BAB
7.
Erica termenung mengadap ke luar
melalui tingkap kamarnya. Suasana pagi walaupun terang tetapi dirasakan gerhana sahaja. Hari
ini genap dua minggu dia bergelar isteri kepada Muhd. Farish Haikal.
Kadang-kadang rasa meloya sahaja bila nama itu terlintas di fikirannya. Dia
mengeluh kasar. Walaupun kuliah sudah seminggu berjalan, namun dia masih lagi
belum memunculkan diri di hadapan kawan-kawannya. Pasti mereka semua
tertanya-tanya tentang dirinya. Mujurlah senang untuk mendapatkan sijil cuti
sakit di bandar Kuala Lumpur ini. Yang sebetulnya, Erica sedang pening
memikirkan tentang status dirinya sekarang.
Pintu biliknya diketuk, mengejutkan Erica
dari lamunannya.
“Em, Papa,” tegur Erica bersahaja.
“Kenapa tak siap lagi ni?” Zahid
bertanya kepada anak gadisnya yang kini telah menjadi isteri orang.
“Malas,” jawab Erica. Dia merebahkan
badannya kembali ke atas katil empuknya.
“Sampai bila nak cuti ni?” Zahid bersuara.
“Sampai mati,” jawab Erica.
Zahid menggaru-garu kepalanya. Sudah
seminggu Erica hanya mengurungkan diri ke dalam bilik. Selepas kembali dari
Melaka.
“Apa masalahnya sekarang ni?” tanya Zahid.
“Pening lah Papa tahu tak?”
“Nak pening apanya. Bukan dia orang
tahu pun yang Rica ni isteri Farish. Apa yang nak di susahkan,” kata Zahid.
“Sekarang ni tak tahu. Lama-lama
esok?”
“Nak tahu macam mana? Farish kat
Melaka, Rica kat sini. Jangan lah Rica fikir negatif sangat. Dah lah pergi
bersiap. Papa nak pergi kerja ni. Rica jangan nak buat perangai. Dah jadi bini
orang ni jangan nak buat perangai macam anak dara.”
“Papa. Papa ni kenapa? Menyampah
tau. Ini semua gara-gara arwah Nenda. Masa hidup menyusahkan orang, dah mati
pun nak menyusahkan orang lagi. Papa pun sama. Suka sangat nak bermenantukan
sotong tu,” marah Erica.
“Jangan nak salahkan orang lain.
Rica sendiri yang cakapkan. Tiga tahun je, lepas tu semua jadi milik Rica. Nak
sangat harta tu kan? So bising apa
lagi? Terima sahaja syarat-syarat Nenda tu. Dan jangan nak salahkan orang lain.
Bukan itu yang Rica nak kan?” bidas Zahid kepada anaknya. Sejak dari dulu lagi
dia sudah mengingatkan Erica. Erica sekadar mendiamkan diri. Malas dia membalas
kata-kata Papanya. Sebenarnya dia mati kutu.
“Rica, Rica,” panggil Sarah. Dua
lagi temannya sedang mengikut langkah Sarah.
“Sarah,” balas Erica.
“Kau dah sihat ke? Emm. Tak sabar
lah nak tunjuk gambar masa kita orang ke Universal Studio di Singapore. Best
giler. Rugi tau kau tak pergi. Happening
sangat,” kata Sarah.
“Emm,” jawab Erica ringkas. Malas
dia nak melayan Sarah hari ini.
“Kau ni kenapa? Tak sihat lagi ek?”
kali ini Lissa pula yang bersuara, bila melihat sikap acuh tak acuh Erica.
“Sakit kepala lah. Sorry lah. Banyak
ke notesyang aku miss?” tanya Erica. Rasa bersalah pula
bila tidak mengendahkan teman-temannya. Bukan salah mereka pun. Salah Tengku
Khaleeda. Walaupun sudah tiada di dunia ini masih lagi hendak menyusahkan
hidupnya.
“Kalau sakit, ambil lah m.c lagi. Kasihan
kat kau kan Rica. Tak pa. Pasal notes
tu kau jangan susah hati. Nanti kita fotostat je. Lagipun tak banyak mana pun,
kan kelas baru bukak. Jangan susah hati lah. Sekarang ni, kita pergi tengok ada
mamat hensem gila. Macho sangat-sangat. Rugi kalau kau tak tengok dia. Sekali pandang
macam Brad Pitt. Dua kali pandang macam Iqram pun ada,” kata Sarah.
Sarah, Lissa dan Fatin hanya
mengikut langkah Erica yang menuju ke kafeteria. Erica hanya mengambil
sebungkus nasi lemak sebagai makanannya. Fikirannya sedang ligat memikirkan tentang
perihal dirinya. Bagaimana jika teman-temannya tahu tentang status dirinya.
Tidak. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu. Biarlah ianya menjadi rahsia. Tak lama
pun. Tiga tahun sahaja dia perlu kekal dengan status isteri orang lepas itu,
semuanya akan kembali seperti biasa. Dia akan menjadi Pengerusi di Khaleeda
Holdings. Dia akan membawa syarikat itu
ke tahap yang lebih tinggi. Dia sedar, semua orang di kelilingnya
menidakkan kemampuannya terutamanya Tengku Atylia. Dia perlu membuktikan kepada
mereka dia layak memegang jawatan itu. Sebelum itu dia perlu bersikap seperti
biasa agar teman-temannya tidak tahu tentang dirinya.
“Rica, kau ni kenapa? Termenung
sahaja?” tegur Fatin.
“Entahnya. Dari tadi asyik
mengelamun sahaja. Kau ni ada masalah dengan mak tiri kau lagi ke?” sampuk
Lissa. Semua tahu Erica memang tidak sebulu dengan ibu tirinya.
“Rica,
itulah dia mamat yang aku katakan tu,” Fatin menunjukkan ke arah seorang jejaka
tampan. Jejaka itu memang kelihatan tampan dengan jeans yang berwarna biru lusuh
dan T-shirt hitam. Rambutnya panjang separas bahu.
“Mak ai.. Hensem giler,” kata Erica.
“Kan aku dah kata. Namanya Daniel
Qushairie. Budak Senibina,” kata Sarah lagi.
“Amboi, semua kau dah tahu ye Sarah.
Budak Dip ke degree?” Fatin pula bertanya. Bab menyiasat ni memang Sarah ‘the best’. Sesuai dengan kursus
kewartawanan yang diambilnya.
“Em.. Budak degree lah. Kalau Dip tu
kira adik-adik kita le. Apa barang nak mengorat budak kecik,” Sarah berkata
sambil tangannya mengoyakkan sandiwich yang dibelinya. Yang lain hanya
tersenyum mendengar kata-kata Sarah.
“Bestnya kalau dapat boyfriend macam tu kan. Macho, hensem.
Rebutan perempuan-perempuan macam kau orang. Agak-agak kau lah kan, kalau geng
butik bergerak tengok salah seorang dari kita dapat mamat tu macam mana ek?
Mesti dia orang hangin kan. Sukanya,” kata Erica lagi.
“Wah,,, Erica dah kembali,’ Sarah
berkata sambil menepuk tangan. Kemudian gelak mereka terganggu bila melihat
mamat macho yang dikatakan tadi sedang berbual dengan salah seorang geng butik
bergerak.
“Panjang umur dia orang. Kau tengok
tu bukan main mesra lagi. Dia orang kenal ke?”
“Entahlah. Ala kau bukan tak tahu.
Tak kenal pun mesti dia orang buat-buat kenal punya.” Sampuk Fatin. Lissa dan
Sarah menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Fatin.
“Tak boleh jadi ni. Dah lah, sems lepas pasal dia orang aku clash dengan Danish,” Erica bercakap
dengan geram. Masih terbayang lagi di kepalanya bagaimana Danish berpimpinan
tangan dengan Marlia, ketua kumpulan butik bergerak. Gelaran yang mereka
berikan kepada tiga orang pelajar yang menjadi saingan mereka berempat.
“So,
tunggu apa lagi, cepatlah plan. Aku
dah ketagih nak buat kerja-kerja macam ni,” balas Fatin.
“Kau ni kan, tak baik tau. Ada ke
ketagih nak buat kerja-kerja macam ni,” marah Sarah.
“Okey apa. Kalau aku ketagih syabu
ke ice ke,, kau orang jugak yang susah,” jawab Fatin lagi.
Erica tidak mempedulikan apa yang
dikatakan oleh teman-temannya. Hati dan otaknya ligat memikirkan bagaimana
hendak mengatur rancangan untuk berkenalan dengan jejaka tampan di hadapannya
itu.
“Macam mana Rica, dah ada plan ke?” Erica
hanya mengelengkan kepalanya.
BAB
8
Farish
sedang menyusun baju-baju yang ada di BUTIK KHALEEDA. Sebentar tadi dia baru
sahaja menyiapkan segala urusan stok dan pengiraan baju-baju yang baru sampai
petang semalam. Amylia turut ada di dalam butik itu membantunya menyusun baju
di rak yang berada di sudut hujung di dalam butik itu. Butik yang berwarna
merah jambu itu memang manis dipandang.
“Farish, kenapa buat keputusan macam
tu?” tegur Amylia.
“Keputusan apa pulak ni Mama Lia?”
tanya Farish sambil tangannya ligat menyusun baju-baju itu. Satu-satu
disangkutnya di rak pameran.
“Mama Lia tahu, Farish sengaja tak
nak daftarkan diri ke kolej tu kan? Kenapa?” tanya Amylia sambil menghampiri
Farish yang dianggapnya sebagai anak. Farish membesar di hadapan matanya.
“Farish tak minat nak belajar,”
jawab Farish ringkas.
“Farish, pelajaran ni penting.
Lagipun ini kan bidang yang Farish minat. Apa lagi yang Farish susahkan. Pasal
duit ke?” tanya Amylia lagi.
“Bukan pasal tu,” jawab Farish.
“Habis tu?”
“Kalau Farish pergi sana, Mama Lia
macam mana? Lagipun, Mak Engku dah tak ada. Farish...” suara Farish mati di
situ. Dia rindukan insan yang banyak berjasa kepadanya.
“Farish rindukan dia?” Amylia
bertanya.
Farish menganggukkan kepalanya. Ada
air yang di tahan di kelopak matanya.
“Mama Lia juga rindukan dia. Rindu
pada gelak dia, pada leteran dia. Tapi Farish kena ingat, dia yang beria-ia nak
Farish sambung belajarkan. Malah borang pun dia yang susah payah belikan, jadi
kenapa nak hampakan hajat dia?” pujuk Amylia.
“Tapi?”
“Lagipun Erica kan ada di Kuala
Lumpur. Bolehlah duduk dengan bapak mertua,” usik Amylia.
“Mama Lia ni, ke situ pula. Perempuan
gila tu boleh biol kalau nak di layan. Nasib baik dia balik ikut papa dia,
kalau tidak buat sakit hati je tau,” rungut Farish. Jika tadi hatinya mendung
mengenangkan Mak Engku, kini serta merta hilang bila nama Erica yang muncul.
“Tak baik lah Farish. Dia kan isteri
Farish yang sah. Lagipun tempat suami di sisi isterinya.”
“Tak suka tau, Mama Lia ni. Lagi
sekali Mama Lia ungkitkan hal ni, Farish nak lari dari sini, Kalau tidak kerana
wasiat tu, jangan haraplah Farish nak buat dia bini. Harap muka je lawa, tapi
perangai macam hantu. Dia ingat dia tu diva ke?’
“Tak baik mengutuk bini sendiri tau
Farish,” Amylia mengingatkan Farish.
“Tak kuasa tau,” jawab Farish sambil
melenggok meninggalkan Amylia.
“Farish, nak ke mana tu? Mama Lia
tak habis lagi nak cakap ni,” panggil Amylia.
“Keluar, nak tenangkan fikiran,”
ujar Farish sambil terus meninggalkan Amylia sendirian di situ.
Makan malam di rumah agam itu tidak
meriah seperti selalu. Farish asyik mendiamkan diri, tanpa sebarang bicara. Amylia
pun begitu juga. Dia tahu Farish mungkin
sedang marahkan dia.
“Diam je ni, kenapa? Tak kan datang
bulan kot,” usik Amylia kepada Farish.
“Ewah-ewah, sesedap rasa nampak Mama
Lia ni. Apa ingat kita ni sama spesis ke?” jawab Farish selamba.
“Tak lah. Tapi Mama Lia boringlah
tengok Farish diam macam ni. Marahkan Mama Lia ke?” tanya Amylia lagi.
“Bukan lah, kenapa pulak Farish nak
marahkan Mama Lia. Cuma Farish tengah fikirkan tentang apa yang kita bincangkan
di butik siang tadi,” Farish menjawab.
“Pasal Erica?” soal Amylia dengan
sengaja walaupun dia tahu bukan itu yang dimaksudkan oleh Farish.
“Huh, tak kuasa nak bincang pasal
perempuan gila tu. Mama Lia ni, bukan pasal tu lah,” marah Farish.
“Habis tu pasal apa?”
“Pasal nak sambung belajar tu.
Farish susah hati nak tinggalkan Mama Lia sendirian kat sini,” jawab Farish
sambil merenung ke arah Amylia. Memang
itu yang disusahkannya. Lainlah kalau ada orang lain di dalam rumah yang besar
ini. Dia risaukan tentang keselamatan Amylia bila tinggal sendirian.
“La, Mama Lia bukan budak kecil
lagilah. Jangan nak susah pasal Mama Lia pula.
Tahulah Mama Lia nak jaga diri. Lagi pun, bukan Mama Lia sorang-sorang
kat rumah ni, Mak Limah dengan Pak Su Mat kan ada. Lagipun time cuti Farish baliklah sini, jangan nak berkepit dengan bini
je,” sempat lagi Amylia mengusik Farish.
“Uwek, nak termuntahlah
mendengarnya. Sorry lah Farish tak
kan beritahu dia yang Farish nak ke Kuala Lumpur. E.. Gelilah dengan nama
perempuan gila tu,” ujar Farish sambil mengayakan aksi geli.
“Mula-mula menyampah, esok dah
lama-lama dah kenal baru Farish tahu erti cinta,” kata Amylia.
“Macam Mama Lia dengan Uncle Zahid kan?” serkap Farish.
“Apa kena mengena pulak dengan Uncle Zahid? Tak ada kena mengenalah.”
“Ala, sekilas lalu depan Melaka Parade tu Farish dah tahu
ada sale ke tak?”
“Ni apa punya peribahasa ni?” soal Amylia.
“Em, maknanya macam sekilas ikan
air, dah tahulah jantan betina nya. Ini peribahasa sendiri buatlah.” Farish
menjawab.
“Rosak bahasa. Jangan nak
pandai-pandai bawa cerita. Nanti Mama Lia cilikan mulut tu,” marah Amylia.
“Jangan dipendamkan sangat perasaan
Mama Lia tu. Jelas ketara di wajah. Memang orang lain tak perasan tapi Farish tahu
dan yakin apa yang tersirat di dalam hati Mama Lia.”
“Dah jadi ahli nujum lah ni? Dah lah,
Mama Lia nak masuk. Macam mana? Bila nak daftar? Ada tempoh seminggu lagikan
untuk mendaftar. So bila nak pergi?” Amylia bertanya dengan harapan Farish akan
melupakan tentang apa yang diutarakan tadi.
“Lusa kot, tapi Mama Lia hantarkan
ye, lepas tu Farish nak jumpa dengan Kak Sarah, nak tanya pasal kondo yang ada
kat K.L tu?”
“La, kenapa pula? Stay je lah dengan Uncle Zahid dan Erica,” Amylia memberikan cadangan.
“Simpang malaikat empat puluh empat.
Sorrylah kalau nak stay dengan dia,
lebih baik Farish duduk kat sini. Tak belajar pun tak apa,” Farish berkata
sambil bangun membawa pinggannya ke singki. Walaupun Mak Limah selalu
menegahnya namun dia tetap membasuh sendiri pinggan atau cawan yang
digunakannya. Dia tahu dia hanya menumpang di rumah agam itu.
Amylia hanya melihat, kenapa marah
benar Farish kepada Erica yang kini menjadi isterinya. Dia sendiri pun tidak
pasti kenapa bondanya mewasiatkan sedemikan. Amylia mengelengkan kepala. Dia
serba salah sama ada hendak memaklumkan kepada Zahid atau tidak. Zahid, nama
yang sudah lama tersemat di hatinya. Amylia mengeluh kerana Zahid dia menolak
untuk dicintai dan menyintai lelaki lain. Namun tiada siapa yang tahu apa yang
tersemat dihatinya. Macam mana Farish pula yang boleh perasan dengan apa yang
ada di hatinya? Adakah jelas perasaan itu terpamer di wajahnya? Amylia
mengarukan kepalanya yang tidak gatal. Selepas ini dia perlu mengawal agar
perasaan itu tidak terpamer, kalau tidak matilah dia kena ganyang dengan Shirin.
BAB
9
Izhan masih lagi teragak-agak untuk
menelefon Erica atau tidak. Sudah hampir seminggu nombor telefon itu
ditangannya, namun dia masih tidak menghubungi Erica. Izhan mengaku memang
sepupunya itu cantik tetapi rasanya Erica tidak sesuai dengan jiwanya, Erica
agak kebudak-budakkan dan manja. Dia lebih tertarik kepada wanita yang matang
dan elegen. Bukan seperti budak-budak macam Erica. Lihat dari segi pakaiannya
siapapun boleh mengagak Erica itu macam mana. Izhan mengeluh lagi. Jika tidak
kerana mamanya yang beria-ia, pasti nombor telefon Erica hanya tersimpan sepi
di atas meja tulisnya.
“Hai buat apa tu?” Izhan memulakan
bicara.
“Siapa tu?” Erica menyoal. Dia
langsung tidak tahu siapa yang menghubunginya malam-malam hari.
“Teka?”
“Sorrylah saya tak ada masa nak
teka-teka. Kalau awak nak suruh saya teka jugak, telefonje esok pagi. Sekarang ni dah pukul 11 malam. Masa untuk
saya tidur,” kata Erica.
“Amboi garangnya. Nak tidur sorang
ke tidur berdua,” usik Izhan lagi.
“Hello, tidur sorang lah. Awak ni
siapa?”
“Bukan tidur dengar Farish?”
“Err,, awak ni siapa?” soal Erica
kehairanan. Dalam pada itu dia juga kebimbangan. Bimbang jika rahsianya
diketahui.
“Teka,” arah Izhan lagi.
“Malaslah saya nak layan awak ni,”
marah Erica.
“Rica, ni abang lah. Amboi
garangnya,”
“Abang? Abang Iz ke?” tanya Erica.
“Em. Marah ke?” soal Izhan.
“La, kenapa tak beritahu awal-awal.
Ingatkan siapa tadi,” Erica berkata. Dalam hatinya berbunga riang, bila
mendengar suara di hujung sana adalah milik Izhan.
“Abang ganggu Rica ke?” tanya Izhan.
Erica merebahkan badannya ke tilam
yang empuk, hatinya benar-benar berbunga.
“Tak. Tapi kenapa abang telefon Rica tengah malam-malam ni.
Lagipun mana abang dapat nombor telefon Rica?”
“Em, itu rahsia abang. Saja ja telefon Rica. Rindu. Tapi abang tahu
Rica tak rindukan abang kan. Mesti tengah rindukan Farish,” Izhan sengaja
menduga.
“Abang, abang kan tahu kenapa Rica
terpaksa kahwin dengan sotong rebus tu,” kata Erica.
“Sotong rebus?”
“A’ah. Sotong rebus tu lah. Kalau
tak kerana wasiat nenda yang merepek tu, tak kuasa Rica kahwin dengan dia.
Nasib baik lah dia stay kat Melaka
sekarang. Tapi tunggulah lagi tiga tahun. Lepas tu semua selesai antara kami.
Yang penting sekarang Rica bakal menjadi Pengerusi Khaleeda Holdings,” Erica
menjelaskan segalanya kepada Izhan. Izhan menarik nafas yang lega bila
mendengarnya.
“Tapi tak baiklah panggil dia sotong
rebus, dia kan suami Rica.”
“Tak ada maknanya. Yang abang ni tak
pernah telefon, kenapa telefon Rica?”
“Kan abang dah cakap, abang rindu.”
“Tipu. Rica tak percayalah. Mana
perginya awek abang yang lain?”
“Entahlah. Hilang tanpa dikesan.
Okeylah Rica. Sweet dream,” kata
terakhir Izhan sebelum mematikan talian dengan sengaja.
“Abang. Hello, hello,” panggil Erica.
Namun langsung tidak kedengaran suara Izhan di hujung sana. Erica menarik nafas
yang panjang. Dahinya dikerutkan. Antara percaya dengan tidak, panggilan itu
datangnya dari Izhan sepupunya yang tampan.
“Berseri muka hari ni,” tegur Shirin
kepada anak tirinya.
“Emm. Biasalah. Kalau hati tu
ikhlas, aura seri keluar sendiri. Tak perlu nak pakai make-up berkati-kati kat muka tu. Semua tu plastik,” bidas Erica.
Mujurlah papanya tiada disitu. Bolehlah dia naik tocang sikit.
“Rica, kau ni kenapa? Aku cakap
dengan kau elok-elok. Tak habis-habis kau nak sakitkan hati aku.”
“Eh, terasa? Jadi betullah makcik ni
plastik. Patutlah, berkilo bedak kat muka tu. Macam opera cina je. Sekarang
orang tak pakailah make-up macam ni. Sekarang ni natural beauty. Okey,” sengaja Erica menyakitkan hati Shirin.
Shirin merengus, dia melemparkan
napkin ke atas meja. Geramnya pada anak tirinya semakin bertambah. Erica
ketawa. Bangga kerana dapat menyakitkan hati Shirin.
“La, kenapa anak papa ketawa
sorang-sorang ni. Mama Shirin mana?” tanya Zahid kepada Erica.
“Bila masa pula jadi Mama Shirin ni?
Papa ni demam ek?”
“Salah ke, Rica panggil dia macam
tu? Mana dia?”
“Dia kan bini papa? Carilah
sendiri,” jawab Erica. Dia kemudiannya bangun dan hanya mencapai sekeping roti
kosong. Zahid hanya mengelengkan kepalanya, entah sampai bila hubungan Erica
dan Shirin akan terus berlanjutan begini.
Teman sekuliahnya sedang menunggu
ditempat biasa.
“Kau ni selalu lambatlah Rica,”
marah Fatin.
“Jalan jammed. Kau tak apa lah ada driver,
aku ni kena guna papa aku sebagai driversendiri.”
Erica menjawab.
“Kalau dah tahu jalan jammed, habis
tu tak reti-reti nak keluar awal?” sampuk Sarah pula.
“Bukan tak nak keluar awal, tapi kau
kan tahu, sebelum keluar aku kena mintak restu mak tiri aku tu,” ujar Erica
sambil ketawa.
“Nak kiamat lah tu. Muka kau nak
minta restu dia?” kata Sarah lagi. Mereka bertiga maklum sangat tentang
hubungan antara Erica dan ibu tirinya.
“So,
kau dah dapat ilham ke, bagaimana nak dapatkan si Daniel tu?” Lissa pula yang
bertanya.
“Em, malaslah nak fikir. Lagipun...”
bicara Erica terhenti di situ. Namun hatinya yang berbunga malam tadi masih
lagi berbekas.
“Sekejap, Erica Soffea, kau demam
ek?” soal Sarah kehairanan.
“Tak ada lah, aku okey, jom kita
masuk ke kelas. Lambat dah ni,” Erica bangun dan meninggalkan kawannya.
Terkocoh-kocoh ketiga-tiganya mengikut langkah Erica. Mereka pasti ada sesuatu
yang tidak kena pada Erica.
Erica serba tidak kena, ketiga-tiga
kawannya sedang memerhatikannya.
“Kau orang ni kenapa? Tengok aku
semacam je, seram lah,” kata Erica.
“Aku peliklah,” kata Sarah. Dua lagi
temannya menganggukkan kepala masing-masing.
“Apa yang peliknya? Mata aku dua,
hidung aku satu, mulut aku satu. Jadi tak ada yang peliknya,” ujar Erica lagi.
“Otak kau tu yang dah tak betul,”
kata Sarah.
Erica tersentak. Dia memuncungkan
mulutnya. Kemudian telefonnya berdering. Dia menjawab dengan berdebar bila
dilihatnya nama Izhan terpampang di skrin.
“Hello,” Erica menjawab dengan
perlahan, namun entah kenapa mukanya merah menahan malu, seolah-olah Izhan ada
disebelahnya.
“Rica buat apa?” tanya Izhan.
“Tengah makan dengan kawan,” jawab Erica.
“Abang ada kat depan kolej ni, kat
dataran apa entah ni.”
“La, abang buat apa kat sini?” kali
ini suara Erica agak kuat.
“Nak jumpa Rica. Tapi kalau Rica
sibuk tak apa lah.”
“Tak lah, lagipun dah habis kelas
dah. Abang Iz tunggu kat situ, nanti Rica sampai,” kata Erica. Dia bangun
dengan segera.
“Rica kau nak ke mana?” tanya Lissa.
Namun Erica tidak mempedulikannya, sebaliknya kakinya terus melangkah dengan
laju meninggalkan kafeteria itu.
“Kenapa dengan Rica tu?” tanya Sarah
kepada Fatin dan Lissa.
“Kalau nak tahu, jom lah ikut dia,”
kata Fatin.Yang lain hanya mengikut langkah Fatin yang tergesa-gesa mengikut
lengok Erica.
“Hai,” tegur Izhan sambil
menghulurkan sejambak bunga ros pelbagai warna kepada Erica. Erica menyambut
dengan senyuman yang manis. Debaran di dadanya semakin kencang bila melihat
senyuman Izhan yang manis.
“Terima kasih,” jawab Erica dengan
manja.
“Em, tak nak kenalkan pada kami ke?”
Fatin bersuara, menyedarkan Erica yang kawan-kawannya sedang berada
dibelakangnya.
“Eh, bila masa pula yang kau orang
ada kat belakang aku ni?” Erica bertanya dengan agak terkejut.
“Kau tengok tu sampai tak perasan kita ikut belakang dia,
memang sah lah,” sampuk Lissa.
“Sah apa kebendanya? Kenalkan ni
sepupu aku, Izhan,” Erica memperkenalkan Izhan kepada kawan-kawannya. Hatinya
merengkam bila kawan-kawannya turut ada situ.
“Sepupu? Betul ke ni? Takkan sepupu
main hantar-hantar bunga besar macam ni?” serkap Fatin.
“I memang sepupu dia pun. Tak kan
sepupu tak boleh bagi bunga. Apa, ingat bunga ni untuk yang bercinta je ke?” Izhan
berkata.
“Okey. I Fatin. Yang ini Lissa dan
yang ini pula Sarah.” Fatin memperkenalkan dirinya sendiri dan tanpa disuruh
dia turut memperkenalkan kawan-kawannya juga. Izhan menyambut salam yang
dihulurkan oleh teman-teman Erica.
“Cantik-cantik
juga teman Erica,” getus Izhan di dalam hatinya sendiri.
“Patutlah, tak berminat nak teruskan
rancangan kita, rupanya dah berpaut pada yang lain. Pandai kau simpan ye Rica,”
cubit Sarah di lengan Erica. Erica menjerit perlahan. Mujurlah Izhan sedang
berada di hadapan mereka, jika tidak tahulah dia macam mana nak mengajar
teman-temannya itu.
“Em, sebenarnya abang nak ajak Rica
keluar, tapi kalau Rica dah ada program dengan kawan-kawan, tak apalah. Kita
keluar lain kali lah ye,” Izhan memaklumkan tujuan. Naik menyampah pula melihat
kegedikkan teman-teman Erica.
“Ish, tak ada rancangan apa-apa pun.
Rica pun memang dah nak balik dah ni,” jawab Erica.
“Kalau macam tu, jomlah. Yang lain
nak ikut juga ke?” Izhan pelawa-pelawa ayam sahaja sebenarnya.
“Er, Tak kot. Dia orang ada hal lain
lepas ni,” dengan pantas Erica bersuara. Kawan-kawannya hanya menjengilkan
mata. Izhan menarik nafas dengan lega.
Erica meninggalkan teman-temannya,
langkahnya beriringan dengan Izhan. Sesekali mereka sama-sama menjeling. Erica
seringkali mengalihkan pandangannya. Malu untuk bertatapan mata dengan
sepupunya. Namun terselit juga bangga di dalam dirinya kerana berjalan berdua
dengan Izhan yang tampan, tambahan pula dengan sejambak bunga di tangannya.
“Rica pernah datang tak kat kafe
ni?” Izhan bertanya tatkala mereka melabuhkan punggungnya ke kerusi yang diikat
kemas dengan riben yang berwarna merah hati itu. Erica mengelengkan kepalanya
sambil matanya liar memerhatikan dekorasi “CHINTA CAFEE”. Romantik dan
mendamaikan.
“Takkan tak pernah datang dengan
buah hati kot,” Izhan menduga.
“Boyfriends?
Rica ni mana ada boyfriend. Lainlah
dengan Abang Iz, girlfriends keliling
pinggang,” jawab Erica.
Izhan hanya tergelak, menampakkan
barisan putih giginya yang tersusun kemas. Lesung pipit di kedua-dua belah
pipinya jelas kelihatan. Menyebabkan Erica mati di dalam ketawa Izhan. Erica
merasakan yang dia benar-benar sudah terpikat dengan Izhan. Dan seketika itu
juga hatinya menyumpah-nyumpah akan perkahwinan yang tidak dirancangnya
bersama-sama dengan Farish.
“Kita pesan makan dulu, Abang pun
dah tahap kebulur dah ni,” Izhan bersuara lagi. Erica sekadar menganggukkan
kepalanya. Dia benar-benar tidak mampu bersuara bila berdampingan dengan Izhan.
Jatuh cinta pandang pertama kah dia? Erica hanya mampu bertanya di dalam hati.