PAK AHMAD tahu Kamilia sedang tertekan. Ketika
menyentuh dahi Kamilia, dia panik seketika. Suhu badan Kamilia ternyata sangat
panas.
“Saya nak bawa dia ke
klinik dulu.Yang lain-lain
tu kita bincang kemudian. Demamnya panas sangat ni. Saya bimbang akan melarat,”
kata Pak Ahmad kepada Hajah Zizah yang masam tanpa senyum.
“Tak ada benda yang
nak dibincangkan. Kata saya tetap begitu dan tak akan berubah lagi. Dia boleh
pilih.Kalau dia nak terus
tinggal di rumah ini, dia kena lupakan jantan itu. Kalau dia memilih jantan
itu, maknanya dia kena keluar sini!” tegas Hajan Zizah.
“Cuba jangan berkasar
sangat. Awak kena ingat pada qada dan qadar ALLAH. Dia bukan budak kecil lagi.
Dulu dia kahwin kerana ikut cakap awak. Apa jadi? Sekarang, biarlah kali ini
dia pilih sendiri,” kata Pak Ahmad dengan suara meninggi.
“Jadi, awak nak
subahat dengan dia dan nak lawan cakap saya?”
“Bukan subahat. Kalau
benar mereka nak berkahwin, kenapa nak dihalang. Daripada berlaku sesuatu yang
tak diingini, lebih baik kita halalkan hubungan mereka.”
“Awak nak anak awak bermadu?” Hajah Zizah menjengilkan matanya
kepada Pak Ahmad. Sakit hatinya bila kata-katanya cuba diengkari.
“Kalau itu jodoh dia, apa salahnya. Bermadu itu bukan dosa.”
“Jangan nak letak semuanya kepada jodoh. Ini jodoh yang dicari.
Ini takdir yang sengaja ditempah!”
“Mengucaplah, Zizah. ALLAH Maha Tahu. DIA yang mengatur semua ini. Awak jangan nak
nafikan kebesaran ALLAH.”
Hajah Zizah terdiam.
Dia bukan kalah atau rasa bersalah, tetapi dia sedang menahan marahnya yang
semakin meluap-luap. Dia rasa tercabar.
“Cubalah awak walikan
dia kalau awak berani!” tengking Hajah Zizah.
“Awak nak buat apa
dengan saya? Ini anak saya. Saya berhak tengok anak saya bahagia,” jawab Pak
Ahmad dengan selamba dan tenang.
“Bahagiakah dia nanti
dengan lelaki yang ada isteri dan anak berderet itu?” tanya Hajah Zizah dengan
senyuman sinis.
“Dia tahu apa yang dia
buat. Tugas kita hanya menasihat. Kalau dia nak juga, kita kena reda. Yang nak
hidup berumah tangga, dia,” kata Pak Ahmad. Itu cara dia, lemah lembut tetapi
tegas.
Kamilia dibawa ke
klinik untuk mendapat rawatan. Selepas dua hari, baru demamnya kebah sedikit.
Dalam masa dia terlantar demam itu, Hajah Zizah tetap menjaganya dengan penuh
perhatian.
Lalu tiba-tiba hati
Kamilia menjadi amat sayu untuk melukakan hati emaknya. Apalah maknanya seorang
lelaki berbanding dengan seorang emak yang amat berjasa. Itu yang muncul dalam
fikirannya.
Lalu dia berjanji
kepada dirinya, tidak akan melukakan hati emak yang melahir dan membesarkannya.
Biarlah dia sengsara kerana cinta yang tidak kesampaian, asal hati seorang emak
tidak terluka. Kamilia tidak mahu bertangguh lagi. Dia tidak mahu Nik Arif terlalu mengharapkan cintanya.
“Saya rasa baik kita
batalkan hajat kita. Kita lupakan aje cinta kita ini. Kembalilah kepada anak
isteri encik dan saya akan terus hidup dengan keluarga saya,” kata Kamilia
ketika Nik Arif menelefonnya.
“Tidak. Jangan buat
saya macam ni. Saya tak sanggup nak berpisah dengan awak.”
“Saya juga tak sanggup
nak lukakan hati emak saya.Dia tak akan mengalah. Sayalah yang kena
beralah.”
“Tapi, saya cintakan awak. Dan saya tahu awak pun sama.”
“Cinta itu perlukan
pengorbanan. Tak guna kita teruskan tanpa restu seorang ibu. Lagipun, isteri
encik sendiri tak tahu mengenai hal ini. Saya yakin kalau dia tahu, dia pun tak
akan izinkan,” kata Kamilia.
Nik Arif terdiam.
Mungkin berfikir akan kebenaran kata-kata Kamilia. Perbincangan mereka usai
begitu sahaja. Namun, Kamilia rasa lega selepas memberikan keputusan itu kepada
Nik Arif. Mungkin tidak susah untuk mereka memilih jalan berpisah.Hati mereka belum begitu lama hanyut dalam
arus cinta terlarang yang amat deras itu.
Sejak hari itu,
hubungan mereka putus. Kamilia tidak lagi menghubungi Nik Arif. Begitu juga
sebaliknya. Walaupun agak pahit dan sengsara untuk Kamilia membuang rasa cinta
dan rindu kepada Nik Arif, namun dia gagahi juga.
“Lelaki, dengan kita
dia kata cinta. Dengan bini dia, dia pasti akan kata sayang. Dengan kita, dia
kata tak bahagia bersama isteri. Dengan isterinya dia kata, bahagia yang tidak
boleh dibeli,” kata sahabatnya yang tahu akan rahsia percintaan mereka.
“Tak apalah. Aku doakan
dia memang berbahagia dengan keluarganya. Aku akan cuba melupakan semuanya. Aku
nak mulakan hidup baru dengan semangat dan azam baru,” balas Kamilia, dengan
perlahan.Dia cuba menguatkan
hatinya.
Kamilia tidak mahu terus melayan hatinya. Dia
berusaha mencari kerja di pekan. Dengan kelulusan dan pengalaman yang dia ada,
tidak susah untuk dia mendapat kerja walaupun gajinya tidak besar berbanding
gaji semasa bekerja di Johor Bahru.
Dia diminta untuk
melaporkan diri dalam masa dua minggu. Sungguh dia rasa bersyukur kerana
hajatnya untuk memulakan hidup baharu akan segera terlaksana. Namun, hajat itu
terganggu. Ia tidak menjadi kenyataan.
Tanpa diduga,
tiba-tiba Nik Arif muncul lagi. Kali ini
lelaki itu tidak mencari Kamilia di rumah Hajah Zizah. Sebaliknya dia terus ke
rumah Pak Ahmad, ayah Kamilia.
“Lia, baik Lia datang
ke sini sekarang. Nik Arif ada di sini,” kata Pak Ahmad melalui telefon.
“Tapi, buat apa dia
datang lagi.Kami dah putus, ayah.”
“Kamu datanglah. Kita tak boleh bincang melalui telefon ni.
Datang cepat!” gesa Pak Ahmad sebelum talian dimatikan.
Kamilia akur. Dia menaiki motorsikal ke rumah ayahnya yang
jaraknya 10 kilometer dari rumah emaknya. Sesampainya di sana, dia amat
terkejut melihat Nik Arif tidak datang sendirian macam biasa. Sebaliknya dia
ditemani dua orang kawan baiknya yang memang Kamilia kenal.
Awalnya, Kamilia ingat itu hanya kunjungan biasa. Mungkin sekadar
menziarah. Namun, rupanya Nik Arif datang bersama hajat lamanya. Lelaki itu
tidak pernah berputus asa.
“Saya tahu awak tak suka saya datang lagi. Saya faham awak cuba
nak berkorban untuk menyenangkan hati emak awak. Saya minta maaf. Saya tak
boleh teruskan hidup tanpa awak. Tolonglah...” rayu Nik Arif tanpa segan silu
lagi walaupun bersama mereka ada ayah Kamilia dan dua rakannya.
Kamilia tergamam. Buntu fikirannya. Dilema yang cuba dihindari,
akhirnya muncul kembali. Sungguh mencabar dugaan yang datang. ALLAH memang
benar-benar sedang menguji ketabahannya sebagai anak dan keikhlasannya sebagai
kekasih.
“Saya sayang mak saya...” rintih Kamilia. Dia mula menangis.
“Saya tak suruh awak bencikan dia. Saya juga akan hormati dia
sebagai orang yang melahirkan awak ke dunia ini,” balas Nik Arif pula.
“Mak akan buang saya. Saya akan jadi anak derhaka... Saya tak
sanggup...” kata Kamilia. Air matanya langsung tidak mahu berhenti. Hanya itu
pernyataan yang jujur mengenai kepiluan hatinya dan bukti kasih sayangnya
kepada seorang ibu.
Nik Arif tetap tidak mahu mengalah. Pujukan demi pujukan dibuat.
Kata cinta juga tidak malu diungkap. Namun, Kamilia tetap tidak mahu mengangguk
tanda setuju. Juga langsung tidak menggeleng tanda tidak suka. Dia benar-benar berada di dua persimpangan kasih.
“Lia, saya cintakan
awak.Saya tak akan balik tanpa awak. Apa nak jadi, jadilah.”
Kamilia mendongak. Wajah lelaki itu direnungnya. Kenapakah Nik
Arif tidak mahu memahami situasi dirinya?
“Lia, terimalah dia. Kahwinlah. Keadaan tak akan aman lagi
walaupun Lia menolak jodoh ini,” tiba-tiba Pak Ahmad bersuara.
“Apa maksud ayah?” Kamilia segera berpaling ke arah ayahnya. Ada
satu keraguan yang sedang berputik di hatinya ketika itu.
“Ayah tahu Lia amat sayangkan Arif. Daripada kerdipan mata Lia,
ayah memang dapat membaca rasa hati Lia. Lia memang dah tak boleh nak lupakan
Arif. Kalaupun Lia menolak untuk berkahwin,
tapi ingatan Lia tetap pada dia. Begitu juga sebaliknya. Ayah kasihan kalau Lia
terpaksa menyeksa diri sendiri hanya kerana nak gembirakan kami,” kata Pak
Ahmad. Ada sejuring senyuman di bibirnya. Pada mata Kamilia, senyuman itu
sebagai menutup rasa sakit yang ada di hatinya.
Dalam masa yang sama,
Kamilia mengakui kebenaran kata-kata itu. Tidak berani dia membohongi diri
sendiri dan tidak berani juga untuk menyangkal semua kata-kata ayahnya itu.
Sesungguhnya sejak kecil ayahnya yang amat memahami perasaanya. Setiap kali dia
merajuk, ayahnya yang selalu hadir memujuk. Walaupun tidak tinggal sebumbung,
hubungan kasih mereka begitu erat.
Sejak awal, ketika dia
dijodohkan dengan Zamri ayahnya juga sudah menjangka bahawa jodoh itu tidak
akan panjang dan ada aral yang akan menimpanya. Kini, ayahnya sekali lagi
meramalkan bahawa hatinya tidak akan gembira tanpa Nik Arif.
“Ayah...” Kamilia memeluk Pak Ahmad. Dia menangis sepuas-puasnya.
Tidak ada lain yang diharapkan ketika itu melainkan belaian kasih sayang serta
restu.
Lalu, dengan nasihat
ayahnya itu Kamilia mengangguk perlahan tanda menerima lamaran Nik Arif. Dia
akhirnya melanggar janjinya untuk tidak melukakan hati seorang ibu. Dia
mengikut kata hatinya dengan menghancurkan hati Hajah Zizah.
Seperti syarat yang
diberikan oleh emaknya Hajah Zizah, Kamilia terpaksa keluar dari rumah emaknya
sehelai sepinggang. Semua barang kemas dan pemberian emaknya tidak diambil.
Yang dibawa hanya air mata. Ketika dia melangkah keluar dari pintu rumah itu,
Hajah Zizah tidak ada di rumah. Kamilia hanya meninggalkan sekeping surat
kepada emaknya:
Kepada mak yang Lia sayang,
Lia minta
maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini. Lia tahu Lia berdosa pada emak. Lia
engkar pada kehendak emak. Namun, Lia tidak dapat hidup tanpa dia emak. Lia
minta ampun, emak. Tolong halalkan air susu yang Lia hisap dari tubuh emak.
Tolong halalkan makan minum Lia. Lia memang anak tidak berguna, tapi tolong
jangan sumpah Lia. Lia masih perlukan doa emak untuk meneruskan hidup Lia.
Emak, Lia
pulangkan semua barang kemas pemberian emak yang ada di tubuh ini. Selepas
melukakan hati emak, Lia rasa tidak berhak lagi untuk menerima pemberian emak.
Cukuplah Lia bawa bersama Lia, kasih sayang dan jasa emak membesarkan Lia
selama ini. Walaupun Lia terpaksa tinggalkan emak, namun emak tetap akan hadir
dalam setiap doa Lia. Lia tidak akan lupakan emak. Lia amat sayangkan emak...
Emak,
akhir kata Lia amat berharap agar emak merestui hubungan kami. Tolonglah doakan
kami, emak.
Sembah salam dari anakmu - Kamilia.
Ketika melipat surat
itu, air mata Kamilia seperti hujan.
Sungguh pilu. Dapat dibayangkan bagaimana perasaan emaknya ketika
membaca surat itu.
Akhirnya Kamilia
dinikahkah oleh ayahnya dalam sebuah majlis pernikahan yang cukup ringkas.
Tidak ada jemputan. Tidak ada kenduri. Yang ada hanya pak imam dan saksi. Nasib
baik ketika itu urusan nikah kahwin agak mudah dan tidak banyak
peraturannya.
Selepas dia sah
menjadi isteri Nik Arif bin Nik Omar, Pak Ahmad memeluknya dengan sebak.
“Pergilah jauh dari
sini sebelum emakmu sampai. Ayah tak sanggup nak tengok Lia dimarahi. Jadilah
isteri yang baik. Sabar dan tabahlah mengharungi semua ujian ALLAH. Ayah akan
sentiasa mendoakan Lia,” bisik Pak Ahmad dengan air mata.