Erica sudah selesai mandi. Dia
mengenakan sepasang baju tidur yang berwarna merah jambu. Sesuai sekali dengan
warna kulitnya yang putih kemerah-merahan. Menyerlahkan lagi kecantikkannya. Erica
membelek wajahnya di cermin. Dia kemudiannya tersenyum sendiri. Rambutnya yang
masih basah di biarkan tanpa di sikat. Erica memang prihatin dengan kecantikkan
diri. Dia akan memastikan dirinya cantik dan kemas sebelum dia melangkah keluar
dari rumah. Di kalangan teman-temannya dia memang dikenali sebagai seorang
gadis yang cantik.
“Tak payah beleklah, cantik dah tu,”
Farish berkata di muka pintu.
“Wei, kenapa kau masuk bilik aku
ni?” marah Erica. Terkejut dia bila mendengar suara Farish.
“Mama Lia panggil makan,” jawab
Farish sambil melangkah masuk ke kamar Erica.
“Kau ni bodoh ke apa? Siapa suruh
kau masuk ke sini?”
“Muka cantik tapi tak ada budi
bahasa, tak ada maknanya,” kata Farish lagi sambil membetulkan rambutnya di
hadapan cermin yang bingkainya cantik di ukir.
“Kau ni memang sakit hati dengan aku
kan? Kalau tak ada budi bahasa pun tak apa. Aku tetap perempuan sejati. Bukan
macam kau. Sotong,” balas Erica.
Farish menarik nafas yang panjang.
Kalau diikutkan hatinya, di ganyangnya muka Erica, biar bercalar. Tapi bila di
fikirkan balik tiada gunanya dia bertengkar dengan Erica. Dia kemudiannya keluar dari bilik itu. Sengaja
dia tidak menutup pintu bilik Erica. Erica tidak habis-habis lagi mengomel.
Di meja makan kelihatan Tengku
Atylia sedang sibuk menyuapkan makanannya ke mulut. Erica mengambil tempat di
sebelah Amylia. Farish duduk mengadapnya. Erica hanya melihat tingkah Farish
yang sedang menyudukan kuah ke pinggannya. Naik geli bila dia melihat cara
Farish mencedok kuah itu. Terlalu lembut bagi seorang lelaki.
“Cepat lah sikit, orang lain pun nak
makan juga,” Erica bersuara.
“Kan banyak lauk lain. Lauk ni juga
yang kau nak tunggu?” jawab Farish.
“Aku punya suka lah nak lauk yang
mana. Tak ada kena mengena dengan kau lah,” Suara Erica semakin kuat.
“Sudahlah Rica, Farish. Depan rezeki
pun nak gaduh,” tegur Amylia.
“Susahlah semeja dengan orang low
class macam ni. Mak Limah.” Panggil Tengku Atylia.
Tergesa-gesa Mak Limah datang ke
meja makan bila didengarnya suara Tengku Atylia menjeritkan namanya.
“Ada apa Tengku?” tanya Mak Limah.
“Bawa makanan ke bilik saya.
Lemaslah makan kat sini,” arah Tengku Atylia. Dia kemudiannya bangun dari
duduknya.
Amylia hanya memandang ke arah Mak
Limah sambil menganggukkan kepalanya. Mak Limah kemudiannya mengangkat pinggan
itu dan diusungnya mengikut langkah Tengku Atylia.
“Itulah, Rica, Farish. Suka sangat
bergaduh. Dari kecil bergaduh sahaja. Tengok tu Mak Ngah dah marah,” Amylia
menegur mereka berdua yang telah dianggap seperti anak sendiri.
“Berlagak. High class sangat lah tu,” jawab Erica. Farish tidak menjawab
sebaliknya dia terus mengaulkan nasinya perlahan-lahan. Erica mengambil lauk di
hadapan Farish dengan kasar.
“Kenapa makan dalam bilik ni? Meja
makan dah penuh?” tanya Tengku Eddrus kepada isterinya.
“Hilang selera melihat muka dia
orang tu,” jawab Tengku Atylia.
“Awak ni Aty, kan dia orang tu
saudara mara awak.”
“Bila masa dia jadi saudara mara
saya? Amylia tu entah anak pungut mana yang Bonda ambil. Farish tu pun sama
sahaja. Erica tu walaupun anak arwah Kak Long tetapi dia bukan keturunan saya.
Saya ni keturunan tengku-tengku.”
“Ni zaman mellenium lah Aty. Mana
orang pandang lagi benda-benda macam tu. Sekarang ni sultan pun boleh kahwin
dengan rakyat. Awak je yang berfikiran kolot macam tu.”
“Kolot? Awak tau masa saya nak
kahwin dengan awak pun, mak awak tengok juga, saya ni siapa? Awak fikir kalau
saya ni bukan anak Tengku Imran, mak awak nak terima? Tak lah Tengku Eddrus.
Sebab saya ni Tengku Atylia Tengku Imran, baru mak awak masuk meminang saya,”
Tengku Eddrus hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Memang benar kata
isterinya itu. Perkahwinannya haruslah dikalangan golongan Tengku-tengku
sahaja. Itu syaratnya jika dia mahu mendirikan rumahtangga. Syarat yang
ditetapkan oleh golongan bangsawan sepertinya. Tetapi itu dahulu, sekarang bagi
Tengku Eddrus, syarat itu perlu ditukar. Zaman sekarang yang penting duit dan
kuasa.
“Izhan bila nak sampai?” Tengku
Eddrus mengalihkan perbualan.
“Kejap lagi sampai lah tu,” jawab Tengku
Atylia sambil menguis saki baki nasi yang ada dipinggannya.
Erica menarik nafas yang panjang. Sesekali
tangannya di depakan seolah-olah menerima pelukan dari angin malam. Dia
menyanyi kecil namun suaranya jelas kedengaran.
“Boringnya,” rungut Erica. Menyesal
pula tidak mengikut papanya pulang ke hotel. Sekurang-kurangnya boleh lah juga
dia mengajak papanya keluar mengambil angin malam. Melihat keindahan bandar
Melaka ini pada waktu malam.
“Rica buat apa sorang-sorang kat
luar ni?” Amylia menegur Erica.
“Mama Lia. Terkejut Rica. Ingatkan
siapa tadi,” jawab Erica sambil mengikat tocang rambutnya yang semakin panjang
itu.
“Siapa lagi, kalau bukan Mama Lia.
Kenapa? Ingatkan Mak Ngah ke yang datang?”
“Mak Ngah nak tegur Rica? Kirim
salam. Dia nak marah Rica lagi ada,” Erica menjawab. Amylia ketawa mendengar
jawapan dari Erica. Anak kepada pasangan Zahid dan arwah Kak longnya, Emilna.
“Kenapa tak ajak Farish sekali,
duduk kat taman ni? Rica kan lama tak balik sini,” soal Amylia. Walaupun dia
tahu tidak mungkin Erica dan Farish akan duduk dengan damai semeja.
“Mama Lia nak suruh si sotong tu
duduk dengan Rica? Tolong sikit. Buang masa sahaja duduk dengan si sotong tu.’
“Tak baik Rica cakap macam tu kat
dia. Dia tu lelaki tulen, tapi lembut sikit.” Amylia memihak kepada Farish. Dia
mengenali Farish lebih dari yang lain. Farish membesar di hadapan matanya.
“Farish lelaki? Mama Lia. Lelaki tak
kan pakai lip balm. Tak pakai losyen. Dan yang penting orang lelaki tak kan
melentikkan jari dia macam ni,” kata Erica sambil melentikkan jari jemarinya
mengikut apa yang selalu di lakukan oleh Farish. Dia kemudiannya ketawa. Amylia
hanya tersenyum kelat.
“Rica tak jadilah nak ke Singapura?”
Amylia sengaja mengalih tajuk perbualannya dengan Erica.
“Tak. Geramnya bila di fikirkan.
Susah payah kami buat rancangan tetapi Rica yang tak boleh ikut. Entah-entah
dia orang sekarang ni tengah seronok lepak kat Sentosa.”
“Lain kali boleh pergi,” Amylia
memujuk.
“Susah nak pergi lain kali. Bulan
depan dah nak mula semester baru.”
“Tak pa, nanti Mama Lia yang bawa
Rica pergi.”
“Janji?”
“Okey. Tapi Farish kena ikut
sekali,” jawab Amylia.
“Kenapa pulak nak bawak si sotong
tu?”
“Dia kan boleh jadi guard kita,” Amylia menjawab. Erica
ketawa mendengar jawapan dari Amylia. Terasa sungguh kelakar.
“Kenapa gelak sampai macam ni
sekali?” soal Amylia walaupun dia dapat mengagak jawapan yang bakal diberikan
oleh Erica.
“Mana tak tergelak, bukan dia nak
jaga kita. Silap-silap kita pulak kena jaga dia.” Jawab Erica.
Ketawa Erica terhenti bila sebuah
kereta Honda Accord model baru masuk ke perkarangan rumah agam itu. Kemudian
keluar seorang jejaka yang tampan. Wajahnya bersih, rambutnya kemas, badannya
tegap dan tinggi. Jejaka itu masuk dan menghampiri Erica dan Amylia.
“Mama Lia,” tegur jejaka tampan itu.
“Iz. Kenapa lambat sangat sampai
ni?” tanya Amylia.
“Banyak kerjalah. Ni siapa pulak
ni?”
“La, dah lupa ke? Ini kan Erica.
Sepupu Iz lah,” jawab Amylia.
Erica tersentak. Sepupu? Iz?
“Rica?”
“Abang Izhan?” kata Erica.
“Erica Soffea. Lama kita jumpa?
Makin cantik” jawab Izhan. Anak teruna kepada Tengku Atylia dan Tengku Eddrus.
“Terima kasih,” Erica menjawab
dengan tersenyum simpul.
“Farish mana?” tanya Izhan pula.
“Ada kat dalam bilik dia. Iz masuk
dulu. Mama dengan Papa Iz ada dalam bilik nenda.”
“Okey. Iz masuk dulu. Lagipun nak
mandi ni. Melekit-lekit dah badan ni. Drive
dari K.L. Okey Rica, kita sembang lagi nanti,” kata Izhan sambil mencuit pipi
gebu milik Erica. Erica hanya membiarkan sahaja.
“Ni kenapa ni? Senyap sahaja,
terpegun?” Amylia bertanya kepada Erica.
“Abang Iz ke tu? Hensemnya sekarang.
Dulu tak ada pun macam tu,” balas Erica.
“Itulah Rica dah lama tak balik
sini. Sampai saudara sendiri pun tak kenal. Nasib baik tak mengorat tu.”
“Bukan tak nak balik lah Mama Lia.
Tapi...” jawab Erica.
“Tapi sebab merajuk dengan nenda
kan? Rica, nenda tu sebenarnya sayangkan Rica. Tapi dia memang tegas orangnya,”
sambung Amylia.
“Bukan sebab dia tegas yang Rica
marahkan. Tapi nenda tu tak adil. Lagipun nenda pun tak suka Rica dengan Papa
balik sini kan? Ialah kami ni bukan keturunan Tengku-Tengku.”
“Mama Lia pun bukan keturunan
tengku, Farish pun bukan keturunan tengku, tapi masih lagi diterima oleh nenda.
Rica, yang tak dapat terima Papa Rica hanya lah Mak Ngah sahaja. Orang lain
semua boleh terima dengan minda yang terbuka. Kita bukan hidup di zaman
kesultanan melayu Melaka. Sekarang ni zaman pemerintan ketua menteri.” Amylia
berkata lagi.
“Itu Mama Lia dengan Farish. Rica ni
nenda bukan sayang pun. Dari kecil dia hanya sayangkan Farish. Apa yang Farish
nak semua dapat. Rica ingat lagi. Masa tu Rica dalam darjah enam, kami
sama-sama main dalam bilik bacaan tu. Tapi hanya Rica yang kena marah, Farish
selamat je dia. Adil ke tu? Ada dia ingat hari jadi Rica? Rasanya tak, sebab
tak pernah pun Rica dapat apa-apa walaupun sekeping kad dari dia. Tapi Farish,
Mama Lia maklumkan. Malas lah nak ungkit benda lain,” luah Erica.
“Itu Rica kena faham.Lagipun Rica, Rica kan tak duduk
dengan dia. Farish ni duduk dengan dia. Lagi satu, pernah ke Rica ucapkan
selamat hari jadi pada dia? Mama Lia rasa, Rica pun tak tahu bila hari
jadi dia kan. Masa dia sakit, dia selalu
teringatkan pada Rica. Syukurlah, Mama Lia tahu Rica marahkan dia, tak suka
pada dia tapi Rica masih lagi datang menjenguk dia di saat-saat akhirnya,” Amylia
memegang bahu lembut Erica.
“Mama Lia, Rica bukan tak sayangkan
Nenda, tapi entahlah kecik hati sangat dengan dia.”
“Rica tahu tak? Dia rapat dengan
Farish sebab dia tak boleh rapat dengan Rica. Bila dia rindukan Rica, dia cuba
telefon Rica tapi Rica buat apa? Rica buat endah tak endah sahaja. Sudahnya
Farish lah tempat dia menumpang kasih dia. Dia dah tua. Anak-anak sibuk, hanya
Farish yang ada di sisinya selalu. Rica pun satu, rasanya masa dia sakit baru
Rica datang melawatnya. Kalau tak, balik sini hari raya sahaja. Itupun sehari
dua,” Amylia berkata lagi. Kali ini Erica tidak mampu membalas kata-kata yang
keluar dari mulut Amylia.
“Dah lah, jom kita masuk. Lama-lama ambil angin malam ni
bukan bagus sangat,” ajak Amylia. Erica menganggukkan kepalanya. Kemudian
kedua-duanya melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah yang tersergam indah itu.