BAB 14
MARISSA NORHANIS menekan punat-punat di badan telefon rumahnya. Dia
menanti dengan sabar panggilannya berangkat. Sekali lagi dia mendail. Tidak
juga berangkat. Berkali-kali dia membuat panggilan, akhirnya dia tersandar bosan
di sofa.
“Takkan
dah keluar kut? Pagi-pagi macam ni? Pergi bercutikah?” tebak Marissa Norhanis
sendiri. Sambil menatap jam tangan, dia mencongak-congak waktu di London ketika
ini. Sekarang sudah pukul lima petang, bermakna di sana sekitar jam 9 pagi.
Adakah aku yang
terawal menelefon kala penghuni rumah Sarah masih lena diulit mimpi? Marissa
Norhanis mengeluh.
Dia
terkenang-kenangkan Sarah. Kesunyian menantikan kehadiran Zafran pulang ke
rumah petang itu membuatkan dia berasa perlukan seseorang untuk diajak berbual.
Sangkanya, Zafran akan pulang awal hari ini. Tetapi panggilan yang diterima
suaminya sebentar tadi membuatkan
Marissa Norhanis mengeluh panjang. Sehari dua ini, Zafran asyik sibuk dan
pulang lewat malam. Alasannya, masih sama. Bisnesnya bermasalah. Masih belum
selesai.
Di rumah itu,
Marissa Norhanis berasa bosan. Sejak pagi, dia terperap di dalam bilik.
Habis membaca novel, dia membaca
majalah. Habis membaca majalah, dia menonton tv. Bosan menonton tv, dia
melayari internet. Apabila kebosanan dah mencecah ke langit, dia membuat sketchdan cerita komik. Sebenarnya, dah
banyak cerita disiapkan.
Penat melukis, dia
masuk dapur pula. Memasak. Usai memasak, dia menonton lagi sementara menunggu
kepulangan Zafran. Begitulah rutin
hariannya. Hujung minggu pun cuma beberapa kali saja mereka keluar
berjalan-jalan. Selama mereka bergelar suami isteri dan tinggal di Johor Bharu,
Zafran cuma pernah mengajaknya ke Desaru, Air Terjun Kota Tinggi dan ke
Singapura.
Marissa Norhanis
menarik nafas bosan. Entah mengapa, sehari dua ini, dia berasa jiwanya sunyi.
Kesibukan Zafran ternyata membataskan hubungan mereka.
“Abang tak izinkan
sayang keluar seorang diri. JB ni bukan ramai pun orang baik. Yang ramainya
orang jahat. Kalau jadi apa-apa kat sayang, siapa susah. Abang juga, kan? Kalau
sayang nak berjalan, tunggu saja abang free.
Kita berjalanlah ke mana saja sayang nak pergi. Kalau nak gi panjat Gunung Ledang kat Muar, jumpa
nenek kebayan pun abang sanggup temankan. Okey?” Zafran berlawak. Marissa Norhanis
sekadar mengetap bibir geram. Ketika itu, Marissa Norhanis meminta izin keluar
seorang diri kerana tahap kebosanannya sudah tidak dapat dihuraikan dengan
kata-kata.
“Macam ikan sekor-sekor dalam akuarium pulak. Dahlah tak ada kawan, tak boleh
lepas bebas pulak tu. Aisyyy…kalaulah
abang tinggalkan kereta, sekarang juga aku akan memandu keluar! Izin tak izin,
kemudian cerita. Nasiblah, stesen teksi bas jauh nak keluar berjalan dari
kawasan ni. Kalau tidak, boleh juga window
shopping.” Marissa Norhanis bermonolog separuh membebel.
Perasaan sunyinya
kian terasa. Hendak rasanya dia bersiar-siar di sekitar bandar Johor Bahru.
Pernah sekali saja Zafran mengajaknya ke Shopping Kompleks Plaza Pelangi. Di
situ, Marissa Norhanis menghabiskan duitnya. Dia membeli pelbagai jenis
pakaian, kasut dan beg. Sudah menjadi tabiat Marissa Norhanis yang suka
berbelanja.
Zafran pula
menghadiahinya sebuah radio bersempena hari lahir Marissa Norhanis yang ke 18.
“Tabiat DJ radio
yang tak reti berhenti bercakap, melainkan saat iklan, saat lagu diputarkan dan
saat waktu azan dilaungkan. Lain-lain waktu, bercakaplah banyak mana pun nak
bercakap. Kalau sayang rasa bosan sangat kat rumah tak ada teman bercakap,
sayang bercakap aje dengan DJ radio,” usik Zafran. Usikannya itu berbalas cubitan
Marissa Norhanis di pinggangnya.
Di Hat Yai hari tu
pun, Marissa Norhanis telah membelanjakan sebanyak 2000 bath. Membeli pakaian
dan pelbagai jenis aksesori. Kebiasaannya, pada hujung bulan, setiap kali dapat
gaji, Raudah Maryam akan mengajaknya ke Sogo mahupun Jusco. Biasalah perempuan,
berhabis duit membeli kasut dan beg tangan. Juga segala keperluan kecantikan.
Kalau tak membeli barang pun, ke shopping kompleks sekadar mencuci mata melihat
pakaian, kasut dan beg tangan adalah satu terapi bagi kaum Hawa.
Marissa Norhanis
mencongak-congak sendiri. Duit dalam akaun bsn nya masih banyak. Lebih RM 5
ribu duit Malaysia. Duit yang dimasukkan Halim ke akaunnya saban bulan. Sejak
dia masih kecil lagi. Duit itulah juga
digunakan Marissa Norhanis untuk berbelanja sepanjang dia berada di asrama.
Ketika berada di
asrama dulu, Sarah selalu menemaninya keluar berbelanja. Gadis itu jauh lebih
mewah hidupnya. Namun ada waktu-waktunya, Sarah menjadi seorang yang sangat
berkira dan teliti dalam pengurusan kewangan. Ada waktu-waktunya, Sarah
langsung tidak berkira lebih-lebih lagi bab makan. Gadis itu berhati budiman, selalu
belanja kawan-kawannya makan.
Marissa Norhanis
teringat lagi. Beberapa bulan sebelum SPM bermula, hubungan dia dan Sarah serta
kawan-kawan seasrama dengannya menjadi kurang baik. Semuanya kerana kebanyakan
mereka meminggirkannya. Kesilapan yang dibuat Marissa Norhanis kerana jatuh
cinta dan bercinta di bangku sekolah. Kononnya, dia dipulaukan kerana melanggar
prinsip seorang pelajar sekolah.
“Sarah, Sarah…rindu
sangat sama kamu. Kalaulah kau ada sekarang ni, bolehlah kita keluar
berjalan-jalan, “ bisik hati Marissa Norhanis senang.
Sesekali, dia
membelek-belek buku telefon yang mencatatkan nombor telefon Sarah. Nombor
telefon itu baru saja diperolehinya semasa menyemak private mesej di akaun facebook
nya. Sarah menitipkan nombor telefonnya di situ.
Terbayang-bayang
wajah sahabat baiknya itu sejak dua tahun yang lalu. Dia mengenali Sarah,
ketika mereka sama-sama mendaftar masuk ke sekolah berasrama penuh. Sarah
benar-benar seorang sahabat yang baik dan prihatin. Malah sangat berhemah
menegurnya. Sikap Sarah tidak seperti Emelia dan beberapa orang yang lain yang
selalu memerli sinis dirinya. Mereka terlalu berterus terang tidak sukakan
Marissa Norhanis yang sesuka hati keluar berdating
sewaktu belajar.
‘Arghhh, pedulikan
mereka! Yang penting, buat masa ni, aku sangat bahagia dengan suamiku. Aku
yakin keputusan ini tepat.’
Marissa Norhanis
teringat akan satu ketika itu.
“Aku yakin
keputusan ini tepat,Sarah!” tegas Marissa Norhanis.
“Kalau dah
demikian tekadmu, aku tidak mampu berkata apa-apa lagi Marissa. Aku cuma mampu
berdoa agar urusan pernikahan kalian berjalan sempurna. Aku juga berdoa agar
keluarga akan menerima baik keputusan kau ini. Sampai Siam nanti, telefonlah
ibu ayah. Ceritakan pada mereka yang kau dan Zafran akan bernikah. Jangan
biarkan kau buat dia orang berteka-teki ke mana kau pergi,” nasihat Sarah.
Kepala Marissa
Norhanis terangguk-angguk.
“Jaga diri
baik-baik Marissa. I will miss you.”
Mereka berdakapan erat, di hari terakhir pertemuan mereka di KLIA. Ketika itu,
Sarah akan berangkat ke London manakala Marissa Norhanis dan Zafran akan ke
Thailand.
“Assalamualaikum.”
Suara orang memberi salam kedengaran berulang-ulang, menerobos masuk ke cuping
telinga Marissa Norhanis. Raut wajah Sarah tiba-tiba terpadam dari kotak
fikiran. Dia menjawab salam tenang sambil cepat-cepat memakai tudung.
“Ya?” tanya
Marissa Norhanis sebaik saja terpandangkan seorang pemuda di depan pintu pagar
rumahnya. Di kiri kanan tangan pemuda itu mencibit beg plastik.
“Puan Marissa, ada
hantaran. Pesanan daripada Encik Zafran.” Pemuda itu memberitahu.
“Ooo…” Marissa
Norhanis bereaksi faham lalu mencapai kunci pintu pagar. Dia berjalan mendekati
tubuh pemuda itu.
“Tak apa, puan. Tak usah buka pintu pagar. Saya hantar di
sini saja.”
“Baiklah,” jawab
Marissa Norhanis ringkas. Melalui celahan pagar, barang bertukar tangan.
“Encik Zafran
pesan lagi…dia pulang lambat sikit malam ni. Dia tak bagi puan keluar ke
mana-mana. Tunggu saja dia balik.” Pemuda itu nampak lurus bersuara.
Marissa Norhanis
mengangguk lagi. Hatinya berbisik hairan, ‘Tadi dah telefon pesan balik lambat,
tak diizinkan keluar. Sekarang, pesan lagi. Apa hal abang ni?’
Sesekali, Marissa
Norhanis berasa hairan dengan sikap Zafran.
“Bukan apalah
sayang. Abang risaukan sayang tu. Bukan sebab lain abang tak bagi keluar. Sebab
takut dengan orang jahat.”
“Abang ni terlalu
takutlah. Mind set abang tu kena
ubah. Nak takut apa, I bukan buat jahat pun. Orang yang sentiasa takut tu
sebenarnya dia takut dengan bayang-bayang sendiri. Nak-nak abang ada buat jahat
kut,” jawab Marissa Norhanis mempertahankan pendirian.
“Terpulanglah
sayang nak fikir apa. Tapi satu hari nanti, sayang akan faham apa yang abang
maksudkan.”
“Puan, kalau tak
ada apa-apa, saya balik dulu.” Pemuda yang berada di luar pagar itu meminta
izin. Dia sudah pun berada di atas motosikal dan menghidupkan enjin.
Marissa Norhanis
cepat-cepat mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Tidak lama kemudian,
pemuda itu pun memecut motosikalnya.
Marissa Norhanis
berjalan tenang, menuju masuk ke dalam rumah. Suasana petang itu agak sunyi.
Rumahnya berada agak hujung dari kawasan laluan utama di Taman Pelangi itu.
Pintu rumah jiran di kiri kanan rumahnya, berkunci rapat. Di kawasan itu juga,
tiada suara riuh rendah budak-budak.
Ketika mahu
menapak masuk ke dalam rumah, sebuah kereta berhenti betul-betul di depan pagar
rumahnya. Marissa Norhanis berkerut-kerut dahi, cuba mengecam kereta yang
pernah dilihatnya sebelum ini. Tetapi apabila akalnya mentafsirkan kereta itu
milik Carmen, Marissa Norhanis cepat-cepat mengunci pintu gelongsor. Sempat jua
dia mendengar Carmen menjerit-jerit memanggil namanya. Marissa Norhanis
pura-pura tidak mendengar meskipun di luar rumah, suara Carmen tidak
berhenti-henti melaung namanya.
“ITULAH, abang dah cakap tak nak dengar. Kan dia dah datang, cari
sayang.”
“Adoiii…abang
tahu tak? Kat setengah jam juga dia duk panggil nama I. Sabar benar dia
menunggu lama dalam kereta. Hujan-hujan lagi. Kesian pulak I tengok dia. Abang
balik ni, baru sejam lebih kereta dia pergi.” Marissa Norhanis menjelaskan.
Zafran hanya menggeleng-geleng.
“
Dia tak dapat abang, dia nakkan sayang…”
“Ermmmm…”
“Abang semakin risau,” sambung Zafran lagi,
mengeluh berat.
“Macam mana ni
bang?” tanya Marissa Norhanis risau.
“ Macam mana apa?”
“Abang, betulkah
Carmen macam tu? Naluri I tak rasa begitu. Akal pun rasa sangsi. Dia nampak
macam orang baik-baik saja.”
“Amboi, bukan main
lagi! Belum apa-apa lagi, sayang dah memuji-muji Carmen. Ni buat abang cemburu giler ni!”
“Ek eleh, cemburu
ke bendanya bang?”
“Kan abang dah
cakap, Carmen tu… dia pandai ambik
hati orang. Pandai berbicara. Abang tak mahu sayang terpesona dengan kebaikan
palsu dia. Hati manusia kita tak boleh scan,
tengok mana yang baik mana yang jahat.”
“Ehem ehem…ya lah
abang. So sekarang ni, kalau
esok-esok dia datang lagi?”
“Ermmm…” Tiba-tiba
Zafran mengeluh berat. Zafran menyandar tubuhnya lesu di sofa itu. Badan dan
kepala otaknya letih benar hari ini.
Sekarang dia berdepan
dengan masalah yang berat. Balik rumah,
Marissa Norhanis pula sibuk bercerita perihal Carmen. Kalau ikutkan, Zafran sebenarnya langsung
tidak berasa tergugat dengan kehadiran Carmen. Apalah sangat masalah Carmen
kalau nak dibandingkan dengan masalah yang sedang dihadapinya.
Sumber kewangannya
kritikal. Dia bakal berdepan dengan masalah. Semuanya gara-gara Syaja’ah dan Tengku
Fida. Mereka berdua telah menarik semua keistimewaan yang pernah menjadi
miliknya. Selama ini, hidupnya mewah kerana mereka. Tapi hari ini…Arghhhhh!
“Tapi macam mana
pulak ya Carmen tahu yang kita tinggal kat sini?” soal Marissa Norhanis.
Benaknya masih tidak lepas berfikir tentang Carmen.
Carmen! Carmen!
Carmen!
“Aisyyy!! Dulu dia
tu selalu sangat duk ke hulu ke hilir
kejar abang. Mestilah dia tahu rumah abang ni. Orang macam Carmen tu, kalau dia
kata nak, memang dia akan usaha dapat jugak.
Lagi dia tak puaskan nafsu sendiri, lagi tu lah. Sayang kena hati-hati dengan
perempuan tu tau. Dia tu dah tak berapa nak waras dah. Gila!”
“Tapi betul ke ni
bang?” tanya Marissa Norhanis curiga.
“Dah , jangan duk
bercakap pasal dia lagi. Abang rasa loya tekak pulak. Ada baiknya kita bercakap
pasal kita. Cakap pasal perempuan tu seposen
pun tak untung.” Intonasi suara Zafran agak meninggi.
“Ermmmm…okey,”
balas Marissa Norhanis ringkas.
“Sayang, dengar
abang nak cerita ni baik-baik.” Wajah Zafran serius. Marissa Norhanis hanya
memerhati raut wajah suaminya tanpa menyampuk. Wajah Zafran yang punya iras pelakon kacak Yusof
Haslam semasa muda, ditenungnya lama-lama.
“Sehari dua ni,
bisnes abang sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Dah lingkup.” Zafran bernada
tenang.
“What? Betulkah ni abang?” tanya Marissa
Norhanis terkejut. Air mukanya berubah sama sekali.
“Abang tidak punya
sebab untuk berbohong.” Zafran mengeluh berat. Marissa Norhanis juga turut
mengeluh panjang.
“Tapi…macam mana
boleh jadi macam tu pulak?” soal
Marissa Norhanis.
“Dalam hidup ini,
kita jangan terlalu berharapkan kejujuran orang lain terhadap kita. Ada
waktu-waktunya, kita tidak tidak sedar yang kawan baik sendiri pun boleh
menikam belakang kita. Semua orang nak ambik kesempatan. Semua orang nak hidup
senang lenang. Tak mahu hidup susah. Tetapi apabila kebaikan dibalas dengan
keburukan, abang berasa sangat kecewa.”
“Apa maksud abang.
I tak mengerti…” Marissa Norhanis berasa mahu menangis melihat wajah sedih
Zafran. Tidak pernah sekalipun, selama ini dia mengenali Zafran, wajah suaminya
itu nampak sedih dan kecewa yang teramat sangat.
“Frankly speak! Berterus terang saja, bang.
What up?” desak Marissa Norhanis.
Zafran terdiam dalam larutnya yang panjang. Berkali-kali Marissa Norhanis
mendesaknya. Akhirnya, Zafran pun berterus terang.
“Sebenarnya, rakan
kongsi abang dah larikan duit. Dia gelapkan duit bisnes kami.” Di akhir ayat,
Zafran merengus kasar. Marissa Norhanis tergamam.
“Kawan yang mana?”
soal Marissa Norhanis lurus meskipun selama dia menjadi isteri Zafran, tidak
seorang pun dia mengenali mana-mana kawan Zafran. Lokasi bisnes suaminya pun
tidak diketahui di mana.
“Kereta Honda
abang pun dilarikannya…” sambung Zafran lagi.
“Astargfirullah
hal azim…” Marissa Norhanis beristigfar panjang sebelum memeluk tubuh suaminya
yang tunduk menekur lantai. Ekpressi wajah Zafran menggariskan betapa luka di
hati begitu dalam.
“Sayang…kita bakal
berdepan dengan kesulitan selepas ni,” luah Zafran. Marissa Norhanis terkedu.
“Sayang, adakah
sayang bersedia untuk mengharungi kesulitan ini bersama abang?” soal Zafran
sebak. Marissa Norhanis menelan liur kering di tekak. Pertanyaan Zafran itu membuatkan
perasaannya tersentuh pilu.
“Abang sudah tidak
punya apa-apa lagi. Setelah apa yang berlaku, kita tidak boleh tinggal di sini
lagi. Abang terpaksa sewa tempat lain yang mungkin…rumahnya jauh lebih kecik, dan buat sayang rasa tak selesa.
Terpulanglah pada sayang, mahu terus bersama abang atau pulang saja ke pangkuan
keluarga sayang.” Suara Zafran perlahan dan tersekat-sekat.
Mendengar
ayat-ayat Zafran, tanpa sedar Marissa Norhanis menangis.
“Di mana lagi
tempat seorang isteri kalau bukan di sisi suaminya, abang? Cintailah isterimu
ini pada masa susah dan senang abang. I pun bukan mencintai abang saat hidup
abang senang lenang saja. Mungkin perubahan yang kita alami nanti menjadikan
hubungan suami isteri kita lebih erat. In sha ALLAH, yakin dan percayalah, I
sudah berjanji pada diri untuk melalui setiap kesenangan dan kepayahan
bersama,” pujuk Marissa Norhanis membuatkan wajah sedih Zafran sedikit ceria.