“SEPERTI yang saya arahkan
pada awak, Irdina. Sepanjang program team
building ni, awak diarahkan menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan
Haiqarl,” beritahu Encik Razman.
Irdina
mengeluh berat.
“Ini
arahan daripada pihak atasan Irdina. Awak tak boleh nak mengelak,” tegas Encik
Rahman pula.
“Tapi,
kenapa saya?”
Persoalan
itu yang berlegar-legar selama beberapa minggu. Kenapa dia yang dipilih menjadi
pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl? Sudahlah di pejabat pun dia bakal
memegang jawatan itu. Di program ini juga dia dipaksa melakukan tugas tersebut.
Keluhan terlepas daripada bibir untuk kesekian kali.
“Ini
arahan, Irdina. Soal kenapa awak yang terpilih saya tak pasti. Mungkin prestasi
kerja awak bagus. Disebabkan itu pihak atasan memilih awak.”
“Tapi,
Encik Razman…”
“Sudahlah
Irdina. Awak ikut saja arahan pihak atasan. Mana tahu kan nanti awak jadi
isteri kepada Tengku Irfan Haiqarl. Tengku Irfan boleh tahan handsome,” usik Encik Razman.
Irdina
berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Encik Razman. Otaknya dikerah
berfikir. Seminit kemudian, barulah dia faham maksud kata-kata Encik Razman
itu.
“Encik
Razman ni ke situ pulak,” ujar Irdina, tersenyum kelat.
Encik
Razman ketawa kecil. Kepala menggeleng melihat wajah kemerahan Irdina.
“Saya
risau la Encik Razman. Mana la tahu dia tak suka dengan saya,”
Irdina
menyuarakan kerisauan di hati. Khuatir jika dia tidak dapat memuaskan hati
Tengku Irfan Haiqarl.
“Insya-Allah,
awak pasti boleh. Saya yakin dengan awak, Irdina,” kata Encik Razman. Sekadar
memberi semangat kepada Irdina.
Irdina
tidak membalas. Nafas ditarik dan dilepaskan berat.
“Saya
ke sana dulu. Mungkin Tengku Iqbal dan Tengku Irfan Haiqarl dah sampai,” ujar
Encik Razman tatkala terpandang sebuah kereta memasuki kawasan parkir.
“Baiklah!”
balas Irdina, sepatah.
Matanya
memandang pemergian Encik Razman. Diraup wajah dan melabuhkan duduk di kerusi.
Dia menongkat dagu di situ. Menanti arahan yang seterusnya.
“Dina!”
tegur Melisa, tiba-tiba.
Irdina
mengangkat muka. Wajah Melisa menyapa mata. Kelam kabut dilihatnya pada Melisa.
Apa yang tidak kena dengan kawannya itu?
“Dina!”
panggil Melisa lagi.
Tercungap-cungap
dia akibat larian anak sebentar tadi. Dia perlu mengkhabarkan kepada Irdina
dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Sungguh, dia berasa terkejut ketika
ini.
“Apa
kes?” soal Irdina, berkerut dahi.
“Irfan…
Irfan…” balas Melisa, tercungap-cungap.
“Irfan?
Irfan mana pulak?”
“Ala…
Mamat tu la.”
“Mamat
mana?”
“Irfan.
Kawan Naufal,” beritahu Melisa.
Irdina
masih lagi berkerut dahi. Cuba untuk menangkap kata-kata Melisa.
“Maksud
kau Irfan dan Naufal?” kata Irdina sebaik sahaja dapat menangkapnya.
Melisa
mengangguk laju. Itulah yang dilihatnya sebentar tadi. Naufal dan Tengku Irfan
berada di kawasan ini. Apa yang mereka berdua buat di sini? Persoalan yang
sedang berlegar-legar di minda ketika ini.
“SAYA perkenalkan
Pengarah Suria Holdings yang baru, Tengku Iqbal Bin Tengku Kamal. Bakal
Pengurus Besar Suria Holdings, Tengku Irfan Haiqarl dan anak angkat Tengku
Iqbal, Encik Naufal Syafiq,” perkenal Encik Razman, tersenyum.
Mereka
yang berada di situ hanya mendengar. Masing-masing menghalakan mata ke wajah
Tengku Iqbal, Tengku Irfan dan Naufal silih berganti. Suara berbisik sesama
sendiri menyapa halwa telinga Encik Razman.
Irdina
terkejut. Wajah Tengku Irfan menjadi tatapan mata. Benarkah dengan apa yang
didengarnya itu? Lelaki yang menjadi seterunya beberapa minggu yang lepas
merupakan Pengurus Besar Suria Holdings.
“Terima
kasih atas kesudian anda semua ke program ini. Tak ada apa yang perlu saya
katakan cuma saya harap kerjasama daripada anda semua dalam memajukan Suria
Holdings. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik atau lebih baik daripada
Tuan Haji Jamal,” terang Tengku Iqbal, tersenyum. Wajah-wajah yang berada di
hadapan ditatap mesra.
“Saya
pun berharap yang sama,” ujar Tengku Irfan pula.
Irdina
masih lagi mendengar. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang
difikirkannya itu, dia sendiri tidak tahu. Adakah Tengku Irfan yang sedang
mengisi mindanya itu?
“Dina,
macam mana ni?” suara Melisa, berbisik.
“Macam
mana apa?” soal Irdina kurang faham.
“Yalah,
mesti lepas ni kita kena dengan Irfan tu. Eh… Bukan Irfan, Tengku Irfan. Aduh!
Tak sangka pulak yang dia bos kita nanti,” beritahu Melisa bernada risau.
Irdina
tidak membalas. Otaknya masih lagi ligat berfikir. Kata-kata Melisa meniti di
minda. Perasaan risau turut menumpang di hati.
“Dina,
kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tegur Melisa, keras.
“Haa…
Apa dia?” tanya Irdina sedikit terpinga.
“Macam
mana ni? Aku risau ni.”
“Kau
nak risaukan apa? Buat biasa sudahlah.”
“Biasa
kau kata? Aku takut dia berdendam dengan kita saja.”
Irdina
hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Melisa itu. Adakah Tengku Irfan akan
berdendam dengannya? Adakah pemuda itu akan membalas dendam kepadanya?
“Eh….
Kejap… Kejap. Tengku Irfan Haiqarl? Maknanya Dina, kau jadi pembantu peribadi
dia, kan?” suara Melisa tatkala teringatkan tentang itu.
“Mel….”
Ujaran
Irdina terhenti tatkala namanya dipanggil. Berpasang-pasang mata sedang
memandang ke arahnya termasuklah Tengku Irfan. Air liur yang ditelan terasa
kelat. Apa yang harus dilakukan ketika ini?
IRDINA menundukkan muka.
Takut untuk bertentangan mata dengan Tengku Irfan. Jantungnya mengepam dengan
laju. Berdebar-debar di saat ini. Apa yang Tengku Irfan mahukan darinya? Adakah
tugasan sebagai pembantu peribadi atau untuk membalas dendam? Sungguh, sejak
dari tadi dia memikirkan tentang itu. Perasaan risau turut menumpang di dalam
hati.
Keluhan
berat terlepas daripada bibir. Bagaimana untuk berhadapan dengan Tengku Irfan
untuk hari-hari yang mendatang? Setiap hari dia akan menghadap wajah Tengku
Irfan. Ke mana Tengku Irfan pergi, dia akan turut serta. Dah namanya pembantu
peribadi.
“Saya
harap awak dapat jalankan tugas sebaik mungkin sebagai pembantu peribadi Tengku Irfan,” ujar Tengku Iqbal.
Irdina
tidak membalas. Dia mengelamun memikirkan kerjanya sebagai pembantu peribadi
Tengku Irfan.
“Awak
dengar tak Cik Irdina?” tanya Tengku Iqbal.
Wajah
Irdina ditatap seketika. Dilihatnya gadis itu seperti sedang mengelamun. Apa
yang dilamunkan oleh gadis itu?
“Cik
Irdina!” panggil Tengku Iqbal lagi.
Namun,
tiada sahutan. Irdina masih lagi dalam dunianya.
“Irdina!”
tegur Encik Razman sedikit menekan.
“Haa…
Apa dia? Ada orang terjatuh bangunan ke?” tanya Irdina, kalut sebaik sahaja
tersedar. Meliar matanya melihat keadaan sekeliling.
Mereka
yang berada di situ berkerut dahi.
“Irdina!”
Buat kali kedua Encik Razman menegur. Kepala menggeleng kecil.
“Comel!”
puji Naufal, tiba-tiba.
Tengku
Irfan yang mendengar segera menghalakan mata ke wajah Naufal. Hanya cebikan
yang diberi mendengarkan pujian Naufal terhadap Irdina.
“Maaf!”
ucap Irdina lalu menunduk.
Malu
dengan tingkah lakunya sebentar tadi. Mahu sahaja dia menyorokkan muka ke dalam
baju agar mereka di situ tidak melihat rona di pipinya itu.
“Saya
serahkan Tengku Irfan kepada awak. Saya harap, awak dapat jalankan tugas dengan
sebaik mungkin,” kata Tengku Iqbal bernada tegas.
“Awak
faham, Irdina?” tanya Encik Razman.
Irdina
menggaru kening. Wajah-wajah di hadapan ditatap silih berganti. Apa jawapan
yang harus diberikan kepada Encik Razman? Adakah dia perlu menjaga Tengku Irfan
setiap saat, minit dan jam? Atau sekadar di pejabat sahaja?
“Awak
ada soalan, Cik Irdina?” tanya Tengku Iqbal pula.
“Errr..
Buat masa sekarang ni tak ada. Tapi, tak tahu la kalau esok lusa,” jawab Irdina
lalu tersengih. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.
Ketawa
kecil Tengku Iqbal mendengrnya.
“Kalau
tak ada soalan, awak boleh pergi. Tunggu arahan daripada Tengku Irfan,” kata
Tengku Iqbal, tersenyum.
Irdina
menghalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Senyuman sinis menghiasi bibir pemuda
itu. Kemudian, beralih ke wajah Naufal. Senyuman manis diberikan oleh pemuda
itu.
“Saya
mintak diri dulu,” ujar Irdina kemudian. Langkah diatur untuk beredar dari
situ.
Mereka
yang berada di situ sekadar mengangguk. Masing-masing melemparkan senyuman buat
Irdina.
“Nanti
dulu!” arah Tengku Irfan.
Termati
langkah Irdina dek kerana arahan itu. Dia menoleh buat seketika. Kenapa Tengku
Irfan menahannya beredar dari situ?
“HISY… Dia ni nak bawa
aku ke mana?” soal Irdina sendirian.
Langkahnya
mengekori langkah Tengku Irfan daripada belakang. Entah ke mana hala Tengku
Irfan dia sendiri tidak tahu. Dia menggaru tatkala nyamuk menggigit tangannya.
“Mesti
dia nak balas dendam pada aku,” duga Irdina pula.
Keluhan
berat terlepas daripada bibir. Rasa kesal turut menumpang dalam hati. Kesal
atas tindakannya yang lepas.
“Aku
nak kau ambil bunga tu untuk aku,” suara Tengku Irfan, tiba-tiba.
Terkejut
Irdina mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan.
“Kau
dengar ke tidak ni?” tegur Tengku Irfan, keras.
“Apa
dia?” tanya Irdina, acuh tak acuh.
“Aku
nak kau ambil bunga kat atas tu untuk aku,” beritahu Tengku Irfan, serius.
Diunjuk
bunga yang berada di atas air terjun. Wajah Irdina ditatap kemudian. Riak
berkerut terlukis di wajah itu.
Irdina
menghalakan mata ke arah yang ditunjuk.
“Aku
nak kau ambil bunga tu.”
“Awak
dah gila ke? Takkan…”
“Tengku
Irfan!” pintas Tengku Irfan.
Irdina
mengetap bibir. Geram!
“Aku
nak bunga tu. Kau pembantu aku dan wajib untuk kau dengar arahan aku.”
“Whatever!” bentak Irdina lalu beredar
dari situ.
Sakit
hatinya diarah sebegitu. Kenapa bunga itu yang diinginkan oleh Tengku Irfan?
Matanya memandang ke arah bunga yang elok terletak di atas batu air terjun. Dia
memikirkan bagaimana untuk ke sana.
“Gila
betul mamat tu. Ada ke dia suruh aku ambil bunga tu? Hisy… Sengaja nak kenakan
aku la ni,” bebel Irdina sendirian.
Langkah
dibawa menuju ke air terjun. Penuh cermat dia meniti batu sungai yang terdapat
di kawasan itu. Khuatir akan terjatuh dan mencederakan diri sendiri.
“Kerja
gila!” geram Irdina berserta dengusan kasar.
Tengku
Irfan tersenyum puas. Matanya memandang langkah Irdina yang sedang menuju ke
atas air terjun. Puas hatinya kerana dapat mengenakan Irdina. Yang pasti, untuk
hari yang mendatang, Irdina bakal mendapat pembalasan yang secukupnya atas apa
yang telah dilakukan beberapa minggu yang lepas.
“APASAL ni? Kelat saja
muka tu aku tengok,” tegur Melisa tatkala melihat wajah Irdina.
“Mamat
gila tu la buat aku bengang,” luah Irdina, geram.
“Mamat
gila? Mamat gila mana?” tanya Melisa, berkerut dahi.
“Siapa
lagi kalau bukan Ir… fan… Teng… ku Ir… fan… Tengku Irfan tu,” rengus Irdina.
Melisa
mengangguk. Wajah tegang Irdina masih menjadi tatapan mata.
“Ada
ke dia suruh aku pergi petik bunga kat atas air terjun tu? Haishh… Memang sakit
hati aku ni kau tahu tak?”
Melisa
hanya mendengar. Otaknya cuba menerima luahan Irdina.
“Lepas
tu dia boleh kata… ‘aku tak nak dah bunga tu. Kau lambat sangat kenapa?” luah
Irdina lagi. Dia turut mengajuk kata-kata Tengku Irfan.
Tergelak
Melisa mendengarnya. Kepala menggeleng melihat cebikan di bibir Irdina.
“Dengan
muka tak handsome dia blah macam tu saja,” sambung Irdina
lagi.
Melepaskan
ketidakpuasan di hati. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Sungguh, dia
berasa sakit hati dengan Tengku Irfan ketika ini.
Semakin
galak Melisa ketawa. Geli hati mendengar luahan geram Irdina.
“Yang
kau gelak, kenapa? Nak makan kasut ke?” tegur Irdina.
Sakit
pula hatinya mendengar suara ketawa Melisa. Mahu sahaja dihempuk kawan baiknya itu. Orang tengah bengang, dia boleh gelak
pulak, geram Irdina dalam hati.
“Sorry… Sorry… Kelakar aku dengarnya Dina,” balas Melisa masih ketawa.
“Kelakar
kau kata? Aku tengah bengang ni kau tahu tak? Encik Razman tu pun satu, yang
pilih aku jadi pembantu peribadi mamat gila tu, apasal? Macam la tak ada staf
lain lagi,” bengang Irdina kepada Encik Razman pula.
“Relax
la Dina. Yang kau nak melatah sangat ni,
kenapa?” tegur Melisa.
“Relax?”
ulang Irdina, menekan.
“Dina…
Dina… Apasal la kau ni bengap sangat? Memang la kau ni pembantu peribadi dia.
Dalam masa yang sama, kau boleh la kenakan dia.”
“Maksud
kau?”
“Kau
ni, cuba la otak tu jalan sikit. Cuba jadi bijak sikit.”
Irdina
berfikir seketika. Kata-kata Melisa bermain-main di minda. Seminit kemudian,
dia tersenyum tatkala dapat menangkap maksud daripada kata-kata Melisa itu.
“So?” tanya Melisa sambil mengangkat
kening.
“Aku
tahu macam mana nak buat,” jawab Irdina lalu tersenyum penuh makna.
“Haaa…
Berjalan pun otak kau tu. Ingatkan masih bengap lagi,” kutuk Melisa, selamba.
“Amboi
mulut tak ada insuran nampak,” tegur Irdina pula.
Melisa
tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Eh…
Kau perasan tak tadi dengan Naufal?”
“Naufal?”
“Yalah!
Mamat handsome tu.”
“Kenapa?”
“Aku
perasan tadi bila dia tengok kau. Macam syok kat kau pun ada juga,” beritahu
Melisa akan apa yang dilihatnya tadi.
“Syok
kat aku? Mengarutlah!” tukas Irdina lalu ketawa kecil.
“Betullah!
Aku tak tipu,” tegas Melisa.
“Sudahlah
Mel. Kau ni banyak sangat berangan,” komen Irdina sambil menggeleng.
Tanpa
berlengah, dia segera beredar dari situ. Tidak dihiraukan Melisa yang sedang
memandang pelik ke arahnya. Kenapa Melisa boleh terfikir sebegitu sekali?
Tetapi,
tidak dinafikan dengan kata-kata Melisa. Dia turut perasankan renungan Naufal.
Adakah Naufal suka dengannya? Adakah kata-kata Melisa itu benar?
“Mengarut!
Jangan nak cari pasal, Dina. Buat semak otak saja nanti,” beritahu Irdina
kepada dirinya sendiri. Sekadar mengingatkan agar tidak jatuh cinta kepada
mana-mana lelaki.
“Kalau
betul, macam mana?” soal Irdina seraya mematikan langkah.