Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
131,077
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Prolog

NO!!!” suara Tengku Irfan Haiqarl, meninggi.

Tengku Iqbal hanya memandang. Tidak berniat untuk bersuara.

“Ir tak percaya! Ir tak percaya!” kata Tengku Irfan sambil menggeleng.

“Ir…” Tengku Iqbal bersuara.

“Doktor ni tipu. Ir tak percaya. Ir nak doktor lain,” bentak Tengku Irfan pula.

Doktor Daris tidak membalas. Matanya memandang wajah tegang Tengku Irfan. Sejak dari tadi lagi pemuda itu memberontak. Sukar untuk menerima kenyataan atas apa yang telah berlaku ketika ini.

“Ir nak jumpa doktor lain. Ir tak percayakan doktor ni.” Tengku Irfan masih lagi memberontak. Wajah Doktor Daris di hadapan dipandang tajam.

“Ir, dengar cakap papa,” tegur Tengku Iqbal bernada keras.

Tengku Irfan tidak mengendahkan teguran Tengku Iqbal. Dia segera turun daripada katil. Dia perlu berjumpa dengan doktor lain. Tidak percaya dengan kata-kata Doktor Daris.

“Ir…” tegah Tengku Iqbal bernada serius.

Ditahan tubuh Tengku Irfan daripada turun. Khuatir akan memudaratkan kecederaan yang dialami oleh anaknya itu.

“Tengku Irfan, saya hanya menjalankan tugas. Apa yang berlaku, bukan kuasa saya. Hanya Allah yang menentukan segala-galanya,” suara Doktor Daris yang sedari tadi membisu.

“Betul cakap doktor tu, Ir. Kita hanya merancang. Allah yang menentukan segala-galanya,” sokong Tengku Iqbal.

Cuba untuk menenangkan hati dan perasaan anaknya yang sedang berkecamuk. Rasa kasihan turut menumpang di hati.

Tengku Irfan menghentikan tingkah laku. Dipejamkan mata menahan sebak di dada. Kenyataan yang baru diketahui menyentap hati. Kenapa semua ini terjadi kepada dirinya? Kenapa dia perlu menghadapi semua ini?

“Saya akan uruskan selebihnya tengku,” ujar Doktor Daris.

“Baiklah! Terima kasih doktor,” ucap Tengku Iqbal lalu mengangguk.

Doktor Daris hanya tersenyum. Tanpa berlengah, dia beredar dari bilik itu. Nafas berat dilepaskan. Rasa simpati menumpang di hati. Simpati dengan apa yang berlaku terhadap Tengku Irfan. Hanya doa yang mampu diberikan buat pemuda itu.

“Kenapa semua ni berlaku pada Ir, papa?” tanya Tengku Irfan bernada sebak.

Tengku Iqbal menghela nafas ringan. Dilabuhkan duduk di sisi Tengku Irfan. Tubuh anaknya itu didakap perlahan.

“Bagaimana Ir nak teruskan hidup ni? Kenapa Ir perlu hadapi semua ni?” soal Tengku Irfan lagi.

Sebak di dada mengenangkan dengan apa yang telah terjadi. Kenapa dia perlu menghadapi semua ini? Kenapa dia perlu menerima dugaan sehebat ini?

“Sabar, Ir. Semua ni ada hikmahnya. Allah sayangkan Ir. Sebab itulah Allah uji Ir macam ni,” pujuk Tengku Iqbal, lembut.

Belakang anaknya diusap lembut. Dia turut berasa sebak. Jika Tengku Zaharah masih hidup, pasti isterinya dapat memujuk Tengku Irfan. Rasa rindu terhadap Tengku Zaharah hadir dengan tiba-tiba.

Tengku Irfan tidak membalas. Di bahu papanya dia menitiskan air mata. Sedih dan pilu tatkala mengenangkan dengan apa yang telah terjadi. Hanya kepada Allah dia memohon kekuatan diri untuk menghadapi semua itu. Menerima sebagai takdir Allah buat dirinya.


“DINA… Dina…” Irdina Asyikin tersekat-sekat. Mundar-mandir dia di hadapan Irshad Azim.

“Dina, cuba bawa duduk.” Irshad menegur. Rasa rimas melihat Irdina yang mundar-mandir di hadapannya itu.

“Dina… Dina…” Irdina masih lagi tersekat-sekat. Sukar untuk berbicara.

Irshad menggelengkan kepala. Dia bingkas bangun dan menarik tubuh Irdina ke kerusi. Didudukkan adiknya itu sambil melepaskan dengusan ringan.

Irdina terpaksa akur. Otaknya ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Adakah peristiwa yang berlaku sebentar tadi yang sedang difikirkannya itu?

“Dina!” tegur Irshad sedikit menekan.

“Haa… Apa dia? Mamat tu cedera parah ke?” soal Irdina, kalut.

“Dina!” Irshad menegur buat kali kedua. Kepala menggeleng melihat tingkah laku Irdina.

“Along, apa kita nak buat? Kalau mamat tu buat report polis macam mana?” Irdina menyuarakan kerisauan. Ditalakan mata ke wajah Irshad di sisi.

“Tanggung sendiri la.” Selamba Irshad menjawab. Sengaja menguji perasaan adiknya itu.

“Along! Orang serius la,” geram Irdina.

“Along pun serius!” Irshad masih lagi selamba.

“Along!” Irdina menjegilkan mata.

Irshad yang melihat ketawa besar. Geli hati melihat tingkah laku adiknya itu.

“Huh! Siap kau along. Balik nanti, tau la Dina nak buat apa.” Irdina memberi amaran. Dijulurkan lidah kepada abangnya itu.

Irshad masih lagi ketawa.

“Haa… Doktor… Doktor… Macam mana dengan mamat tu?” tanya Irdina, cemas.

Dia bingkas bangun lalu menghampiri doktor yang baru keluar dari dalam bilik kecemasan. Sejak dari tadi lagi dia menanti di luar. Sekadar untuk mengetahui keadaan pemuda yang hampir melanggarnya beberapa jam yang lepas.

“Cik tak perlu risau. Tak ada kecederaan serius yang dialami oleh pesakit,” beritahu Doktor Munirah, lembut.

“Fuh! Alhamdulillah.” Irdina mengucap syukur. Peluh yang membasahi dahi diseka.

“Betul doktor? Doktor dah checkbetul-betul tubuh mamat tu?” soal Irshad pula.

“Betul, encik. Hanya luka kecil di tangan serta kaki,” kata Doktor Munirah sambil mengangguk.

“Kalau macam tu, kami mintak diri dulu. Terima kasih doktor,” ucap Irdina lalu beredar dari situ. Nafas lega dilepaskan.

“Terima kasih doktor,” ucap Irshad pula. Turut sama beredar dari situ.

Tercengang Doktor Munirah melihat tingkah laku Irdina dan Irshad. Matanya menghantar pemergian mereka berdua. Seminit kemudian, dia menggelengkan kepala. Geli hati melihat tingkah laku adik-beradik itu.

“Kelakar betul!” kata Doktor Munirah lalu beredar dari situ.


“SAYA dah siasat tengku,” kata Lokman.

Sepucuk sampul surat diserahkan kepada Tengku Iqbal. Sampul surat berisi maklumat kejadian yang berlaku ke atas Tengku Irfan. Atas arahan Tengku Iqbal, dia telah menyiasat kejadian yang sebenar.

Tengku Iqbal membalas huluran. Dikeluarkan isi dari dalam sampul surat itu. Maklumat yang diperolehi dibaca dan cuba untuk difahami. Kepala mengangguk perlahan sehabis sahaja maklumat itu dibaca.

“Bagaimana tengku?” tanya Lokman kemudian.

“Betul tekaan Tengku Irfan,” jawab Tengku Iqbal sambil memasukkan semula maklumat ke dalam sampul surat.

Lokman hanya memandang.

“Kalau boleh, saya tak nak Tengku Irfan tahu tentang ni. Saya tak nak Irfan alami tekanan atas apa yang telah berlaku. Bila semuanya kembali pulih, saya akan beritahu pada Tengku Irfan sendiri,” kata Tengku Iqbal bernada amaran.

“Baik tengku!” balas Lokman.

“Awak boleh pergi. Terima kasih Lokman,” arah Tengku Iqbal lalu tersenyum.

“Sama-sama tengku,” balas Lokman lalu beredar dari situ.

Tugasnya sudah pun selesai. Rasa beruntung kerana menjadi penyiasat persendirian buat Tengku Iqbal. Semoga khidmatnya masih diperlukan selepas ini.

Tengku Iqbal hanya memandang. Sampul surat di tangan ditatap buat seketika.

“Papa harap Ir dapat terima dengan apa yang telah terjadi,” luah Tengku Iqbal lalu beredar dari situ. Semoga Tengku Irfan dapat menerima segala ketentuan Allah seikhlas hati.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.