KHAIRUL Syafiq memasang umpan bila ternampak
kelibat Tina yang berjalan sendirian entah datang dari mana. Boleh sahaja dia
ke situ untuk berjumpa Nur Najwa dan mengajaknya keluar makan, tetapi dia tidak
mahu ketinggalan solat Jumaatnya. Lagipun dia tidak mahu terserempak dengan
Noor Azizah, bekas teman wanitanya yang kini sudah bekerja dengan syarikat
bapanya itu.
“Assalamualaikum,” ucapnya.
“Waalaikumsalam,” jawab Tina pula.
“Tolong
berikan pada Nur Najwa... dia tertinggal di premis 7 Eleven malam kelmarin,” ujar
Khairul Syafiq menyerahkan plastik berisi sekampit gula dengan harapan Nur
Najwa masih ingat dengan insiden yang berlaku pada malam itu.
“Awak
siapa?” tanya Tina memandang dia dari atas ke bawah. Mana Tina hendak kenal
sebab Khairul Syafiq datang ke situ dengan penampilan Osama bin Ladennya.
“Tak
perlu tahu siapa saya... saya cuma mahu serahkan barang ni saja.”
Tina
membelek kampit itu. Jari kelingkingnya menyucuk plastik itu hingga bolos.
“Hei!” marah Khairul Syafiq. “Awak buat
apa tu?”
Jari kelingking yang bersalut gula itu
dimasukkan ke mulut. Dia kemudian mengecap-ngecap lidahnya merasa.
“Betul gula,” ucap Tina.
“Awak ingat apa?”
“Eh? Mana tau awak nak mengenakan orang?
Sekarang ni bukan boleh percaya. Dalam bungkusan gula pun orang boleh letak
dadah.” Tina menjawab cerdik.
“Macam mana sekarang? Boleh tolong
sampaikan pada Nur Najwa?”
Tina angguk setuju. Tangan kanannya
menadah.
Khairul Syafiq tidak faham lalu bertanya.
“Apa?”
“Upah! Ingat senang ke nak suruh-suruh
orang. Kalau pakai pos pun kena bayar tau?”
Khairul Syafiq senyum. Hai! Macam ni punya
orang pun ada dalam dunia. Khairul Syafiq meraba saku jubahnya di sisi. Sekeping
not merah dikeluarkan.
“Ini amanah tau?” pesan Khairul Syafiq
sambil berpusing dan melangkah pergi. Karang lambat-lambat entah apa pula yang
diminta oleh perempuan seorang ini. Jauh dari sebalik premis yang menjual
akhbar dan majalah di seberang jalan itu dia memerhati.
“APA ni Tina?” tanya Nur Najwa bila tiba-tiba
sahaja Tina menerobos masuk ke biliknya dan meletakkan sekampit gula ke atas
meja.
“Gulalah...
dah tak kenal ke?”
“Nak
buat apa?” soal Nur Najwa pelik. Hendak dibuat apa dengan sekampit gula yang
diserahkan kepadanya? Mengapa tidak Tina hantar ke pantry dan disimpan di dalam
balang seperti biasa?
“Bukan
ke bos tertinggal di 7 Eleven malam kelmarin?”
“Saya
tertinggal gula ni di 7 Eleven?” isy! Pelik sangat ni. Kelmarin dia tak jadi
beli gula tu sebab tak cukup duit tunai. Masakan hendak beli sekampit gula
hendak dibayar dengan kad kredit?
“Ya
bos! Abang janggut tu cakap, bos tertinggal gula ni di 7 Eleven malam
kelmarin,” ujar Tina mengingatkan.
Abang
janggut? Nur Najwa terus bangun mencapai kampit gula di atas mejanya itu dan
meluru keluar. Lelaki semalam yang berjubah, berserban dan berjanggut itu di
cari kiri dan kanan. Dia hampa. Kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan di kaki
lima atau di mana-mana.
“Kenapa
bos?”
“Lelaki
tu pakai serban, jubah putih dan berjanggut, kan?”
Tina
angguk. “Tapi handsome, kan?” tanya Tina pula yang tadi sempat mengayat wajah
abang janggut itu.
Hati Nur Najwa tertanya-tanya ingin tahu
siapakah lelaki yang menyerupai Osama bin Laden itu. Tentu dia seseorang yang
mengenali dirinya, yang tahu dia bekerja di Mega Bina. Siapa? Beria-ia dia
memaksa mindanya mengenali lelaki di sebalik serban dan berjanggut itu.
Khairul Syafiq yang memerhati dari premis
yang menjual akhbar dan majalah di seberang jalan itu nampak Nur Najwa keluar
dari pintu utama itu dengan kampit gula di tangan. Wanita itu dilihat memerhati
sekeliling, mungkin mencarinya. Lama Nur Najwa di situ melihat kiri dan kanan.
Khairul Syafiq senyum dalam hati. Belum masanya dia mahu membongkar identiti.
Dia mahu melihat apa reaksi Nur Najwa padanya dengan kisah sekampit gula itu.