KAMILIA cuba memujuk
hatinya agar bersabar.Dia
ringankan kaki ke rumah Dani untuk mencari cerita. Dia perlu mencari jawapan
untuk semua persoalan yang berlegar-legar di mindanya.
“Dani merajuk habis
semalam,” kata kakak Dani ketika Kamilia ke rumahnya.
“Mana dia kak?”
Kamilia menjengahkan kepala ke arah bilik Dani.
“Dia dah balik KL. Dia
tak cakap dengan Lia ke?”
Kamilia menggeleng.
“Eh, bertuah sungguh
budak ni. Datang dan pergi macam tu aje!” tambah kakak Dani.
Kamilia diam.
Sebenarnya waktu itu dia sedang menahan gelora rasa yang sedang membadai hati.
Dia rasa ingin menangis. Namun, dia cuba menahannya. Dia rasa malu kalau
keluarga Dani melihat air matanya.
“Kak, tak apalah.
Mungkin dia terlupa,” kata Kamilia perlahan.
“Terlupa?Takkan nak ucap selamat tinggal pun boleh
terlupa.Kenapa dia merajuk
sampai begitu? Kamu berdua bergaduh ke?”
Kamilia menggeleng.
Kalau boleh dia tidak mahu mereka tahu apa yang berlaku antara dia dan Dani.
Seminggu selepas itu,
Kamilia menerima surat daripada Dani.
Kekasihku
Lia, Dani minta maaf kerana bertindak mengikut perasaan. Dani tahu Lia sedih
kerana Dani balik ke KL tanpa beritahu Lia. Dani bersalah. Sekarang Dani
terjerat dengan rasa bersalah itu. Maafkan Dani.
Lia,
sebetulnya memang Dani amat kecewa dengan penolakan Lia. Namun, Dani tidak
boleh memaksa perkara yang Lia tidak suka. Dani sebenarnya tidak sanggup
menunggu lama. Dani bimbang kalau Lia berubah hati. Dani tak dapat bayangkan
kalau nanti Lia tinggalkan Dani. Tak dapat nak bayangkan hidup Dani tanpa Lia.Dani benar-benar sayang dan cintakan Lia.
Jangan tinggalkan Dani. Tolonglah...
Surat Dani itu amat
meruntun hati Kamilia. Lalu dia segera membalas surat itu.
Dani
kekasihku,
Memang Lia
rasa begitu sakit hati dan sedih dengan apa yang Dani buat itu. Berhari-hari
Lia hidup dalam air mata. Sampai hati Dani...
Namun,
kini Lia mula faham kenapa Dani buat begitu. Lia amat hargai cinta dan kasih
sayang Dani. Memang perasaan itu juga yang ada dalam hati Lia selama ini. Cuma,
tolonglah faham cita-cita Lia. Lia ingin belajar. Lia mempunyai cita-cita untuk
ke menara gading. Lia ingin menggenggam segulung ijazah.
Lia tidak
menafikan kebenaran pendapat Dani, bahawa Lia masih boleh belajar walaupun
selepas kahwin. Tapi, Lia tidak mahu menjadi isteri yang tidak mampu
menguruskan suami dan rumah tangga dengan baik. Menjadi isteri dan pelajar
adalah dua situasi yang berbeda. Masa dan komitmennya juga berlainan cara. Lia
harap Dani faham.
Menolak
rancangan Dani untuk segera berkahwin bukan bermakna Lia tidak sayangkan Dani.
Untuk itu, sama-samalah kita berdoa agar ALLAH letakkan takdir yang terbaik
kepada kita. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan itu adalah milik-Nya. Kita hanya mampu berdoa dan
mengharap.
Selepas itu, Kamilia
meneruskan hidupnya sebagai pelajar macam biasa. Dani juga begitu.
Surat-suratnya juga tetap tiba tepat pada masanya. Surat-surat itulah yang
banyak memberikan Kamilia semangat untuk terus gigih berjuang dalam pelajaran.
Akhirnya Kamilia
selesai menghadapi STPM dengan dada yang lapang.Dia menarik nafas lega kerana dia sudah membuat
yang terbaik untuk masa depannya. Dia telah bertungkus lumus belajar tanpa
kenal erti jemu.
Dalam tempoh menunggu
keputusan STPM selama tiga bulan, Kamilia ke Johor untuk menghabiskan cuti
sambil mencari pekerjaan.Sebulan
pertama, surat-surat Dani masih tiba dengan kata-kata sayang dan cintanya.
Namun, masuk bulan kedua semakin jarang. Alasan yang diberikan ialah dia
terlalu sibuk dengan tugas seharian.
Kamilia menerima
alasan itu dengan dada terbuka dan fikiran yang lapang. Kadang-kadang kalau dia
terlalu rindu kepada Dani, dia akan menangis.
Pada bulan ketiga,
Dani terus hilang begitu saja. Kamilia tidak menerima apa-apa berita daripada
Dani lagi. Dia menunggu dengan sabar. Rindu diubat dengan tabah.
Akhirnya pada satu
hari, Kamilia menerima surat yang amat ringkas daripada Dani. Namun, surat itu
telah benar-benar menimbulkan rasa curiga dan ragu-ragu di hati Kamilia.
Lia,
Dani sangat rindukan Lia. Namun, dalam masa terdekat ini ada banyak
tugas yang perlu Dani selesaikan. Kita akan jumpa di kampung, bila Lia dah
balik nanti.
Salam sayang daripada Dani.
Surat itu terlalu
pendek. Untuk pertama kalinya, Kamilia menerima surat yang seringkas itu
daripada Dani. Tanpa kata cinta dan tanpa pujuk rayu. Kenapa?
Hati Kamilia pula
asyik berdebar-debar hingga tidurnya sering terganggu. Akhirnya dia mengambil
keputusan untuk pulang ke kampung lebih awal daripada masa yang dijangkakan.
Sepanjang jalan dia terbayangkan wajah Dani.
Dia sampai di kampung
pukul 8.00 pagi. Tanpa berlengah, dia terus pulang ke rumah untuk
menghantar beg pakaiannya. Selepas mandi dan menyalin
pakaian, dia segera menaiki bas ke rumah Dani.
Dalam bas, dia
terserempak dengan Kamaruzaman yang juga sahabat baik Dani.
“Bila Lia balik?”
“Baru pagi ni. Man nak
ke mana?” tanya Kamilia dengan senyum ramah, macam biasa.
Kamaruzaman tidak
menjawab sebaliknya melarikan pandangannya ke arah lain. Lama mereka diam.
Kamilia tidak tahu
bagaimana untuk terus menyambung bicara. Walaupun Kamaruzaman adalah sahabat
baik Dani dan sering datang ke rumahnya bersama Dani, namun Kamilia masih segan
dan malu ketika berdepan dengannya.
“Lia dah tahu ke?”
Tiba-tiba Kamaruzaman bertanya. Wajahnya nampak gelisah dan menyimpan satu
rahsia. Matanya mensasarkan ke arah wajah Kamilia sambil menanti jawapan.
“Tahu apa?”
“Tak apalah. Sekarang
Lia nak ke mana ni?” tanya Kamaruzaman, mengubah topik dan cuba meredakan rasa
pelik yang mula bersarang di minda Kamilia.
“Nak ke rumah Dani,”
jawab Kamilia dengan jujur.
Diam. Perbualan mereka
tamat di situ. Kebetulan bas berhenti betul-betul di hadapan rumah Dani.
Kamilia bangun.
“Harap Lia akan
sabar,” ucap Kamaruzaman ketika Kamalia melangkah turun dari bas.
Kamilia menoleh hairan
tetapi dia sudah tidak cukup masa untuk menyoalnya. Dia turun. Ketika itu dia
melihat Kamaruzaman melambaikan tangan dengan mata yang sayu.
Suasana di rumah Dani
sepi. Di hadapan rumahnya terdapat dua khemah dan kerusi meja yang belum
dikemas. Seperti mereka baru saja selesai mengadakan majlis perkahwinan. Siapa
yang kahwin? Pertanyaaan itu menghantui Kamilia.
“Assalamualaikum!”
Kamalia memberi salam. Senyap. Tidak ada suara yang menjawab dan bunyi derap
kaki yang mendekat. Salam diulang lagi.
Lama. Baru kedengaran derap kaki dari arah dapur.
“Waalaikummussalam!”
Satu suara menjawab.
Kamilia kenal benar
dengan suara itu. Sejak dia bercinta dengan Dani, suara itu yang sering memanggilnya dengan
manja. Suara itu menggantikan suara seorang ibu. Suara ibu Dani, Hajah Gayah.
Pintu dibuka. Wajahnya
tersembul. Awalnya dengan senyum. Tapi hanya seketika. Tiba-tiba wajah itu
muram.
“Mak, apa khabar mak?”
Kamilia terus menyalaminya penuh hormat.
Hajah Gayah tidak
menjawab. Sebaliknya, dia memeluk Kamalia dengan tangisan yang mendayu. Ketika
itu adik beradik Dani yang mendengar tangisan itu terus keluar. Masing-masing
terkejut melihat Kamilia.(delete melihat)
“Mak, sudahlah. Mari
kita ajak Lia duduk dulu,” kata salah seorang kakak Dani.
Pelukan dileraikan.
Kamilia dipimpin untuk duduk. Hajah Gayah masih
teresak, namun tidak sekuat tadi.
“Kenapa mak? Apa yang
terjadi?” tanya Kamilia. Dia amat keliru dan perlu mencari jawapan.
“Lia, kami semua
sayang Lia. Kami dah lama anggap Lia seperti keluarga kami. Tidak pernah
terlintas di hati kami, kalau ini penyudah segalanya...” jawab kakak Dani,
menggantikan suara Hajah Gayah yang memang tidak mampu untuk berkisah.
Kamilia semakin keliru.
“Kak, janganlah berpusing-pusing kata. Cakaplah terus terang, apa
sebenarnya yang dah berlaku? Lia tengok depan rumah ada khemah. Macam baru
lepas kenduri kahwin aje.Siapa yang
kahwin kak?” tanya Kamilia, polos.
“Ya ALLAH! Ya ALLAH!”Tiba-tiba
Hajah Gayah meraung lagi. Kali ini dia merebahkan dirinya ke lantai dan menutup
mukanya dengan sehelai kain.
Kamilia terpempan. Dia
rasa bersalah. “Mak, maafkan Lia kalau pertanyaan Lia tadi menyakitkan hati
mak,” ujar Kamilia sambil memeluk tubuh Hajah Gayah yang kelihatan lemah itu.
Suasana di rumah itu
mula haru biru. Bukan hanya Hajah Gayah yang menangis, malah adik-beradik Dani
yang ada di ruang tamu itu turut menangis.
Kamilia semakin
dihurung pelik dan hairan. Namun, dia tidak berani untuk bertanya lagi. Dia
membiarkan mereka menangis sepuas-puasnya.
“Lia, kau terlalu
jujur dan polos. Kami sedih melihat kepolosanmu ini, Lia,” kata kakak Dani di
celah esakannya.
“Cakaplah, kak. Lia
sedia mendengarnya. Buruk atau baik, Lia akan dengar dengan tenang,” kata
Kamilia perlahan. Ketika itu dia seperti dapat mengagak bahawa dia akan
berdepan dengan sesuatu yang buruk.