Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
131,087
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17

“ASSALAMUALAIKUM, tengku!” sapa Irdina, ramah.

Tengku Irfan mengangkat wajah. Senyuman di bibir Irdina menyapa mata.

“Waalaikumussalam,” balas Tengku Irfan kemudian.

“Tengku dah makan? Kalau belum saya ada belikan makanan untuk tengku,” beritahu Irdina. Sebungkus nasi lemak diletakkan di atas meja.

“Aku dah makan kat rumah tadi,” balas Tengku Irfan sambil bersandar di kerusi.

“Dah makan? Ala… Kenapa tak beritahu tadi?”

Tengku Irfan berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Irdina.

“Rugi tau kalau tengku tak rasa nasi lemak ni. Sedap!” kata Irdina.

Dia segera duduk di kerusi. Bungkusan nasi lemak dibuka dan menghidu bauan dari arah nasi lemak itu. Tanpa berlengah, dijamah nasi lemak tersebut tanpa menghiraukan Tengku Irfan.

Bulat mata Tengku Irfan melihatnya. Tidak menyangka Irdina akan bertingkah laku sebegitu.

“Sedap! Rugi tau tengku tak rasa nasi lemak ni,” kata Irdina lagi.

Mulutnya penuh dengan nasi. Rasa nikmat menjamah nasi lemak tersebut melebihi segala-galanya.

Tengku Irfan hanya memandang. Entah kenapa dilihatnya Irdina berlainan sekali. Seperti orang yang tidak berperasaan sahaja. Kenapa dengan Irdina?

“Tengku nak?” tanya Irdina. Sesuap nasi disuakan ke mulut Tengku Irfan.

“Aku tak nak. Kau makanlah!” tolak Tengku Irfan.

“Tengku malu ya. Tak ada orang tengok. Tengku janganlah risau,” kata Irdina, tersenyum. Tangannya masih menyua ke mulut Tengku Irfan.

“Kau makanlah! Aku tak nak!” tegas Tengku Irfan.

Irdina tersenyum. Ditarik tangan lalu memasukkannya ke dalam mulut. Menikmati keenakan nasi lemak tersebut. Matanya memandang wajah Tengku Irfan. Sejak dari malam tadi dia berfikir. Berfikir akan syarat-syarat Tengku Iqbal.

Syarat supaya menjaga Tengku Irfan sebaik mungkin sebagai tukar ganti kepada pemecatannya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia bersetuju dengan syarat Tengku Iqbal asalkan dia tidak dipecat.

“Cuba makan elok-elok,” tegur Tengku Irfan. Jemarinya mengesat kesan kotoran yang berada di tepi bibir Irdina.

Tersentak Irdina dengan perlakuan itu. Dia memandang ke wajah Tengku Irfan yang beriak tenang.

“Terima kasih,” ucap Irdina, perlahan.

Tengku Irfan tidak membalas. Matanya menjamah wajah bersih Irdina. Riak sedih terlukis di wajah itu. Kenapa Irdina beriak begitu?

“Tangan tengku tu boleh disembuhkan ke tidak?” tanya Irdina, berbasa basi.

Bungkusan nasi lemak yang baru habis dijamah dibuang ke dalam tong sampah. Dia segera bangun dan menuju ke bilik air yang terdapat di dalam bilik itu.

Setelah membasuh tangan dan mulut, dihampiri meja Tengku Irfan lalu menarik sehelai tisu dari dalam kotak. Matanya memandang wajah Tengku Irfan. Menanti jawapan daripada pemuda itu.

“Kenapa kau tanya?” tanya Tengku Irfan kurang senang.

“Saja tanya. Boleh sembuh ke tidak?”

“Kau tak payah sibuk nak tahu. Kau boleh keluar sekarang!”

“Saya cuma ambil berat tentang tengku. Kalau boleh sembuh, kenapa tengku tak cuba nak berubat? Maksud saya, rawat tangan tengku tu.”

“Kau tak perlu nak sibuk dalam hal aku. Kau buat kerja kau sendiri. Dah! Kau keluar sekarang!” marah Tengku Irfan pantas berdiri. Tajam matanya ke muka Irdina.

Irdina menelan liur. Kecut perutnya melihat riak tegang di wajah Tengku Irfan. Ternyata dia sudah tersalah dalam berbicara.

“Kau buat apa lagi tercegat kat situ. Keluar!” tengking Tengku Irfan.

Terhenjut tubuh Irdina dek kerana tengkingan itu. Tanpa membalas, dia melangkah keluar dari bilik itu. Rasa kesal menghuni di hati. Kesal dengan pertanyaannya sebentar tadi.

Tengku Irfan segera duduk. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Sakit hatinya mendengar kata-kata Irdina. Belum ada sesiapa lagi yang bertanya tentang tangannya itu. Kenapa Irdina sibuk bertanya? Apa tujuan Irdina yang sebenarnya?


“KITA nak ke mana?” tanya Melisa ingin tahu.

“Aku nak lepaskan tension sekejap. Lepas tu kita makan puas-puas,” beritahu Irdina akan perancangannya itu.

“Mak cik tengah kaya la ni,” kata Melisa lagi.

“Aku dapat elaun daripada along,” bisik Irdina ke telinga Melisa.

Dia tersengih buat seketika. Ditepuk lembut poket seluar jeansnya. Lagak seperti orang yang banyak duit.

Melisa mengangguk faham.

“Kau nak makan apa? Aku belanja hari ni.”

“Berlagak nampak?”

“Sekali sekala nak berlagak jadi orang kaya. Apa salahnya, kan?”

“Kau kan memang kaya. Buat apa nak berlagak jadi kaya?”

“Ibu aku yang kaya, bukan aku.”

Melisa mengangguk perlahan. Ada benarnya kata-kata Irdina itu. Tidak dinafikan yang Irdina memiliki segala kemewahan. Datin Iznaini seorang usahawan yang berjaya. Tetapi, Irdina tidak pernah mengambil kesempatan ke atas kekayaan Datin Iznaini.

Sejak dari dulu lagi, Irdina dan Irshad mencari rezeki sendiri. Adik beradik itu belajar sambil bekerja sebelum mereka berdua berjumpa semula dengan Datin Iznaini. Pertemuan itu tidak menyenangkan Irshad. Kebencian Irshad terhadap Datin Iznaini sukar untuk dihapuskan.

“Jom karok!” ajak Irdina seraya menarik tangan Melisa.

Tersentak Melisa dek kerana tarikan itu. Langkahnya mengekori langkah Irdina menuju ke sebuah pusat hiburan.

“Irdina Asyikin?” tegur Naufal, tiba-tiba.

Termati langkah Irdina dan Melisa dek kerana teguran itu. Masing-masing menoleh dan wajah Naufal bersama Tengku Irfan menyapa mata mereka berdua.

“Aduh! Kenapa boleh berjumpa dengan dia orang ni?” keluh Irdina, berbisik.

“Mana la nak tahu. Kau ni macam ada chemistry pulak dengan Naufal tu,” balas Melisa turut sama berbisik. Sengihan diberikan kepada Naufal tatkala bertemu pandang.

“Hish!! Mengarutlah kau. Siapa la aku dengan Naufal tu? Dia tu kan ramai peminat.”

“Aku perasan dia syok kat kau.”

“Syok la sangat. Entah-entah dia syok kat kau.” Irdina menduga. Senyuman terbias di wajah.

“Mengarut!” tukas Melisa, keras.

Irdina ketawa. Sengaja mengusik Melisa.

“Awak buat apa kat sini?” tanya Naufal, ramah.

“Nak karok!” jawab Irdina, selamba.

“Karok?” Naufal berkerut dahi.

“Maksud Dina, karaoke.” Melisa membetulkan ayat Irdina.

“Oh! Saya ingatkan apa tadi.”

“Encik Naufal pulak, buat apa kat sini?”

“Saya temankan Irfan cari barang. Tak lama lagi, hari jadi Tengku Iqbal. Jadi, kami nak buat persiapan majlis hari jadi Tengku Iqbal,” beritahu Naufal, tersenyum.

Melisa dan Irdina mengangguk faham. Mata mereka mengerling sekilas ke wajah Tengku Irfan. Pemuda itu dilihat sedang mengipas diri sendiri. Mungkin sedang menahan bahang kepanasan dari kawasan itu.

“Kalau macam tu, kami mintak diri dulu,” ujar Irdina, ramah.

“Apa kata Encik Naufal dan Tengku Irfan join kami berdua karaoke?” cadang Melisa, tiba-tiba. Wajah Naufal ditatap mesra.

Joinyou all berdua?” ulang Naufal inginkan kepastian.

Melisa mengangguk dan tersenyum.

“Kau dah gila ke Mel? Takkan nak ajak tengku poyo tu sekali karok?” bisik Irdina, keras.

“Ala… Sekali sekala. Apa salahnya?” balas Melisa lalu tersengih.

“Boleh juga. Sekadar untuk berhibur,” ujar Naufal sambil mengangguk setuju.

Melisa bersorak girang manakala Irdina menelan liur sendiri. Bagaimana untuk berhadapan dengan Tengku Irfan? Kemarahan Tengku Irfan masih terngiang-ngiang di minda. Perlukah dia menghalang Naufal dan Tengku Irfan daripada menyertai mereka berdua?


“BOSAN… bosan… bosan… bosan… bosan… dengan tingkah lakumu. Pergi… pergi… pergi… pergi… pergi… dari sisiku,” nyanyi Irdina sepenuh hati.

Melisa yang melihat sudah menepuk dahi. Naufal sekadar tersenyum manakala Tengku Irfan hanya mencebik.

“Aduh… aduh… aduh… aduh… aku sengsara. Aduh… aduh… aduh… aduh… robek hatiku. Robek hatiku. Robek hatiku,” sambung Irdina lagi.

Tidak dihiraukan pandangan Melisa, Naufal dan Tengku Irfan. Apa yang pasti, dia dapat melepaskan tekanan yang sedang menghimpit diri.

“Dina!” panggil Melisa sedikit meninggi.

Irdina tidak membalas. Dia meneruskan nyanyian.

“Err… Maaf Encik Naufal, Tengku Irfan. Irdina tu memang macam tu kalau dapat menyanyi. Tak ingat dunia langsung,” beritahu Melisa, serba salah.

“Tak apa, Melisa. Janji Irdina gembira,” balas Naufal. Menghalau rasa bersalah gadis itu.

“Mel! Marilah sini! Kita menyanyi!” ajak Irdina sambil melambai.

“Tak apalah Dina. Kau menyanyi seorang-seorang sajalah,” tolak Melisa, lembut.

“Berapa lama lagi kita kat sini?” bisik Tengku Irfan ke telinga Naufal.

Naufal memandang jam di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke pukul 9.00 malam.

“Kalau kau nak stay sini, kau stay la. Aku nak balik.”

“Sekejap! Aku beritahu pada Irdina dan Melisa.”

Tengku Irfan hanya mengangguk. Matanya memandang langkah Naufal yang sedang menghampiri Melisa dan Irdina. Entah kenapa perasaan meluat melihat Irdina menyanyi menghuni di hati. Malah, tingkah laku gadis itu turut menambah tahap kebenciannya.

“Kalau kau nak balik kau balik la dulu. Aku nak tunggu dia orang.”

What?!” Terjerit kecil Tengku Irfan mendengarnya.

“Kau lelaki. Dia orang berdua perempuan. Kau faham, kan?” jelas Naufal.

“Takkan sebab tu kau sanggup tunggu dia orang sampai habis?” soal Tengku Irfan. Kurang sedang dengan tindakan Naufal.

“Aku sanggup! Asalkan keselamatan mereka terjamin,” balas Naufal.

Tengku Irfan mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar jawapan Naufal.

“Kau okey, kan?” tanya Naufal inginkan kepastian.

“Okey! Aku blah dulu,” ujar Tengku Irfan dan beredar dari situ.

Naufal hanya memandang. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Dihalakan mata ke arah Melisa dan Irdina. Kedua-dua gadis itu sedang khusyuk menyanyi. Tercuit hatinya melihat tingkah laku kedua-dua sahabat baik itu.


THANKS!” ucap Irdina, ikhlas.

“Untuk apa?” tanya Naufal, berkerut dahi.

“Temankan kami balik.”

“Oh! Small matter!”

Small matter bagi encik tapi big matter bagi kami berdua.”

Naufal ketawa kecil mendengarnya.

“Tengku Irfan tak marah kat encik ke?”

“Marah untuk apa?”

“Yalah, tinggalkan dia. Maksud saya, suruh dia balik sendiri.”

“Tak ada. Irfan tak kisah.”

Irdina mengangguk faham. Kakinya melangkah menyusuri deretan rumah di kawasan perumahannya. Sengaja Naufal memakirkan kereta di rumah Melisa.

Sekadar untuk berjalan bersama dengan Irdina. Lagipun antara rumah Melisa dan Irdina tidaklah jauh mana. Hanya selang beberapa buah rumah sahaja.

“Macam mana dengan kerja awak, Irdina?”

“Kerja saya?”

“Tengku Irfan ada beritahu saya yang awak tak dipecat oleh Tengku Iqbal.”

“Alhamdulillah, Encik Naufal. Kalau tidak, tak tahu kat mana saya nak cari kerja.”

“Kalau kerja awak bagus, mustahil awak akan dipecat. Saya kenal dengan ayah engku. Dia menitikberatkan tanggungjawab dan amanah seseorang.”

“Ayah engku?”

“Papa Tengku Irfan, ayah angkat saya.”

Irdina mengangguk. Hampir dia terlupa yang Naufal adalah anak angkat Tengku Iqbal.

“Kalau saya nak tanya sesuatu, boleh?”

“Tanya apa, Irdina? Tanyalah!”

“Macam mana tangan Tengku Irfan lumpuh?”

Termati langkah Naufal dek kerana pertanyaan itu. Hatinya berkira-kira ketika ini. Perlukah dia bercerita kepada Irdina tentang Tengku Irfan?

“Maafkan saya kalau persoalan saya tak kena pada masanya,” kesal Irdina.

“Tak Irdina. Awak sebagai pembantu peribadi Tengku Irfan seharusnya tahu segala-galanya tentang Tengku Irfan,” tukas Naufal, lembut.

Irdina tidak membalas. Wajah Naufal menjadi tatapan mata.

“Dua tahun yang lepas, Tengku Irfan terlibat dalam satu kemalangan,” mulai Naufal.

“Kemalangan?” ulang Irdina sedikit terkejut.

Naufal sekadar mengangguk.

“Tengku Irfan cuba nak mengelak seseorang masa tu. Disebabkan itu, kereta yang Irfan pandu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.”

“Mengelak seseorang? Maksud Encik Naufal?”

“Apa yang saya tahu, Irfan cuba nak mengelak daripada melanggar seseorang. Jadi, Irfan tak dapat kawal stereng dan kereta dia melanggar pembahagi jalan yang ada di situ. Sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan tak dapat nak kawal kereta dan melanggar bahagian pemandu.”

“Lepas tu, apa yang terjadi encik?” tanya Irdina berminat untuk tahu.

“Irfan mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan. Doktor sahkan tangan kanan Irfan lumpuh,” jawab Naufal, tenang.

“Takkan sebab itu tangan Tengku Irfan lumpuh?” soal Irdina kurang logik.

“Tangan Irfan tersepit masa tu. Pihak bomba terpaksa potong bahagian depan kereta untuk keluarkan Irfan.”

Irdina mengangguk faham. Rasa kasihan menerjah ke dalam hati.

“Alhamdulillah Irfan selamat dalam kemalangan tu. Kalau awak tengok keadaan kereta Irfan masa tu, awak akan berfikir sama seperti orang lain. Mustahil Irfan akan hidup. Tapi, Allah memanjangkan usia Irfan,” terang Naufal lagi.

“Saya mintak maaf,” ujar Irdina, perlahan.

“Maaf? Kenapa awak perlu mintak maaf?”

“Sebab saya panggil dia cacat hari tu. Saya tak tahu pun tangan dia lumpuh.”

“Tak apalah, Irdina. Perkara dah berlalu. Tak perlulah nak rasa bersalah.”

“Tangan Tengku Irfan masih boleh dirawat, Encik Naufal?”

“Menurut kata doktor, 50-50 saja Irdina.”

Irdina tersenyum hambar.

“Saya mintak diri dulu. Dah lewat sangat ni,” ujar Naufal, tiba-tiba.

“Haa.. Baiklah! Terima kasih, Encik Naufal,” balas Irdina, ramah.

“Sama-sama. Hope kita boleh berjumpa lagi.”

“Insya-Allah, Encik Naufal.”

Naufal hanya tersenyum. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Rasa selesa berbual-bual bersama dengan Irdina. Gadis itu seorang yang peramah dan jujur.

“Dia sangat comel!” puji Naufal kepada Irdina.

Previous: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.