Semua
sedang menunggu dengan sabar. Menunggu kedatangan Puan Siti Sarah
“Mana pulak dia ni? Cakap pukul 10
pagi. Sekarang ni dah 10.05 tak nampak batang hidung lagi,” gerutu Tengku
Atylia.
Erica dan Amylia saling
berpandangan. Tersenyum dengan ketidaksabaran Tengku Atylia. Kemudian masuk
pula Izhan dengan bergaya. Dia hanya mengenakan T-Shirt berbelang merah putih
dan jeans yang berwarna biru tua. Segak sekali. Kemudian Erica sempat menjeling
ke arah Farish yang turut sama melihat ke arah sepupunya itu.
“Pagi semua,” sapa Izhan. Dia kemudiannya
duduk di sebelah Erica setelah bersalaman dengan Zahid dan semua yang ada.
“Iz dah makan?” tanya Tengku Atylia
kepada anak bujangnya itu.
“Dah. Mana peguam ni tak
datang-datang lagi,” Izhan menjawab soalan mamanya.
“Assalamualaikum,” Siti Sarah masuk
dengan membawa brifcase yang berwarna
hitam miliknya. Di sisinya ada seorang gadis yang bertudung merah jambu.
“Minta maaflah, saya agak lewat
hari. Semua dah ada?” tanya Siti Sarah lagi. “Semua
dah sampai, cuma tunggu you sahaja,
Puan Lawyer,” sindir Tengku Atylia. Siti Sarah menarik nafas yang panjang. Dia
maklum dengan sikap Tengku Atylia.
“Baiklah, kalau semua dah ada, kita
boleh mulakan sekarang,” ujar Siti Sarah. Semua yang ada di situ menarik nafas
yang panjang. Tidak sabar untuk mengetahui wasiat apa yang telah ditinggalkan
oleh Tengku Khaleeda.
“Assalamualaikum. Semasa wasiat ini
di baca bermakna saya Tengku Khaleeda telah 100 hari meninggalkan dunia ini.
Segala apa yang bakal disampaikan oleh peguam saya, iaitu Puan Siti Sarah
adalah yang telah apa saya katakan kepada beliau. Oleh itu semua yang ada perlu
menerima dan akur dengan segala-galanya.” Siti Sarah berhenti sejenak dan
melihat satu-satu ke wajah mereka yang berada di hadapannya. Masing-masing
kelihatan gusar dan tidak tenang.
“Jadi saya akan bacakan wasiatnya
sekarang,” sambung Siti Sarah. Masing-masing macam burung belatuk menganggukkan
kepalanya.
“Segala wang tunai atau di dalam
deposit simpanan hendaklak dibahagi sama rata di antara Tengku Atylia Tengku
Imran, Zahid Ariffin dan juga Amylia Harun. Jika ada sesiapa yang membantah,
bahagiannya akan dimasukkan ke Tabung
Yayasan Khaleeda, yang diuruskan oleh Peguam Siti Sarah dan Rakan-rakan.
Sementara itu segala aset yang lain dan syarikat yang ada akan diberikan
seperti berikut.” Siti Sarah berhenti di situ. Pembantunya kemudiannya
menyerahkan kepada semua yang ada salinan kertas yang berisi jumlah wang yang
ada di dalam bank.
“Ini yang dalam bank, yang tunai kat
rumah ni macam mana?” tanya Tengku Atylia.
“Sebelum Tengku Khaleeda meninggal,
saya rasa tak banyak wang tunai yang ada di dalam rumah ini.” Terang Siti
Sarah.
“Kak Ngah, bonda dah tahu ajal dia
nak sampai. Percayalah semuanya telah diatur oleh Bonda dengan teliti. Kak Ngah
tahu Bonda macam mana kan?” sampuk Amylia.
“Aku tahu, aku cuma nak tanya.
Manalah tahu kalau-kalau ada yang terselit, dan ada pula yang nak menyelit,”
jawab Tengku Atylia.
“Saya bermula dengan Tengku Atylia
Tengku Imran. Tengku Khaleeda menyerahkan syarikat pembinaan KHALEEDA Cons. kepada
Tengku Atylia dan keluarganya untuk diuruskan. Begitu juga dengan pegangan
saham di Dinamik Industri. Di Dinamik Industri Tengku Khaleeda memegang 50%
daripada saham. Semua saham itu menjadi hak milik mutlak Tengku Atylia. Disamping
itu semua saham di dalam Koperasi Tengku Khalid, Kumpulan Jaya dan Setapak Maju
Sdn Bhd menjadi hak milik Tengku Izhan Tengku Eddrus.” Tengku Atylia tersenyum.
“Untuk Amylia Harun pula, Tengku
Khaleeda menyerahkan semua rangkaian KHALEEDA BEAUTY di bawah selian Cik Amylia
Harun. Ini bermakna setelah wasiat ini dibaca Cik Amylia Harun akan menjadi
pemilik KHALEEDA BEAUTY.” Amylia sekadar menundukkan kepalanya. Dadanya sebak.
Untuk orang yang menumpang sepertinya rasa tidak layak untuk menerima wasiat
itu. Tengku Atylia menganggukkan kepalanya. Tanda setuju dengan apa yang telah
ditinggalkan kepada Amylia. Kemudian pandangannya beralih pula kepada Zahid.
“Zahid Arriffin akan menjadi pemilik
sah Syarikat AutoMotor yang mana ketika ini Zahid Arriffin merupakan pengurus
di situ.”
“Baiklah, setakat ini ada sesiapa
yang nak membantah? Tengku Atylia?” tanya Siti Sarah. Masing-masing sekadar
mengelengkan kepalanya.
“Nampaknya semua sudah setuju dengan
apa yang saya sampaikan. Jadi segala urusan penukaran hak milik akan saya
uruskan dengan segera.”
“Itu sahaja wasiatnya, macam mana
dengan..” soal Tengku Atylia.
“Ada lagi, saya akan teruskan.
Wasiat yang dibacakan nanti akan melibatkan Erica Soffea Zahid dan juga
Muhammad Farish Haikal Jufri.” Erica tersentak, begitu juga dengan Farish. Mereka
menunggu dengan penuh debaran dengan apa yang bakal mereka perolehi. Erica
sudah membayangkan Bali. Tempat untuknya bercuti dengan harta nendanya. Farish hanya berdoa agar ada
sedikit wang yang ditinggalkannya untuk dia melanjutkan pelajaran ke Paris. Dia
bercadang untuk menyambung kembali pelajarannya di dalam bidang rekaan fesyen.
“Erica Soffea Zahid dilantik sebagai
Pengerusi di Khaleeda Holdings tetapi perlantikannya bersyarat.”
“Apa? Budak mentah ni? Apa yang dia
tahu?” Tengku Atylia bersuara.
“Aty,” panggil Tengku Eddrus.
Walaupun dia turut terkejut dengan pengumaman itu. Sepatutnya isterinya yang
menjadi Pengerusi di situ bukan budak mentah seperti Erica Soffea.
“Sabar Tengku Atylia. Walaupun Erica
Soffea adalah Pengerusi tetapi Tengku Atylia dilantik sebagai Penasihat.” Kata
Siti Sarah. Erica hampir menjerit. Dia sudah terbayang lambaian ombak di Bali.
Kalau di ikutkan hati ingin dia melonjak. Yang penting dia merasa bagaikan
hendak berkongsi rasa gembira dengan Izhan, sepupunya. Farish hanya menjeling,
menantikan habuannya pula.
“Okey.. Puan Siti apa
syarat-syaratnya?” tanya Erica, tidak sabar.
“Erica Soffea perlu mengahwini
Muhammad Farish dalam tempoh 3 hari selepas wasiat ini dibaca. Dan mereka perlu
bertahan dalam perkahwinan itu selama
tiga tahun dan selepas tiga tahun jika mereka masih lagi gagal menyesuaikan
diri di dalam perkahwinan itu, maka mereka layak membuat keputusan
masing-masing yang dipersetujui. Dan kegagalan rumah tangga mereka itu tidak akan menyebabkan Erica Soffea
kehilangan haknya di dalam Khaleeda Holdings. Jika syarat ini tidak
dipersetujui, segala urusan di Khaleeda Holdings akan diuruskan oleh Peguam
yang dilantik dan semua pewaris Tengku Khaleeda iaitu Tengku Atylia Tengku
Imran, Tengku Eddrus Tengku Ekmal, Tengku Izhan Tengku Eddrus, Amylia Harun dan
Zahid Arriffin hanya menerima lima peratus setiap seorang dari keuntungan tahunan
syarikat. Yang selebihnya akan di masukkan ke dalam Tabung Yayasan Khaleeda.
Sementara itu Erica Soffea Zahid dan Muhammad Farish Haikal Jufri hanya
menerima imbuhan sebanyak RM 1000 sebulan.”
“Sekejap. Tak kan itu syaratnya?” Erica
menyoal. Siti Sarah sekadar menganggukkan kepalanya.
“Saya dapat apa?” tanya Farish.
“Erica Soffea Zahid,” jawab Siti
Sarah. Suasana yang tenang bertukar menjadi kecoh.
“Semua diam boleh tak?” Zahid
bersuara dengan lantang. Semua yang ada terdiam.
“Puan Siti, maknanya kalau Rica tak
kahwin dengan Farish pihak peguam yang uruskan syarikat tu?”
“Iya, Encik Zahid. Pihak peguam juga
hanya dibayar gaji bulanan sebagai mana yang telah di persetujui.”
“Habis tu keuntungan yang lain macam
mana?” Tengku Atylia pula bertanya.
“Akan di salurkan ke Tabung Yayasan
Khaleeda.”
“Takkan saya hanya dapat RM 1000
sebulan? Ini wasiat apa ni?” marah Erica.
“Sebagai Pengerusi, Erica mendapat
gaji bulanan disamping elaun dan juga 10% keuntungan tahunan.”
“Kami dapat apa?” tanya Tengku
Atylia pula.
“Yang lain-lain akan mendapat 10%
juga dari keuntungan syarikat termasuk juga dengan Muhammad Farish.”
Semua mendiamkan diri. Tengku Atylia
memasamkan mukanya. Begitu juga dengan anaknya.
“Nampaknya semua telah saya bacakan.
Itu sahaja wasiat dari arwah,” suara Siti Sarah memecahkan kesunyian di bilik
itu.
“Saya tak setuju. Ini wasiat gila.
Saya tak nak kahwin dengan si sotong ni,” Erica bersuara dengan lantang.
“Amboi sedap je mulut kau mengata
kat aku. Aku pun tak ingin nak ambil perempuan macam kau ni jadi isteri aku
tau. Mulut macam puaka,” Farish mempertahankan dirinya.
“Apa kau cakap? Mulut aku macam
puaka? Hey sotong. Kau ni memang nak kena,” Erica meluru ke arah Farish. Dia
sempat memukul badan Farish sebelum sempat
Farish mengelak. Zahid mendapatkan anaknya.
“Sudahlah tu,” tengking Tengku Atylia.
“Puan Sarah. Izinkan kami berbincang
terlebih dahulu. Saya minta Puan Sarah tinggalkan kami,” pinta Tengku Atylia
lagi.
Siti Sarah menganggukkan kepalanya.
Dia kemudiannya keluar dari bilik itu dengan diekori oleh pembantunya.
“Sekarang ni macam mana?” Tengku
Atylia mula berbicara.
“Macam mana apanya? Nak buat apa
lagi. Biarkan peguam yang dilantik uruskan syarikat tu. Takkan nak biarkan Erica
ni kahwin dengan..” suara Zahid mati di situ. Farish hanya menjeling, dia
maklum dengan apa yang hendak dikatakan oleh Zahid.
“Hey Zahid kau tahu tak, Syarikat tu
lambang keluarga aku. Tak kan kita ni nak biarkan warisan dari bonda orang lain
yang uruskan?” marah Tengku Atylia.
“Erica ini anak aku. Aku ada hak nak
tentukan siapa yang nak jadi bakal menantu aku,” Zahid bersuara lagi. Kali ini
semakin kuat.
“Sudah lah tu. Ini kan wasiat bonda.
Masa bonda hidup tak ada siapa pun yang pedulikan kata-kata dia. Sekarang dia
dah tak ada, salah ke kita ikut wasiat dia. Lagipun apa kurangnya Farish?” Amylia
memberanikan diri mempertahankan wasiat Tengku Khaleeda.
“Mama Lia. Farish pun tak nak
dijodohkan dengan Erica. Dia tak sesuai dengan Farish. Lagipun perempuan macam
ni layak ke?” kata Farish.
“Wei, kau ni kan. Ingat aku ni tak
layak nak jadi bini kau ke? Kau tu yang tak layak nak jadi laki aku. Sotong.”
“Tolong sikit. Kau tu bukan saja tak
layak jadi bini aku. Malah tak layak untuk semua lelaki dalam dunia ni. Kau tu
jenis meterial, pemalas. Malanglah siapa yang jadi laki kau.”
“Sotong, kau jangan nak cabar aku.
Kau ni kan memang nak cari nahas lah,” Erica semakin panas mendengar kata-kata
Farish.
“Aku tak ada masa nak cabar-cabar
kau. Memang kau ni tak layak jadi bini aku. Sekarang ni kita ikut kata Uncle Zahid. Serahkan pada peguam.”
Farish membuat keputusan. Dia sudah tidak peduli pasal harta itu. Yang penting
adalah dia tidak akan sekali-kali menjadi suami kepada Erica Soffea.
“Baik. Dengar sini. Kita akan
kahwin. Kalau kau memang anak jantan. Kau jadi suami aku.” Erica sengaja mencabar
Farish.
“Rica, Rica tahu tak apa yang Rica
cakap ni?” tanya Zahid. Memang Erica jenis yang pantang dicabar.
“Kau tak payahlah nak cabar-cabar
aku. Aku tak inginlah nak kahwin dengan kau. Tak dapat duit pun tak apa,” balas
Farish.
“Betullah, kau ni bukan anak
jantan.” Sindir Erica. Dia sengaja mencabar Farish. Dia tahu Farish tidak akan
sanggup berkahwin dengannya. Jika Farish sendiri yang menolak, dia tidak akan
disalahkan oleh keluarganya sebaliknya Farish yang akan disalahkan kerana tidak
mengikut wasiat Tengku Khaleeda. Selamatlah dia. Itu yang dirancangkan oleh Erica.
Langkah seterusnya dia akan berbaik dengan Mak Ngahnya, hatinya sudah terpaut
pada Izhan.
“Kau jangan nak cabar aku Erica,”
kata Farish lagi. Tengku Atylia mendiamkan diri. Tetapi hatinya berdoa agar
Farish menerima cabaran Erica Soffea. Sudah ada satu rancangan di dalam
benaknya. Rancangannya akan bermula dengan perkahwinan antara Farish dan Erica.
“Sotong,!”
Farish bangun dari duduknya. Dia
meluru keluar dari bilik itu. Erica menarik nafas lega. Nampaknya rancangan
seminitnya telah berjaya. Teruklah Farish akan dimarahi oleh Tengku Atylia
selepas ini. Silap-silap terus akan di halau keluar dari rumah agam ini. Erica
sempat menjeling ke arah Izhan.
Tidak sampai seminit Farish meninggalkan
bilik itu dia masuk kembali ke bilik bacaan itu.
“Baik, kau dengar sini Erica. Esok
kita kahwin.” Kata Farish. Dia kemudian keluar dari bilik itu. Erica termangu mendengar
kata-kata dari Farish. Amylia dan Tengku Atylia tersenyum. Senyuman yang berlainan
makna.