BAB 1

Di kejauhan kesibukan bandaraya Kuala Lumpur, terdengar suara anak-anak kecil sedang berkejar-kejaran keriangan bermain. Walaupun taman 'permainan' mereka hanyalah sebatang lorong kecil dan kotor, mereka tetap gembira bagaikan berada di syurga. 


Tong-tong buruk, kayu-kayu yang mereput, tin kosong malah botol kosong dijadikan alat permainan bagi anak-anak kecil ini.


Dua orang sahabat, Amir dan Syahir adalah yang paling gembira di 'taman' permainan ini kerana apabila mereka pulang nanti, mereka tahu bahwa tawa mereka akan terhenti. 


Menjelang waktu senja, Syahir dan Amir duduk melepaskan lelah selepas bermain. Sejak kecil lagi, mereka sangat rapat bagaikan isi dengan kuku. Sehinggalah remaja, mereka masih lagi rapat bagaikan adik beradik. Yalah, siapa yang mahu mendekati mereka.


Mereka ialah anak-anak dari keluarga yang daif dan miskin. Mujurlah mereka masih mempunyai tempat berteduh. Itupun hanya sebuah rumah kecil dicelah-celah lorong yang kotor dan usang di tengah-tengah bandaraya.


Semasa Amir dan Syahir sedang duduk di suatu tempat, Amir bertanya, "Esok aku nak pergi sekolah, kau nak pergi sekali tak?"


"Sekolah? Eh tak mahulah aku, bosanlah pergi sekolah. Lagipun bukannya dapat apa pun, jadi bahan kutukan orang adalah." Syahir menjawab.


"Kau nak ponteng lagi? Dah lama kau tak pergi sekolah ni weh." Amir mengeluh. 


"Ala, aku tak minatlah. Lagipun mak bapak aku bukannya kisah pun aku pergi sekolah ke tidak. Cikgu-cikgu pun bukannya suka aku. Asyik marah aku adalah. Aku benci kau tahu tak?" Syahir mendesis.


Amir cuba memujuk sahabat baiknya itu, "Halah, jomlah Syahir... Pelajaran sahaja yang mampu ubah nasib kita. Tak akanlah kau nak hidup di lorong ini selamanya?" 


Syahir mencemikkan mukanya. Syahir begitu meluat apabila mendengar perkataan belajar, sekolah dan seumpama. Baginya itu semua tidak bermakna kerana kedua ibu bapanya sendiri mengherdik dirinya bodoh, tak berguna dan menyusahkan mereka.


Syahir juga selalu dimaki malah dipukul setiap hari sejak dari kecil lagi hanya atas alasan yang tidak munasabah.


Bila di sekolah, Syahir memberontak dan memeningkan kepala guru dan pelajar lain dengan masalah disiplinnya. Meskipun pelbagai tindakan telah diambil, Syahir masih tidak berubah. Syahir seolah-olah telah lali dengan cacian, tomahan, di denda di sekolah dan sebagainya. 


Namun Syahir tidak heran dengan perkara tersebut kerana di rumah, penderaaan yang lebih berat dan dasyat telah dia alami sejak kecil lagi.


Syahir dan Amir, keluarga mereka serupa, selalu kucar-kacir dengan masalah. Ibu bapa mereka selalu bertengkar walaupun dengan hal yang remeh. Tinggal di lorong gelap yang penuh dengan pelacuran, judi, arak, samseng dan segalanya yang berkait.


Bila ayah mereka pulang dalam keadaan mabuk, ibu mereka termasuklah mereka sendiri menjadi mangsa dipukul. Belum lagi dengan masalah judi dan dadah. Itulah yang menjadi tontonan Syahir dan Amir setiap hari.


Amir memandang rakannya. Faham akan pendirian kawannya. Dia tidak memaksa dan berceramah lebih-lebih. Dia faham, bukan mudah untuk melalui situasi seperti mereka. 


Dia sendiri terpaksa sabar dan tabah serta menguatkan semangat untuk meneruskan persekolahan kerana dengan masalah kewangan, masalah dicemuh, dipandang rendah oleh rakan-rakan sekolah kerana datang dari keluarga yang daif dan hina.


Penguat semangatnya hanyalah ibunya, yang saban hari memberi semangat supaya tabah untuk keluar dari lorong hina ini. Guru-gurunya juga memberi inspirasi dan hanya dengan pelajaran sahaja kita boleh mengubah nasib kita.


Ibu Amir amatlah derita kerana selalu menjadi mangsa deraan suaminya yang baran, pemabuk dan kaki judi.


Bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar, wangnya sering dirampas suaminya. Tetapi demi masa depan Amir, Salmah pandai menyorokkan separuh dari hasil gajinya yang sedikit itu dari suaminya.


Kasihan Salmah, dia dipukul suaminya hanya kerana wang yang sedikit. Amir sangatlah 'marah' malah berdendam. Dalam hati, Amir berazam untuk membawa ibunya dari lorong tersebut pada suatu hari nanti.


Bila ada masa yang lapang atau pada cuti sekolah, Amir akan membantu ibunya di tempat kerja ibunya. Itulah rutin harian Amir.


Esoknya, Amir meneruskan persekolahan seperti biasa. Dengan hanya mempunyai sehelai baju yang sangat lusuh dan peralatan persekolahan yang kurang, tidak ramai yang mahu berkawan dengan Amir.


Semasa Amir sedang menyiapkan tugasan sekolah di dalam kelas, seorang rakan sekelasnya, Zahar mengejeknya,


"Hoi Amir! Orang macam kau ni boleh berjaya ke? Dengan baju kau yang kuning dengan busuk ni, patut campak  dalam sungai Klang sajalah." pelajar itu mengejek.


"Mesti mati semua ikan dalam sungai sungai tu. Hahahaha." sampuk lagi seorang.


Rakan-rakan pelajar yang lain tertawa selepas Amir diperkatakan begitu. Kemudian, guru yang berada di dalam kelas bersuara, 


"Hoi! Gelak-gelak, kerja dah siap ke belum?" suara cikgu tersebut membuatkan satu kelas tersentak.


"Belum cikgu," jawab satu kelas kecuali Amir dengan nada perlahan.


"Habis? Yang kamu sibuk mengutuk Amir dah kenapa? Dia memang miskin, tapi dia berada di sini untuk ubah nasib dia. Untuk bantu keluarga dia. Kamu semua ni pula, sibuk nak mengata dia macam keluarga kamu tu kaya sangat dah kenapa? Kamu patut bantu dia, bukannya sibuk mengutuk dia. Lagi sekali saya dengar kamu mengata dia lagi, saya masuk nama kamu dalam SSDM. Nak?" leter cikgu tersebut mengalahkan mak cik bawang.


"Tak nak cikgu," jawab pelajar kecuali Amir dengan nada perlahan.


Cikgu pun mengorak langkah mendekati Amir lalu berkata, "Amir, kamu jangan hiraukan apa yang kawan kamu katakan ya. Banyakkan bersabar." 


Walaupun Amir dipandang rendah oleh rakan-rakan, guru-gurunya amatlah menyanyanginya kerana kecemerlangan akademiknya dan akhlaknya yang baik. Kerana itulah Amir masih boleh bertahan walaupun terpaksa menghadapi orang keliling yang cuba mencabar kesabarnnya dan cemburu dengan kejayaannya. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk berjaya.


Sementara itu, Syahir pula hanyut dengan dunia kedendaman terhadap keluarganya. Baginya, merekalah penyebab dia rosak dan menjadi jahat. Merekalah 'contoh' kepada akhlaknya sekarang.


Syahir juga bergaul dengan penghuni lorong yang lain. Marah dengan ayahnya, Syahir juga merokok dan berjinak-jinak dengan dadah. Untuk mendapatkan wang bagi mendapatkan dadah, Syahir juga melakukan jenayah-jenayah kecil seperti merompak, meragut, mencuri dan seumpama untuk menjana wang bagi mendapatkan dadah.


Ada kalanya Syahir tidak pulang ke rumah berhari-hari lamanya. Apabila Syahir pulang, mereka sekeluarga akan bertengkar dan saling menyalahkan antar satu sama lain bagaikan anjing dengan kucing.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh