Bab 6

AMIR menjalani rutin hariannya seperti biasa. Di sekolah, keakraban Amir dan Sofea telah dihidu oleh banyak pihak. Dari rakan-rakan sehinggalah guru-guru. Di kalangan murid, ramai yang tidak menyenangi hubungan mereka.


Pelbagai-bagai perumpamaan yang dikatakan. Bagai enggang dengan pipitlah, bagai langit dengan bumi lah, bagai si kudung mendapat cincin lah, dan pelbagai lagi terutama sekali di kalangan pelajar lelaki.


 Mereka sangat cemburu kerana Sofea tidak pernah melayan mereka sebaik Amir jauh sekali membalas cinta mereka. 


Gosip dan cerita mereka juga sampai ke pengetahuan bapa Sofea, iaitu Datuk Zaki. Bagai gunung berapi meletus, api kemarahan Datuk Zaki sudah tidak dapat terkawal lagi apabila mengetahui latar belakang dan kisah hidup Amir. 


Sedang berada di pejabat sambil melihat satu artikel yang dikongsikan padanya, Datuk Zaki mendengus, "Ohh, anak pembunuh tu rupanya kau jadikan kekasih ya Sofea. Tak apa, siap kau nanti ya."  


Di sebuah rumah banglo yang besar, mewah dan indah berlaku satu pertengkaran...


"Kamu dah buta ke Sofea! Kamu ni gila dah ke hah? Kamu dah menjatuhkan maruah keluarga! Hei Sofea! Mana ayah nak letak muka ayah ni hah? Mana!" Datuk Zaki menengking Sofea.


"Ya lah Sofea, kamu tu anak orang dari keturunan terhormat dan mulia, kamu sengaja kan nak memalukan kami?" kelah ibu Sofea, iaitu Datin Maria.


"Mama, papa, Amir tu orangnya baik. Dia tak diminta pun untuk lahir dalam kehidupan yang macam tu. Dia tak macam orang lain, dia pandai bawak diri. Siap jadi pelajar terbaik lagi dekat sekolah. Mama, papa, cubalah kenal dia duly. Dia tak bersalah. Dia cuma mangsa keadaan!" Sofea merayu. 


"Baik kau kata! Kalau dah keturunan kaki judi, pemabuk, lepas tu pembunuh,  itu yang kamu kata baik! Kamu ni dah kena sihir dah ke apa dengan jantan tu! Dah buta!" herdik Datuk Zaki.


"Ye lah Sofea, kamu saja tau anak kami. Dah, mama tak izinkan kamu jumpa dia lagi." sambung Datin Maria pula.


Sofea merayu dan menangis meminta simpati. Namun apabila semakin kuat Sofea merayu, lagi bertambah marah Datuk Zaki. Sanggup Sofea merayu untuk Amir kerana telah terlalu sayang malah sanggup dimarahi dan dicela demi mempertahankan Amir.


Anak manja Datuk Zaki yang selama ini mudah merajuk, manja dan sensetif bila ditegur kini sanggup bertahan demi cinta hatinya.


Datuk Zaki berfikir, jika dibiarkan anaknya lebih lama berhubungan dengan Amir, lebih sukar pula nanti untuk memisahkan mereka kelak. Anaknya akan jadi buta cinta, hanyut dalam cinta dan merosakkan masa depannya malah maruahnya sebagai orang terhormat juga akan tercalit kotor.


"Mulai esok, kamu dah tak payah nak pergi sekolah lagi! Papa akan tukarkan kamu ke sekolah lain! Kamu tinggal dengan pak cik kamu di Sabah sementara kamu habis belajar dan sambung dekat oversea!" Datuk Zaki berkata tegas bagaikan harimau.


Sofea terkejut dengan keputusan ayahnya yang tiba-tiba itu. "Papa! mana boleh papa! SPM dah nak dekat. Papa tak boleh buat macam ni!" Rayu Sofea. Tangisannya sudah tidak tertahan lagi.


"Boleh! Siapa kata tak boleh! Menangislah air mata darah sekalipun papa tetap akan hantar kamu ke Sabah! Pak cik kamu yang akan uruskan hal persekolahan kamu kat sana. Papa ada pengaruh dan kuasa! Papa boleh buat apa sahaja sebab papa ketua keluarga!" Datuk Zaki berkata dengan angkuhnya. Sifat keangkuhan dan kesombongan mula menguasi dirinya.


Sofea terselupuk jatuh terduduk di atas lantai. Dia tahu, bila ayahnya sudah membuat keputusan, tiada siapa yang dapat menghalang.


Sementara itu di tapak gelandangan, Amir berasa hairan dengan ketidakhadiran Sofea pada malam itu. Sehinggalah selesai semua urusan pun Sofea masih tidak kelihatan. 


Amir dan rakan-rakan lain juga tertanya-tanya kerana Sofea tidak pernah tidak hadir kecuali dengan urusan kecemasan. Itupun akan dihubungi terlebih dahulu.


Selesai mengemas peralatan, Amir tergerak untuk menelefon Sofea tetapi dengan menggunakan telefon rakannya kerana dia tidak pernah mampu memiliki telefon bimbit. Amir mendail nombor Sofea,


"Hello Sofea, Assalamualaikum Amir ni." Amir berkata ringkas. Sofea menjawab panggilan dengan suara sedu dan tangisan. Amir terkedu.

 

"Amir, ingat ni, walaupun kita terpisah. jangan lupakan janji dan impian kita." Sofea berkata dengan tergagap-gagap dan sendu yang semakin kuat.


Tiba-tiba terdengar seperti suara lelaki tegas dan garang menghampiri. Suara sendu Sofea diganti dengan suara amarah yang garau. Telefonnya dirampas.


"Jangan kau berani nak dekat dengan anak aku lagi! Budak hina macam kau tak layak dekat dengan anak aku! Aku bagi amaran dekat kau ya. Nahas kau aku kerjakan kalau kau berani nak jumpa anak aku lagi!" 


Kemudian terdengar suara lelaki tadi memarahi Sofea dan talian terputus. Telefonnya terus dimatikan dan terus mati dan tidak dapat dihubungi lagi. Amir terkejut dan terkedu. Telefon di tangannya hampir terlepas dari genggamannya.


Mujur rakannya tadi menegur kerana terlihat Amir seperti dihempas batu besar. Amir terkejut sehingga nyawanya seolah-olah telah terhenti seketika.


"Walaupun kita terpisah..." teriyang-riang kata-kata Sofea sebentar tadi. Hati Amir tiba-tiba direntap. Cintanya diragut secara tiba-tiba.


"Betul ke apa yang aku dengar ni? Aku bermimpi ke? Aku tak percaya! Sofea tipu, Sofea berlakon untuk kenakan aku, Sofea cuma bergurau!" 


Amir masih seperti patung bernyawa. Rakan-rakannya juga terkejut dengan perlakuan Amir yang tiba-tiba berubah itu. Ditepuknya pipi Amir agar dia sedar dari lamunannya. Barulah Amir tersedar dari lamunannya.


"Sofea," Amir bersuara perlahan. Rakan Amir tadi sudah mengagak apa yang telah berlaku sambil mengurut-gurut bahu Amir.


 Rakan-rakannya yang lain turut menghampiri mereka apabila Amir mula mengeluarkan air mata jantannya apabila dia sudah tidak dapat mengawal kesedihannya lagi.


Mereka memujuk dan memberikan semangat pada Amir. Mereka juga merasai tempias kesedihan Amir kerana mereka ialah saksi kepada kepada hubungan Amir dan Sofea yang saling menyayangi.  



Malam itu, Amir tidak terus pulang ke rumah dan duduk melepak bersendirian di tepi tasik dengan menghabiskan masa dengan termenung dan berfikir akan kata-kata ayah Sofea tadi. Pedih dan pedas, tapi ada kebenarannya. Benar, cinta telah membuatkan dia lupa siapa dirinya yang sebenar.


Hakikat dan kenyataan yang tidak boleh diubah. Kebenaran yang amat pahit itu terpaksa ditelani!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh