MAKA terlerailah
sebuah ikatan perkahwinan yang hanya mampu bertahan hampir tiga tahun. Putus
sudah kasih sayang. Kamilia mengucap syukur berulang-kali. ALLAH Yang Maha
Mengetahui kenapa mereka tidak dikurniakan zuriat.
Zamri pulang ke Johor
Bahru dengan wajah kesal. Ada sedikit rasa sedih di hati Kamilia selepas
mendengar talak yang dilafazkan. Tetapi kesedihan itu tidak seberapa jika
dibandingkan dengan rasa sakit hati dan kecewanya dengan sikap Zamri.
Malam itu Kamilia
tidur dengan lena. Dia tidak mengharapkan lagi Zamri muncul di hadapannya mahu
pun dalam mimpinya. Sungguh besar dendamnya pada lelaki itu.
Keesokan pagi, Kamilia
bangun dengan azam dan semangat baru.Hari pertama bergelar seorang janda, sangat membahagiakan. Dalam fikiran,
Kamilia mula merangka masa depannya. Dia perlu mencari kerja. Namun atas
nasihat keluarga, dia terpaksa menunggu hingga habis edah baru boleh bergerak
ke mana-mana.Kamilia akur.
Bukannya lama. Hanya tiga bulan sepuluh hari sahaja. Pejam celik, pejam celik
edah akan habis.
Sepanjang tempoh
menanti tamat tempoh edah, Kamilia tidak banyak keluar dari rumah. Dia banyak
menghabiskan masa dengan membaca dan melayan rasa. Hinggakan ada yang tidak
tahu dia ada di kampung pada masa itu.
Zamri mengirim surat
berpucuk-pucuk. Surat-suratnya penuh rayuan dan kata-kata cinta. Namun,
langsung tidak memikat hati Kamilia. Malah ada suratnya yang dibuang ke dalam
tong sampah. Keluarga juga tidak jemu memujuk agar Kamilia setuju untuk rujuk
semula dengan Zamri.
“Kalau nak rujuk,
lebih baik tak payah nak bercerai. Sekali ludah, Lia tak akan menjilatnya lagi.
Sekali buang, Lia tak akan kutip semula. Yang patah akan tumbuh. Yang hilang
akan berganti,” kata Kamilia penuh yakin ketikaemaknya memujuk.
“Memang akan tumbuh dan berganti. Tapi tak akan sama dengan yang
hilang. Kami bimbang kalau kau akan dapat yang lebih teruk daripada dia,” kata
mak ciknya pula.
Akhirnya selepas tiga
bulan sepuluh hari, masa edah pun habis. Walaupun Kamilia telah melaluinya
dengan penuh gelisah. Kini, dia rasa senang dan berlapang dada kerana telah
bebas sepenuhnya.
ALLAH yang menentukan
semuanya. Takdir Tuhan tidak ada
siapa yang mampu membacanya. Dua hari selepas tarikh edahnya habis, dia
menerima tetamu yang tidak diduga. Seluruh tubuh dan jantungnya begitu lemah
ketika berdepan dengan tetamu itu.
Emaknya menerima huluran salam daripada tetamu
itu dengan penuh cuak dan sedikit marah.
“Macam mana encik boleh
tahu rumah saya?” tanya Kamilia ketika melihat Nik Arif tercegat di pintu
rumahnya.
“Saya ni bos awak.
Fail peribadi awak ada dalam tangan saya,” jawab Nik Arif dengan senyuman.
Hati Kamilia berdebar.
Dia tidak tahu apa tujuan Nik Arif mencarinya.
“Ada apa encik datang
ni? Saya kan dah hantar notis berhenti 24 jam. Gaji pun saya tak ambil kerana
saya tahu silap saya berhenti tak bagi notis awal. Rasanya saya tak ada hutang
apa-apa dengan syarikat,” kata Kamilia, sedikit gugup.
“Awak memang tak berhutang dengan saya, tapi saya yang berhutang
dengan awak.” Bibir Nik Arif masih menguntum senyum.
Namun, hati Kamilia tidak gembira dengan senyuman itu. “Hutang
apa?”
Nik Arif diam. Dia
berkisar tempat duduk. Ada sedikit kegelisahan dan kegugupan di wajah lelaki
itu. Kamilia memerhati dengan curiga. Hajah Zizah juga masih merenung Nik Arif
dengan cuak.
“Saya minta maaf kalau
kedatangan saya tak kena pada masanya, Kamilia. Saya datang ni, untuk melamar
awak. Saya nak jadikan awak isteri kedua saya. Mahukah awak terima lamaran
saya?” Meluncur lancar kata-kata Nik Arif.
“Hah?” Kamilia
tersentak. Dia tergamam lalu serta merta lidahnya menjadi kelu. Dia tidak
pernah menduga akan mendengar kata-kata itu daripada mulut bekas bosnya itu.
“Oh! Jadi awaklah
punca semuanya ni?” Tiba-tiba Hajah Zizah menyergah kasar.
Hati Kamilia semakin
tidak keruan.
“Bukan saya yang
mulakan semua ini, mak cik. Zamri yang cemburu buta.” Nik Arif cuba
mempertahankan diri.
“Dia cemburu
bertempat. Kalau tak benar, takkan awak sanggup datang begini jauh untuk cari
Lia?”
“Saya terpaksa
menyahut cabarannya. Semalam, dia datang jumpa saya sekali lagi dan mencabar
saya untuk kahwin dengan Lia. Macam-macam dia kata kat saya,” jawab Nik Arif.
Kamilia terbayang apa
yang telah berlaku tempoh hari. Namun, dia tidak dapat membayangkan kalau Zamri
masih mengulangi kebodohannya itu lagi.
“Kalau dia cabar awak
terjun longkang, awak nak buat ke?” tanya Hajah Zizah lagi. Matanya melorot
tajam ke arah Nik Arif.
Diam. Nik Arif menoleh
merenung Kamilia.Mata mereka
bertemu, saling menatap.
“Mak cik, saya datang
cara baik. Saya nak ambil anak mak cik sebagai isteri saya.”
“Tak boleh! Saya tak akan setuju! Awak boleh pergi dari sini
sebelum saya berkasar!” tegas Hajah Zizah.
“Mak cik, tolonglah. Saya datang dengan penuh harapan. Saya tak
main-main. Saya benar-benar nak jadikan Kamilia isteri saya.”
“Saya kata tidak, tetap tidak dan sampai bila pun tidak!” jerit
Hajah Zizah dengan suara nyaring.
“Encik, encik baliklah. Jangan tambah kekusutan hidup saya lagi. Encik
dah ada keluarga. Saya rasa, lebih baik encik tumpukan perhatian pada keluarga
encik. Saya akan teruskan hidup saya
di sini. Biarkan dia mencabar, encik. Tak akan jadi apa-apa kalau encik tak
sahut cabaran itu. Sehari dua hari dia akan menyalak, lama kelamaan dia akan
terlupa,” kata Kamilia setelah dirasakan Nik Arif tidak akan berganjak dari hajatnya.
“Tidak. Saya tak akan
balik selagi awak tak bagi kata putus!” tegas Nik Arif pula.
“Kalau macam tu, encik
berilah saya masa.Saya perlu
fikirkan hal ini semasak-masaknya. Ini soal masa depan saya. Saya tak nak
terburu-buru membuat keputusan. Lagipun, saya tak nak sakitkan hati isteri
encik. Dia terlalu baik untuk disakiti,” kata Kamilia bersungguh-sungguh.
Memang dia amat berharap kalau Nik Arif
faham keadaannya.
Dia sudah kecundang
sekali. Masih terlalu awal untuk dia memikirkan untuk berumah tangga sekali
lagi. Biarlah luka yang masih merah itu kering dahulu, walaupun tidak sembuh
sepenuhnya.
Nik Arif meninggalkan
halaman rumah Kamilia dengan wajah sedih. Kamilia menghantarnya hingga ke
kereta. Tiba-tiba Nik Arif menarik tangan Kamilia dan mengucupnya.
“Saya memang sayangkan
awak. Sejak dulu. Tapi masa tu saya tak mampu nak mengucapkannya. Saya tak mahu
dianggap cuba mencari peluang dan mengambil kesempatan di atas kemelut rumah
tangga awak. Saya berserah pada takdir. Akhirnya saya rasa takdir itu sedang
menghampiri saya...” bisik Nik Arif perlahan.
Hati Kamilia tiba-tiba
gementar mendengar luahan itu. Dia tidak menyangka itu yang akan didengarnya
daripada mulut Nik Arif. Dia juga amat tidak menduga kalau Nik Arif begitu
berani datang ke rumahnya dan membawa hajat yang sebesar itu.
“Jaga diri awak
baik-baik. Saya berjanji akan datang lagi.Saya tak akan putus asa
menanti jawapan awak. Kalau awak dah berubah fikiran, tolong telefon saya. Saya
pasti akan merindui awak.” Itu kata-kata Nik Arif yang terakhir sebelum meninggalkan halaman rumah Kamilia.
Kamilia amat tersentuh dengan kata-kata itu. Hati seorang wanita
bergetar ketika mendengar luahan rasa yang tidak dijangka itu.
Malam itu tidur Kamilia
menjadi resah. Semalaman dia gelisah. Semua kata-kata dan perbuatan Nik Arif
mengganggu perasaannya.
Kenapa semuanya harus
muncul di tengah ketenangan yang baru dirasainya?
Kegelisahan itu bukan
sekadar malam itu sahaja. Hari demi hari, hatinya semakin tidak keruan.
Gelisah. Pilu. Dan ada satu rasa yang sedang bergelora dalam dada. Rasa itu
sama dengan apa yang dia rasa terhadap Dani dulu.
Hairannya, rasa itu
tidak pernah muncul ketika dia menjadi
isteri Zamri! Apakah dia sudah jatuh cinta? Dia cuba melawan perasaan itu.
Setiap kali perasaan itu muncul dia akan segera membuangnya. Wajah Puan Hamidah
yang cantik dibayangkan untuk membunuh perasaan jahat yang baru bercambah itu.
Hari demi hari, dia
semakin tidak berdaya berjuang mempertahankan rasa.
Akhirnya Kamilia
terpaksa mengalah pada perasaan. Dia lemah pada kehendak hati. Dia tunduk pada
kata cinta. Untuk kali kedua, dia rasa betapa indahnya mencintai dan merindui
sesaorang dengan sesungguh hati. Tidur malam termimpi. Bila siang
ternanti-nanti.
Dengan tubuh yang
separuh menggigil dan tangan yang sedikit terketar, dia mendail nombor telefon
Nik Arif. Dia pejamkan mata ketika menunggu talian bersambung.
“Lamanya saya tunggu
saat ini,” kata Nik Arif dengan nada riang selepas Kamilia memberi salam.
“M... Maafkan saya kalau saya
mengganggu.” Kamilia tergagap. Dia panik melawan perasaannya.
“Taklah. Awak tak mengganggu, sebaliknya awak telah menyembuhkan sakit rindu saya. Saya
ingat minggu depan nak ke rumah awak. Saya rindukan awak Lia.”
“Jangan. Saya tak mahu
encik dimarahi lagi.”
“Tapi, saya tak tahan hidup macam ni. Awak tahu, hanya wajah awak
yang bermain di mata saya. Saya benar-benar berharap awak menjadi isteri saya.
Bukan kerana cabaran bekas suami awak
tetapi kerana hati saya memang sayangkan awak. Tolonglah...” rayu Nik
Arif.
Kamilia terdiam. Dia ingin mengatakan hal yang sama. Dia ingin
Nik Arif tahu rasa hatinya dan kerinduannya. Namun, entah kenapa lidahnya
tiba-tiba kelu. Bicaranya tiba-tiba
bisu.
“Tunggu saya datang
minggu depan,” putus Nik Arif.
Ketika Kamilia ingin
melarang, talian telah diputuskan. Kamilia terkebil-kebil. Dia panik seketika.
Namun, tidak lama dia tersenyum senang.
Selepas mendengar
suara Nik Arif, jiwa Kamilia rasa segar ibarat musafir di padang pasir mendapat
air. Entah kenapa dia rasa Nik Arif begitu bermakna dalam hidupnya.Dia sedang angau bercinta.
Selepas itu, hubungan
mereka menjadi sangat rapat. Mereka sama-sama sedang mabuk cinta. Nik Arif akan
datang ke kampung untuk bertemu Kamilia, setiap dua minggu sekali. Tidak larat
untuk memandu, dia naik bas atau keretapi. Dalam masa menunggu dua minggu untuk
bertemu, mereka bergayut di telefon berjam-jam.
Pernah satu ketika,
bil telefon Nik Arif naik mendadak hingga mencecah ratusan ringgit.Memang cinta yang gila dan kronik. Memang
cinta itu buta dan tidak bermata. Lantaran butanya cinta, Kamilia menjadi Laila
yang tergila-gilakan Majnun. Kamilia menjadi wanita yang jatuh cinta dengan
suami orang!
Sudah tentu apa yang
berlaku itu tidak dapat diterima oleh keluarganya. Ibu mana yang ingin melihat
anaknya hidup dengan lelaki yang sudah ada isteri dan lima orang anak.
“Kau jangan nak cari
nahas Lia. Dia tu suami orang. Jangan ikutkan hati kau tu!” marah Hajah Zizah
setelah mendapat tahu mengenai perasaan Kamilia terhadap Nik Arif.
Namun, Kamilia tidak mempedulikan nasihat itu. Dia teruskan juga hubungan yang tidak direstui
itu. Berbulan-bulan lamanya mereka hidup dalam rindu.
Dek kerana Nik Arif
selalu sangat datang menemui Kamilia, ayahnya Pak Ahmad rasa kurang selesa
dengan pandangan orang kampung.Cerita fasal Kamilia mula melata ke sekeliling kampung.
“Ayah rasa baik kamu
berdua bernikah. Nampaknya memang dia adalah jodoh yang ALLAH dah takdirkan
untuk kamu. Kalau dihalang dan dimarah pun dah tak berguna. Ayah tak nak jadi
buah mulut orang,” kata Pak Ahmad kepada Kamilia.
“Lia juga rasa begitu.
Tapi, mak tak suka.Lia tak berani nak lawan cakap mak.”
Malam itu, Kamilia
beranikan diri. Seperti kata ayahnya, dia perlu berani. Kalau tidak dibakar
kemenyan, dia tidak akan dapat menghidu baunya. Dia mengharapkan restu emaknya.
Kalau dulu, emaknya merestui perkahwinannya dengan Zamri.Kini apa salahnya kalau restu itu juga diberikan
kepada Nik Arif.
Namun, ia tidak
berlaku. Sebaliknya ia seperti mengejutkan harimau yang sedang tidur. Ia
telah mengundang kemarahan Hajah Zizah
yang amat sangat.
“Kalau kau tak nak
dengar cakap aku, dan nak kahwin juga dengan jantan tu, kau boleh keluar dari
rumah ini. Dan kau bukan anak aku lagi!” jerit Hajah Zizah dengan kuat.
Kamilia meraung. Dia
memeluk kaki emaknya. Dia memohon belas dan simpati emaknya.
“Tolonglah jangan
cakap macam tu.Tolonglah kasihankan Lia, mak.”
“Sudah! Kau memang anak derhaka! Kau memang anak yang tak
mengenang jasa!” Hajah Zizah menolak tubuh Kamilia tanpa belas simpati.
Kamilia bangun dan memeluk tubuh Hajah Zizah sekali lagi. Sekali
lagi dia ditolak. Lalu dengan lemah dan longlai, dia bangun.
“Kalau kau keluar dari rumah ini, jangan pijak lantai rumah ni
lagi sampai aku mati!” sambung Hajah Zizah.
Ketika itu fikiran
Kamilia amat bercelaru. Dia tertekan. Dia rasa bersalah yang amat sangat
terhadap emaknya. Tidak pernah dia melihat emakya sekasar itu. Tiba-tiba dia
tidak sanggup untuk membayangkan kekecewaan hati emaknya.
Hanya air mata sebagai
teman. Sepanjang malam dia menangis. Beban fikirannya semakin berat dan tidak
tertanggung lagi. Akhirnya dia demam dan tidak dapat bangun. Serta merta hal
itu disampaikan kepada ayahnya. Pak Ahmad segera datang tanpa bertangguh.
“Anak awak dah nak
melawan saya. Dia dah nak jadi anak derhaka!” kata Hajah Zizah ketika Pak Ahmad
sampai di muka pintu.