BAB 15
“BETULke ni aunty?
Marissa tak pernah telefon selepas hari tu?” soal Sarah tak percaya.
“Ya,
Sarah. Tak pernah sekalipun Marissa telefon kami. Ada juga aunty try call hand set dia, tapi nombor lamanya sudah tidak aktif
lagi. Pm kat fb senyap sunyi sepi. Bagi email yahoo pun tak berbalas.” Raudah
Maryam menjawab lemah. Tersentuh hatinya dengan pertanyaan Sarah itu.
“Oh,
macam tu ke?! Jadi, aunty tak tahulah
kat mana Marissa sekarang ni?”
“Tak
tahu, Sarah. Aunty pun tidak tahu di
mana dia sekarang ni. Marissa sedang berbahagia dengan kehidupannya setelah
bergelar seorang isteri. Mungkin dia dah lupakan kami.” Suara Raudah Maryam
mendatar saja. Ayat-ayat Raudah Maryam membuatkan Sarah mengeluh panjang.
“Ermmm…masa
Sarah last jumpa dia, ada tak dia
beritahu yang akan tinggal di mana-mana selepas kahwin?”
“Tak
ada pulak dia beritahu rancangan nak duduk di mana selepas nikah. Cuma setahu
saya, suami Marissa tu orang Pontian, Johor. Ada kemungkinan tak, mereka
menetap di Johor sekarang ni?” soal Sarah pula.
Raudah Maryam
terdiam memikirkan kata-kata Sarah. Pernah ketika Zafran datang ke rumahnya,
lelaki itu memberitahu, dia berasal dari Pontian, Johor.
“Tapi
alamat Zafran pun tak tahu. Kampung keluarganya pun tak detail di mana. Setahu aunty,
Pontian tu besar juga. Ada Pontian Besar, Pontian Kecil. Kampung bukan sebuah
dua. Berpuluh kampung juga gamaknya. Aduh…mana ya nak cari Marissa?”
“Aunty serius ke nak cari Marissa? Aunty dah tak marahkan dia?” soal Sarah
serba salah. Pun begitu, dia mahukan kepastian tentang penerimaan Raudah Maryam
terhadap keputusan Marissa Norhanis.
Raudah
Maryam mengheret nafas panjang. Terkedu dia seketika.
“Sedih
kecewa, memang ada, tetapi bukankah kemaafan itu lebih baik demi sebuah
ketenangan? Marissa harus diberi peluang kedua untuk bersama kami. Kalau
Marissa pernah buat silap pun, dia perlu
bersama kami untuk ditarbiah agar tidak melakukan lebih banyak kesilapan pada
masa akan datang…”
“Uncle, macam mana aunty? Masih marahkah?”
“Ermmm…masih
berkeras hati. Dia terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. Sama-samalah kita
doakan ya Sarah. Moga keluarga aunty
bercantum kembali. ” Suara Raudah Maryam mendatar.
“Mudah-mudahan,
carik-carik bulu ayam. Nanti akan bercantum kembali. Saya doakan aunty akan bertemu Marissa satu hari
nanti. In sha ALLAH, saya pun akan berusaha jejak dia melalui pertolongan
kawan-kawan. Nanti bila-bila, saya telefon aunty
lagi ya.”
“All right, dear. Hope, can hear good news from you soon. Kirim salam mumy dan dady. Take care!”
“You too, aunty!” Mereka menamatkan perbualan itu dengan berbalas
salam.
Raudah
Maryam meletakkan gagang lesu. Panggilan telefon daripada Sarah memang tak
diduga Raudah Maryam. Setakat ni, Sarah saja kawan-kawan yang rapat dengan
Marissa Norhanis. Perbualan mereka, merungkai banyak kisah. Rupa-rupanya, di
sekolah, ramai pelajar meminggirkan Marissa Norhanis.
Hubungan mereka
dingin kerana sikap Marissa Norhanis yang menganggap teguran kawan-kawannya kerana
cemburukan hubungannya dengan Zafran. Patutlah, semasa kenduri kesyukuran
sempena memperolehi keputusan cemerlang SPM, hanya Sarah seorang saja kawan
sekolahnya yang datang. Bukan kerana alasan jauh semata-mata, tetapi kerana
hubungan Marissa Norhanis dan kawan-kawannya tidak begitu baik.
Malah,
yang lebih mengejutkan Raudah Maryam, sehari sebelum Marissa Norhanis bertolak
ke Siam, anaknya itu menumpang tidur di rumah Sarah di Seremban. Cerita Sarah
lagi, dia pernah cuba menghalang tindakan Marissa Norhanis daripada menikahi
Zafran. Tetapi keputusan Marissa Norhanis tidak berganjak lagi. Sarah tidak
boleh banyak membantu kerana pada hari yang sama, pagi-pagi lagi, tiketnya ke
London. Sarah kini menetap di sana bersama keluarganya. Hari tu, Sarah pulang ke
Malaysia sekejap pun sebab ambil keputusan SPM dan menguruskan permohonan
sambung belajarnya. Ketika di Malaysia, Sarah tinggal bersama pembantu rumah
dengan dipantau saudara ayahnya.
Menurut Sarah, Marissa
tiba di rumahnya sekitar jam 10. Malam sebelum Marissa Norhanis terbang ke
Thailand pada keesokan paginya. Terkejut besar Sarah mendengar keputusan teman
baiknya itu. Sarah ada menelefon rumah Raudah Maryam sekitar jam 11.30 malam
untuk memaklumkan yang Marissa Norhanis bermalam di rumahnya.
Tetapi sayang, menurut
Sarah, panggilannya tidak berangkat. Mungkin waktu itu, mereka sudah keluar
mencari Marissa Norhanis. Sarah hanya ingat nombor telefon rumah Marissa.
Nombor telefon bimbit Raudah Maryam dan Halim tidak diketahuinya. Takkan dia
tanyakan dengan Si Marissa pulak. Nak
mencuri-curi maklumat dalam telefon Marissa pun tak boleh. Telefon bimbit
Marissa setiap masa melekat di telinga. Sepanjang malam, Marissa bergayut
dengan Zafran. Orang dah kemaruk nak kahwin katakan!
“Kakak,
kakak…di manakah dirimu sayang. Walaupun kakak telah melukai hati ibu, tetapi
ibu berharap sangat kakak akan telefon ibu. Tanya khabar kami dan ceritakan di
mana kakak berada. Ibu nak sangat jumpa kakak. Ibu rindukan kakak. Ibu janji
akan luangkan lebih masa untuk kakak dan keluarga kita.”
“Maryam,
termenung aje? Siapa telefon?” soal Halim yang tiba-tiba saja melabuhkan
punggung di sisi Raudah Maryam, di sofa itu.
“Eh,
abang! Tak ada apalah. Mana saya ada termenung.” Raudah Maryam cuba berlagak
biasa.
“Ya
lah tu. Eh, siapa telefon tadi?!”
“Ermmm…Sarah.
Sarah, kawan sekolah kakak.”
“Sarah?
Sarah yang duduk kat London tu kah?” tebak Halim dengan wajah serius. Raudah
Maryam mengangguk.
“Apa
halnya dia telefon?”
“Saja
telefon, tanya khabar kakak dan kita sekeluarga.”
“Habis
tu, awak cakap apa?”
“Cakap
je lah apa yang berlaku. Cerita je lah apa yang patut saya cerita.”
“Huhhh!
Buat malu keluarga saja. Yang awak duk sibuk canang kisah keluarga kita kat
orang lain, kenapa?” Nada suara Halim meninggi. Marah nampaknya dia dengan
jawapan Raudah Maryam.
“La…cakap
apanya?”
“Awak beritahu
Sarah kah kakak kahwin lari ke Siam?” Halim bertanya dengan wajah merah padam.
“Abang…abang tahu
tak? Sehari sebelum kakak menikah, dia menumpang tidur kat rumah Sarah di
Seremban nun hah!” Cerita Raudah Maryam membuatkan Halim terkejut.
“Oooo, jadi Sarah
pun berpakat lah ni?” marah Halim.
“Kata Sarah, dia
dah cuba callrumah kita, nak maklum
yang kakak stay rumah dia. Tapi
mungkin masa tu, kita dah keluar cari kakak. Telefon rumah tak berangkat. Kata
Sarah, dia memang ada pujuk kakak supaya fikir semula keputusannya. Tapi kakak
nekad sangat…”
Halim
berlagak tenang mendengar cerita Raudah Maryam sekalipun dadanya tiba-tiba
menjadi perit. Entah kenapa, bercakap tentang Marissa Norhanis, emosinya
tiba-tiba merusuh. Dari ruang tamu,
Halim bergerak ke dapur. Dia mencapai sebutir gelas lantas menuang air masak.
Di meja makan, dia membasahkan tekak. Perasaan galaunya sedikit terkawal.
Sikap
Halim sedikit sebanyak membuatkan Raudah Maryam tersentap. Dia menapak langkah
lesu, merapati tubuh suaminya di meja makan.
“Abang…kita
cari kakak, nak?” usul Raudah Maryam lembut.
“Awak
ni kenapa Maryam? Dah rindukan sangat anak tak guna tu?” Ayat-ayat Raudah
Maryam membuatkan amarah Halim bertandang lagi.
“Walaupun
kakak anak tak guna pada pandangan mata abang, dia tetap anak saya dunia
akhirat. Saya yang mengandungkan dia, menyusu dan membesarkan dia sampai umur
dia dah 18 tahun. Kalau pun dia jadi anak tak guna, kita yang mendidiknya,
mengasuhnya. Anak itu kitalah yang mencorakkannya. Apa yang jadi pada keluarga
kita, sebenarnya kita yang kena bertanggung jawab bang.” Suara Raudah Maryam
kedengaran sebak.
“Tak
payah cari-cari dia. Dia pun takkan balik rumah ni dah. Dia dah bahagia dengan
lelaki pujaan dia tu. Tapi abang nak tengok, sejauh mana bahagianya dia dengan
Zafran. Dia ingat hidup ini mudah, huhhhh!”
“Kalau
abang tak nak cari dia, biar saya saja cari dia. Ajak dia balik sini…”
“Terpulanglah
nak cari dia ke tak. Tapi jangan harap abang izinkan dia balik rumah ni. Tak
akan! Aku tak pernah ada anak macam dia!” bentak Halim.
“Abang!! Tolonglah jangan
terlalu turutkan rasa marah tu!” Raudah Maryam cuba memujuk. Tangan Halim cuba
digenggamnya kejap. Namun Halim menepis tindakan Raudah Maryam. Suaminya itu
mendengus kasar sebelum berlalu masuk ke dalam bilik. Raudah Maryam
terpinga-pinga dan berasa begitu hampa sekali.
Hakim yang sejak
tadi membaca novel bertajuk Bagaikan Puteri, tulisan Ramlee Awang Mursyid di
beranda rumah, menelinga perbualan ibu dan ayahnya. Pun begitu, dia langsung
tidak menyampuk. Namun, dia mengerti akan makna sekeping hati seorang ibu yang
rindukan kepulangan anaknya. Sebagai kembar kakaknya, Hakim juga merindui
saat-saat indah bersama Marissa Norhanis.
Buat masa
sekarang, Halim saja yang masih berkeras hati. Ayahnya itu mulai ketara
membenci dan mendendami anak sendiri. Pantang sesiapa saja penghuni rumah itu
berbicara tentang Marissa Norhanis, pasti ayahnya akan melenting hebat.
Yalah, kalau
maruah sendiri sudah tercemar, takkan semudah itu Halim menerima takdirnya?
Selama ini, dia seorang majistret yang hebat dan disegani ramai. Hanya kerana
sikap anak sendiri, reputasinya jatuh merudum.
“Kim,
nanti temankan ibu cari kakak ya.” Suara Raudah Maryam bergema di corong
telinga.
Betapa lama Hakim
larut dalam fikiran sendiri, barulah dia perasaan yang tubuh Raudah Maryam
tercegat di sebelahnya. Hakim memanggungkan kepala, mencari sebening wajah
ibunya.
“Temankan ibu ya.
Kita cari kakak di Pontian.” Suara Raudah Maryam penuh mengharap. Tangan ibunya
itu mendarat di bahunya. Hakim hanya mampu mengangguk bersetuju.