Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
131,070
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10

“AWAK macam mana, Irdina?” tanya Naufal, prihatin.

“Macam mana apa, Encik Naufal?” soal Irdina, berkerut dahi.

“Selepas jadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl,” balas Naufal, tersenyum.

“Oh!” sebut Irdina, sepatah.

Naufal tidak membalas. Wajah Irdina ditatap mesra. Riak ketidakpuasan terpamer di situ.

“Menyusahkan!”

“Menyusahkan? Maksud Irdina?”

“Banyak membebel. Banyak mengarah. Haishhh… Sakit hati saya dengan perangai mengada-ngada dia tu,” luah Irdina akan ketidakpuasan di hati.

“Mengada-ngada?” ulang Naufal kurang faham.

“Yalah! Nak minum air pun nak suruh saya ambilkan. Melampau betul!” rungut Irdina di hadapan Naufal. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

Ketawa kecil Naufal mendengarnya.

“Pemalas! Berat agaknya punggung tu nak bangun. Air tu punya dekat pun nak suruh saya ambilkan. Haishh.. Ada juga manusia macam dia tu,” bebel Irdina pula.

“Awak ni comel dan kelakar!” puji Naufal, selamba.

Irdina tersentak. Dihalakan mata ke wajah Naufal.

“Err.. Maksud saya. Awak comel bila awak marah dan awak seorang yang kelakar.” Naufal membetulkan ayat. Tenyata dia terlepas berbicara.

“Oh, saya ingatkan apa tadi. Terima kasih!” balas Irdina, tersenyum malu.

Naufal tersenyum. Dia menggaru kening sendiri. Malu dengan kata-kata pujian sebentar tadi. Hisy… Buat malu kau sajalah Naufal, kutuk Naufal kepada dirinya sendiri.

“Kalau saya nak tanya sesuatu, boleh?”

“Tanya? Tanya apa?”

“Tengku Irfan tu dah kahwin ke?”

“Kahwin? Kenapa awak tanya?”

“Saya perasan dia tu tak macam encik. Suka menyendiri. Susah nak senyum. Selalu marah-marah. Suka membebel.”

Tergelak Naufal mendengarnya. Sampai begitu sekali pemerhatian Irdina terhadap Tengku Irfan. Kalau Irfan tahu, mahu kena Irdina ni, bisik Naufal dalam hati.

“Kadang-kadang tu saya tengok, cakap seorang diri pun ada juga.”

Naufal masih lagi ketawa. Kelakar mendengar komen Irdina.

“Err… Tengku Irfan tu ada masalah ni ya, Encik Naufal,” tambah Irdina.

Jari telunjuk di unjuk ke kepala sendiri sambil membuat pusingan bulatan. Seperti isyarat ‘gila’ kepada Naufal.

Semakin galak Naufal ketawa. Kepala menggeleng dengan kata-kata Irdina.

“Betul ke, Encik Naufal?” ujar Irdina, takut-takut.

“Kelakar la awak ni Irdina. Sampai begitu sekali tanggapan awak terhadap Irfan,” balas Naufal sambil menggeleng.

Irdina tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Kalau Irfan dengar ni, mesti awak kena bom dengan dia.”

“Sebelum dia bom saya… saya bom dia dulu.”

Naufal masih menggeleng. Irdina seorang yang kelakar dan jujur.

“Tengku Irfan tu dah kahwin ke, Encik Naufal?”

“Kalau dia dah kahwin, kenapa? Kalau dia belum kahwin, kenapa pula?”

“Kalau dia dah kahwin satu pencapaian yang bagus. Kalau dia belum kahwin, dia ada masalah ‘lelaki’.” Selamba Irdina menerangkannya. Sengihan terbias di wajah.

Naufal cuba untuk menafsir kata-kata Irdina. Apa yang dimaksudkan Irdina dengan masalah ‘lelaki’? Adakah Tengku Irfan mempunyai penyakit?

“Maksud awak….” Naufal mematikan ayat sebaik sahaja memahami maksud Irdina.

Irdina ketawa. Wajah berkerut Naufal ditatap.

“Tengku Irfan tu lelaki sejati,” beritahu Naufal lalu ketawa kecil.

“Saya agak saja,” sengih Irdina sambil menggaru kepala.

Naufal menggeleng. Terhibur hatinya dengan tingkah laku Irdina. Gadis itu seorang yang ceria dan kelakar.

“Err.. Encik Naufal,” ujar Irdina kemudian.

“Janganlah ber ‘encik’ dengan saya. Panggil saja Naufal,” tegur Naufal kurang senang.

“Encik seorang yang terhormat. Jadi ada baiknya saya panggil encik dengan panggilan itu,” terang Irdina, ikhlas.

“Saya tak paksa.”

“Kalau saya nak tanya satu soalan boleh?”

“Soalan apa?”

“Err… Kenapa dengan tangan kanan Tengku Irfan?”

Takut-takut Irdina bertanya. Khuatir akan menyebabkan hati Naufal terasa walaupun bukan diri lelaki itu yang ditanya.

Naufal sedikit tersentak. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Irdina? Perlukah dia berterus-terang keadaan sebenar Tengku Irfan kepada Irdina? Jika diberitahu, adakah akan melukakan hati serta merendahkan diri Tengku Irfan?

“Dari hari tu lagi saya nak tanya. Kenapa dengan tangan kanan Tengku Irfan? Seperti tak boleh bergerak saja.”

Irdina masih lagi bertanya. Wajah Naufal diperhati dalam diam. Pemuda itu hanya beriak tenang. Adakah persoalannya tadi salah?

Naufal masih membisu. Hatinya berkira-kira untuk bercerita.

“Err… Sorry kalau soalan saya ni salah,” ujar Irdina, kesal.

It’s okey, Irdina,” kata Naufal, tersenyum.

Irdina turut sama tersenyum. Wajah Naufal diperhati dalam diam.

“Sebenarnya, Tengku Irfan pernah….”

Kata-kata Naufal terhenti tatkala Tengku Irfan memanggil namanya. Serentak Naufal dan Irdina menoleh ke arah Tengku Irfan. Riak tegang terlukis di wajah pemuda itu. Kenapa Tengku Irfan beriak sebegitu?


WHAT?!!!” Irdina menjerit terkejut.

Tengku Irfan beriak selamba. Senyuman sinis menghiasi bibir.

“Awak dah gila ke?” luah Irdina, geram.

“Tengku Irfan!” sebut Tengku Irfan.

“Tengku… Tengku… Tengku.. Macam la nama tu bagus sangat,” cebik Irdina, berbisik.

Meluat mendengarnya. Semakin geram dengan lelaki yang bernama Tengku Irfan Haiqarl.

“Apa kau cakap?” tanya Tengku Irfan. Seperti terdengar bisikan dari arah Irdina.

“Tengku dah melampau. Takkan saya nak masuk dalam sungai tu cari ikan?”

“Habis tu, kau nak suruh aku masuk dalam sungai tu ke?”

“Kan ada makanan kat sana. Kenapa nak ikan dalam sungai ni juga?”

“Kau ni banyak alasan betul. Kalau kau takut nak tangkap, cakap sajalah.”

Irdina mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar kritikan Tengku Irfan.

“Kau memang penakut, kan?” ejek Tengku Irfan pula.

“Bila masa aku takut?” geram Irdina sedikit meninggi.

Berubah sudah kata ganti diri. Semakin meluat melihat wajah selamba Tengku Irfan.

“Penakut!” ejek Tengku Irfan lagi.

Irdina mendengus kasar. Tanpa berlengah, dia segera masuk ke dalam sungai. Cabaran Tengku Irfan perlu dilaksanakan. Tidak mahu dipandang rendah oleh Tengku Irfan.

“Macam bagus saja mamat tu. Memang nak kena betul dengan aku dia ni. Tunggu kau, aku kerjakan kau nanti,” omel Irdina sendirian.

Dibawa langkah perlahan-lahan menuruni anak sungai. Otaknya sedang ligat bekerja. Merangka rancangan untuk mengenakan Tengku Irfan.

“Tadi Naufal tu tak beritahu aku kenapa tangan kanan mamat tu, kan? Aku nak tengok, betul tak tanggapan aku dan Mel hari tu. Tangan dia bermasalah,” bisik Irdina sendirian.

“Apa lagi yang kau bebelkan tu? Cepat tangkap ikan tu untuk aku!” tegur Tengku Irfan.

Irdina menghentikan langkah. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Rasa nak penampar saja wajah itu. Marah dan sakit hati bergabung menjadi satu.

Tengku Irfan tersenyum kemenangan. Ternyata, Irdina seorang gadis yang selalu memberontak dan mudah untuk dipermain-mainkan. Berbeza dengan gadis-gadis yang dikenalinya dahulu. Mengada-ngada, gedik dan bermata duitan.

“Tolong! Tolong! Tolong!” jerit Irdina, tiba-tiba.

Tersentak Tengku Irfan mendengarnya. Dihalakan mata ke suara yang menjerit. Dilihatnya Irdina sedang terkapai-kapai di dalam sungai.

“Tolong! Tolong!” jerit Irdina lagi.

Terkapai-kapai dia di dalam air itu. Menahan diri daripada lemas.

“Ya Allah! Irdina!” panggil Tengku Irfan, cemas.

“Tengku! Tolong!” panggil Irdina, tersekat-sekat.

“Irdina!” buat kali kedua Tengku Irfan memanggil. Perasaan risau menghuni di hati. Bagaimana untuk menyelamatkan Irdina?

“Tengku! Tengku! Tolong!” jerit Irdina buat kali yang ketiga.

Dilihatnya Tengku Irfan mundar mandir di tepi sungai. Rasa kelakar pun ada juga. Sengaja dia berlakon lemas. Sekadar melihat tindakan Tengku Irfan. Adakah pemuda itu tidak mempunyai perasaan?

“Ya Allah! Macam mana aku nak selamatkan dia? Aku bukannya tak pandai berenang. Keadaan aku yang tak mengizinkan,” luah Tengku Irfan sendirian.

Semakin risau melihat keadaan Irdina yang sedang terkapai-kapai di dalam air. Perlukah dia memanggil Naufal ketika ini?

“Tengku!!!” Irdina masih lagi memanggil.

Tengku Irfan masih lagi berfikir. Hatinya berkira-kira untuk menyelamatkan Irdina. Tanpa berfikir lagi, dia segera turun dan masuk ke dalam air. Cuba untuk menghampiri Irdina.

Irdina yang melihat melepaskan ketawa. Geli hati melihat tingkah laku Tengku Irfan yang teragak-agak untuk menghampirinya.

“Kelakarlah tengku ni,” kata Irdina masih ketawa.

Tengku Irfan berkerut dahi. Matanya memandang wajah ketawa Irdina. Kenapa Irdina ketawa begitu? Adakah Irdina sedang mempermain-mainkannya?

“Saya ingatkan tengku ni seorang yang penakut dan pengecut. Rupa-rupa…. hurm, boleh tahan juga,” sambung Irdina masih ketawa.

Tanpa menunggu, dia segera naik ke atas untuk beredar dari situ. Dia menggeleng tatkala mengenangkan tingkah laku Tengku Irfan sebentar tadi.

Tengku Irfan menahan kemarahan. Sakit sungguh hatinya dipermain-mainkan oleh Irdina sebentar tadi. Begitu mudah dia dipermain-mainkan serta diperbodoh-bodohkan oleh Irdina.

“Kau main-mainkan aku. Tunggu kau, Irdina. Aku kenakan kau balik,” azam Tengku Irfan sambil mengepal tangan.


“KAU ni Dina. Berani betul kau main-mainkan dia. Kau kan tahu dia tu siapa dengan kita,” tegur Melisa sambil menggeleng.

“Ala… Lantaklah! Peduli apa aku. Suka hati dia saja nak arahkan aku buat itu dan ini. Mentang-mentang dia bos dia boleh buli aku la,” balas Irdina, serius.

“Kau tu yang tak sedar diri. Kau kan tak pandai berenang. Kalau jadi apa-apa tadi pada kau, macam mana? Sengaja cari nahas!” bebel Melisa pula.

Irdina yang mendengar tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Akui akan kesalahan sendiri. Memang dia tidak pandai berenang. Mujur juga air sungai itu tidak sedalam mana.

“Kalau Irshad tahu, kena se das kau nanti.”

“Haaa.... Jangan nak jadi wartawan tak bergaji pulak. Kalau Irshad tahu, kau orang pertama yang aku cari.”

“Tahu pun takut. Masa buat tak fikir pulak?”

Irdina menjegilkan mata. Melisa yang melihat sekadar menggeleng.

“Mel, kau ingat tak hari tu kau ada beritahu aku tentang mamat tu,” ujar Irdina kemudian.

“Beritahu kau? Beritahu apa?” soal Melisa, berkerut dahi.

“Pasal tangan mamat tu.”

Melisa berfikir sejenak. Cuba untuk menerima kata-kata Irdina.

“Tangan kanan dia.”

“Oh! Aku lupa la pasal tu.”

“Kau ni memang lembab!”

“Amboi mulut. Suka hati nak kritik aku.”

Irdina tersengih. Kemarahan Melisa buat endah tak endah sahaja. Dia tahu Melisa hanya bergurau. Sudah lama mereka berdua berkawan baik. Segala sikap dan perangai Melisa, sudah sebati dalam dirinya.

So, kau dah tahu?” tanya Melisa tidak sabar.

Irdina sekadar mengeluh. Kalau bukan disebabkan Tengku Irfan, pasti dia sudah mengetahuinya melalui Naufal.

“Dina!” panggil Melisa.

“Baru Naufal tu nak buka mulut, mamat tu dah panggil aku. So, aku tak tahu la,” jelas Irdina berserta keluhan untuk kesekian kali.

“Ala.. Ingatkan kau dah tahu,” keluh Melisa pula.

“Aku rasakan tangan kanan dia tu memang tak boleh bergerak. Tadi pun aku tengok dia berkira-kira nak selamatkan aku. Kalau dia tak ada masalah, mesti dia terus terjun sungai tu tadi,” terang Irdina akan firasat di hati.

Melisa berfikir sejenak. Cuba memproses penjelasan Irdina.

“Macam mana aku nak tahu pasal tangan dia?”

“Kau tanya la Naufal balik.”

“Ishh! Tak berani aku. Tadi aku tanya pun dia macam nak tak nak saja jawab.”

“Kalau macam tu kau la pergi siasat.”

“Aku? NoNoNo… Aku tak nak.”

“Kau kan PA dia. Lambat laun, tentu kau akan tahu.”

Irdina berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya juga kata-kata Melisa. Lambat laun, dia akan tahu juga tentang itu.

“Eh… Encik Naufal nak ke mana?” tegur Melisa tatkala terpandang kelibat Naufal.

Irdina menghalakan mata ke arah Naufal.

“Nak ke khemah Irfan,” beritahu Naufal.

“Tengku Irfan?”

“A’ah Irdina. Tengku Irfan demam.”

“Demam?” Irdina terkejut pantas berdiri.

Melisa dan Naufal yang melihat berkerut dahi. Kenapa Irdina bertingkah laku begitu?

“Tengku Irfan demam, Encik Naufal?” tanya Melisa turut sama bangun.

Naufal hanya mengangguk dan tersenyum. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Kepala menggeleng kecil melihat tingkah laku Irdina sebentar tadi.

“Eh… Dina… Dina… Dina….” panggil Melisa berkali-kali sambil menepuk bahu Irdina.

“Kau ni dah kenapa?” tegur Irdina, keras.

“Mamat tu demam pasal kau ke?”

“Pasal aku? Kenapa pulak pasal aku?”

“Kan dia mandi sungai tadi.”

Irdina berkerut dahi. Apa maksud Melisa?

“Dia tak tahan main air kut,” duga Melisa pula.

“Tak kan la….”

“Mana tahu, kan?”

Irdina menggeleng. Mustahil Tengku Irfan demam semata-mata kerana peristiwa tadi.

“Kau tak nak pergi tengok keadaan dia ke?” tanya Melisa, berbasa-basi.

“Aku…”

“Jomlah! Just tengok keadaan dia saja.”

“Tapi…”

“Jomlah!” ajak Melisa seraya menarik tangan Irdina.

Irdina mengeraskan tubuh. Hatinya berkira-kira untuk menerima cadangan Melisa. Rasa bersalah menujah ke dalam hati. Khuatir dan risau akan kemarahan Tengku Iqbal. Adakah benar disebabkan dia, Tengku Irfan demam?

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.