‘Aku hanya mampu tersenyum sambil lewa sahaja di atas cadangan isteriku itu. Aku sendiri tidak tahu hendak mengatasi masalah ini. Mungkin ada betulnya kata-kata isteriku itu. Dulu aku tidak berapa kisah sangat kerana aku dan isteriku sama-sama bekerja. Tapi…’ Rosdi termenung lalu terfikirkan anaknya Nurul.
Tetapi semenjak kegawatan ekonomi Negara, bukan setakat Rosdi sahaja yang hilang pekerjaan bahkan isterinya juga turut sama jatuh ditimpa tangga. Syarikat kontraktor tempatnya bekerja tidak mampu membayar balik segala pinjaman bank akibat kekurangan projek. Syarikatnya tidak lagi mampu membayar gaji kepada isteri Rosdi yang mencecah empat angka sehingga diberikan notis berhenti kerja dan sedikit pampasan.
Sekarang, Rosdi betul-betul menghadapi masalah yang rumit untuk meneruskan kehidupan di Bandar Kajang lagi. Isterinya pernah beberapa kali memohon jawatan di tempat lain tetapi gagal kerana kegawatan ekonomi kini. Syarikat yang lain tidak mampu menawarkan yang lebih baik bahkan Hasnah sendiri menjelaskan bahawa dia tidak kisah diberikan gaji yang rendah tetapi tetap diberikan pelbagai alasan. Ini membuatkan isteri Rosdi berputus asa untuk mencari pekerjaan yang lain kerana ekonomi yang tidak stabil ini.
ROSDI hanya duduk baring sahaja di sofa sambil memikirkan pelbagai masalah yang ditempuhinya. Dia sendiri sebenarnya sudah lama tidak menelefon keluarganya di kampung. ‘Aku rindukan orang tuaku tapi memikirkan kos untuk balik ke kampung agak tinggi kosnya, aku terpaksa batalkan niatku ini. Aku tidak mahu orang tuaku memikirkan keadaan aku di sini. Aku pun sudah berumah tangga sekarang. Biarlah aku sendiri yang menanggungnya. Orang tuaku hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang sahaja. Aku tidak mahu memberikan bebanku ini kepada mereka. Aku sendiri pun sudah hampir berputus asa kerana sudah banyak tempat aku temuduga tapi masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan.’ Rosdi bermonolog sendirian di ruang tamu.
Ketika Rosdi hendak masuk ke bilik tidur, dia ternampak isterinya di bilik sedang berdoa. Rosdi melihat isterinya sedang menangis dari kelopak matanya bergenang dengan air mata. ‘Mungkin dia sedang berdoa di atas nasib malang yang sedang menimpa keluargaku. Aku berasa sayu dan sedih dengan keadaan ini.’ Rosdi merenung isterinya di luar bilik. Selesai sahaja Hasnah berdoa, Rosdi terus masuk ke dalam bilik itu dan dia hanya mampu memandang wajah isterinya dengan penuh rasa sayu serta terharu dengan keadaan yang mereka lalui. Rosdi megenggam erat tangan isterinya dan berjanji akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Dia berasa bertuah kerana mempunyai seorang isteri yang sanggup menghadapi kesusahan bersama-sama dan memahami keadaan dirinya sekarang.
SEPANJANG perjalanan menuju ke Taman Mewah dari Kajang, terdapat banyak perubahan di sekitar tempat perumahan tersebut. Mereka begitu lama tidak pulang ke kampung. Isterinya duduk di sebelah hanya membisu sahaja, mungkin memikirkan masalah mereka yang belum selesai lagi.
‘Kepulangan ku ini, aku berharap agar ayahku dapat menolongku dalam permasalahan yang sedang aku hadapi sekarang ini. Aku tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Aku percaya tentu ayah ada sedikit wang untuk diberi pinjam kepadaku. Memang pada hakikatnya aku malu dan segan untuk meminta pertolongan daripada ayah kerana aku sudah berkeluarga. Aku tidak pasti kepulanganku ini akan membuat ayahku gembira untuk membantuku atau sebaliknya. Tapi aku percaya bahawa ayah tidak sanggup melihat anaknya dalam kesusahan.’ Rosdi memikirkan ayahnya akan bersetuju dengannya.
Sebaik saja tiba di halaman rumah keluarganya, Rosdi mendapati suasana di rumahnya agak sunyi sepi dan tingkap-tingkap rumah semuanya tertutup. Rosdi teringat sesuatu mungkin ayah, mak dan adik-adiknya pergi ke Temerloh Jaya untuk menolong adik perempuannya yang baru memulakan perniagaan. Setelah Rosdi dan isterinya memberi salam beberapa kali tetapi tiada sahutan balas, namun Rosdi yakin mereka telah ke sana. Isteri dan anaknya masih lagi di dalam kereta lalu Rosdi pun menghidupkan kembali enjin kereta dan menuju ke Temerloh Jaya untuk berjumpa dengan mereka.
‘Aku mahu menyelesaikan secepat mungkin kerana perlu balik ke Kajang dengan segera untuk membayar insuran kereta ini. Sudah empat hari notis bayaran kereta ku telah sampai, jika tak dibayar dengan segera, kereta aku akan kena tarik’ fikirannya kini buntu seketika. ‘Aku berharap ayahku akan memberikan wang untuk aku selesaikannya.’ Rosdi masih lagi berharap.
“Mama, kita pindah ke Pahang nak?” Terdetik hati Rosdi untuk berbicara.
“Apa abah cakap tadi.” Hasnah tersentak dengan pertanyaan suaminya itu.
“Abah cadangkan lebih baik kita pindah di kampung buat seketika. Lagipun adik abah ada bagitahu kat sana banyak peluang pekerjaannya.” Rosdi memberi cadangan kepada isterinya.
“Ah…kalau abah dah cakap macam tu, saya tak halang pun. Lagipun kita kena pikirkan masa depan anak kita yang semakin membesar.” Hasnah tersenyum melihat anaknya yang sedang tidur di ribanya.
“Ok. Kalau macam tu, abah bagitahu kat adik abah besok.” Rosdi hanya tersenyum saja.
KEESOKAN paginya, Rosdi terus menelefon adiknya yang berada di Temerloh Jaya itu. Adiknya memberitahu bahawa di sana ada satu jawatan kosong sebagai kerani di pejabat Petronas. Kawannya boleh merekemenkan jawatan itu kepada bosnya jika isteri Rosdi berminat untuk bekerja di situ. Walaupun gajinya tak seberapa berbanding gaji isterinya dulu tetapi ia memadai dengan kos hidup di sana dan pendapatan untuk permulaan bekerja. Manakala di sana juga terdapat jawatan sebagai pemandu lori.
‘Yang penting sekarang aku perlu mendapatkan kerja sebagai pemandu lori.’ Rosdi memang berharap sangat untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Setelah selesai mendengar penjelasan daripada adiknya, Rosdi terus memberitahu isterinya yang berada di luar rumah. Pada mulanya Hasnah hanya berdiam diri sahaja. Rosdi berasa bersalah terhadap isterinya, ‘mungkin dia berasa sedih dan sayu mengenangkan nasib dirinya yang terpaksa berpindah ke kampungku.’ Sudah beberapa kali dia menyuarakan hasrat hatinya itu tetapi hari ini dia terpaksa mengaku kalah apabila mengenangkan nasib yang sedang menimpa kami sekeluarga. Sebenarnya aku sendiri pun merasakan perasaan yang sama seperti isterinya kerana telah lama menetap di Bandar Kajang. Tetapi apakah daya, sudah bertahun-tahun lama kami telah duduk di Kajang ini tetap juga tidak mengubah kehidupanku ini. Mungkin rezekiku bukan di tempat ini, aku harus mencari tempat lain untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
SEPANJANG perjalanan menuju ke tempat baru, Rosdi melihat isterinya hanya termenung di luar tingkap kereta yang separuh terbuka itu dan Rosdi hanya membiarkan saja kerana tidak mahu menganggu isterinya diwaktu sebegini. Mungkin hatinya berasa sebak memikirkan keadaannya sekarang ataupun mungkin juga dia berasa sedih kerana terpaksa berpindah ke tempat lain setelah begitu lama menetap di Kajang. Rosdi berharap di tempat barunya nanti dapat mengubah nasib mereka sekeluarga dan juga dia berazam akan menjadikan kehidupannya lebih senang serta dapat mengembirakan hati isterinya.
Terlintas di fikiran Rosdi seketika ‘aku tidak sanggup lagi melihat keluargaku menimpa kesusahan dan kesukaran dalam hidup mereka. Aku tidak akan membiarkan kami sekeluarga ditimpa kesempitan hidup lagi. Aku yakin rezekiku ada di mana-mana saja. Aku juga yakin rezekiku akan aku perolehi di sini.’ Rosdi melihat anaknya yang sedang lena lalu dia memegang erat tangan isterinya.Hasnah memaling ke arah suaminya dan mula tersenyum. Ini membuatkan Rosdi bertambah yakin dengan keputusan yang telah dibuat. Dia hanya perlu berusaha lebih lagi dan sentiasa sabar menunggu saat-saat yang dia nantikan selama ini.