“Pon… pon… pon…” ‘Ehhh,’ aku tersedar dari lamunanku tadi. Aku menoleh untuk melihat siapa empunya kereta yang terletak di hadapan rumahku. Rupa-rupanya mamaku yang sudah pulang dari menghantar adik-adikku ke sekolah. Aku bergegas untuk mendapatkan mamaku.
“Assalamualaikum, kakak oh kakak. Mama dah balik ni.” Puan Hasnah keluar dari keretanya dengan membawa sebungkus plastik makanan.
“Waalaikumusalam, mama dah balik.” Aku tersengih dan menyambut kepulangan mamaku.
“Meh makan, mama ada beli makanan ni.” Hasnah mengajak anaknya untuk makan bersama.
“Ok mama. Kakak datang ni nak tutup pagar jap.” Aku mengiyakannya.
Setelah pagar ditutup, aku pun terus masuk ke dalam rumah untuk menolong mamaku menyediakan sarapan. Dari aku sekolah tadika sampailah aku tamat tingkatan 6, mama aku sentiasa mengambil berat dan tetap menyokongku apabila aku berada dalam kesusahan. Sampai sekarang perkara yang sama mama aku lakukan kepada adik-adik aku. Aku mengaku memang aku seorang yang nakal dan suka mengacau orang. Tapi ada aku kisah, memang tak kisahlah.
“Mama, jom makan. Mama tak makan lagi tu.” Tegur aku kepada mamaku.
“Ye, kakak makan jelah dulu. Nanti mama makan.” Puan Hasnah menyahut lalu berkata lagi. “Hah, ni nape pula ni. Masam je muka, ada masalah ke?” Puan Hasnah melihat anaknya.
“Hmmmmm…. Tak ada apa-apa, cuma risau dengan result STPM je.” Aku membuat muka.
“Kakak dah buat yang terbaik, inshaAllah. Mama hanya mampu berdoa saja untuk anak-anak mama biar sampai ke menara gading. Cuma satu je mama nak ingatkan solat jangan tinggal. Yang penting kakak dah usaha sedaya yang mampu, semuanya Allah yang akan tentukan.” Puan Hasnah memberi kata-kata semangat kepada anak sulungnya itu.
“Ok mama.” Aku terfikirkan sesuatu. “Hah mama, nanti nak ambil adik dengan angah pukul berapa?” Aku menanyakan soalan.
“Ohhh… dalam pukul 1.30. Kenapa?” Puan Hasnah menoleh lalu melabuhkan punggungnya ke kerusi yang berada di sebelah Nabila itu.
“Oh ya, nanti kakak nak ikut sekali, boleh kan mama?” Aku mencelah.
“Boleh tapi jangan lewat.” Puan Hasnah tersenyum sinis.
“Ok bos.” Aku hanya tersenyum sahaja.
Aku bersiap-siap dan menoleh ke arah jam di dinding yang menunjukkan pada pukul 12.50 tengah hari. Mama aku sudah lama bersiap dan dia telah berada di luar rumah untuk menghidupkan enjin kereta sebelum bergerak pergi ke sekolah. Aku sahaja yang masih terhegeh-hegeh untuk bersiap. Aku terus mengambil telefon bimbit dan menuju ke kereta. Aku melihat mamaku sudah siap bersedia di dalam kereta untuk bertolak ke sekolah.
“Dah siap, jom pergi.” Aku tersenyum seketika.
“Lebih-lebih pula kakak ni. Nak pergi ambil angah dengan adik je kot.” Puan Hasnah membebel lalu terus memandu untuk menuju ke destinasi mereka.
“Yelah. Tapi bosan duduk kat rumah. Keluar pergi ambil dorang pun jadilah daripada terperap dalam rumah.” Aku membebel sambil tersenyum.
“Yelah tu, baru duduk seminggu kat rumah. Nanti dah belajar jauh-jauh dah tak boleh cuti lama dah kat rumah.” Puan Hasnah tersenyum sinis.
“Lagilah rindu kalau duduk jauh-jauh dengan mama.” Aku hanya termenung sahaja.
“Ok dah sampai. Just tunggu angah dan adik keluar je.” Puan Hasnah meletakkan kereta di hadapan sekolah rendah sambil menunggu anak-anaknya keluar dari pagar sekolah.
“Ok.” Aku menyahut lalu membunyikan radio hot FM sementara menunggu adik-adikku keluar dari sekolah mereka. Mamaku turut melayan lagu yang sedang bermain di radio dan menyanyi bersama. Aku pula masih teringat semasa aku di darjah 6 dahulu.
AKU bersekolah di Temerloh semasa aku dari tahun 1 sampai ke tingkatan 3. Masa tahun 6, aku berada di kelas ketiga dari tujuh kelas yang ada pada masa itu. Betapa ramainya murid tahun 6 sampai kelas ketujuh dibuka. Percubaan UPSR pun nak dekat, aku terlalu risau kerana first time aku menduduki peperiksaan yang sangat penting. Setiap kali ujian, aku rasa gementar untuk menghadapinya. Bukan setakat peperiksaan sahaja yang mereka takutkan, ujian yang diberikan oleh cikgu di dalam kelas pun turut menjadi ‘mati akal’ untuk berfikir.
“Hey Nabil. Awalnya datang sekolah hari ni. Yang lain pun tak sampai ke kelas lagi.” Irwan menarik kerusi lalu duduk di sebelah aku.
“Macam kau tak kenal aku. Aku memang suka datang awal laa. Kau apa tahu.” Aku membuat muka dengan selambanya. Irwan hanya tahu menyengih sahaja melihat gelagat aku tadi.
Waktu telah berdetik pada pukul 7.10 pagi. Kawan yang lain masih belum datang ke sekolah lagi. Hanya aku dan Irwan sahaja di dalam kelas itu. Irwan adalah seorang pelajar top di sekolah. Bukan kerana rupa parasnya saja tapi pandai dalam setiap mata pelajaran. Semestinya dia ada ramai peminat kerana mempunyai rupa parasnya yang hensem itu. Bagi aku, dia adalah kawanku yang biasa-biasa saja. Di kelas ini, ramai yang memanggilku Nabil. Terus terang aku memang seorang murid yang malas nak belajar dan hanya tahu bermain sahaja. Sampai mamaku penat dengan perangaiku kerana setiap hari dia akan berleter tanpa henti. Sebenarnya aku memang suka sangat mendengar leteran mamaku itu tanpa leteran itu aku menjadi sunyi dan sepi.
Sambil menunggu murid-murid lain datang, Irwan membelek-belek buku Matematiknya di hadapan aku lalu berkata. “Bil, kau dah siap ke subjek Matematik yang cikgu suruh buat tu.”
Aku menjeling. “Dah tapi bukan betul pun. Aku pakai hantam sajalah.”
“Elehhh. Hantam-hantam pun semua jawapan betul. Kau tu jenis yang tak confident. Ce tengok aku ni, sentiasa cool dan confident pada penampilan diri. Kau ado.”
Aku melihat Irwan yang begitu yakin dengan dirinya membuat aku merasa meluat.“ Ishhh, poyo lebihlah kau, ni makannya.” Aku terus menenyeh kepalanya.
“Sakit la hoiiii. Ganas la kau ni. Nasib baik aku sanggup nak kawan dengan kau. Kalau tak……….”
Aku terus memotong ayat Irwan. “Kalau tak apa.” Aku merenung Irwan dengan mata yang tajam.
“Gurau jelah. Macam singa je.” Irwan mencebih.
Sudah pukul 7.30 pagi, aku terus keluar kelas bersama kawanku yang lain untuk hadir ke perhimpunan. Selepas selesai, kami pun bersurai lalu masuk ke dalam kelas masing-masing.
“Kring…Kring… Kring…” Loceng berbunyi menandakan kelas sudah tamat dan waktu untuk pulang ke rumah. Aku terus menuju ke basikal lalu mengayuh basikal dengan lajunya.
“Bil..Nabil.. Nabilaa..” Aku tersentak dan terdengar namaku dipanggil dari belakang. Aku pun berhenti mengayuh lalu memandang ke belakang. ‘Hmmmm… budak ni ape hal la.’ Rungut aku.
“Oiii Bil. Semput aku. Laju betul kau ni.” Irwan tercungap-cungap kerana penat mengejar aku.
“Kau ni memang la laju, aku naik basikal kot. Kau pe hal panggil aku tadi.” Aku menyahut.
“Petang ni kau free tak. Kalau free ajak Jemy dengan Syif sekali. Tunggu kat padang.”
“Free kot petang. Tengok ah dulu. Ok jumpa sana.” Aku pun terus mengayuh basikal.
“Datang tau, jangan tak datang. Aku dengan Wan tunggu kat padang.” Teriak Irwan. Aku hanya mengangkat tangan sahaja.