KETIKA sampai di rumah, suara imam mengalunkan ayat-ayat suci
al-Quran kedengaran lunak dari corong pembesar suara di masjid berdekatan. Dia
masuk ke rumah dengan penuh rasa syukur.
“Baru balik Lia?” tegur satu suara ketika dia membuka pintu
bilik.
Kamilia menoleh. Serta
merta dia panik dan tergamam seketika. Wajahnya pucat lesi. Abang Saidin, suami
Maniseh berdiri di hadapannya!
“Iseh mana?” tanya
Abang Saidin sebelum sempat Kamilia menjawab soalan pertamanya.
Kamilia semakin tidak
tentu arah. Perlukah aku bersubahat dengan kelakuan dosa yang dilakukan oleh
Maniseh? Atau aku harus berterus terang tentang apa yang telah berlaku?
“Lia, abang tanya ni.
Iseh mana?” Soalan itu diulang lagi.
Tubuh Kamilia
menggeletar. “L... Lia tak tahu, bang,” jawab Kamilia dengan suara yang hampir
tidak mahu keluar.
“Tak tahu? Kata
kawan-kawan yang lain, Iseh keluar dengan Lia tadi.”
“Memang tadi dia
keluar dengan Lia. Lepas makan, kami berpisah. Lia tak tahu dia ke mana.”
Kamilia terpaksa berbohong. Dia rasa biarlah semuanya terbongkar bukan daripada
mulutnya.
“Lia ke mana tadi?”
Kamilia gugup. Dia
mencari-cari kata untuk menyambung pembohongannya.
“Lia jumpa kawan. Kami
bersembang sampai tak sedar hari dah pagi,” jawab Kamilia tanpa menoleh ke arah
Abang Saidin yang sedang merenungnya. Dia sengaja larikan pandangan ke arah
lain.
“Lia, abang tahu Lia
berbohong. Mata Lia tu yang membuktikannya,” kata Abang Saidin dengan senyum
sinis.
Kamilia semakin gugup.
Dia benar-benar hilang arah seketika. Dia berbohong untuk menutup satu dosa
besar! Dia masih fikirkan perasaan Maniseh, sedangkan perasaan dia sendiri?
“Tengok mata abang dan
katakan sekali lagi yang Lia tidak bohong.” Suara Abang Saidin tegas dan kasar
menerpa telinganya.
Kamilia tunduk diam,
tidak berani bertentang mata dengan lelaki itu.
“Lia, jangan cuba
sembunyikan bangkai yang busuk.Jangan cuba selindungkan noda yang kotor itu. Abang dah tahu semuanya. Dah
lama. Namun, abang belum ada kesempatan untuk mencari bukti dan bertindak.
Sekarang, masanya dah sampai!” tegas Abang Saidin.
“Abang cuma nakkan
kepastian daripada Lia. Tak apa kalau Lia tak berani nak beritahu. Cuma angguk
bila abang tanya. Boleh?”
Angguk.
“Betulkah selama ini
Iseh curang dengan abang?”
Angguk.
“Betulkah dia dah
tidur dengan ramai jantan?”
Angguk.
“Betulkah sepanjang
malam tadi dan sekarang, dia ada bersama seorang lelaki?”
Angguk.
“Terima kasih, Lia.
Sekurang-kurangnya Lia tidak lagi bersubahat dan menumpang dosa dia,” kata
Abang Saidin. Suara paraunya tiba-tiba pecah bergetar. Dia tunduk, sebak.
Kamilia semakin rasa
bersalah.
“Abang, Lia minta
maaf. Lia takut Iseh salah faham terhadap apa yang Lian buat ini. Tolong Lia,
bang. Tolong jangan apa-apakan dia,” rayu Kamilia. Air matanya mengalir laju di
pipi. Dalam esakannya, dia ceritakan apa yang berlaku kepadanya.
“Ya ALLAH! Dia nak
jerumuskan Lia dalam kancah dosa juga?”
“Apa yang patut Lia
buat sekarang, bang? Kalau dia tahu Lia ceritakan hal ini pada abang, matilah Lia dikerjakannya.”
“Abang rasa, eloklah
Lia pindah dari sini. Elok Lia jauhkan diri daripada dia. Elok Lia tinggalkan
sangkar dosa ini segera.”
“Tapi, di mana Lia nak
tinggal? Bukannya Lia ada kawan lain
selain dia,” jawab Kamilia dengan wajah gusar.
“Abang akan tolong Lia
cari bilik. Pergilah berkemas! Lia jangan berlengah lagi. Abang nak buat
keputusan dengan dia secepat mungkin dan abang tak mahu dia tuduh Lia yang
meracun abang,” kata Abang Saidin.
“Tapi...”
“Jangan bertapi lagi.
Pergi kemas barang-barang Lia dan segera keluar dari sini,” suruh Abang Saidin
bersungguh-sungguh.
Kamilia segera bangun.
Dia segera melakukan apa yang disuruh. Sedang dia berkemas-kemas, sebuah kereta
berhenti di hadapan rumah. Dia mengintai dari celah langsir. Syed yang
menghantar Maniseh.
Hati Kamilia mula
bergetar. Bala besar akan menimpa. Pergaduhan suami isteri akan terjadi dan
Kamilia akan tersepit di tengah-tengahnya. Itu yang ada dalam fikiran Kamilia
ketika itu.
Maniseh dan Syed masih
bergurau mesra dalam kereta.
Kamilia segera keluar
dari bilik. Dia berharap dapat menghalang Abang Saidin daripada melihat semua
pemandangan yang menyakitkan mata itu. Namun, dia terlambat.
Abang Saidin sedang
berdiri di tepi tingkap. Dia sedang menyaksikan sebuah pemandangan yang
menyakitkan matanya. Dia sedang melihat isterinya sedang dikucup oleh lelaki
lain! Sungguh sumbang perbuatan Maniseh. Sebagai suami, dia rasa dayus!
“Abang...” panggil
Kamilia perlahan.
Abang Saidin menoleh.
Dari wajahnya Kamilia seperti sedang melihat api kemarahan yang menjulang.
Tubuh lelaki itu sedang menahan getar hatinya. Penumbuk juga sedang digenggam
kemas. “Sabarlah. Bawa mengucap dulu. Abang, cuba selesaikan dengan baik.”
“Lia, pergi masuk ke dalam. Abang tahu macam mana
nak ajar dia!” Suara itu kasar dan bergegar, walaupun perlahan.
Kamilia rasa amat takut
dan kecut perut. Tanpa berlengah, dia segera masuk. Rasanya tidak sanggup untuk
mendengar dan melihat semua kejadian yang tidak diingini berlaku di depan mata.
Deru enjin kereta
berlalu pergi. Derap kaki Maniseh
mendekat ke pintu. Hati Kamilia semakin resah dan ketakutan. Dia sengaja
tidak menutup pintu untuk mendengar apa yang diucapkan oleh pasangan itu.
“Baru balik sayang?” tegur Abang Saidin.
Kamilia tahu lelaki itu sedang sengaja memesrakan suasana, namun
suara itu kedengaran begitu sumbang dan langsung tidak mesra.
“Eh... B... Bila abang
datang?Kenapa tak cakap nak datang?”Suara Maniseh juga kedengaran amat ketakutan.
“Abang ada di sini
sejak malam tadi.Abang saja tak beritahu untuk melihat sendiwara
sumbang isteri abang,” ucap Abang Saidin. Suara itu ternyata masih terkawal
walaupun agak bergetar.
“Abang, abang jangan salah sangka. Itu kawan Iseh. Lia pun kenal
orang tu,” kata Maniseh dengan tenang dan selamba.
“Jangan babitkan Lia!” Tiba-tiba suara Abang Saidin berdentum
seperti guruh.
Ketika itu hati Kamilia rasa lapang. Sekurang-kurangnya Maniseh
tidak dapat berselindung di sebalik namanya.
“Siapa lelaki itu?” tanya Abang Saidin.
“Dia... Dia kawan Iseh...”
“Kawan hingga boleh berciuman di tempat lapang macam tu? Itu di
luar, kalau dalam rumah atau dalam bilik, tentu awak berzina, kan!” tengking
Abang Saidin.
“Abang! Jangan suka buat tuduhan palsu.Jangan suka menfitnah. Tak percaya, tanya Lia.
Pernahkah saya buat kerja terkutuk itu?”
Maniseh juga meninggikan suaranya.
Tiba-tiba... Pang! Abang Saidin menampar pipi Maniseh dengan
kuat.
Maniseh menjerit dengan kuat.
“Saya dah kata, kalau awak berdosa, jangan nak heret orang lain!Kalau awak nak jadi iblis, jangan ajak
orang lain jadi iblis! Saya dah tengok lama kelakuan awak ni. Saya bersabar dan
nak beri awak peluang. Saya ajak awak balik ke KL, tapi awak masih nak tinggal
di sini. Kerana apa? Kerana awak tak nak tinggalkan najis yang jadi makanan
awak di sini!” tengking Abang Saidin. Kali ini ternyata apa yang ditahannya,
terlepas.
“Jangan tuduh saya!”
jerit Maniseh.
Kamilia segera menutup
pintu. Dia tidak mahu mendengar lagi. Biarlah mereka selesaikan masalah itu
sendiri. Dia tidak mahu terlibat.
Pakaian dan
barang-barang yang siap dikemas direnungnya. Kemudian dia meletakkannya di luar
pintu bilik. Dia termenung sejenak dan berfikir: Ke mana dia akan pergi? Bukan
senang untuk mencari bilik kosong dalam keadaan segera. Lama dia berfikir.
Tanpa disedari, dia terlelap keletihan.