Dua
tahun sudah berlalu. Erica sudah pun selesai menduduki peperiksaan terakhirnya.
Dalam tempoh dua tahun dia berubah dari seorang gadis yang mementingkan diri
dan sombong kepada seorang gadis yang baik hati, cakapnya sudah lembut. Tiada
lagi perkataan yang kasar keluar dari mulutnya. Hubunganya dengan Izhan semakin
hari semakin mekar. Tetapi mereka jarang sekali berjumpa. Hubungan Erica dengan
Tengku Atylia juga bertambah baik. Tengku Atylia sudah boleh menerimanya.
Kadang-kadang dia akan menemani Tengku Atylia ke spa milik madunya. Cuma
hubanganya dengan papanya sendiri agak dingin, semuanya kerana cintanya pada Izhan.
Sampai sekarang papanya masih tidak
dapat menerima Izhan. Bagi papanya, Izhan sekadar ingin mempermainkan dirinya.
Susah benar dia hendak membetulkan tanggapan papanya. Mujurlah Izhan bukan yang
jenis berputus asa, walaupun kedatangannya sering disambut dengan muka yang
masam namun dia tetap bersabar menghadapi papanya.
Farish, Erica tersenyum
sendiri bila nama itu yang muncul dimindanya. Sudah lama dia tidak bersua
dengan Farish. Erica tahu Farish kini sibuk dengan kuliah dan Dhia Adirra.
Hubungannya dengan Farish bertambah-tambah baik. Kini Farishlah tempatnya untuk
meluahkan rasa. Dia menganggap Farish sebagai abangnya. Walaupun jarang bertemu
tetapi dia sentiasa menghubungi Farish dan kadang-kadang Farish yang
menghubungi dia. Cuma sehingga kini dia tidak diperkenalkan lagi dengan Dhia
Adirra oleh Farish. Mungkin sehingga kini Dhia Adirra masih lagi tidak tahu siapa dia di
dalam hidup Farish.
Erica membelek kelendernya,
lagi setahun dia akan menjadi milik Izhan, tidak sabar rasanya dia untuk
menungggu hari itu. Dan lagi setahun juga dia akan bergelar Pengerusi di Khaleeda
Holdings. Cepatnya masa berlalu.
“So, apa plan Rica
sekarang ni? Nak sambung lagi ke?” Zahid bertanya.
“Em, nak rehat dulu. Ingat
nak sambung lah jugak, tapi nak apply
tempat lainlah.” Jawab Erica.
“Buat masa sekarang, nak rehatkan
minda selama setahun.” Sambung Erica lagi.
“Sampai setahun nak berehat.
Kalau macam tu bolehlah tolong Papa kat company?”
“Em, boleh jugak, timba
pengalaman. At the same time, ingat
nak masuk ke Khaleeda Holdings lah, nak tahu selok belok syarikat tu,’ jelas Erica
lagi. Zahid menganggukkan kepalanya.
“Farish macam mana?” Zahid
mengalih tajuk.
“Farish, okey je. Baru tadi
dia telefon, Papa tak jumpa dia ke? Dia kata dia jumpa Papa minggu lepas?”
“Jumpa sekejap je, dia dengan
kawan kuliah dia. Cantik juga perempuan tu. Kecil molek orangnya, tapi rasanya
cantik anak Papa lagi,” Zahid memuji.
“O. Itu Dhia Adirra. Kalau
Papa nak tahu, itulah buah hati Farish sekarang ni. Berkepit setiap masa. Lama
jugak dia orang bercinta, rasanya dah nak masuk setahun.” Zahid sedikit kaget
mendengar cerita dari Erica. Ini kali pertama dia mendengar cerita tentang
cinta Farish.
“Itulah, Rica tak nak
pedulikan dia. Sekarang hati dia dah ada yang punya, Rica macam mana?” marah
Zahid. Yakin benar dia, ini semua salah Erica.
“Macam mana apa nya? Lagi
setahun je Pa, kami jadi suami isteri, selepas tu semua akan selesai.”
“Takkan Rica nak lepaskan
Farish macam tu sahaja. Sikit pun tak ada rasa sayang pada dia?” Zahid terus
mengaju pertanyaan walaupun dia tahu apa yang bakal dijawab.
“Papa, berapa kali Rica nak
cakap. Rasanya kalau Rica record, dah
setinggi bukit tingginya. Antara Rica dengan Farish tak kan ada apa-apa
hubungan selain apa yang ada sekarang. Hubungan kami lain Pa. Dia sekarang
tengah bercinta dengan Dhia Adirra dan Rica pula..” Erica diam. Tidak berani
untuk meneruskan kata-katanya lagi.
“Kenapa tak cakap? Rica
sekarang tengah hangat bercinta dengan Izhan tu. Kenapa Rica buta sampai macam
tu sekali. Percaya lah Rica, rancangan Izhan tu senang je, Papa dah boleh baca
pun. Lepas Rica bercerai dengan Farish, dia akan ambil Rica jadi isteri dia.
Lepas tu dia akan pujuk Rica serahkan hak Rica pada dia. Kemudian dia akan
tendang Rica macam kain buruk.” Tuduh Zahid.
“Papa, susah sangat Papa nak
terima Abang Iz tu. Jahat sangat ke dia, sampai macam tu sekali Papa boleh
tuduh dia? Papa ini bukan sahaja tentang Rica, tapi tentang Farish. Dia sama
seperti Rica, tak boleh nak terima Rica sebagai pasangan hidup dia. Kenapa nak
dipaksa kami. Pasal harta, pasal Pengerusi ke, Papa tengok lah sampai masanya
nanti. Apa yang Papa katakan tadi, semua tu tak akan berlaku. Abang Iz cintakan
Rica, sayangkan Rica sebab Rica adalah Rica. Bukan sebab harta yang arwah nenda
tinggalkan untuk Rica. Rica tak nak dengar lagi cerita yang mengarut ni.” Erica
menjawab dengan tenang walaupun dengan nada yang agak keras. Zahid menahan
marahnya, marah dengan keangkuhan Erica mempertahankan Izhan. Marah kerana dia
juga tahu antara Erica dan Farish tidak mungkin akan menyatu.
Tepat jam 7 malam Zahid sudah
tiba di Bistro, dari jauh dia melihat Farish yang sedang melambaikan tangannya.
Zahid menuju ke arah Farish. Sebelum duduk dia sempat memesan segelah jus oren
untuk membasahi tekaknya.
“Lama dah ke sampai Farish?”
Zahid bertanya setelah melabuhkan duduknya.
“Tak sampai 5 minit pun. Air
pun tak sampai lagi ni,” jawab Farish. Tangannya dihulurkan untuk bersalamanan
dengan bapa mertuanya.
“Papa ada hal nak bincang
dengan Farish ni.” Zahid memulakan bicara.
“Ada hal? Hal apa?” Farish
bertanya dengan hairan.
“Tentang Erica dengan
Farish.”
“O, ingatkan hal apa tadi.
Nak bincang apa pulak ni?”
“Papa tengok Izhan tu semakin
rapat dengan Rica. Sebagai suami, takkan Farish nak biarkan Rica terus menerus
hanyut dalam cinta palsu Izhan tu,” Zahid memasukkan jarumnya.
Farish mengeleng-gelengkan
kepalanya. Kenapa susah sangat Zahid mahupun Amylia memahami perasaannya
terhadap Erica dan perasaan Erica terhadap Izhan.
“Papa, saya ni nama je suami
dia, tapi saya tak pernah nak jalankan tanggungjawab saya sebagai suami dia.
Saya dah bagi kebebasan malah saya sendiri yang baikkan Erica dengan Izhan. Saya
percaya Pa, mereka tahu jaga adab. Lagipun hubungan saya dengan Rica tak sampai
setahun je lagi. Dalam 10 bulan akan datang semua akan selesai. Masa tu, Papa kena
terima jugak Izhan tu sebagai menantu.”
“Masalahnya dia tu hanya
mahukan Khaleeda Holdings, bukannya Erica. Apa Farish tak nampak ke?” rungut
Zahid.
“Yang nak Khaleeda Holdings tu, Tengku Atylia. Bukan Izhan. Papa ni tak
kenal Izhan tu. Dia tak hairanlah benda-benda macam ni. Lagipun saya tengok dia
layan Rica dengan baik.” Farish memihak
kepada Izhan.
“Okey, katakan Izhan tu
memang tak nak Khaleeda Holdings walaupun 101% Papa yakin itu yang dia mahukan.
Tapi Farish tahu tak siapa Izhan tu. Dia tu ‘playboy’.
Entah berapa anak dara dia dah rosakkan. Tak kan Farish nak tengok dia rosakkan
Erica?”
“Papa ni, tahuluh Erica jaga
diri sendiri. Lagipun Izhan ni dah berubah. Sejak dia bercinta dengan Erica dia
dah tinggalkan segala perbuatan jahat dia tu. Bagilah peluang kat dia. Farish
tahu Papa tak nak bagi kami berceraikan? Papa, cukuplah penyeksaan yang kami
tanggung selama ni. Kalau tak kerana perkahwianan kami, Erica dan Izhan mesti
dah bersatu. Dan saya tak perlu menipu kekasih saya tentang siapa diri saya.
Dan saya rasa hubungan saya dengan Erica lagi bertambah baik. Saya tak boleh
nak sayang Erica sebagaimana saya nak sayang isteri saya. Erica saya dah anggap
macam adik saya. Jangankan nak buat bini, saya nak sentuh dia lebih-lebih pun
tak boleh. Susah saya nak terangkan,” jelas Farish panjang lebar.
“Itu sebab Farish tak pernah
berdua-duan dengan dia. Cuba Farish luangkan masa dengan dia, ajak dia balik
rumah. Mesti ‘on’ punya. Dia hak
Farish yang sah. Apa sahaja Farish nak buat semuanya halal. Farish nak tunggu
apa lagi,” Zahid masih belum berputus asa.
“Dulu Papa jugak yang halang
perkahwinan kami. Masa tu saya ni lembut, macam sotonglah. Sekarang lain pula
ceritanya,” Farish memulangkan paku buah keras kepada Zahid.
“Dulu lain. Dulu Farish pakai
baju bunga-bunga. Sekarang jalur-jalur. Pasal yang dulu, Papa nak mintak maaf.
Tapi sekarang Papa tak boleh terima orang lain jadi menantu Papa selain dari
Farish.” Zahid berterus-terang,
“Papa, saya dah ada Dhia
Adirra dalam hidup saya. Terima cadangan Papa, maknanya 4 jiwa akan terseksa.
Jiwa saya, jiwa Rica, Jiwa Dirra dan jiwa Izhan. Mungkin saya sanggup nak
kecewakan diri sendiri, tapi saya tak sanggup nak kecewakan insan yang saya
cinta. Saya tak boleh nak melukakan hati Dhia Adirra. Dia satu-satunya yang
berjaya mengubah saya, yang terima saya dari dulu hingga sekarang. Saya harap
Papa faham. Baik Papa mahupan Mama Lia, tak kan mengubah apa-apa. Lagi 10 bulan
saya akan ceraikan Erica. Papa cubalah belajar menerima Izhan. Dia yang terbaik
untuk Erica bukan saya. Dan Dhia Adirra yang terbaik untuk saya bukan Erica,”
Tegas bunyi yang keluar dari mulut Farish. Zahid mengeluh. Nampaknya dia bakal
gagal dalam mempertahankan rumahtangga yang tidak pernah ada.
Zahid mengosok-gosok mukanya
dengan tangan. Dua-dua keras kepala.
“Farish, cinta tak akan
memberikan kebahagian setelah kita lukakan hati orang tua. Farish ingat tu.”
Kata-kata terakhir dari Zahid sebelum bangun dari duduk. Jus oren yang
dipesannya tidak seteguk pun masuk ke kerongkong.
Farish hanya mampu
mengelengkan kepalanya.
Erica ketawa sahaja bila
mendengar cerita dari Farish tentang papanya. Patutlah muka papanya macam
pisang kelat. Masam sahaja. Sampai di ajak makan pun tidak diendahkannya. Fikir
Erica papanya sedang marahkan dia sebaliknya, papanya marahkan Farish suaminya.
“Ha,ha,ha. Sekarang baru kau
tahu macam mana aku alami selama ini. Kau okeylah Dirra tak tahu tentang
hubungan kita,” kata Erica.
“Peninglah kepala aku dengan
warga emas macam ni. Tu tak balik Melaka lagi.” Rungut Farish.
“Sampai masa kita buat je apa
yang perlu kita buat. Tak payah nak pening-pening lah Farish. Bila kau nak
kenalkan aku dengan Dirra? Tak sabar lah aku nak cerita betapa kesotonggan kau dulu.”
“Gila kau, tunggu kau habis
eddah, kau nak menikah dengan Izhan baru aku cerita. Sekarang ni tak boleh lah,
nak cover line beb,” kata Farish
bersahaja.
“Entahlah, nanti Papa mesti
halang gila-gila punya.” Ucap Erica perlahan. Bimbang impiannya untuk membina
istana bahagia dengan Izhan tidak tercapai ekoran dari tentangan dari Papanya.
“InsyaALLAH. Sampai masa
nanti dia akan terima Izhan. Kau sabar je lah Rica. Sekarang kau nak buat apa?”
soal Farish, kasihan juga dengan delima yang dihadapi oleh Erica.
“Buat bodoh je.”
“Tak yah lah buat bodoh,
menyampah aku tengok. Kata nak cari pengalaman kat Khaleeda Holdings sebelum
diangkat jadi Pengerusi.”
“Plan macam tu lah jugak, tapi tengok dulu. Sekarang aku nak enjoy,” balas Erica dengan riang. Tangannya
diangkat tinggi walaupun dia tahu sangat Farish bukannya nampak apa-apa.
“Okeylah, Rica aku nak telefon Dirra pulak. Nanti kan mengamuk
pula mentara guru tu.”