Farish
mengambil telefonnya. Kemudiannya diletakkannya balik. Serba tidak kena. Sudah
tiga hari dia tidak ke kolej, takut kalau-kalau dia terserempak dengan Erica.
Pada Shua dan Dhia Adirra, dia memberitahu yang dia kurang sihat, diserang
demam selsema. Memang badannya seram sejuk sejak dari detik dia terserempak
dengan Erica. Demam terkejut sebenarnya.
Tidak, dia perlu menelefon Erica.
Dia perlu membuat perhitungan dengan Erica. Akhirnya Farish memberanikan
dirinya mendail nombor telefon Erica yang diambilnya dari Mama Lia. Farish
menunggu dengan perasaan berdebar, agaknya apa lah yang hendak dimaki oleh Erica
nanti.
“Hello,” kedengaran suara Erica di
hujung sana.
“Hello,” balas Farish.
“Siapa ni?” tanya Erica lagi.
“Aku,” Farish menjawab dengan
ringkas. Malas sebenarnya dia hendak mendengar suara milik perempuan itu.
“Aku? Aku siapa?” tanya Erica
kehairanan.
“Ish, perempuan ni. Bengap betul.
Ini aku lah, Farish. Laki kau.”
Tersembur air di dalam mulut Erica
bila mendengar perkataan itu.
“Kau ni kenapa Rica, semenjak dua
menjak ni asyik tersembur je,” kata Fatin yang kebetulan ada di samping Erica
ketika itu.
“Tak ada apa, kejap ye. Aku nak ke
sana. Kau tolong tengokkan beg aku ye Fatin,” kata Erica sebelum bangun
meninggalkan teman-temannya. Dia kemudiannya berjalan menuju ke balik tembok.
Di pastikan tiada orang disekelilingnya, bila dirasakan keadaanya agak selamat
barulah dia meneruskan percakapannya dengan Farish.
“Kau pergi mana? Dah dua hari aku
cari kau tau,” marah Erica. Memang benar sudah dua hari dia melilau mencari
Farish di sekitar kampus. Dia ingin membuat perjanjian dengan suaminya itu.
“Apahal kau cari aku? Rindu?”
sengaja Farish membangkitkan rasa marah Erica.
“Banyaklah kau punya rindu. Aku
ingat kau dah arwah. Kita kena jumpa,” kata Erica.
“Aku pun memang nak jumpa dengan
kau. Kita jumpa kat KLCC petang ni,” Farish memberikan cadangannya.
“Kau ni gila ke, bodoh ke apa? Kau
nak cari bala ke. Kalau kawan-kawan aku nampak, kau dengan aku kat KLCC tu,
gossip liar tahu tak?”
“Okey apa, cakaplah kat kawan-kawan
kau yang perasan diva tu yang aku ni laki kau. Kellllaaas kau jah.”
“Wei, sotong! Kau jangan nak naikkan
darah aku tau. Kalau kau tu macho macam Aaron Aziz ke, Hans Isaac ke, nak lah
jugak aku mengaku. Sedarlah sikit, dasar sotong kurita.”
“Amboi secukup rasa kau bagi kat aku
ye, sampai naik masak aku kat sini. Apa kau ingat aku kebulur sangat nak
mengaku kau tu bini aku? Tollong sikit, kau tu bukan selera aku.”
“Memanglah bukan selera kau, selera
kau tu lelaki macho macam selera aku.”
“Rica, aku tak ada masa nak bertekak
dengan kau kat telefon ni, menghabiskan kredit aku je. Kalau dah tak boleh
jumpa kat KLCC kita nak jumpa kat mana lagi?”
“Kita jumpa kat rumah aku. Kau
tahukan rumah aku kat mana? Reti datang rumah aku?”
“Apa kau ingat aku ni bodoh sangat
ke?” marah Farish.
“Bukan apa, aku takut kau sesat kat
Lorong Haji Taib pulak.” Jawab Erica dengan selamba.
“Mulut kau kan bukan takat bau
longkang tapi dah tahap bau bangkai.”
“Ada aku kisah? Malam nanti kau
datang rumah aku. Kalau kau tak datang, siap kau,” ugut Erica. Kemudian dia
memutuskan panggillannya.
“Kenapa tak jumpa dia kat tempat lain? Kan banyak tempat kat
K.L ni?” soal Zahid kepada Erica.
“Tak kuasa Rica. Jumpa kat rumah ni
selamat sikit. Nanti kalau kawan-kawan
Rica jumpa, kena pakai jubah lah Rica,” jawab
Erica bersahaja.
Shirin hanya mendiamkan diri, malas
dia hendak melayan kerenah Erica. Naik meluat adalah.
“Rica, tak baik buat macam tu kat
dia. Sekurang-kurangnya hormatlah dia sebagai manusia kalau dah tak boleh nak
hormat dia sebagai suami,” marah Zahid, sambil itu matanya dijeling ke arah
isterinya. Hubungannya dengan Shirin semakin jauh. Kini dia pergi kerja pun
berasingan dengan Shirin. Shirin lebih senang ke tempat kerja dengan menaiki
kereta sendiri walaupun tempat kerja mereka sehaluan.
“Papa ni nak jadi penceramah bebas
ke? Atau sengaja nak mengajar orang lain?” soal Erica. Dia tahu papanya turut
memperli Shirin, walaupun tidak secara terang. Shirin berpura-pura tidak
mendengar.
“Ikut suka Rica lah, nanti jangan
berkasar sangat dengan dia. Dia tahu ke jalan nak ke sini. Papa rasa lama dia
tak datang ke sini kan?”
“Entah, tapi dia kata dia tahu.
Pandai-pandailah dia.”
Farish sampai di hadapan banglo
rumah Erica tepat jam 9.00 malam. Agak lambat. Jenuh lah jugak dia mencari
rumah itu, walaupun sebenarnya pemandu teksi itu yang mencari alamat rumah itu. Sengaja dia menggunakan
perkhidmatan teksi, senang dan cepat. Lagipun dia bukanlah tahu sangat jalan di
Kuala Lumpur ini.
Setelah membayar duit tambang,
Farish masuk ke perkarangan rumah itu. Loceng ditekan, kelihatan Zahid keluar
dari pintu rumah.
“Assalamualaikum Uncle,” Farish menghulurkan tangannya.
“Waalaikumussalam, Farish datang
dengan apa? Tak nampak kereta pun?” Zahid bertanya.
“Naik teksi Uncle,” jawab Farish. Tidak tergamak rasanya dia hendak memanggil
Zahid dengan panggilan Papa, rasa janggal.
“Pasal tak drive sendiri? Rica cakap Farish bawak kereta datang sini.”
“Tak berani nak drive lah Uncle. Mama Lia
kirim salam.”
“Masuklah dulu, Rica tunggu Farish
kat dalam,” pelawa Zahid. Dia pun sebenarnya serba tidak kena untuk menerima
Farish sebagai menantunya. Malam itu Farish hanya mengenakan kemeja yang agak
ketat berwarna putih dan di taburi dengan bunga mawar berwarna merah jambu.
Jeans yang dipakai agak longgar. Digalasnya sebuah beg jenis ‘tote’ yang agak
besar bewarna merah samar kehijauan.
Zahid menarik nafas yang agak panjang bila melihat lengok Farish ditambah
pula dengan sehelai skaf panjang yang menghiasi leher menantunya.
Farish melabuhkan punggungnya ke
atas sofa itu, matanya sesekali melilau mencari kelibat isterinya. Kemudiannya
matanya tertumpu ke arah dinding di dalam rumah itu. Dia mengeluh melihat warna
yang memang tak kena langsung untuk dijadikan warna dinding pada pandangan
matanya. Kemudian di tengah ruang tamu itu diletakkan sejambak bunga yang agak
besar, betul-betul di atas meja kopi. Juga langsung tidak kena di matanya.
“Uncle,
siapa yang pilih warna rumah ni?” tanya Farish.
“Er. Rica. Kenapa? Cantik?” Zahid
bertanya.
“Patutlah. Tak kena langsung. Rumah
ni macam syurga buat kita. Kena tenang dan harmoni, barulah aman. Kalau dah
warna terang benderang macam ni, tak ada maknanya.”
“Iya ka? Patutlah balik kerja
rasanya macam pening je,” kata Zahid dan memerhatikan persekitaran rumahnya.
“Aku punya rumah, aku punya sukalah
nak cat warna apa pun. Warna hitam ke, kelabu tahi anjing ke, putih melepak ke,
kau sakit hati kat mana?” tiba-tiba kedengaran suara Erica dari arah belakang.
Hampir tersentak Farish mendengar suara
yang umpama ngauman harimau itu.
“Bukan sakit hati, tapi sakit mata.
Tapi tak apa lah bukan rumah aku pun. Ada aku kisah?” balas Farish sambil
memusing-musingkan selendang yang terletak cantik di lehernya.
“Tak kisah sangat lah tu,
datang-datang rumah dah komplen macam-macam.”
“Dah lah tu. Kata nak bincang
elok-elok. Buat apa nak gaduh-gaduh,” sampuk Zahid yang mula geram dengan
karenah Farish dan Erica. Asal berjumpa asyik nak bergaduh.
“Buat kau nak jumpa aku?” tanya
Farish.
“Aku nak tanya kau, apa dah tak ada
kolej lain kat Melaka sampai kat sini kau nak sambung belajar?”
“Aku punya suka lah nak belajar kat
mana pun. Kau sakit hati ke?”
“Memang aku sakit hati. Wei, KL ni
bersepah dengan kolej tau, pasal kolej yang sama dengan aku juga yang kau
pilih. Kau sengajakan nak sakitkan hati aku. Kau ni memang kurang ajar lah,” Erica
berkata dengan geram.
“Kolej tu bapak kau ada syer ke?”
Farish berkata dengan selamba. Terlupa pula dia yang Zahid ada di sampingnya.
“Em... Em..” Zahid berdehem sambil
menjeling ke arah Farish.
“Ops.. Maaf Uncle, terlajak,” kata Farish sambil meletakkan tangan ke bibirnya.
“Sekarang ni jangan cakap banyak,
aku nak kau keluar dari kolej tu,” arah Erica.
“Ewah, ewah, ewah. Sedapnya kau
mengarah ye. Kalau aku tak berhenti dari kolej tu kau nak buat apa?”
“Farish, kau jangan nak
mengada-ngada. Kau blahdari K.L. Kau
tahu tak kalau orang tahu tentang kita, malu aku kau tahu tak?”
“Habis aku tak malu? Kau tahu tak
semua orang tahu yang kau dengan kawan-kawan kau tu berlagak diva. Macam lah
lawa sangat.”
“Habis kau tu lawa ke? Cantik ke?
Vogue sangat ke?”
“Cukup-cukup tu. Kau orang berdua
ni, boleh tak selesaikan hal ni baik-baik. Erica, Rica tak ada kuasa nak halang
Farish dari belajar kat situ. Itu hak dia. Sekarang kau orang berdua nak tak
orang tahu pasal hubungan kau orang? Nak?” marah Zahid. Kedua-duanya
mengelengkan kepala.
“Habis tu nak buat macam mana?”
tanya Zahid pada mereka berdua.
“Buat apa lagi, buat bodoh je lah,”
jawab Farish.
“Takat bodoh tu kau tak payah buat,
dah sah-sah lah kau tu bodoh,” Erica bersuara. Setelah diam selama 2 minit.
“Amboi sedapnya, kalau aku bodoh,
kau tu apa? Bengap?”
“Astagfirullahalazim, cukuplah tu.
Pening dengan kau orang berdua. Tak tahulah kenapa Tengku Khaleeda buat wasiat
macam tu. Menyusahkan betul. Sekarang ni macam ni, Rica pergi kolej macam
biasa. Buat tak kenal. Jangan nak bergaduh-gaduh nanti pecah rahsia korang.
Farish kat sini duduk kat mana? Sewa?”
“Tak, duduk kat kondo yang Mak Engku
belikan,” Farish memberitahu.
“Kau duduk kondo tu ke? Sedap nya
kau duduk kat situ. Kondo tu hadiah sebab kita kahwin tau. Aku nak kau keluar
dari kondo tu. Okey. Kondo bukan hak kau. Pandai-pandai kau duduk kat situ.Suka
hati je,” Erica bertambah marah.
“Kondo tu bukan hak kau juga. Aku ni
kan suami, suka hati aku lah nak duduk kat mana. Kalau kau nak, kau duduk
sekali dengan aku. Nak? Bilik ada lagi. Tapi Master Bedroom aku punya. Kau boleh duduk dalam bilik stor. Sesuai
sangat dengan perempuan perasan diva macam kau ni.”
Erica sudah tidak dapat menahan persaannya.
Tanpa di duga dia menerkam ke arah Farish, kemudian dia tolaknya Farish dan
ditempelingnya muka Farish.
“Adoi, sakitlah. Kau ingat aku ni
batang pisang ke?” Farish tidak memberikan peluang. Dia juga menolak Erica,
kuasa lelakinya jelas telah keluar. Terpelanting Erica jatuh, mujurlah jatuhnya
Erica di atas sofa. Zahid mula masuk campur. Shirin yang dari tadi hanya memerhati
dari pintu bilik ketawa, agak kuat. Hingga berjaya menarik pandangan Zahid
kepadanya.
“Shirin, tolonglah,” Zahid memanggil
isterinya.
“Anak you, you handlelah sendiri. I
nak jadi penonton sahaja,” jawab Shirin bersahaja sambil memeluk tubuh
langsingnya.
“Kamu berdua ni kenapa? Perangai
mengalahkan budak-budak. Cukuplah tu. Kalau dah tak suka, buat apa nak kahwin?
Sebab harta? Kalau dah nak kahwin sebab harta, bertolak ansur lah. Dah dapat
harta yang kau orang idamkan sangat tu, kau orang punya suka. Nak bercerai ke, nak
apa ke? Tapi sekarang ni kau orang berdua dalam rumah Papa. Kalau nak gaduh-gaduh,
nak maki-maki pergi gaduh kat rumah arwah Nenda, wasiat dia kan yang
menyebabkan kau orang berdua ni kahwin kan? Bukan wasiat Papa,” marah Zahid.
Dia sudah tidak dapat mengawal amarahnya melihat tingkah anak dan menantunya.
Macam anjing dengan kucing.
Erica memuncungkan mulutnya, begitu
juga dengan Farish. Masing-masing mengalihkan pandangan. Seorang ke utara
seorang ke selatan. Menyampah sungguh melihat muka pasangan masing-masing.
“Jadi macam mana sekarang?” soal
Zahid bila semuanya kelihatan agak tenang.
“Macam mana apanya? Carilah rumah
lain. Apa hal nak duduk rumah tu gak? Bagi sewa pun dapat untung.” Erica
berkata. Farish menarik nafas yang panjang, cuba mengawal marahnya.
“Boleh, aku duduk sini nak? Aku
duduk bilik kau? Kita duduk sekali. Kita kan suami isteri. Kau nak macam tu?
Aku tak kisah,” Farish memberikan buah fikirannya.
“Banyak lah kau nak duduk sini. Kau
balik Melaka. Pergi jual baju. Tak pun pergi belajar main opera kat Melaka.
Sesuai sangatlah dengan sotong macam kau ni,” Erica menyakitkan hati Farish
lagi. Zahid mengelengkan kepalanya,
Sudah tidak tahu bagaimana hendak meyelesaikan pertelingkahan antara Erica dan
Farish.
“Aku ni nasib baik rumah bapak kau.
Kalau tidak,, ish malas nak cerita lah,” Farish menjawab dengan geram.
“Stop
it. Sekarang ni biar Papa yang buat keputusan. Farish duduk je kat rumah
tu. Rica pun kalau nak duduk situ pun boleh. Kalau rasa tak nak duduk situ,
jangan nak suruh Farish keluar pulak. Tiga tahun sahaja, lepas ni gasak kau
orang lah nak buat apa.”
Erica dan Farish masing-masing
mendiamkan diri.
“Papa, siapa anak Papa sebenarnya
ni? Rica ke sotong ni?” tanya Erica sejurus dia mendengar cadangan Papanya.
“Ini bukan masalah anak ke bukan.
Masalahnya nak selesaikan masalah kamu. Kan Rica jugak cakap, malu kalau orang
tahu apa yang berlaku. Sekarang ni kalau tak nak orang tahu, buat macam biasa
je lah. Jangan nak gaduh-gaduh. Jangan tarik perhatian orang pada hubungan Rica
dengan Farish.”
“Saya tak kisah,” jawab Farish.
“Tak kisah lah, beraya sakanlah
sebab kau boleh duduk kat kondo tu. Kau boleh lah bawak jantan-jantan balik ke
rumah kau, lepas kau kerjakan dia orang,” kali ini Erica sudah melampaui batas.
“Erica Soffea. Apa kau cakap ni. Aku
ingatkan kau ni bijak, pandai. Rupanya kau ni bodoh. Kau ingat aku ni apa? Gay?
Pondan? Aku ni lelaki. Memang aku ni lembut. Tapi lembut aku bukan bermakna aku
sukakan jantan. Aku nak apa-apakan kau pun boleh sebab kau ni isteri aku. Tapi
aku tak ada selera nak tengok orang macam kau ni. Harap muka sahaja cantik,
tapi perangai macam.... Malas aku nak kata. Kau nak sangat kondo tu, tak apa
kau boleh ambil. Aku tak heran, tapi kau jaga sikit mulut kau yang dah tahap
lombong lama tu. Sesuka hati je nak menuduh. Aku ada maruah tau, aku ada
pegangan agama. Sampai hati kau cakap macam tu kat aku. Apa yang kau geram
sangat kat aku? Kau marah sebab Mak Engku sayangkan aku? Aku tak nak lah harta
dia semua. Aku bersyukur sebab dia menjaga aku lepas aku kehilangan ayah aku.
Aku tak terfikir pun dia nak buat wasiat macam ni. Apa kau ingat aku kahwin
dengan kau ni sebab duit? Sebab harta? Kau fikirlah, aku tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini.
Lainlah kau dapat jadi Pengerusi. Tapi aku setuju sebab dua perkara. Pertama
sebab aku sayangkan Mak Engku. Aku nak balas jasa dia, dan yang kedua sebab kau
tu yang cabar aku. Kau ego sangat. Aku belajar kat sini pun sebab arwah Mak
Engku yang suruh, dan aku pun tak tahu kau belajar kat situ. Kalau aku tahu aku
pun tak teringin nak belajar kat situ. Tak kuasa aku nak mengadap muka kau yang
dah tahap cipan beranak empat. Saya balik dulu Uncle. Erica, aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku. Titik. Kita
jumpa balik selepas tiga tahun. Assalamualaikum,” kata Farish dengan panjang
lebar. Dia bangun dari sofa empuk itu. Tidak dipalingnya muka untuk mengadap
muka Erica Soffea. Rasa marah yang membuak sudah menjadi benci dan terkilan.
“Farish, tunggu dulu. Dah malam ni.
Bukan senang nak dapat cab kat kawasan ni. Lagipun Farish kan baru sampai.
Duduk dulu, nanti Uncle hantar
balik,” panggil Zahid. Dia turut terpukul dengan kata-kata Farish.
“Tak apa lah Uncle, saya kena balik. Urusan saya dengan Erica sudah selesai di
sini. Lagipun, makin lama saya duduk kat rumah Uncle ni, nanti ditimpa mala petaka pula. Ialah saya ni jahat, suka
buat maksiat. Bukan macam orang kat dalam rumah ni, golongan ahli syurga,”
Farish berkata lagi. Kali ini ada sendu di dalam suaranya. Zahid tahu yang
Farish benar-benar terkilan dengan kata-kata Erica. Zahid menjeling ke arah Erica
yang sudah seperti harimau kehilangan belang. Diam seribu bahasa, mukanya hanya
tertunduk memandang lantai yang licin dan berkilat. Buat pertama kali Zahid
melihat ego anaknya itu mati kutu.
Zahid mengekori Farish, sebelum
keluar dari rumah sempat dia mengambil kunci keretanya. Langkah Farish terhenti
bila dia merasakan bahunya disentuh dari belakang.
“Farish,” panggil Zahid lembut.
“Uncle,”
kata Farish di dalam tangis, kemudian di peluknya dada bidang milik Zahid.
Terkedu Zahid dibuatnya. Pertama kali dipeluk sedemikian rupa oleh manusia yang
sama jantina dengannya.
“Okey, Uncle hantar balik,” Zahid berkata sambil merenggangkan badannya
dari pelukan Farish.
Enjin kereta dihidupkan dan dengan
perlahan Zahid menyusuri keluar dari kawasan rumahnya. Pintu pagar itu di tutup
secara automatik. Zahid hanya menjeling ke arah Farish yang masih lagi di dalam
sendunya. Kasihan pulak melihat Farish dalam keadaan yang sebegitu. Hilang
macho seorang lelaki.
“Maafkan lah Erica, dia tu memang
macam tu, angin satu badan,” Zahid memulakan bicara.
“Tuduhan dia tu memang melampau. Dia
ingat saya ni apa? Tak ada iman ke?” jawab Farish.
“Betul lah tu, Dah lah. Farish dah
makan ke? Kalau belum jom kita pergi makan dulu.”
“Tak apa lah Uncle, saya dah tak ada selera nak makan. Uncle tahu ke kondo tu kat mana?” soal Farish.
“Tahu. Sepatutnya Farish kena
panggil Papa, bukan Uncle macam
dulu.”
“Emm.. Tak ada maknanya. Uncle pun tak dapat terima menantu macam
saya ni kan. Lelaki lembut. Lagipun saya jadi menantu Uncle hanya tiga tahun, selepas tu kita tak ada hubungan kecuali
hubungan sesama islam.”
“Farish pun sama macam Erica, Uncle ingatkan Farish ni lain. Kalau
Farish sayangkan arwah Mak Engku sepatutnya Farish kekalkan perkahwinan ini.
Itu hajat arwah kan? Memang betul Uncle
pada mulanya tidak setuju dengan perkahwinan ini. Tapi bila Uncle lihat Farish malam ni, Uncle yakin Farish dapat mengubah Erica.
Erica memang seorang yang egois. Dia
memang keras kepala. Farish, Uncle
bukan nak kutuk atau mentafsir Farish macam mana. Tapi Farish tengok sendiri
diri Farish, Farish senang ke dengan cara Farish macam ni? Dulu masa Uncle kenal Farish, tak lah selembut
ni.Tak salah jadi lelaki lembut tapi berdosa kalau cuba mengubah apa yang
ditentukan ALLAH,” Zahid memberi nasihat yang selembut mungkin. Tidak mahu
Farish tersalah tafsir dengan maksudnya.
“AstagfirullahalAzim, apa yang Uncle cuba cakapkan ni? Uncle pun macam Erica juga?”
“Bukan Farish. Bukan itu maksud Uncle. Uncle cuba mahu meluaskan skop lelaki lembut. Lelaki lembut bukan
kena jalan melenggang macam perempuan, kena make-up, kalau bersembang kena
kepak-kepak tangan. Macam yang Farish amalkan sekarang.”
“Uncle,
Farish desingner bukan engineer. Benda ni dah sejak azali lagi tau. Ingat
Farish suka-suka nak buat macam ni. Farish sukakan kecantikan, salah ke, kalau
Farish teringin nak merasai kecantikan itu? Salah ke?”
“Farish, tak salah suka kan
kecantikkan, malah islam sendiri itu cantik. Tapi macam mana kita aplikasikan
kecantikkan itu. Ambil Bernand Chandran sebagai contoh, dia designer, tapi dia
macho, dah kahwin. Anak dua. Itu yang Papa cuba maksudkan. Kenapa kena hadkan
pemikiran kita, kalau aku nak jadi pereka fesyen, aku kena lembut. Kalau nak
jadi make-up artis aku kena jadi macam perempuan. Itu dah salah. Kita lelaki,
kita juga perlu lembut tapi kelembutan kita ada had. Kita boleh berfesyen tapi
jangan sampai fesyen kita menimbulkan syak pada orang. Itu maksud Uncle. Uncle kenal Farish, tapi kalau orang yang tak kenal siapa Farish,
Farish lepak pulak kat KLCC malam-malam, habis lah. Uncle harap Farish tak marah. Uncle
cakap atas nasihat seorang ayah pada anaknya,” Zahid memegang tangan Farish.
Farish menelan air liurnya. Suasana kembali sunyi.
Farish melemparkan pandangan jauh ke
luar tingkap melihat cahaya neon yang menyimbahi jalan. Terasa begitu menusuk
mendengar kata-kata dari Zahid . Air mata yang mengalir laju di sekanya.
Entahlah, seingatnya dia dulu macam budak lelaki yang lain-lain. Sukakan
aktiviti lasak, main perang-perang. Pendek kata memang dia lasak. Namun setelah
kematian ayahnya, dia di ambil oleh majikan ayahnya, Tengku Khaleeda untuk
dijaga. Sejak itu semua seakan-akan sudah berubah. Hidupnya hanya dikelilingi
oleh wanita-wanita di rumah agam itu. Jika tidak pun masanya dihabiskan di
butik milik Mama Lia, disitu dia didedahkan dengan dunia fesyen dan kecantikan.
Dan sejak itu minat hanya pada fesyen dan alat solek.
“Dah sampai ni. Betul ke tak nak
makan?” tanya Zahid sekali lagi.
“Emm, terima kasih Uncle,” Farish menjawab.
“Papa, panggil Papa. Bukan untuk
tiga tahun sahaja tapi untuk selama-lamanya,”
kata Zahid. Farish menganggukkan kepalanya. Tangannya dihulurkan untuk
bersalam dengan bapa mertuanya.
“Terima kasih atas nasihat Papa
tadi. Farish minta maaf atas sikap Farish kat rumah Papa.”
“It’s
okey. Lagipun itu salah Erica. Farish hanya mempertahankan maruah Farish.
Papa balik dulu, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam." Farish
menjawab. Kemudian dia turun dari kereta milik Zahid, pintu kereta ditutup
perlahan. Farish menunggu sehingga Zahid hilang dari pandangannya sebelum dia
melangkah menuju ke kondominium milik dia dan Erica.