HATI Kamilia menjadi
retak ketika mendengar pengakuan Zamri itu. Dia rasa seperti anak kecil yang
perlu diawasi kerana bimbang akan jatuh.
“Lebih baik abang
tumpukan perhatian pada kerja abang. Lia bimbang kalau abang akan diberhentikan
kerja.Percayalah pada Lia,
bang. Lia akan jadi isteri yang setia dan taat. Abang ni suami Lia. Tolong
yakin dan percaya dengan Lia.” Kamilia memang amat mengharapkan Zamri faham.
Namun, semua rayuan
dan harapannya itu terbang menerawang bersama angin lalu. Zamri langsung tidak
menghiraukannya. Zamri langsung tidak bersimpati. Jauh sekali untuk merasa
belas dengan permintaan Kamilia.
Sebaliknya, keadaan
berputar 360 darjah. Hal yang tidak sepatutnya dilakukan, telah dibuat. Kamilia
semakin tidak faham apa maksud perubahan sikap Zamri itu. Zamri bukan sahaja
mengawal pergerakannya, malah juga makan minum dan pakaiannya.
Kamilia semakin
dimanjakan. Pakaian kerjanya dibasuh dan digosok. Sarapannya dihidangkan. Kalau
pulang dari kerja, kakinya akan dipicit dan diurut. Kamilia tidak pernah
dibenarkan melakukan kerja-kerja rumah. Tugas sebagai isteri semua dibuat oleh
Zamri. Kamilia seperti menteri yang hilang potfolio.
“Sampai bila abang nak
buat Lia macam ni?” tanya Kamilia, kurang senang.
“Sampai akhir hayat
abang.”
“Kalau kita dah ada
anak?”
“Layanan abang pada
Lia tetap sama,” jawab Zamri dengan senyuman.
“Apa kata keluarga
abang dan jiran-jiran kita. Lia malu bang. Mungkin ada yang anggap abang kenaqueen
control. Atau abang dah kena bomoh...” rungut Kamilia.
Zamri ketawa.
Kata-kata Kamilia menjadi sangat lucu di pendengarannya.
Akhirnya perbincangan
itu usai begitu sahaja. Tidak ada kata putus dan tidak ada penyelesaian.
Kamilia kurang senang dengan semua layanan Zamri yang dirasakan melampau.
Namun, dia tidak upaya untuk menghentikan perbuatan Zamri melainkan melalui
semuanya dengan terpaksa.
Apa yang diduga oleh
Kamilia akhirnya terjadi juga. Zamri diberhentikan kerja kerana terlalu banyak
ponteng dan ambil cuti. Hajah Esah, ibu Zamri dan adik beradiknya muncul di
rumah Kamilia secara tiba-tiba.
“Kenapa sampai jadi
macam ni, Zamri?” tanya Hajah Esah.
“Mak jangan bimbang.
Esok saya cari kerja lain,” jawab Zamri selamba. Dia begitu tenang. Sedikit pun
tidak nampak risau.
“Memang kau boleh cari
kerja lain. Yang mak nak tahu kenapa sampai kau diberhentikan kerja? Kau dah
lama kerja di situ. Gaji pun dah besar. Sekarang ni bukannya senang nak dapat
gaji seperti tu!”
Zamri hanya diam.
“Lia, apa yang terjadi ni?” Hajah Esah mengalihkan soalan
kepada Kamilia.
Kamilia serba salah.
Dia rasa Hajah Esah sedang menyalahkannya.
“Mak, jangan salahkan
Lia. Dia tak bersalah,” kata Zamri seakan-akan faham tuduhan yang sedang dibuat
terhadap Kamilia.
“Lia, apa yang
terjadi?” Hajah Esah tetap mahukan jawapan daripada mulut Kamilia.
“Mak, Lia tak tahu
apa-apa. Abang agak liat untuk pergi kerja sejak akhir-akhir ini. Dia banyak
ambil cuti dan banyak ponteng,” jawab Kamilia tulus.
“Sebab dia
menghabiskan masa buat kerja rumah. Memasak, membasuh dan mengemas rumah
semuanya dia yang buat. Mana badan tak letih. Mana larat lagi nak pergi kerja!”
celah salah seorang adik Zamri.
Hati Kamilia bergetar.
Dia merenung wajah Zamri, seperti mencari sebuah belas dan mengharap sebuah
simpati. Dia sedang diserang secara halus. Semua kesalahan sedang dibebankan di
bahunya.
“Jangan ingat kami tak
tinggal di sini kami tak tahu apa yang berlaku di rumah ini. Kami kenal abang
kami. Dia sangat rajin bekerja. Tapi, sejak kahwin, dia banyak berubah.
Seolah-olah bukan dia lagi yang ada di hadapan kami sekarang,” kata adik
iparnya lagi.
Jiwa Kamilia bertambah
lara. Namun, dia rasa tidak ada gunanya dia bertekak dan membela diri. Biarlah
Zamri yang menjelaskannya kerana memang itu yang dibimbangkan selama ini.
Semuanya telah menjadi benar.
Zamri yang membuat
angkara, Kamilia yang sedang menerima padahnya.
“Sekarang senanglah
hati abang bila semua orang salahkan Lia. Abang menjadi malas kerana Lia. Abang
berubah kerana Lia!” serang Kamilia selepas keluarga mertuanya pulang.
“Biarlah mereka nak cakap apa. Abang tahu apa yang abang buat.”
“Senanglah abang jawab sebab abang tak kena. Abang buat kerja
rumah hingga Lia tak berpeluang nak buat. Kemudian keluarga abang salahkan Lia.
Dan abang boleh kata, biarlah...” kata Kamilia sambil menangis. Hatinya sungguh
sakit.
“Abang akan cari kerja lain. Lia jangan susah hati,” pujuk Zamri
sambil memeluk Kamilia.
“Lia tak sedih kerana abang tak kerja. Lia sedih kerana mereka
kata abang dah banyak berubah sejak kahwin dengan Lia. Kenapa tak jelaskan
kepada mereka perkara sebenar? Kenapa biarkan mereka tuding jari kepada Lia?”
kata Kamilia di celah tangisannya. Dia memang amat kecewa dengan apa yang
berlaku hari itu. Kalau boleh mahu sahaja dia menjerit.
SEJAK hari itu, rumah tangga mereka mula hambar dan tawar
seperti gulai tidak cukup perencah. Zamri masih melayan Kamilia seperti biasa.
Kamilia pula tetap taat seperti biasa juga. Cuma kemesraan mereka yang semakin
hilang. Zamri masih rajin mencari peluang untuk bergurau tetapi Kamilia semakin
malas untuk melayannya.
Selepas dua minggu, akhirnya Zamri pulang membawa khabar bahawa
dia telah mendapat kerja.
“Di mana?” tanya
Kamilia.
“Mengutip rezeki di
jalan raya.”
Kamilia diam. Dia
menyangka Zamri bergurau dan dia malas untuk melayan gurauan itu.
“Abang nak bawa teksi.
Kebetulan kawan abang ada teksi,” jelas Zamri.
“Bawa teksi? Tapi
kenapa? Tak ada kerja lain ke, bang?” tanya Kamilia. Dia mula bimbang dan
kurang setuju dengan keputusan Zamri itu. Menjadi pemandu, tugasnya di jalan
raya. Sentiasa berada di atas litar bahaya. Itu fikir Kamilia.
“Abang suka kerja ni.
Lagipun, masa abang tak terbatas. Abang boleh hantar dan ambil Lia dari tempat
kerja,” jawab Zamri selamba.
Kamilia terkedu. Dia
mula faham apa yang ada dalam fikiran Zamri ketika itu. Zamri memang tidak akan
mengubah cara pemikirannya. Zamri tetap dengan cemburunya.
“Lia tak suka?” tanya
Zamri selepas melihat Kamilia diam dan berpaling ke tempat lain.
“Kalau Lia tak suka,
Lia ada hak untuk membantah tak? Kalau Lia kata Lia tak suka, abang nak tarik
balik niat abang tu ke?” tanya Kamilia tanpa menjawab soalan Zamri. Dia sengaja
melepaskan geram. Dia berkata benar. Kalau sekadar diberi peluang menyatakan
tidak suka tetapi tidak diberi hak untuk menegur, untuk apa dia ditanya.
Akhirnya, Zamri tetap
menjadi pemandu teksi. Setiap hari dia akan menghantar Kamilia ke tempat kerja.
Kadang-kadang dia memang mencari peluang untuk mengambil Kamilia balik. Hidup
Kamilia semakin rasa terkongkong.
Usia perkahwinan mereka
masuk tahun kedua.Namun, perang dingin masih tidak mampu dihentikan.
Pada hari ulang tahun perkahwinan itu, Zamri menghadiahkan sejambak mawar merah
dan sebotol minyakwangi kepada Kamilia.
“Abang minta maaf untuk semua yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Percayalah, abang buat ini semua kerana cinta abang pada Lia,” katanya sambil
mengucup pipi Kamilia.
Kamilia hanya diam. Entah kenapa, semakin hari semakin tidak ada
rasa kasih dalam denyut hatinya kepada Zamri. Adakah dia sedang melakukan dosa?
Itu yang selalu muncul di celah hatinya.
Dua tahun hidup berumah tangga tetapi tidak dikurniakan zuriat. Terasa rumah tangga mereka amat
kosong dan sepi. Ketika di tempat kerja, Kamilia mampu ketawa. Bila pulang ke
rumah, ketawa itu hilang. Untuk tersenyum pun dia terpaksa mencari-cari sebab
yang baik.
Dia cuba memaksa diri untuk membuang segala fikiran dan perbuatan
yang tidak baik terhadap suaminya. Dia cuba menerima cara Zamri mencintainya.
Namun, dia tidak berdaya. Sungguh dia tidak selesa dengan cara itu. Dia
perlukan cinta dan perhatian yang santai, tidak melampau.
“Saya nampak awak selalu termenung. Ada masalah ke? Kalau ada,
awak boleh bercerita dengan saya. Anggaplah saya kawan awak, bukan bos awak,”
tegur Nik Arif, bosnya pada satu hari. Ketika itu, Kamilia sendiri tidak sedar
keadaan dirinya yang termenung dan mengelamun.
Kamilia hanya menggeleng.
“Jangan berbohong. Sejak awak masuk kerja di sini, saya
perhatikan keadaan awak yang selalu muram. Kalau masalah rumah tangga, cuba
selesaikan dengan baik. Cari orang tengah untuk menjadi pendamai. Awak bergaduh
dengan suami ke?” tanya Nik Arif, ingin tahu.
Geleng.
“Tak apalah kalau awak tak nak beritahu saya. Tapi jangan ikutkan
perasaan hingga menjejaskan kerja awak di sini.”
Kamilia membetulkan diri. Benar. Dia tidak boleh terlalu
memikirkan hal peribadi semasa waktu bekerja. Ketika itu memang dia perlukan
sesaorang untuk mengadu. Tetapi siapa? Tidak mungkin dia mengadu kepada emaknya
kerana Hajah Zizah amat sayangkan Zamri. Sedikit pun tidak pernah ada cacat
celanya. Untuk mengadu kepada seorang kawan, dia tidak ada kawan rapat. Dua
tahun berkahwin dengan Zamri, dia terputus hubungan dengan semua
kawan-kawannya.
Zamri memang tidak suka Kamilia mempunyai ramai kawan. Kalau ke
pasar bersama Zamri dan terjumpa kawan-kawan tidak kira lelaki atau perempuan,
Kamilia tidak boleh menegur. Dia kena berjalan dengan tertib dan tunduk sahaja.
Kamilia yang periang dan lincah cuba ditukarkan menjadi begitu
tertib dan sopan. Kata kawan-kawannya, dia sudah menjadi patung yang bernyawa.
Hidup tetapi kaku. Kaku tetapi bukan batu.
Lantaran hidupnya yang terlalu sepi, dia melibatkan diri dengan
aktiviti sukan anjuran syarikat tempat dia bekerja. Mereka berlatih satu jam
setiap hari selepas waktu pejabat. Awalnya Zamri memang tidak setuju Kamilia
menyertai aktiviti itu. Namun selepas Kamilia merayu dan memohon, akhirnya
Zamri mengizinkan dengan syarat tidak lebih daripada satu jam setiap hari.
Tugas Zamri sebagai pemandu teksi semakin tidak tentu masa.Dia sering pulang lewat malam. Ini kerana
dia sudah mempunyai penumpang yang membayar secara bulanan. Kadang-kadang dia
tidak sempat untuk mengambil Kamilia pulang dari pejabat pada waktu petang.
“Kalau suami awak tak
ambil awak, jomlah tumpang saya,” pelawa Nik Arif ketika Kamilia sedang
menunggu Zamri.
Kamilia serba salah.
“Kalau awak nak tunggu
bas, lambat. Teksi pun tak ada petang-petang macam ni. Apa salahnya kalau awak
tumpang saya. Isteri saya pun ada dalam kereta.”
Selepas berfikir
seketika, Kamilia rasa ada benarnya kata-kata Nik Arif itu. Kebetulan memang
dia nampak Puan Hamidah.
Dengan langkah yang
berat, Kamilia akur pada ajakan itu. Itulah hari pertama dia menumpang kereta
bosnya. Itulah juga kali pertama dia berbual-bual dengan Puan Hamidah, seorang
wanita berkerjaya dan berpangkat besar di sebuah jabatan kerajaan.
Mulai hari itu,
Kamilia tidak segan lagi untuk menumpang kereta Nik Arif setiap kali Zamri
tidak sempat mengambilnya. Kadang-kadang kalau ada aktiviti anjuran pejabat,
dia akan menumpang kereta Nik Arif.