“DIA buat lagi dah!” tegur Datin Sabariah
pagi itu sambil melabuhkan duduk di meja sarapan. Khairul Syafiq dilihat
berserban ke pejabat awal pagi elok dia turun untuk bersarapan tadi.
“Apa? Siapa?” tanya
Dato’ Khairy yang sedap menyuap sup tulang yang dicicah dengan roti.
“Alonglah!”
“Kenapa dengan
Along?”
“Dah berserban
balik.”
“Dia tak ke pejabat
ke hari ni?”
Datin
Sabariah angkat bahu. Dia kemudian menjeling tajam suaminya. Geram betul! Anak
dara orang sibuk dia nak ambil tahu... anak sendiri dia buat tak peduli pula.
“Dia
sudah ke kantor Dato’...” tiba-tiba suara Ibu Kartini menyahut dari tangga
dengan bakul dobi di tangan. “Hari ini mau solat Jumaat, bilangnya tadi,”
terang Ibu Kartini. “Saya sudah sediain celana dan kemeja... tapi tuan muda itu
mahu pake yang itu.”
“Pakai
baju Melayu pun tak apa... segak sikit,” tegur Datin Sabariah. “Ada ke
berserban macam lebai tu yang diminatnya?”
Dato’ Khairy senyum
dalam hati. Biarlah... nampak sikit dia muda dari anaknya. Hehehe...
“Tegurlah sikit... abang
pun buat tak tahu aje,” bebel Datin Sabariah lagi.
“Eh? Dia bukan
budak-budak lagi nak ditegur. Dah dia rasa selesa pakai macam tu... biarlah.”
“Abang
memang sukalah nampak muda dari anak, kan?” tambah Datin Sabariah yang tengah
bengang itu. Mahu sahaja dia membuka pertanyaan tentang skandal yang
didengarnya itu, tetapi bimbang hilang selera untuk bekerja pula nanti.
Hisy! Geram pula dia dengan mulut isterinya pagi
ini yang berang hanya kerana penampilan anak sulongnya itu. Dato’ Khairy cepat
mencapai tisu dan mengelap muncungnya.
“Dahlah!” Dato’ Khairy cepat meneguk kopi
yang masih berbaki di dalam cawan. “Nak pergi dengan abang ke nak drive
sendiri?”
Datin Sabariah angkat punggung. Dia terus
mencapai beg tangannya dan mengekor Dato’ Khairy dari belakang tanpa suara.