Home Novel Komedi/Romantik Komedi YANG MANA SATU NI?
Banyaknya duit!!

     PAGI itu terasa sejuk sekali. Selepas menunaikan solat subuh, Pak Din membuka pintu belakang rumah yang terus menghadap jalan di sebelah belakang. Bahagian belakang rumahnya itu memang tidak bertanah lagi kerana isterinya mahukan dapur yang luas untuk kegunaannya yang sering mendapat tempahan nasi lemak dan kuih muih.

     Hanya longkang besar sahaja yang memisahkan dapur rumahnya dengan jalan sebelah belakang itu untuk laluan lori memungut sampah. Hujan lebat yang turun sepanjang malam hingga ke subuh itu membuatkan longkang di belakang itu bersih dari kotoran. Jika tidak tu ada juga nampak tersangkut dengan lampin pakai buang entah anak siapa yang punya. Mungkin tidak dimasukkan ke dalam tong sampah yang bertutup, maka sampah-sampah itu habis dikais oleh anjing-anjing liar pada waktu malam.

     Pak Din mendepangkan tangan mengeliat beberapa kali. Sakit badannya jika tidak bekerja... tetapi pada cuaca yang panas beberapa hari lepas, dia memang tidak mampu hendak ke rumah arwah Mak Siti untuk membersihkan lamannya.

     Sudah hampir sebulan dia tidak pergi menjengah rumah itu. Memang tidak ada orang yang menghuninya, tetapi budak-budak nakal di kampung itu yang dirisaukan. Anak-anak remaja yang ponteng sekolah suka benar lepak di rumah tinggal itu kerana ianya terletak di sebelah belakang dari jalan besar. Rumah yang sudah uzur itu tidak mampu bertahan walau dipasangkan dengan mangga sebesar penumbuk pun.

     Pak Din pula sibuk mengikut kontrak memasang kabel letrik di kawasan pedalaman sebuah kampung yang mendapat peruntukan dari kerajaan. Walaupun dia sudah melepasi usia pencen, namun jika diperlukan untuk kerja-kerja penyambungan wayar kabel itu, dia turut jua. Siapa yang tidak perlukan duit, kan? Jika sudah demikian, bila masa dia hendak ke sana ke mari? Masalah dengan anak perempuan bongsunya ini pun masih belum berakhir lagi. Sekejap jadi sekejap tak jadi... hisy!

     “Saya nak ke rumah Mak Siti tu hari ni... kalau hari cerah karang, saya nak meracun.”

     Mak Zah yang sedang menyediakan sarapan pagi itu menoleh suaminya yang hanya berkain pelikat tanpa baju ke hulu ke hilir dalam rumah yang tidak luas mana itu. Orang sejuk-sejuk, dia boleh berlenggeng pulak, desis Mak Zah.

     “Nak ke rumah Mak Siti ke nak ke warung Pak Ya tu?” sindir Mak Zah yang nampak suaminya macam tidak senang duduk.

     “Ei? Kalau tak percaya... jomlah ikut sekali,” marah Pak Din dengan sindiran isterinya itu.

     Mak Zah menjeling. Eleh! Siapa entah yang hendak mengikut dia ke sana tu? Gumam Mak Zah yang memang fobia betul kalau tersebut nama Mak Siti. Namun, bukan Mak Siti itu yang dirisaukan... tetapi anaknya Cik Tipah itu yang pernah dikenenkan dengan Pak Din. Walau cerita itu sudah lama berlalu, cemburu itu tetap ada tersemat di hati kerana kejayaan hidup Cik Tipah dengannya amat jauh berbeza bak langit dan bumi.


MAK ZAH yang baru pulang dari bandar itu menggaru kepala yang tidak gatal. Dia rasa hendak menjerit tadi bila dilihat baki akaun ada tambahan lagi sejumlah RM50,000. Gila! Siapa yang telah tersilap menyalurkan wang sejumlah itu ke akaunnya? Nazrikah? Atau Najwakah? Namun, nama Pak Din suaminya memang tidak masuk di dalam senarai sangkaannya itu. Hendak dikatakan duit ASBnya... sudah tentulah ASB ada bukunya sendiri.

     Dia menumpang Maimon untuk ke bank mengambil wang, langsung ke Pejabat Pos membayar segala bil, cukai pintu dan cukai tanah. Maimon ada mengajak singgah ke kedai kain Jakel yang baru sahaja dibuka di daerah mereka itu, tetapi Mak Zah tidak pula memberitahu Pak Din dia hendak ke situ bimbang berlama-lama nanti, dimarahi oleh Pak Din pula jika dia pulang dari meracun, dilihat Mak Zah masih belum berada di rumah.

     Sudah diajak suaminya sejak awal pagi, tetapi Pak Din bilang dia mahu meracun lalang di rumah arwah Mak Siti. Jika dia tidak berbuat demikian, bermakna mereka tidak amanah dengan wang yang telah disalurkan kepada mereka setiap bulan itu. Biasanya wang yang dimasukkan ke akaun Mak Zah itu berjumlah sebanyak RM5,000 termasuk perbersihan 5 ekar kebun sawit, upah pekerja untuk memotong buah, meracun dan membaja.

     Jika Pak Din sama membuat kerja-kerja itu, dapatlah dia untung lebih sikit. Jika dia berangan nak jadi mandor, memang dapat tengok ajelah duit yang diamanahkan untuk mengurus kerja-kerja pembersihan itu.

     Anak perempuan arwah Mak Siti yang dua orang itu dikatakan berkahwin dengan orang kaya di bandar, jadi setakat RM5,000 itu tidak jadi kudis kepada mereka. Main percaya aje semenjak Mak Siti meninggal dunia dahulu lagi. Wajah-wajah mereka memang tidak pernah muncul ke kampung itu untuk menjenguk rumah pusaka yang ditinggalkan. Kalau Pak Din dan Mak Zah tu jenis orang yang tidak amanah... tentu mereka sudah lama jadi orang kaya dengan habuan yang disalurkan kepada mereka setiap bulan itu. Manakala wang hasil jualan sawitnya pula Cik Tipah minta didermakan ke tabung surau di kampung itu selepas kematian ibunya, Mak Siti.

     Namun, beberapa minggu lepas, Cik Tipah ada menelefon akan memasukkan sejumlah wang bagi membaiki rumah pusaka itu kerana katanya dia akan pulang untuk tinggal di situ. Pak Din pula tidak berani untuk meneruskan arahan itu tanpa tuannya, maklumlah dia perlu tahu lebih terperinci juga rumah yang bagaimana yang dimahukan oleh Cik Tipah itu, kan?

     

PAK Din yang keluar dari bilik air usai mandi untuk bersolat zohor itu pelik melihat isterinya yang masih tergaru-garu punggung dengan tudung kepala yang masih belum dibuka.

     “Awak dah kenapa?” soal Pak Din yang menyangka isterinya sudah tidak tertahan mahu menggunakan bilik air di bawah itu.

     “Bang!” Mak Zah menarik tangan suaminya. Pak Din pula cepat mengelak.

     “Saya dah ambil wudhu’lah,” jerit Pak Din.

     “Awak tengoklah sini...” ajak Mak Zah yang mengembangkan buku banknya.

     “Ada apa?”

     “Siapa yang dah tersalah masukkan duit sejumlah RM50,000 ke dalam akaun saya ni?”

     Hah? RM50,000? Pak Din cepat memanjangkan lehernya menjenguk baki yang ditunjukkan oleh isterinya itu. Banyaknya?

     “Takut saya bang! Buatnya orang tu datang cari saya nanti, macam mana?” ujar Mak Zah terasa risau benar dengan keadaan yang tidak disangka itu.

     “Oh! Itu duit untuk baiki rumah Mak Sitilah,” beritahu Pak Din.

     Terlupa pula dia Cik Tipah ada menyuruh dia mencari orang untuk membaik pulih rumah arwah emaknya menerusi panggilan telefon pada petang Sabtu. Kebetulan isterinya keluar menghadiri kuliah Keluarga Sakinah yang dikendalikan oleh Ustazah Natrah. Dia berjanji akan memasukkan sejumlah wang ke akaun Zakiah Harun, isteri Pak Din yang diamanahkan untuk menjaga rumah dan kebun sawitnya sebagai wang pendahuluan.

     Tidak disangka wang pendahuluannya besar sungguh. Kalau di daerah tempat tinggal Pak Din itu, rumah kos rendah sudah boleh diperolehi dengan harga sekitar RM30,000. Rumah bagaimana yang mahu dibina oleh Cik Tipah itu?

     “Betul ke?” tanya Mak Zah surut sikit rasa cemasnya.

     Kenapa banyak sangat? Dia nak buat rumah besar mana? Banyaknya duit dia? Begitu Mak Zah tertanya-tanya sendiri dalam hati mengingatkan betapa senangnya mereka memperoleh wang sebanyak itu.

     “Dia hendak duduk balik di rumah tu, tapitapi dia minta dirobohkan rumah lama dan dibina baru.”

     “Cik Tipah? Dia dah nak pencen agaknya... itu yang dah nak balik ke kampung.” Mak Zah meneka cerita. “Dah dapat EPFlah tu,” sambung Mak Zah yang memang tidak pernah bekerja sejak dari muda.

     Cemburu pula hatinya bila dengar orang lain dapat EPF dan dapat duit pencen. Tetapi nasibnya baik juga kerana Nabil, Nazri dan Nur Najwa ada memasukkan sejumlah wang setiap bulan ke akaunnya. Duit upah Pak Din menjaga rumah dan kebun sawit itu juga dimasukkan ke akaun Mak Zah.

     Bagaimana rupa Cik Tipah itu? Cantik sangatkah sampai setiap orang asyik bercerita tentang dirinya dahulu? Mak Zah yang pernah jadi pembantu di warung Mak Siti semasa mudanya dahulu juga tidak pernah berpeluang melihat Cik Tipah.

     Cik Tipah itu dulu hanya dikenali dengan namanya sahaja. Payah hendak berjumpa dengan orangnya yang tidak bercampur dengan gadis-gadis di kampung itu kerana dia bersekolah di bandar. Kalau adiknya si Normah tu memang Mak Zah kenal kerana Normah itu agak peramah orangnya.

     “EH? Awak ni masih datang bulan lagi ke?” tanya Pak Din yang sudah selesai menunaikan solat zohornya. Isterinya dilihat terkebil-kebil masih menyandar di sofa.

     “Apahal pulak?” jawab Mak Zah menjeling tajam suaminya dengan pertanyaan berbau perli itu.

     “Siapkan nasi, saya nak makan ni,” arah Pak Din.

     Penat dia pagi ini meracun di sekitar kawasan rumah arwah Mak Siti. Mujur cuaca hari itu molek... gerenti rumput dan lalang yang diracunnya itu mati. Nanti senanglah jika Cik Tipah mahu datang untuk melihat kerja-kerja merobohkan rumah itu pula.

     “Saya beli ajelah bang hari ni... mana sempat nak masak lagi. Bukankah saya pun baru aje balik dari bandar tu?” jawab Mak Zah terus bangun dan menapak ke dapur.

     “Apa-apa ajelah,” sahut Pak Din yang sudah ke singki mencuci tangan.

     Tadi Mak Zah mengikut Maimon yang singgah ke restoran makanan segera KFC. Sudah lama anak-anak Maimon mahukan ayam dari restoran makanan segera itu. Puas dia sama memasak menggayakan ayam goreng ala KFC, namun yang di restoran itu juga yang diidamkan oleh anak-anaknya.

     “Ini namanya drive through Kak Zah,” ujar si Maimon yang sudah memperoleh lesen memandu itu.

     Sebab itu Mak Zah berani hendak mengikut ketika dipelawa oleh Maimon sejak petang semalam. Mak Zah memang bercadang hendak keluar ke bandar untuk mengambil sedikit wang buat belanja dan membayar bil-bil. Kebetulan anak-anak Maimon tidak mengikut sama kerana semua bersekolah pagi.

     “Kalau bawak budak-budak, bukan boleh ajak makan di sini... karang apa yang ditayang tu semua nak diorder,” bebel Maimon. “Ayahnya pun main pesan ikut tingkap ni aje kak, itu yang Mon pun pandai tiru gaya dia.”

     “Akak pun hendak jugalah Mon... orderkan yang lima ketul spicy tu,” tutur Mak Zah menunjuk ke arah papan menu yang ditayang di lorong pandu lalu.

     “Kentang putar tu tak payahlah... macam budak baru tumbuh gigi aje... bagi sayur yang saiz besar tu tak apa,” sambung Mak Zah yang pernah dijamu dengan ayam KFC yang dibeli oleh Nur Najwa tetapi dia memang tidak menyentuh kentang putar itu.

     “Awak makanlah dulu bang, saya nak solat. Karang dah terkenyang tak larat nak ruku’ pulak,” ujar Mak Zah setelah menghidangkan ayam KFC masuk ke pinggan hidang. Sebotol air diambil dari peti sejuk. Sebiji gelas pula dicapai dari rak pengering.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh