KAMALIA diam berfikir.
Kata-kata emaknya seperti sebuah permintaan. Dia tahu sebelum ini emaknya tidak
pernah meminta apa-apa daripadanya. Bolehkah dia menolak kehendak dan
permintaan itu? Beranikah dia melukai hati seorang emak yang melahirkannya ke
dunia ini?
Kalau diikutkan hati, Kamilia memang belum bersedia. Apa yang
berlaku antara dia dan Dani menjadikan dia amat takut untuk menerima lelaki
dalam hidupnya. Dia dihantui serba salah.
Akhirnya dia pasrah dan menanti ketentuan yang baik daripada
ALLAH. Dalam masa yang sama, dia mencuba dan berusaha memujuk hati untuk
menerima Zamri.Dia cuba membuka
seluas-luasnya pintu cinta kepada lelaki itu.
Pada satu hari, lelaki
bernama Zamri itu datang menemuinya. Tujuannya untuk saling mengenali dengan
lebih dekat dan berbincang secara empat mata.
“Abang tahu abang tak
ada pangkat dan harta seperti bekas kekasih Lia dulu,” kata Zamri merendah
diri.
“Kekasih Lia, siapa?”
tanya Kamilia.
Zamri terdiam.Di wajahnya ada bayangan rasa bimbang dan
resah.
“Semua orang kampung
tahu masa Lia tengah hangat bercinta dengan dia. Dani tu berpangkat.” Zamri
menyebut nama Dani dengan cuak. Dia merenung wajah Kamilia, mencari reaksi yang
tulus.
“Lia dah lupakan dia.
Dia adalah lelaki yang singgah sebentar dalam hidup Lia sebelum Lia campakkan
dia jauh-jauh. Lia tak pandang harta dan kekayaan. Lia hanya perlukan orang
yang boleh menyayangi Lia selama-lamanya,” kata Kamilia cuba membetulkan
anggapan Zamri.
“Abang janji akan jaga
Lia dengan baik. Abang juga janji untuk sayang Lia sepenuh hati abang. Tapi
abang tak paksa Lia untuk terima abang kalau Lia tak suka. Abang cuma nak
senangkan hati mak abang yang suka sangat pada Lia.”
“Jadi, abang buat
semua ini kerana mak abang? Abang korbankan diri abang untuk mak abang?”
Kamilia cuba menduga. Dia ingin mendengar kata-kata yang tulus ikhlas dari hati
Zamri.
“Sebenarnya... Abang
memang dah lama sayangkan Lia. Sayang sungguh-sungguh. Cuma abang sedar keadaan
diri abang yang mungkin tak sepadan dengan Lia,” jawab Zamri dengan suara yang
perlahan seolah-olah merintih.
Entah kenapa hati
Kamilia jatuh belas. Namun, dia tetap menguji dengan berbagai soalan. Ternyata
Zamri lelaki yang tenang dan tidak mudah melenting.
Akhirnya, Kamilia
membuat keputusan. Kalau Zamri melakukan demi emaknya, kenapa dia tidak boleh
melakukannya demi menyenangkan hati Hajah Zizah.
Biarlah dia tidak
cinta dan sayangkan Zamri. Biarlah mereka tidak pernah bercinta. Asalkan
kedua-dua ibu mereka rasa gembira. Mungkin itu satu cara untuk membalas jasa
ibu yang melahirkan.
Ternyata keputusan
Kamilia itu membuatkan emaknya tersenyum dan begitu senang hati. Lalu urusan
selanjutnya dibuat. Tidak ada majlis pertunangan kerana kedua-dua pihak amat
takut Kamilia akan berubah hati. Kedua-duanya terus dinikahkan. Nikah gantung
sementara menunggu hari persandingan.
Kamilia akur. Dia
langsung tidak membantah. Dia sudah berjanji kepada dirinya untuk mengikut
sahaja. Kegembiraan emaknya adalah kegembiraannya.
“Harap akak dapat
berikan tunjuk ajar pada Lia.Kalau dia buat silap jangan takut untuk
menegur. Saya tak kisah, kak. Sekarang dia dah jadi menantu akak. Saya serahkan
sepenuhnya kepada Zamri dan keluarga akak,” kata Hajah Zizah kepada Hajah Esah,
ibu Zamri.
“Zah, jangan risau sangat. Anak Zah anak akak juga. Kita bukannya
baru kenal. Lia dah jadi saudara kami sejak dulu lagi,” jawab Hajah Esah sambil
menggenggam tangan Hajah Zizah dengan senyuman gembira. Kemudian mereka
berpelukan tanda silaturrahim yang semakin erat.
Selepas
menjadi isteri Zamri, Kamilia tidak lagi tinggal menyewa bilik di rumah Kak
Maimun. Walaupun hanya nikah gantung, dia sudah halal dan mutlak menjadi hak
Zamri. Lalu dia terpaksa ikut perintah dan kehendak suami.
Hal itu telah mendatangkan sedikit masalah kepada Kamilia kerana
rumah Zamri agak jauh daripada pejabatnya. Setiap hari dia mengeluh kerana
kesukaran mendapatkan bas. Zamri pula tidak dapat menghantarnya setiap hari.
“Kalau macam tu, baik Lia berhenti aje. Cari kerja lain yang
dekat-dekat sini,” suruh Zamri suatu
hari.
Kamilia diam. Percaturan pertama hidupnya sedang digerakkan di
atas papan kehidupan. Sebagai isteri yang taat dan wanita yang lemah, sekali
lagi dia terpaksa akur. Dia tidak mahu membantah, walaupun ketika itu dia amat
sayangkan kerjanya.
Ketika itu, Zamri bekerja sebagai tukang masak di sebuah
restoran. Dia memang pandai memasak. Kamilia memang mengakui keenakan masakan
Zamri.Pertama kali dia merasa hasil
tangan Zamri, dia begitu kagum.
Gajinya pula agak
besar dan lebih daripada cukup untuk menampung hidup mereka berdua.Tambahan pula, dia bukan jenis lelaki yang
suka berpoya-poya. Dia tidak merokok. Tidak suka minum dan melepak di kedai
kopi. Juga tidak suka berjalan makan angin. Rumahnya pula bersih dan siap
berperabot. Jadi Kamilia masuk ke rumah itu hanya membawa tubuh sahaja.
Namun, Kamilia rasa
sangat tidak selesa untuk duduk di rumah goyang kaki tanpa bekerja.
“Lia rasa nak pergi
cari kerja, bang. Bosanlah tinggal di rumah macam ni. Abang pergi kerja. Pagi
sampai petang. Lia tinggal sorang-sorang aje,” kata Kamilia.
“Buat apa nak kerja.
Abang mampu nak sara hidup kita,” balas Zamri.
“Bukan masalah mampu
atau tidak, tapi masalah bosan. Lagipun, apa salahnya kalau kita dapat lebih.
Dapat juga menabung. Kita tak tahu nasib kita di masa depan,” kata Kamilia
pula.
Zamri terdiam. Namun
dari raut wajahnya, Kamilia dapat membaca isi hatinya yang kurang senang dengan
permintaan itu.
“Kalau macam tu,
tunggulah sampai lepas kita bersanding. Hanya tinggal sebulan lagi. Kalau Lia
kerja sekarang, nanti nak kena ambil cuti pula. Lebih baik kita selesaikan
semuanya dulu,” kata Zamri.
Kamilia mengangguk
perlahan.Ada benarnya
kata-kata suaminya itu. Lalu dia cuba bersabar dan tenangkan hati.Kalau
ikutkan dia memang berat untuk bersanding. Yang mustahak ialah nikah. Dia sudah
pun sah menjadi isteri Zamri. Dari segi hukum, memang semuanya sudah halal.
Bagaimanapun, dia perlu menghormati kehendak emaknya.Kamilia adalah anak perempuan tunggal.Dia juga anak bongsu. Tentu emaknya ingin
melihat dia bersanding. Tentu keluarganya ingin mengadakan kenduri yang meriah
untuk meraikan perkahwinan itu.
Sebulan yang ditunggu
pun tiba. Majlis persandingan berlangsung penuh gilang gemilang. Hajah Zizah
telah menumbangkan tiga ekor lembu. Sungguh meriah. Namun, entah kenapa Kamilia
langsung tidak merasai kemeriahan itu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena
dengan hatinya. Langsung tidak gembira.
Selepas bersanding,
mereka kembali melalui hidup seperti biasa. Kamilia masih tidak diberi izin
untuk bekerja. Alasan Zamri tetap sama: Dia masih mampu menanggung hidup
Kamilia.
Dek bosan dengan
keadaan, Kamilia mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Dia membuat kuih
jualan dan dihantar ke sebuah warung. Daripada satu jenis kuih, menjadi
berjenis-jenis. Dia amat gembira dengan kerja barunya. Bosannya juga hilang.
Namun, cabaran tetap datang.
“Buat apa nak penatkan
badan ni?Duduk aje diam-diam
boleh tak? Abang tak suka Lia buat semua ni!” marah Zamri pada satu hari.
Semangat Kamilia patah. Melihat muka Zamri yang merah padam, Kamilia menjadi
kecut.
“Jangan buat apa yang
abang tak suka!”
“Apa salahnya? Habis
Lia nak pergi kerja abang tak izinkan. Biarlah Lia berjualan kuih.Ada juga kerja dan pendapatan,” jawab
Kamilia pula.
“Pendapatan untuk apa?
Bukankah abang dah kata, abang mampu!” tengking Zamri.
Kamilia rasa kecil
hati. Akhirnya dia membungkus semua bahan-bahan kuih yang sudah dibeli dan
disimpan rapi. Hatinya mula tidak keruan. Marah, geram dan kesal silih menyilih
muncul.
Malam itu, untuk
pertama kali dia menangis dalam selimut.
Hari demi hari berlalu,
usia perkahwinan mereka genap setahun. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan
Kamilia akan mengandung.
“Mak dah tanya bila
nak dapat cucu,” beritahu Zamri pada satu malam.
Kamilia mendengarnya
dengan tenang walaupun hatinya sedikit sebal. Dia pejamkan mata. Dia mula
membaca maksud kata-kata Zamri.
“Abang sedang bercakap
dengan Lia.”
“Lia tahu. Habis abang
nak Lia buat apa?” Tiba-tiba suara Kamilia meninggi.
“Apa yang abang nak
jawab dengan mak.”
“Jawab aje, belum ada
rezeki. Ini semua bukan kerja kita,” kata Kamilia, tanpa membuka mata.
“Cakap memang senang,” balas Zamri. Dia melepaskan sebuah keluhan
yang mendesah. Keluhan itu membuatkan Kamilia rasa sakit hati. Malam itu
hatinya bertukar marah. Selama setahun menjadi isteri Zamri, dia belum
rasa begitu sakit hati seperti malam itu.
Daripada
pertelingkahan malam itu, hubungan mereka menjadi sedikit renggang. Hati
Kamilia yang rasa begitu. Bukan salah Zamri. Setiap pagi sebelum pergi kerja,
Zamri tetap mengucup pipi dan dahinya. Setiap malam, Zamri tetap menghadiahkan
sebuah kucupan sebelum tidur. Zamri tetap menjadi suami yang memanjakannya.
Namun, entah kenapa rasa sakit hatinya tidak sembuh.
“Pergilah kalau Lia nak pergi kerja.
Abang sayang Lia. Abang tak suka tengok Lia muram dan masam macam ni. Kalau Lia
susah hati macam ni, abang pun ikut rasa sedih,” kata Zamri pada satu malam.
Dia menarik tangan Kamilia dan menggenggamnya erat.
Tiba-tiba hati Kamilia
rasa tersentuh. Belas kasihnya tiba-tiba mengalir lembut dalam jiwa.
“Terima kasih, abang.
Lia minta maaf. Lia bukan nak engkar pada kehendak abang. Tapi, Lia rasa sunyi
dan bosan di rumah ini. Lia harap abang faham,” balas Kamilia. Dia mencium
tangan Zamri dengan tulus.
“Baiklah. Abang akan cuba ikut apa yang Lia nak. Pergilah kerja.
Asal Lia gembira,” kata Zamri perlahan. Ada nada rajuk dalam nada suaranya.
“Abang ikhlas atau abang merajuk?” tanya Kamilia, cuba menduga.
Zamri tidak menjawab.
Dia diam. Dia pejamkan mata seolah-olah sedang menghindari diri daripada soalan
Kamilia.
Kamilia pula sengaja
tidak mahu menyambung lagi. Zamri sudah mengizinkan dia keluar bekerja. Itu
sudah cukup. Soal Zamri ikhlas atau tidak, itu tidak penting lagi buatnya.
Seminggu Kamilia merayau
mencari kerja, akhirnya dia diterima bekerja sebagai kerani pentadbiran di
sebuah syarikat. Biarpun gajinya tidak besar, namun Kamilia rasa seronok.
Sekurang-kurangnya otak tidak beku dengan berkurung di rumah.
Sekurang-kurangnya dia bebas dari sangkar emas buatan Zamri.
Wajah Zamri tidak
begitu ceria ketika berita itu dibawa pulang.
Seminggu bekerja di
tempat itu, Kamilia mula rasa selesa. Rakan-rakan sekerja semuanya baik dan
bekerjasama dalam tugas. Ketua jabatannya juga begitu baik dan prihatin.
Kebetulan rumah Nik Arif, bosnya berdekatan dengan rumahnya. Lalu dia sering
dipelawa untuk menumpang keretanya setiap pagi.
“Tak apalah, encik.
Saya naik bas aje,” tolak Kamilia dengan hormat.
“Saya ikhlas.Lagipun, bukan kita berdua aje. Isteri
saya juga ada bersama saya kerana pejabatnya berdekatan sini juga.”
Kamilia tidak terus
memberi jawapan. Sejak jadi isteri, dia semakin tidak pandai membuat keputusan
sendiri tanpa berbincang dan meminta izin daripada Zamri.
“Naik bas aje. Jangan
nak menyusahkan orang. Lagipun tak manis dipandang orang. Nanti timbul fitnah
pula,” kata Zamri ketika Kamilia menyatakan hal itu.
“Isterinya ada sekali.
Takkan timbul fitnah,” kata Kamilia pula.
Zamri menoleh dan
merenung Kamilia dengan renungan tajam.Ada rona marah dalam renungan itu. “Ni yang nak sangat menumpang orang ni
kenapa? Susah-susah, biar abang hantar aje setiap pagi!” jerkah Zamri dengan
suara keras.
Kamilia terkedu.
Akhirnya dia matikan hajat untuk
menumpang kereta Nik Arif. Dia tidak mahu menjadi isteri yang engkar. Dia juga
tidak mahu membuat Zamri naik marah dan curiga.
Sejak Kamilia mula
bekerja, dia mula terasa ada angin perubahan yang sedang berlaku dalam rumah
tangga mereka. Zamri semakin kerap ponteng kerja. Dia lebih banyak menumpukan
perhatian mengawasi Kamilia. Ada masa dia sengaja ambil cuti semata-mata untuk
menghantar Kamilia ke tempat kerja.
Kamilia juga melihat
Zamri seperti orang lain. Lelaki itu menjadi mudah marah. Cemburu. Dia menjadi
pembengis tidak mengira tempat dan masa. Semakin hari pergerakan Kamilia
semakin terbatas. Dia tidak boleh balik lambat. Dia juga tidak boleh bergaul
dengan staf yang lain. Dia tidak boleh ikuti aktiviti pejabat. Malah, waktu
makan tengah hari pun kadang-kadang Zamri datang untuk mengintipnya.
“Kenapa abang buat Lia
macam ni?” tanya Kamilia. Dia rasa seperti seorang banduan.
“Sebab abang sayang dan amat cintakan Lia. Abang takut kehilangan
Lia,” jawab Zamri selamba.
“Abang masih tak yakin
dengan kesetiaan Lia selama ini?”Suara Kamilia mula meninggi. Memang dia rasa amat tidak selesa.
Kawan-kawannya sudah mula senyum-senyum dan menyindir.
Zamri diam.
“Kalau Lia nak buat
jahat, abang jaga macam mana pun Lia masih boleh buat. Jadi, tolonglah. Jangan
malukan Lia dan jatuhkan air muka Lia di hadapan rakan sekerja Lia.”
“Abang minta maaf.
Tapi, abang tak mampu nak buang rasa cemburu abang ni. Abang akan tetap awasi
Lia.”