Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
131,073
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

SO, apa jawapan kau?” soal Melisa ingin tahu.

“Aku berterus-terang sajalah yang aku pergi jumpa dengan mak aku,” jawab Irdina.

Tangannya lincah mengambil barang dan memasukkannya ke dalam troli. Barang untuk dijadikan hadiah sempena team building syarikat mereka.

“Along marah tak?” Melisa masih lagi bertanya.

“Mahunya tak marah. Meletup satu rumah kau tahu tak,” balas Irdina lalu ketawa kecil.

Melisa turut sama ketawa.

“Aku tak tahu macam mana nak buat dengan along tu lagi. Sampai bila dia tak nak terima mak aku?” keluh Irdina di hadapan Melisa.

“Kau janganlah risau. Satu hari nanti along akan terima mak kau tu semula,” pujuk Melisa, lembut. Wajah Irdina ditatap kasih.

Irdina sekadar mengangguk. Dia turut mendoakan perkara yang sama. Berharap, Irshad dapat menerima Datin Iznaini semula.

“Eh, kau ada call Naufal tak?” tanya Melisa, tiba-tiba.

“Naufal?” ulang Irdina, berkerut.

“Ya. Naufal!”

“Apa kes aku nak call dia?”

“Ala… Saja-saja. Tanya khabar.”

“Hisy… Tak kuasa aku nak call dia.”

“Kau ni, Dina. Macam orang tak ada perasaan saja aku tengok kau ni. Takkan kau tak terpikat dengan kekacakan dia?”

Irdina ketawa. Kepala menggeleng kecil.

“Naufal tu handsome la. Lebih handsome dari mamat lagi seorang tu.” Puji Melisa kepada Naufal. Sengihan terbias di wajah.

“Aduh!” rengek Melisa kemudian.

“Berangan! Jangan nak berangan Melisa. Perempuan macam kita ni, manalah dia nak pandang. Sebelah mata pun belum tentu tau,” tegur Irdina masih menggeleng.

“Kau ni, tak senang aku nak berangan,” geram Melisa sambil mengusap dahi.

“Aku cuma nak ingatkan kau saja. Siapa diri kita yang sebenarnya?” kata Irdina berlalu dari situ. Masih banyak barang yang perlu dibeli.

Melisa masih lagi mengusap dahi. Matanya memandang langkah Irdina yang semakin menjauh. Terkadang hatinya tertanya-tanya, adakah Irdina seorang yang tidak berperasaan?

“Irdina Asyikin?” tegur seseorang, tiba-tiba.

Irdina mematikan langkah. Gerangan yang menegur menyapa mata.

“Naufal?” tegur Irdina sedikit terkejut.

Naufal tersenyum. Wajah terkejut Irdina ditatap.

“Eh… Encik Naufal. Buat apa kat sini?” tegur Melisa dari arah belakang.

Naufal menoleh. Wajah Melisa menyapa mata. Senyuman diberikan kepada gadis itu.

“Kami baru saja sebut nama encik tadi. Tup-tup, muncul depan mata. Macam tau-tau pulak,” kata Melisa bernada usikan.

“Sebut nama saya?” tanya Naufal, berkerut dahi.

“A’ah. Irdina baru puji encik ni handsome dan smart.” Selamba Melisa menjawab. Sengihan diberikan kepada Irdina.

Buntang mata Irdina mendengarnya. Cubitan hinggap di pinggang Melisa.

“Puji saya handsome? Smart?” Malu-malu Naufal menyebutnya. Wajah Irdina dan Melisa dipandang silih berganti.

Irdina tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Dijegilkan mata kepada Melisa atas kata-kata gadis itu sebentar tadi.

“Encik seorang saja ke?” tanya Irdina kemudian.

“Tak! Dengan…”

“Benda ni, okey tak?” sampuk Tengku Irfan, tiba-tiba.

Mereka yang berada di situ tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Tengku Irfan yang sedang menghampiri mereka bertiga.

“Ir!” tegur Naufal lalu tersenyum.

“Err, kalau macam tu kami jalan dulu. Banyak lagi barang yang nak dibeli,” ujar Irdina sambil tersenyum kelat.

Wajah Tengku Irfan di hadapan ditatap meluat. Rasa sakit hati atas apa yang berlaku semalam meniti di tubir mata.

“Apa kata kita lunch sama?” cadang Naufal.

“Okey juga tu,” sokong Melisa, selamba.

“Mel!” tegur Irdina sambil memberi isyarat mata kepada Melisa.

“Ala… Apa salahnya kita lunch sama-sama,” keluh Melisa.

“Aku tak nak!” bentak Irdina, keras.

So, macam mana?” tanya Naufal sambil memandang Irdina dan Melisa.

No problem!” balas Melisa berserta senyuman di bibir.

Irdina mendengus ringan. Wajah Melisa ditatap tajam. Rasa nak hempuk kawan baiknya itu pun ada juga. Suka hati membuat keputusan tanpa berbincang.

“Kau macam mana, Ir?” tanya Naufal sambil mengangkat kening.

Tengku Irfan berkira-kira dalam hati. Perlukah dia menerima cadangan Naufal itu? Diperhatikan wajah Irdina. Riak tidak puas hati terlukis di wajah. Pasti gadis itu kurang menyenangi dengan cadangan Naufal.

“Irfan!” panggil Naufal lagi.

“Aku follow!” balas Tengku Irfan dan beredar dari situ.

Naufal hanya memandang. Tanpa berlengah, mereka bertiga melangkah ke kaunter pembayaran untuk membayar barangan yang telah diambil.


SUASANA sunyi di meja makan. Masing-masing menikmati hidangan yang telah terhidang. Tatkala mata bertentangan, hanya senyuman yang meniti di bibir mereka. Hanya mata yang membicarakan segala-galanya.

Bagi Irdina, dia tidak peduli dengan semua itu. Apa yang pasti, kenikmatan makanan yang sedang dijamahnya. Tidak dihiraukan pandangan Tengku Irfan. Bukannya dia tidak sedar. Sejak dari tadi, pemuda itu asyik memandang berserta cebikan di bibir. Rasa meluat melihat Tengku Irfan.

“Ehem.. Ehem..” Naufal berdehem tatkala kebisuan menemani mereka berempat.

“Encik Naufal sakit tekak ke?” tanya Irdina, lurus.

Naufal yang mendengar melepaskan ketawa. Geli hati mendengar pertanyaan Irdina.

“Bodoh!” kutuk Tengku Irfan, berbisik.

Irdina yang terdengar bisikan dari arah Tengku Irfan menoleh. Wajah pemuda itu ditatap. Hanya riak selamba yang terlukis di wajah itu.

“Beli barang tadi untuk apa?” tanya Naufal sekadar ingin tahu.

“Tak lama lagi syarikat kami nak adakan team building. Kami berdua AJK hadiah. Jadi, barang-barang tu untuk dijadikan hadiah,” jelas Melisa, tersenyum.

Team building? Menarik!” kata Naufal sambil mengangguk.

“Encik Naufal nak join?” pelawa Irdina, ikhlas.

Join? Bila?” tanya Naufal lagi.

“Dua minggu lagi,” balas Melisa.

Naufal mengangguk. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Ir, bukan ke dua minggu lagi team building company kau?” tanya Naufal tatkala teringatkan tentang itu. Wajah Tengku Irfan dipandang.

Tengku Irfan sekadar mengangguk. Mengiyakan kata-kata Naufal. Matanya tidak lekang memerhati tingkah laku Irdina. Sungguh khusyuk gadis itu dengan makanannya.

“Maaf Melisa, saya follow Irfan,” beritahu Naufal, tersenyum.

“Sama la pulak. Hurm… Tak apalah,” keluh Melisa, mengangguk.

Naufal masih lagi tersenyum. Tingkah laku Irdina menjadi perhatian.

Melisa yang menyedari pandangan Tengku Irfan dan Naufal terhadap Irdina segera menyiku lengan gadis itu. Rasa kurang enak melihat pandangan mereka berdua.

“Apa?” tanya Irdina tatkala lengannya disiku.

Control sikit!” tegur Melisa.

Irdina berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Melisa itu?

“Dia orang tengah tengok kau la,” beritahu Melisa lagi.

Irdina masih lagi berkerut. Kurang faham dengan penjelasan Melisa. Tanpa menghiraukan Melisa, dia segera mencapai seketul ayam goreng. Belum sempat dia meletakkan ayam itu ke dalam pinggan nasi, Tengku Irfan menegur.

“Awak ingat awak seorang saja ke yang nak makan?”

“Kan ada lebih.”

“Lebih? Bila masa ada lebih?”

“Itu! Kan ada lagi 3 ketul ayam.”

“Awak dah makan sampai 3 ketul, tahu tak?” Tengku Irfan geram. Tajam matanya ke riak selamba Irdina.

“Saya bayar lebih la nanti,” balas Irdina, selamba.

Ayam goreng dijamah tanpa menghiraukan pandangan tajam Tengku Irfan. Apa yang penting, perut yang lapar diisi dengan makanan.

Tengku Irfan mendengus kasar. Sakit hatinya melihat tingkah laku selamba Irdina. Ikutkan hati, mahu sahaja disumbat mulut Irdina dengan nasinya itu.

“Dina, control la sikit,” tegur Melisa, keras.

Irdina menghentikan suapan. Matanya memandang wajah Melisa. Kemudian, ke wajah Naufal dan Tengku Irfan. Masing-masing sedang memandang ke wajahnya. Sengihan diberikan kepada mereka semua.

“Tak senonoh!” kutuk Tengku Irfan lalu bersandar ke kerusi.

Irdina memandang ke wajah Tengku Irfan. Apa masalah Tengku Irfan? Kenapa Tengku Irfan mengutuknya terang-terangan?

“Apa masalah awak ni?” tanya Irdina kemudian.

“Tak ada apa. Kenapa?” balas Tengku Irfan, selamba.

“Habis tu? Yang awak nak kutuk saya, kenapa?”

“Mana ada aku kutuk kau?”

“Awak ingat saya pekak?”

“Memang pun!” Selamba Tengku Irfan menjawab. Puas hatinya ketika ini.

“Kau!” Irdina pantas berdiri. Sakit hatinya mendengar kata-kata Tengku Irfan.

Melisa dan Naufal yang melihat turut sama bangun. Wajah tegang Irdina ditatap. Risau berlaku peristiwa yang tidak sepatutnya.

Irdina mengepal tangan. Wajah Tengku Irfan masih dipandang tajam. Tanpa berlengah, seketul ayam dicapai lalu disumbatkan ke mulut Tengku Irfan. Seperti menonyoh cili ke mulut. Baru puas hati aku. Main-main lagi dengan aku, geram Irdina dalam hati.

Setelah itu, Irdina segera beredar dari situ. Rasa sakit hati sudah pun dilepaskan.

“Padan muka! Main-main lagi dengan aku. Baru puas hati aku! Mulut tak ada insuran langsung!” bebel Irdina kepada dirinya sendiri.

Terkejut Melisa dan Naufal melihatnya. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan yang beriak tegang. Rasa kelakar pun ada juga. Dikawal diri mereka agar tidak ketawa.

“Err… Maafkan Irdina. Dia tak sengaja. Saya mintak diri dulu,” ujar Melisa sambil mencapai troli. Rasa kurang enak melihat riak tegang di wajah Tengku Irfan.

It’s okey Melisa,” balas Naufal. Senyuman diberikan kepada gadis itu.

Melisa hanya mengangguk. Dia beredar dari situ setelah mengucapkan terima kasih. Rasa tidak percaya dengan apa yang telah Irdina lakukan sebentar tadi. Rasa malu turut menumpang dalam hati.

“Dina ni sengaja cari nahas!” rengus Melisa.

“Kau okey, Ir?” tanya Naufal sebaik sahaja kelibat Melisa menghilang.

Tengku Irfan menghalakan mata ke wajah Naufal. Tanpa membalas, dia bingkas bangun dan beredar dari situ. Rasa sakit hati diperlakukan sebegitu oleh Irdina. Berani sungguh Irdina.

“Kau ingat aku akan lepaskan kau,” geram Tengku Irfan sambil menggenggam erat tangan. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

Naufal hanya memandang. Ketawa kecil terlepas daripada bibir. Geli hati memikirkan tingkah laku Irdina dan Tengku Irfan. Semoga mereka berdua berbaik nanti, doa Naufal dalam hati.


“HAHAHA… Padan muka dia! Kerek sangat dengan aku,” kutuk Irdina, tersenyum puas.

Melisa hanya menggeleng. Wajah puas Irdina ditatap.

“Dia ingat dia tu bagus sangat ke? Ini Irdina Asyikin la. Jangan nak main-main,” sambung Irdina lagi. Rasa bangga bila berkata begitu.

“Irdina Asyikin konon. Pirahh!!!” kutuk Melisa, selamba.

“Betullah! Jangan ingat aku ni perempuan yang lemah.”

“Ikut suka kau la, Dina. By the way, kau perasan tak dengan Irfan tu?”

“Perasan apa?”

Something la!”

Somethingapa?”

“Aku tak tau nak cakap macam mana kat kau. Tapi, aku pelik la tengok dia tu. Mood dia tu kadang-kadang okey. Kadang-kadang tak okey.”

“Hai, prihatin nampak?” tegur Irdina sambil mengangkat kening.

“Errr…” Melisa menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kau ada hati dengan dia ya?” tebak Irdina pula.

“Eh… Mana ada. Aku perasan yang dia tu lain sikit. Tak macam Naufal,” tukas Melisa.

Irdina berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata Melisa itu. Dia turut berfikiran yang sama. Seperti ada yang tidak kena dengan Tengku Irfan.

“Jangan-jangan dia ‘gay’ tak?” komen Irdina, tiba-tiba.

Melisa berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Irdina itu?

“Eeee… Geli aku. Patut la aku tengok dia macam tak ada perasaan dengan perempuan.”

Melisa masih cuba untuk memahami kata-kata Irdina. Seminit kemudian…

“Mulut kau Dina. Tak ada insuran betul. Pandai-pandai saja nak labelkan dia sebagai ‘gay’,” tegur Melisa kurang senang.

Irdina ketawa. Entah kenapa dia boleh berfikiran begitu. Wajah Tengku Irfan meniti di tubir mata. Kelat dan masam mencuka. Geli hati memikirkan tentang pemuda itu.

“Aku balik dulu la. Lebih lama aku kat sini, jadi sewel aku dengan tanggapan kau tu,” ujar Melisa bingkas bangun. Ketawa terlepas daripada bibir.

Irdina masih lagi ketawa. Dia turut sama bangun dari duduk. Setelah melihat pemergian Melisa, dia segera masuk ke dalam rumah. Dikerling jam di dinding buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul 2.30 petang. Ada baiknya dia menunaikan sholat Zohor sebelum menyambung tugas yang tertangguh.


TENGKU Irfan menyandarkan tubuh di kepala katil. Dicapai telefon bimbit lalu membaca mesej yang baru masuk. Mesej kiriman daripada Naufal. Dibaca dan difahami mesej itu.

“Minah tu memang sengaja cari pasal dengan aku,” luah Tengku Irfan, geram.

Mesej Naufal dibalas. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia melepaskan kemarahan di restoran itu tadi.

Bunyi mesej mengejutkan Tengku Irfan. Pantas, dia membaca kiriman mesej itu.

Tapi, dia comel!

“Huh! Comel? Mata kau ni dah buta Naufal,” cebik Tengku Irfan.

Lantas, dia membalas mesej Naufal. Entah kenapa wajah Irdina meniti di tubir mata. Dia mendengus kasar. Sungguh, dia bencikan Irdina. Seminit kemudian, telefonnya berbunyi. Mesej yang dikirim dibaca.

Dia tetap comel!

“Mengarut!” bentak Tengku Irfan lalu mencampak telefon bimbitnya.

Dia bingkas bangun dari duduk bersandar. Dia perlu menyiapkan kerja yang tertangguh dari hari itu. Ada baiknya dia membuat kerja daripada memikirkan tentang Irdina.

“Comel?”

Meluncur laju perkataan itu daripada bibir Tengku Irfan. Niat untuk turun daripada katil termati begitu sahaja.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.