PADA satu malam minggu, Maniseh mengajak Kamilia menghadiri parti
hari lahir kawannya di sebuah kelab. Awalnya Kamilia menolak kerana hatinya
begitu cuak dan bimbang dengan majlis itu. Dia budak kampung. Sungguh... dia
tidak biasa dengan majlis seperti itu.
“Tolonglah, Lia. Aku tak ada kawan nak ke sana. Aku janji, kita
akan balik awal. Dan aku janji tak akan buat apa-apa,” rayu Maniseh sambil
menggenggam tangan Kamilia.
“Betul ke ni? Kau tahu kan, aku tak suka tempat-tempat macam tu.”
“Betul. Aku janji.”
“Kalau kau mungkir?”
“Kalau aku mungkir, kau hukumlah aku nanti,” janji Maniseh. Tangan
Kamilia semakin digenggam kemas.
Dek kerana melihat kesungguhan Maniseh itu, akhirnya Kamilia
bersetuju. Sebuah kereta mewah telah datang
menjemput mereka selepas waktu maghrib. Mereka dibawa ke sebuah kelab
mewah di sebuah hotel.
Ketika kakinya memijak lantai kelab itu, hati Kamilia berdebar
dan rasa cuaknya memuncak. Ada satu firasat yang muncul di dalam hati
mengatakan bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku malam itu.
“Iseh, aku nak balik. Aku rasa tempat ini tak sesuai dengan aku,”
bisiknya perlahan.
“Hei, jangan buat
macam tu Lia. Jangan malukan aku. Kita dah sampai. Kan aku dah janji dengan
kau?” Maniseh mengerdipkan matanya.
Kamilia rasa serba
salah. Dia juga semakin takut. Seram sejuk tubuhnya ketika kakinya melangkah ke
tempat itu.
Bau arak, asap rokok
dan muzik yang membingitkan telinga benar-benar mencabar kesabaran dan
keimanannya. Maniseh tenggelam dalam pelukan teman lelakinya. Kamilia
ditinggalkan semeja dengan beberapa pasangan yang menjelekkan mata. Sungguh dia
malu bila melihat mereka berkelakuan tidak senonoh dan tidak silu itu!
“Lia, mari kita
menari.” Seorang lelaki menghulurkan tangan.
Kamilia mendongak dan
meneliti wajah lelaki itu. Lelaki itu tersenyum mesra. Kamilia rasa ragu-ragu
untuk membalas senyuman itu. Dia curiga. Dari mana lelaki itu tahu namanya?
“Jangan risau, I ni
kawan baik Syed,” kata lelaki itu, seperti tahu apa yang ada dalam fikiran
Kamilia ketika itu. Sekali lagi dia bingung.
“Siapa Syed?”
“Syed, teman lelaki
Iseh.Tu, yang sedang menari
dengan dia tu!” tunjuk lelaki itu.
Kamilia mula faham apa
yang sedang diaturkan di situ. Dia mula sakit hati dan geram kepada Maniseh.
“Maaflah, saya tak
tahu menari. Budak kampung macam saya, tak tahu nak buat benda-benda macam ni,”
kata Kamilia jujur.
“Alah... Senang aje.
Cuma goyang-goyang ikut muzik. Marilah...” ajak lelaki itu bersungguh-sungguh
sambil menghulurkan tangannya sekali lagi.
Kamilia tidak
memberikan apa-apa reaksi. Semua mata sedang memandang ke arahnya. Dia mula
rasa malu. Dia rasa Maniseh telah menodai janjinya. Dia rasa ingin menjerit dan
memaki hamun Maniseh sekuat hati. Tetapi saat itu, bertindak gila memang
langsung tidak berguna.Ia
hanya akan menjatuhkan maruahnya sebagai wanita.
Lalu dia menelan
semuanya dengan sabar. Ajakan untuk menari ditolak dengan gelengan dan senyum
terpaksa.Dia duduk diam-diam
menunggu majlis itu selesai.
Maniseh tenggelam
dalam keasyikannya. Sedangkan Kamilia tenggelam dalam kemarahan dan rasa kesal
yang amat menyakitkan..
Tepat jam 4.00 pagi,
baru majlis usai dan muzik berhenti.
“Iseh, kita nak ke
mana lagi? Kau dah janji dengan aku,” Kamilia berbisik ke telinga Maniseh
ketika mereka masuk ke dalam kereta dan kereta dipandu ke satu arah.
Maniseh tidak
menjawab. Dia hanya tersenyum. Kamilia tahu akal Maniseh sudah dikawal kuasa
minuman keras yang diteguknya!
“Lia, kita rehat di
bilik dululah. Takkan nak bawa Iseh balik dalam keadaan macam ni. Nanti apa
pula orang kata,” pujuk Syed.
Kamilia mendengus.
Geram dan marah bercampur aduk. Hati pula sudah tidak tertanggung sakitnya.
“Syed, awak bawalah Iseh ke mana awak suka, tapi tolong hantarkan
saya balik. Saya tak suka macam ni,” kata Kamilia. Dia sudah hampir menangis.
Syed ketawa kecil. Kawannya yang memandu kereta juga ikut ketawa.
Hati Kamilia semakin berdarah, perit dan pedih. Lebih sakit lagi bila Maniseh
juga ikut ketawa.
Kamilia tidak tahu untuk balik sendiri. Untuk naik teksi pun dia
takut. Sejak keluar dari kampung dan bekerja di bandar itu, dia hanya tahu
pergi balik kerja sahaja. Akhirnya Kamilia terpaksa ikut Maniseh dengan langkah
berat.
Sampai di bilik, Kamilia semakin bingung.Bilik itu besar. Ada dua katil. Maniseh dan Syed
sudah menghempaskan diri di atas satu katil. Kawannya pula terus masuk ke bilik
air.
Kamilia
terpinga-pinga. Apakah dia terpaksa tidur sekatil dengan lelaki itu?
“Jom kita tidur.
Kenapa Lia tercegat lagi?” kata lelaki itu dengan lagak menggoda.
Kamilia tidak berani
menoleh. Lelaki itu hanya memakai tuala. Dia semakin takut. Dia ingin memanggil
Maniseh. Namun, sebelum sempat dia memanggilnya dia ternampak sesuatu yang
tidak patut dia tengok. Maniseh sedang melakukan dosa terkutuk!
Ya ALLAH! Kamilia
melarikan diri ke bilik air. Dia mula menangis dan menangis. Tiba-tiba
terlintas di fikirannya untuk lari. Dia
tidak sanggup untuk terus menyaksikan perbuatan keji Maniseh. Tidak sanggup
juga untuk bersubahat dengan syaitan-syaitan yang sedang bertepuk riang ketika
itu.
Kamilia keluar dari
bilik air, mencapai beg tangan dan berlari ke pintu. Namun, tangan kawan Syed
itu dengan cepat menangkap tubuhnya dan menghumbannya ke katil.
“Encik... Tolonglah lepaskan saya. Tolonglah...” Kamilia merayu
bersungguh-sungguh. Dia amat berharap agar mahkota kesuciannya tidak direnggut.
“Lia, kenapa ni?” soal
lelaki itu.
“Tolong lepaskan saya. Saya nak balik. Tak apa. Tak payah hantar.
Saya akan balik sendiri.”
“Kenapa nak balik? Tidurlah di sini. Sekejap lagi hari siang,
kita baliklah,” kata lelaki itu dengan ketawa perlahan. Dia cuba mendekatkan
mukanya ke telinga Kamilia. Dia sengaja ingin Kamilia mendengar nafasnya yang
mula tidak sekata.
“Tolonglah encik... Abang...Tuan... Datuk...” Kamilia masih belum putus asa untuk merayu. Air mata mula
membasahi pipi. Namun, rayuan dan tangisannya langsung tidak dihiraukan. Lelaki
itu tetap cuba untuk merebut mahkota dirinya. Dia meronta dan meronta. Dia cuba
sekuat tenaga untuk melawan tenaga seorang lelaki yang sudah ditawan syaitan!
“Iseh! Tolong aku
Iseh...” rayu Kamilia dengan nafas yang termengah. Namun, Maniseh sudah hanyut
dalam dunianya. Tidak mungkin syaitan membenarkan dia bangun dari dunianya yang
sesat itu!
Ketika itu, Kamilia
tidak mengharapkan apa-apa dari ALLAH selain memohon agar maruahnya
diselamatkan dari jantan jalang itu.
‘Ya ALLAH! Kalau
inilah hukuman-MU kerana kekhilafanku selama ini, aku reda. Tapi aku masih
mengharapkan secebis belas kasihan-MU ya ALLAH. Aku ini hamba-MU yang lemah.
Aku ini hamba-MU yang kerdil. Bantulah aku ya ALLAH. Berikan aku kekuatan.
Berikan aku kekuatan. Berikan aku kekuatan...’ Doa Kamilia di dalam hati.
Kamilia tidak melawan
lagi.Dia berhenti meronta
dan berhenti merayu. Dia juga berhenti menangis. Dia diamkan diri. Dia pasrah
dengan semua kemungkinan. Hanya hati dan
bibirnya yang tidak berhenti memohon kekuatan.
“Heh! Bodoh betul
perempuan ni! Kau ingat aku pelahap sangat tubuh kau ya? Kau ingat nafsu aku
teringin pada tubuh kau yang kaku ni?” Tiba-tiba lelaki itu bangun dan menyepak
tubuh Kamilia. Mulutnya
menyumpah-nyumpah.
Kamilia tidak
pedulikan sumpah seranah dan maki hamun itu. Dia segera bangun dan membetulkan
keadaan dirinya. Dengan perlahan dan penuh hati-hati, dia berjalan ke pintu.
Dia bimbang akan diserang.
Ketika sampai di pintu
dan ingin membuka pintu, Kamilia menoleh. Lelaki itu berdiri kaku dalam keadaan
kusut masai dan kecewa.
“Apa tengok lagi?
Berambuslah!” tengking lelaki itu dengan kuat. Suara itu bergema ke seluruh
bilik. Hairannya, Maniseh dan teman lelakinya langsung tidak memberikan apa-apa
reaksi. Mereka diam dalam selimut itu.
Kamilia tidak
bertangguh lagi. Dengan langkah lipas kudung, dia membuka pintu bilik dan
berlari keluar.Sampai di
luar hotel, dia menarik nafas lega. Kemudian dia mengucap syukur kepada ALLAH
kerana melindunginya daripada perogol itu!
Dia cuba berlagak
tenang. Sebuah teksi yang ada di situ segera dipanggil. Walaupun amat takut dan
begitu prejudis kepada pemandu teksi dan begitu bimbang peristiwa yang baru
berlaku berulang lagi, namun Kamilia terpaksa teruskan langkah.
“Adik dari mana ni?”
tanya pemandu teksi itu dengan wajah sangsi.
Kamilia dapat membaca
telahan sumbangnya. Siapa pun akan membuat telahan dan tohmahan yang sama bila
bertemu seorang wanita di kawasan hotel ketika hari hampir subuh.
Kamilia mendiamkan
diri.
Dia rasa malas untuk
menjawab. Peristiwa yang baru berlaku itu, amat menghantui jiwa raganya. Bau
minuman keras yang masam dan busuk itu terasa melekat di tubuhnya.Dia
rasa mual dan ingin muntah.
“Tak baik seorang gadis berkeliaran waktu begini. Di bandar ni
ada bermacam manusia yang bertopengkan syaitan,” tambah pemandu teksi itu.
Serta merta kebimbangan Kamilia hilang. Prasangka terhadap
pemandu teksi bubar dari ingatan. Namun, dia membisu dan tidak memberikan
apa-apa reaksi. Sepanjang jalan, dia hanya diamuk kesal. Dia mula berfikir
bagaimana untuk menjauhkan diri dari seorang kawan bernama Maniseh.