“PAPA!”
Suara seorang lelaki menegur dari belakang
membuatkan perbualan antara Dato’ Khairy dan Tina terhenti. Dato’ Khairy cepat
menoleh. Mereka baru sahaja pulang dari bertemujanji makan tengahari. Tina pula
beliak mata memandang susuk tubuh lelaki muda yang memanggil Dato’ Khairy. Wah! Ada anak bujang handsomelah Dato’ ni.
“Ada apa?” tanya Dato’ Khairy.
Lelaki muda itu menghulurkan dokumen
kepada bapanya minta perhatian. Dato’ Khairy menarik cermin matanya dari saku
kemeja. Dokumen itu dibaca dan beberapa minit kemudian, cermin mata itu ditarik
ke atas kepalanya yang botak di bahagian tengah. Tetapi ditutup dengan rambut
tepinya yang disikat ke atas.
Dia memandang wajah anaknya yang hendak
berjumpa dengan Nur Najwa Sallehuddin berkenaan dengan rumah kedai tiga pintu
yang dibelinya. Mahu sahaja dia sendiri berjumpa dengan wanita idaman kalbu itu
tetapi dia pula harus ke pelabuhan untuk menandatangani shipment kiriman dari
Vietnam yang baru sampai. Aduhai!
“Along ikut Tina, dia kerja kat opis tu,”
arah Dato’ Khairy kepada anak sulongnya yang baru mahu berjinak-jinak mengambil
alih tugasnya di Maya Sutera.
Tina senyum gedik. Macam inilah baru
sesuai untuk dipikat. Ada ke Dato’ yang dah hampir botak itu mahu direbutnya?
“....permintaan saya tadi jangan lupa,” sempat
Dato’ Khairy berpesan kepada Tina. Puas sudah dia menghabiskan duit untuk
belanja spy yang dilantik itu.
“No hal Dato’,” jawab Tina sambil mengatur
langkah beriringan dengan anak lelaki yang hanya dikenali dengan panggilan
Along oleh Dato’ Khairy tadi.
“Siapa nama sebenar Along ni?” tanya Tina
ramah.
“Khairul Syafiq.”
“Ooo...Khairul Syafiq bin Khairy.... sedap
nama tu,” usik Tina. “...ada urusan nak jumpa dengan siapa di Mega Bina
Holdings?”
“Pengurus yang berurusan dengan rumah
kedai tiga pintu yang kami beli dulu untuk dijadikan butik baru.” Jawab lelaki
muda itu.
“Tapi Encik Hans Yusof tu dah meletakan
jawatan...”
Belum sempat habis ayat Tina, lelaki anak
Dato’ Khairy itu berhenti menapak.
“Habis siapa yang akan membuat urusan ini
sekarang?” Khairul Syafiq mula bimbang bila pengurus yang mengurus pembeliannya
dulu, dikatakan sudah berhenti. Tentu nanti urusan seterusnya bersama pengurus
yang baru akan memakan masa pula.
“Ala... no worries la Along...” ujar Tina
selamba kodok sama berbahasa memanggil Along. “...kita orang ada bos baru
perempuan.”
Khairul Syafiq yang mendengar merasa lega.
Dia lebih rela bekerja di luar dari duduk di dalam pejabat Maya Sutera. Rasa
tak boleh hendak bernafas pula bila dikelilingi oleh pekerja-pekerjanya yang
sengaja diambil dari kaum wanita kesemuanya.
“Dia ada di pejabat ke sekarang ni?”
“Tadi masa I nak keluar makan tengahari
adalah, tetapi sekarang ni tak tahu pulak.” Kata Tina sambil menolak pintu kaca
masuk ke Mega Bina Holdings.
“Jom! I tunjukkan pejabatnya,” ajak Tina.
“MASUK!” teriak Nur Najwa yang sedang
tertonggeng-tonggeng mencari fail berkenaan dengan pembelian rumah kedai tiga
pintu oleh Dato’ Khairy Awaluddin yang mahu ditukar lokasinya. Sibuk betul
Dato’ seorang itu... dah elok-elok selesai urusannya, dia sibuk mahu menukar
lokasi pula.
Tina cepat menolak daun pintu apabila
mendapat kebenaran. “Bos! Ada orang nak jumpa,” katanya elok dia menolak lebar
daun pintu. Tetapi bayang Nur Najwanya tidak kelihatan.
“Silalah! Saya dah terima call dari peguam
yang mengurus hartanah tu,” ujar Nur Najwa lagi yang masih mencari fail
pelanggannya.
“Duduklah....” dia mengangkat wajah
memandang orang yang harus dia jumpa berurusan dengan pembelian rumah kedai
itu. “....awak wakil dari Dato’ Khairy ke?” tanya Nur Najwa merenung wajah
lelaki muda itu.
“Ya saya....” lelaki itu juga sama
merenung Nur Najwa sambil menghulurkan dokumen yang dibawa.
“Dato’ ke mana?” tanya Nur Najwa lega.
Dia tadi cuak juga hendak memandang kerana
harus berurusan empat mata dengan Dato’ yang memang meminatinya itu. Lagipun
dia rasa takut juga kerana asyik memberi alasan mengelak untuk menghias bilik
pejabat seperti mana yang diminta oleh Dato’ Khairy berulang kali.
“Dia ada urusan lain,” jawab lelaki itu.
Wah! Lega. Mujur dia hantar wakil aje... tak
perlulah dia berhadapan dengan Dato’ Khairy yang botak tengah kepalanya itu.
“Okey....” Jawab Nur Najwa sambil menarik
sikit duduknya ke depan menghadap lelaki itu. Dokumen lelaki itu diambil dan
dibelek untuk memastikan apa bentuk tindakan yang perlu diambil.
“Hurmm... kalau ikutkan proses pembelian
dengan Dato’ hari tu, memang dah selesai. Tapi sekarang Dato’ minta ubah dari
corner jalan pertama itu ke corner yang berdekatan dengan tasik. Di situ
pemandangannya lebih cantik.... namun ada penambahan harga kerana terdapat
sepuluh kaki ruang yang lebih bahagian tepi. Dato’ setuju tak dengan harga tu?”
Khairul Syafiq merenung wajah yang sedang
mengomel itu. Seolah pernah dilihat tetapi di mana ya? Mindanya mencari wajah
itu di mana-mana. Hah! Khairul Syafiq tersenyum dalam hati. Dia sudah
mengenalpasti wajah di depannya.
“Itulah saya datang ni untuk menandatangani
surat perjanjian baru tu mewakili Dato’.”
Khairul Syafiq menunjukkan surat pengesahan dari bapanya yang dibawa
sama tadi.
Nur Najwa melihatnya teliti. Haruslah dia
berbuat begitu kan? Bukannya Mega Bina Holdings itu syarikat tok wan dia nak
dibuat sesuka hati dan bukan mudah pula Tan Sri Azizan hendak memberi
kepercayaan kepadanya?
“Nanti saya kenalkan dengan Eksekutif
Pemasaran baru kami, dia akan bawa encik...” Nur Najwa menunjuk ibu jari tangan
kanannya bertanyakan nama wakil dari Dato’ Khairy itu.
“Khairul Syafiq.”
Nur Najwa angguk. Dia kemudian bangun
dengan membawa dokumen yang diberi oleh lelaki itu tadi.
“Jom!” ajaknya sopan.
“You don’t remember me, do you?” bertanya
Khairul Syafiq bila wanita itu seolah tidak mengenalinya.
Nur Najwa cepat merenung wajah itu. “Do I
know you?’ tanyanya pula sambil berkerut kening beria-ia mengingat lelaki yang
gagah dan muda di depannya itu.
Khairul Syafiq senyum. “Tapi saya kenal
awak,” jawab Khairul Syafiq. Hehehe...
Tetapi dia lupa waktu itu penampilannya
berbeza. Manalah perempuan itu mahu mengenalinya pada malam mereka pertama kali
ditemukan di dalam premis 7 Eleven itu?
Nur Najwa yang berjalan beriringan dengan
Khairul Syafiq ke bilik bahagian pemasaran itu berpaling memandang lelaki yang
mengaku pernah mengenalinya itu.
“Isy! Awak salah orang ni,” ujar Nur Najwa
yang memang rasa dia belum pernah melihat lelaki muda itu di mana-mana.
Pintu bilik pejabat Noor Azizah diketuk.
Nampak wanita di dalam itu mengangkat mukanya memandang ke arah pintu yang
separa bercermin kaca. Dia menunjukkan isyarat masuk dengan jari telunjuk.
Nur Najwa menolak daun pintu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam,” sahut Noor Azizah yang
tertancap matanya ke arah anak muda bersama Nur Najwa di muka pintu.
“Ini Khairul Syafiq, wakil Dato’ Khairy
nak buat pertukaran lot rumah kedai yang dah dibincangkan semalam tu,” jelas
Nur Najwa memperkenalkan wakil Dato’ Khairy kepada Noor Azizah.
“Hai Karl,” tegur Noor Azizah ramah.
Nur Najwa memandang Khairul Syafiq dan
Noor Azizah silih berganti. Oo... nama panggilan dia Karl, desis Nur Najwa.
Nampak macam mereka berdua sudah saling mengenali.
“Dia nak tengok rumah kedai tu sendiri,
can you attend to him?” tanya Nur Najwa kepada Noor Azizah selaku Eksekutif
Pemasaran Mega Bina.
“Definitely...” jawab Noor Azizah yang
mata masih belum lekang memandang pemuda itu. “...please, have a seat,” ajaknya
sopan.
‘Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu
tetapi ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak
baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’
Dia sudah nampak hikmah yang cuba Allah
sampaikan padanya. Memang dia tidak menyetujui keinginan mamanya yang mahu dia
mengambil alih Maya Sutera... butik yang dipenuhi dengan perempuan semuanya.
Tetapi dengan menuruti kehendak mamanya, dia bukan sahaja telah menemui
perempuan empunya sekampit gula itu... malah telah ditemukan dengan bekas teman
wanitanya juga.
Dia marah sungguh semasa dapat tahu bahawa
teman wanitanya itu sama melayan bapanya. Walaupun hubungan itu tidak sampai ke
mana-mana, dia rasa kecewa juga dengan perangai teman wanitanya itu yang dalam
diam telah menduakannya. Perasaan marah itu telah membuatkan dia mengambil
keputusan melarikan diri ke UK di tempat adiknya. Cadangan asalnya untuk
menyambung pengajian... namun, semasa di dalam pesawat penerbangan itu dia
telah ditemukan dengan seorang dari ahli jemaah Tabligh yang akhirnya telah
membawa dirinya ke kelompok pendakwah itu.