KAMILIA tersedar dan
menjeling jam di dinding. Sudah pukul 12-00 tengah hari. Senyap. Tidak ada pertengkaran. Tidak
kedengaran tangisan Maniseh. Tidak juga terdengar tengkingan Abang Saidin.
Dia segera bangun,
membuka pintu bilik dan keluar.Lengang. Memang tidak ada kelibat mereka
berdua. Dia duduk di ruang tamu dan masih termenung mencari-cari jawapan
sendiri.
“Termenung? Fikir apa ni?” tegur Fariza, rakan serumah yang
tinggal di bilik atas.
“Tak ada apa. Fariza
tak kerja ke hari ni?”
“Cuti. Esok baru naik
kerja,” jawab Fariza dengan senyuman.
Kamilia mengangguk.
Kemudian dia mati akal untuk berbual lagi. Wajahnya murung dan tidak ceria. Apa
yang berlaku masih melekat dalam fikirannya.
“Kenapa dengan Maniseh
tu?” tanya Fariza selepas lama Kamilia membisu.
“Kenapa?” Kamilia
menoleh.
“Masa saya balik tadi,
saya nampak dia dipapah keluar dari rumah ni. Nampak macam dalam kesakitan.
Saya tak sempat nak tanya apa-apa sebab mereka nampak tergesa-gesa,” jawab
Fariza.
Kamilia terkedu. Teruk
sangatkah Maniseh dibelasah Abang Saidin tadi. Timbul kesal dalam hati kerana
tidak menjengah langsung. Juga timbul menyesal kerana tidak membantu. Sahabat
jenis apakah aku ini? Itu yang bermain di fikirannya.
“Apa jadi dengan dia?”
Fariza mengulangi soalannya.
“Saya tak tahu. Saya
pun baru balik,” ujar Kamilia.
Fariza mengangguk.
Kamilia tahu dia
berbohong. Rasanya itu yang terbaik, untuk tidak memanjangkan cerita. Dia
melangkah masuk ke bilik semula. Hatinya semakin gundah. Barang sudah dikemas
tetapi ke mana kaki harus melangkah? Abang Saidin pun sudah hilang entah ke
mana.
Sedang dia duduk
berkira-kira, enjin kereta kedengaran memasuki garaj. Dengan tangkas dia
bangun. Abang Saidin! Hatinya mula berbunga riang. Tapi, mana Maniseh?
“Abang, apa terjadi?
Lia tertidur tadi...” kata Kamalia ketika keluar ke ruang tamu.
Abang Saidin duduk menyandar di sofa.Dia nampak letih dan sedih.
“Abang dah ceraikan
Iseh. Abang dah hantar dia balik rumah keluarganya,” kata Abang Saidin
perlahan.
Kamilia terkedu. Rasa
bersalah dan kesalnya semakin bercambah.Apakah kerana dia mereka bercerai? Itu yang ada di fikirannya ketika ini.
“Abang, Lia minta maaf...”
“Bukan salah Lia. Dia
yang curang.”
“Tapi Lia yang cakap dengan abang.”
“Abang dah tahu lama.Cuma abang tunggu masa nak bertindak. Abang dah lama jadi suami yang
dayus,” jelas Abang Saidin. Dia cuba membuang rasa bersalah di hati Kamilia.
“Tapi, masih boleh
dibetulkan. Abang berilah dia peluang,” pujuk Kamilia.
“Lia, dah banyak kali
abang beri dia peluang. Namun, dia tu macam anjing! Tak boleh hidup kalau tak
makan najis!”
“Abang, jangan cakap
macam tu...” kata Kamilia perlahan. Perkataan anjing dan najis itu dirasakan
amat berat untuk dibandingkan dengan seorang wanita dan isteri seperti Maniseh.
“Kalau dia tak
mengandung, mungkin abang boleh beri peluang itu. Tapi sekarang...”
“Hah? Iseh
mengandung?” Kamilia tercengang.
“Ya. Tadi abang bawa
dia ke klinik sebelum hantar dia ke rumah keluarganya.”
“Jadi dia keguguran?”
“Tidak. Kandungan itu
selamat. Hanya pendarahan sikit saja.”
Lama Kamilia
termenung. Dia kurang arif mengenai hal itu. Sebab itu dia tidak tahu untuk
bertanya apa-apa lagi. Dalam hati dia tetap berdoa dan berharap, semua kejadian
itu akan menjadi pengajaran kepada Maniseh.
Sebagai insan biasa,
kita selalu membuat silap. Sebagai insan biasa juga kita perlu berani mengubah
dan membaiki diri dari terus melakukan kesilapan itu lagi.
“Lia, abang yakin itu
bukan anak abang.” Tiba-tiba telinga Kamilia diterjah suara Abang Saidin yang
perlahan.
“Macam mana abang
yakin sangat?”
“Sebab, abang dah lama
tak tidur dengan dia. Sejak abang tahu perbuatan sumbangnya, abang mengelak
daripada tidur dengannya. Dia... Dia...” Abang Saidin sebak dan tidak dapat
meneruskan kata-katanya.
Kamilia semakin
terkedu.
“Sabarlah, bang...”
Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Kamilia.
Abang Saidin mengangguk.
“Anak-anak macam mana?Kesian mereka bang,” tambah Kamilia lagi.
“Abang akan jaga
mereka. Abang tak akan lepaskan pada Iseh. Abang tak mahu hidup anak-anak abang
rosak. Dan abang juga tak akan beritahu anak-anak mengenai apa yang terjadi
ini.Abang tak nak anak-anak membenci ibunya,” jawab Abang Saidin.
Kali ini giliran Kamilia yang mengangguk. Jauh di sudut hatinya
dia menyanjung sikap Abang Saidin. Biarpun terluka, dia tidak memburukkan
Maniseh di hadapan anak-anaknya.
“Lia, abang dah dapatkan bilik untuk Lia. Marilah kita pergi
sekarang. Malam ni abang dah nak balik KL. Abang dah janji dengan Lia, jadi
abang akan uruskan Lia sampai selamat,” sambung Abang Saidin.
“Terima kasih, bang. Lia tak tahu mana nak pergi tanpa bantuan
abang.”
Abang Saidin mengangguk.Dia tersenyum. Sisa-sisa kesedihan masih ketara di wajahnya.
“Bilik itu di mana,
bang?” tanya Kamilia pula.
“Di Bandar Baru Uda.
Ada kawan abang yang nak sewakan bilik rumahnya. Marilah, kita bergerak sebelum
malam,” jawab Abang Saidin. Dia bangun.
Kamilia turut bingkas
bangun dan berjalan ke arah barang-barang yang telah siap dikemas di muka pintu
biliknya.
Akhirnya hari itu juga
Kamilia meninggalkan bilik yang penuh kenangan itu dengan hati yang berat.
Berlinangan air mata Kamilia. Walaupun bagaimana jahat pun perangai Maniseh,
masih banyak jasa dan kebaikan Maniseh kepadanya selama mereka berkawan. Dalam
jahatnya, ada juga sikap baik dan prihatinnya.
Kamilia sedih kerana
tidak sempat mengucapkan selamat tinggal
kepada Maniseh.Juga tidak
sempat bersalaman dan mengucapkan terima kasih.
Kamilia terus berkelana.
Kehidupan baru di rumah baru agak selesa kerana dia hanya sendirian di rumah
itu. Tuan rumah hanya balik sekali-sekala.
“Buatlah rumah ini
macam rumah sendiri.Lia
jangan anggap Lia menyewa di sini. Kami sewakan bilik itu pun bukan untuk wang,
tapi untuk mencari orang yang boleh kami percaya untuk menjaga rumah ini,” kata
Kak Maimun, pemilik rumah itu.
“Makanlah apa yang ada
di dapur tu walaupun ketika kami tiada. Kami dah halalkan untuk awak,” tambah
Haji Mus, suami Kak Maimun.
Kamilia rasa sungguh
terharu. Dalam dunia ni, rupanya ada berbagai rupa manusia. Ada yang terlalu
jahat. Ada yang baik bercampur jahat. Ada pula yang baik dan ikhlas. ALLAH
telah keluarkan dia daripada lingkungan hidup yang penuh kejahilan dan maksiat
kepada golongan yang baik dan berhati mulia.
Kamilia hidup dengan
aman dan tenang. Pergi dan balik kerja. Begitu pun, kenangan cinta monyetku
bersama Remi masih melekat manis. Begitu juga nostalgia pilu kecewa cinta
dengan Dani masih melekat pahit.
‘Untuk apa kau ingat
dia lagi, Kamilia.Dia dah
bahagia dengan isterinya. Buanglah dia jauh-jauh daripada hatimu...’Itu yang sering terlintas di hatinya. Dia
cuba mencari kekuatan dan semangat. Namun, kadangkala dia rasa sedih dan
terseksa. Apa lagi setiap kali mendengar sebuah lagu dendangan Zaleha Hamid:
Dulu kau
kepunyaanku, kini kau di tangan orang
Harapan kita utk
bersama, hancur berderai dan musnah
Hari ini kau
gembira, persandinganmu dengan dia
Hari berganti minggu.
Minggu pula berganti bulan. Akhirnya Kamilia berjaya melupakan kenangan yang
menakutkan bersama Maniseh. Dia menjalani hidup dengan caranya sendiri. Tidak
ada hiburan melainkan sebuah radio kecil menggunakan dua bateri.
“Kenapa tak pasang aje
radio di ruang tamu itu, Lia. Kalau nak tengok TV pun, tengoklah,” kata Kak
Maimun pada satu hari.
“Tak apalah kak. Saya
selesa dengan radio kecil saya ni,” jawab Kamilia, tulus. Memang dia tidak mahu
menodai kebaikan mereka dengan mencuri peluang ke atas harta benda mereka. Dia
mahu membawa diri seperti orang yang menyewa dan menumpang. Bukan sebagai
pemilik rumah.
Selepas setahun,
ketika Kamilia langsung tidak pernah terfikir tentang cinta dan lelaki,
tiba-tiba dia diminta olehemaknya Hajah Zizah untuk
menerima lamaran Zamri.
“Zamri tu budak baik,
Lia.Mak suka kalau dia jadi
menantu mak. Jadi, kami berharap sangat Lia akan setuju,” kata Hajah Zizah,
melalui telefon. Zamri adalah saudara jauh Hajah Zizah dan sudah lama menetap
di Johor Bahru.