjemur di kawasan letak kereta di tepi bangunan pejabat itu sahaja rasanya lebih selamat lagi kerana dia sering pulang lewat sejak kebelakangan ini.

Nur Najwa terpaksa mengambil alih tugas Hans Yusof, Pengurus Besar Mega Bina Holdings yang tiba-tiba menghantar surat perletakan jawatan dalam tempoh 24 jam. Pengurusnya itu dikatakan telah menerima tawaran gaji yang lebih lumayan lagi dari syarikat lain.

Tan Sri Azizan yang empunya syarikat menelefon serta merta mengarah Nur Najwa untuk mengendalikan pejabat besar itu sementara dia melantik pengurus yang baru. Kalau diikutkan, bukan payah sangat pun. Sudah hampir 4 tahun dia bertugas sebagai setiausaha di Mega Bina Holdings itu, sedikit sebanyak dia sudah sangat faham untuk menguruskannya. Cuma Nur Najwa tidak dibenarkan membuat urusniaga tanpa bertanya atau mendapat kebenaran dari Tan Sri Azizan itu sendiri terlebih dahulu walaupun Tan Sri Azizan sudah sangat percaya padanya.

Walau penat, dia harus menunjukkan kemampuannya mengendalikan syarikat itu atas kepercayaan dan rasa terhutang budi terhadap Tan Sri Azizan yang telah membantunya di dalam kejadian ragut dan langsung mendapatkannya kerja di syarikat itu.

Teringat dia akan budi baik lelaki itu yang pertama kali dikenalinya semasa dia ditimpa dengan kejadian ragut waktu tengahari usai menghadiri temuduga. Berhempas pulas jugalah dia melawan. Habis kepakarannya selama menjadi samseng sekolah dulu ditunjukkan. Silapnya dia mengenakan baju kebaya hari itu. Masakan dia hendak membuka langkah yang kurang sopan? Kalau koyak rabak karang... macam mana dia hendak pulang? Dari cedera parah bergelut dengan si peragut, dia rela sedekah wang baki yang ada di dalam begnya itu. Alah... tak sampai RM50 pun. Cuma mungkin dia kena bersusah payah buat laporan ke balai polis kerana kejadian itu yang menyebabkan dia kehilangan kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATMnya sahaja.

Mujur pula kejadian yang berlaku tengahari itu disaksikan oleh Tan Sri Azizan bersama Pak Hussin, pemandunya. Maka dengan pantas Tan Sri Azizan menjulurkan kakinya ketika lelaki peragut itu berlari melintasi dia dan Pak Hussin. Apalagi? Tersungkurlah lelaki peragut itu di situ. Beg dompet yang diragutnya tadi terlempar jauh ke hadapan dengan wang-wang syiling yang bertaburan. Pak Hussin pula cepat membantu mengutipnya. Namun lelaki peragut itu cepat pula bangun dan melarikan diri sebelum sempat ditangkap. Licik betul.

“Puan Najwa!”

Lamunan dan langkahnya yang menapak ke bangunan pejabat Mega Bina Holdings pagi itu selepas memarkir kereta sama terhenti bila terdengar namanya dipanggil.

“Ada apa Pak Hussin?”

“Tadi bos baru ada kirim barang-barangnya. Dia pesan suruh puan tolong simpan dan kemaskan dalam bilik pejabatnya.”

“Bos baru?”

“Ha’ah.”

“Kenapa dia tak datang kemas sendiri?”

Eh! Perempuan ni... berapa banyak tanya daa? Tadi bos dah pesan jangan beritahu sesiapa akan dirinya sebenar. Biar orang dalam pejabat itu tengok sendiri. Mana boleh cakap? Dah janji. Tak pasal-pasal nanti kena pecat, siapa yang nak beri makan anak bini aku? Pak Hussin berfikir panjang.

“Puan, Pak Hussin ni hanya menjalankan perintah aje. Pak Hussin ni cuma supir... tadi dia dah pesan jangan cakap lebih-lebih.”

“Dah tu...” Nur Najwa menoleh kiri dan kanan. “....mana dia barang-barangnya?”

“Pak Hussin dah letak dalam bilik pejabatnya. Puan jangan lupa pulak tolong kemaskan ye? Kalau tidak nanti, masak Pak Hussin kena marah,” ujar Pak Hussin minta tolong kerana tadi tuan pengurus baru itu kelihatan tidak peramah orangnya.

“Dia datang ke tidak hari ni?”

“Tak tau puan.”

“Ha... okeylah...” tiba-tiba Nur Najwa teringat untuk bertanya. “Pak Hussin!” dia menjerit memanggil bila melihat kelibat Pak Hussin sudah melintas ke sebelah sana jalan.

Pak Hussin menoleh.

“Siapa nama bos baru tu?”

Pak Hussin hanya angkat bahu.

Eleh! Itu pun nak rahsia.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh