Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
90,334
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

BAB 6


TAMAN PELANGI, JB


“INILAHrumah kita. Masuklah,” ajak Zafran. Marissa Norhanis melangkah masuk ke dalam rumah barunya, di Bandaraya Johor Bharu.

Rumah itu mempunyai empat buah bilik tidur dan tiga buah bilik air. Rumah itu turut dilengkapi perabot dan peralatan elektrik seperti periuk nasi, mesin basuh, peti ais, cerek dan televisyen.

“Maaflah Marissa, rumah orang tak ada isteri macam ni lah. Mungkin ada yang kurang, tak macam rumah sayang sebelum ini,” ujar Zafran merendah diri.

“Eh, semuanya nampak sempurna bang. I’am okey. Syukur Alhamdulillah. Yang penting kita bahagia.” Marissa Norhanis menapak masuk ke rumah baru bersama suami. Dia menjengah ke setiap bilik rumah itu.

“Inilah kamar tidur kita,” beritahu Zafran.

Marissa Norhanis mengamati sekitar bilik tidur yang berlatar belakangkan warna biru pastel. Cadar dan bantal di katil bersaiz ‘King’ juga berlatar belakangkan rona yang sama.

Ternyata Zafran begitu mengambil berat citarasa Marissa Norhanis yang menggemari warna itu. Sebuah bilik yang dilengkapi dengan almari pakaian, almari solek, meja tulis dan sebuah meja kopi. Ruang bilik itu harum semerbak, bagai baru disembur minyak wangi. Di atas meja kopi, sejambak mawar merah yang masih kelihatan segar.

“For you!” kata Zafran sambil menghulurkan sejambak bunga mawar tadi.

Wow! Thank you, abang. I love it!” ujar Marissa Norhanis terharu.

I love you, sayang.” Zafran membalas seraya mendakap bahu isterinya. Marissa Norhanis tersenyum senang.

“Wanginya bilik abang ni! I love this perfume,” puji Marissa Norhanis.

“Eh, bilik kitalah sayang! Bukan bilik abang sorang,” kata Zafran.

“Ha ah kan. Abang… tapi I hairan lah. Takkan selama seminggu kita berada di luar negara, rumah dan bilik ini terjaga baik. Malah mewangi harum,” kata Marissa Norhanis dengan senyum meleret. Dia sengaja berkata sedemikian mahu mendengar jawapan Zafran. Zafran sekadar senyum sengih mendengar kata-kata isterinya.

“Ermmm…sebenarnya abang mintak orang kemaskan demi menyambut kedatangan tuan puteri,” akui Zafran.

“Ermmm…dah agak dah,” kata Marissa Norhanis sebelum meletakkan jambakan bunga mawar di atas almari solek. Dia kemudiannya melangkah ke kamar mandi.

“Ermmm…ada bath tab lagi. I like it!”Di tepi tab mandi itu, tersusun pelbagi jenis lilin aromaterapi.
“I like it too!” Pantas Zafran menjawab seraya memeluk manja tubuh Marissa Norhanis. Marissa Norhanis tergelak kecil melihat reaksi Zafran yang langsung tidak mahu berenggang dengannya.

“Oh, ya… abang hidupkan water heater dulu. Lepas ni, bolehlah kita berendam bersama-sama,” usik Zafran menyebabkan wajah Marissa Norhanis memerah.

Selesai menjengah bilik tidur, mereka menjengah ke bilik-bilk lain, ke bahagian dapur dan ruang belakang tempat menyidai pakaian.

“Macam mana sayang, okey ke?” tanya Zafran.

Everything okey, abang. Kemas dan selesa sayang tengok rumah ni,” komen Marissa Norhanis gembira seraya melabuhkan punggung di sofa. Zafran tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Kemudian, dia mencapai alat kawalan jauh lalu menghidupkan televisyen dan penghawa dingin.

“Bagi abang sedikit masa untuk kukuhkan ekonomi dulu. Kalau ada terkurang di pihak abang, abang awal-awal lagi mintak maaf. Abang risau sangat, kut-kut abang tak mampu nak bahagiakan sayang dengan keperluan material. Bisnes abang pun baru nak berkembang. Mungkin masih ada peralatan dalam rumah ni yang kurang.” Zafran memegang erat tangan Marissa Norhanis lantas dikucupnya perlahan.

“In sha ALLAH, semoga bisnes abang berkembang baik. Percayalah, kasih dan cinta abang terhadap I secara jujur ikhlas, tidak akan mampu menandingi segala harta benda di dunia ini. Mutiara dan intan berlian sekalipun. I cintakan you, abang. Sepenuh hati. I rela melakukan semuanya kerana mahu membuktikan cinta dan sayang I terhadap abang.” Marissa Norhanis berbutir lembut.

“In sha ALLAH…abang akan cuba lakukan yang termampu. Oh, ya…abang ada sesuatu untuk sayang. Tunggu sekejap ya,” kata Zafran seraya bangun, menapak ke bilik tidur mereka semula. Tidak lama kemudian, Zafran datang dengan membawa sebuah kotak hadiah kecil bersaiz tapak tangan.

“Eh, apa tu bang?” soal Marissa Norhanis yang sudah pun berbaring di sofa panjang. Tudung di kepala sudah pun ditanggalkan.

“Ermmm…ada sesuatu yang ingin hamba hadiahkan buat Puteri Kayangan pujaan hati,” jawab Zafran berlawak. Zafran menghulurkan kotak hadiah seraya mengucup dahi isterinya. Marissa Norhanis bangkit dan tersenyum tenang. Bahagia sekali menerima layanan baik suaminya. Indahnya nikmat berumahtangga.

Kini, tiada lagi rasa bersalah dan berdosa, kerana syaitan iblis serta anak pinaknya sudah kalah untuk mengajak mereka melakukan dosa. Malah, saat mereka diijabkabulkan, seluruh kaum kerabat musuh Adam As semenjak di syurga itu berteriak kesedihan. Pasangan yang sah berkahwin itu, terlepas daripada melakukan maksiat.

Zafran duduk kembali di sisi Marissa Norhanis. Pinggang isterinya dirangkul erat.

“I buka hadiah ni, ya bang?”pinta Marissa Norhanis lunak manja.

“Bukalah. Special for you,” jawab Zafran dengan senyum sengih.

Matanya ralit merenungi sepasang mata bundar Marissa Norhanis. Alis mata isterinya panjang dan lentik. Bulu matanya lebat dan hitam. Anak matanya berwarna hitam arang. Hidung mancung bak seludang. Pipi licin bak telur dikupas. Dagu bertakuk dua. Berkulit putih gebu, dihiasi seulas bibir merah bak delima merkah.

Segalanya tentang Marissa Norhanis begitu sempurna di mata Zafran. Kalau tidak kerana kecantikan yang dimiliki Marissa Norhanis, tentu sekali Zafran tidak gila bayang. Tentu sekali Zafran tidak memujuk rayu sehingga Marissa Norhanis terpesona dan bersetuju menjadi isterinya.

Tidak perlu bercerita banyak tentang kecantikan Marissa Norhanis yang banyak mewarisi kecantikan ibunya. Susuk tubuhnya yang langsing menawan, pasti mempersona lirik mata lelaki yang memandang. Rambutnya melepasi bahu, lurus beralun dan lebat. Berwarna hitam keperang-perangan. Secara semulajadinya rambut Marissa Norhanis begitu. Sungguh, kecantikan Marissa Norhanis jauh lebih cantik daripada yang Zafran bayangkan sewaktu isterinya itu berhijab.

Oh, bertuahnya Zafran dapat menakluki cinta Marissa Norhanis!

“Abang…” Lunak manja suara Marissa Norhanis memanggil Zafran. Teruja dirinya sebaik saja kotak hadiah dibuka. Jari jemari Zafran digenggam erat.

“Suka tak?” soal Zafran mesra. Hatinya riang melihat wajah Marissa Norhanis ceria.

“Abang…kan dah cakap, sayang tak mintak apa-apa pun daripada abang sebagai hantaran kahwin. Cukuplah senaskah Al- Quran dan sepasang telekung. Malah, abang dah berhabis banyak untuk membeli cincin sebelum ni.”

“Ini pemberian abang, ikhlas untuk isteri abang. Abang harap, sayang suka ya?” soal Zafran apabila dilihatnya Marissa Norhanis ralit membelek-belek rantai leher di telapak tangannya.

“Terima kasih, abang. Tentulah suka. Suka sangat-sangat,” ucap Marissa Norhanis. Pipi Zafran diciumnya tanda berterima kasih.

Meh… abang pakaikan.” Zafran meraba rantai leher di telapak tangan isterinya.

Marissa Norhanis menyibak rambutnya ke belakang sementara Zafran memakaikannya rantai leher.

“Ermmmm, cantik sekali isteri abang. Makin manis,” puji Zafran. Marissa Norhanis tersenyum meleret mendengar pujian sang suami.

“I pergi tengok cermin sekejap, ya?” pinta Marissa Norhanis. Zafran mengangguk senang.

Marissa Norhanis merenung rantai emas pemberian Zafran yang melilit lehernya. Di lehernya yang jinjang itu, sudah sedia tersarung seutas rantai emas pemberian ibunda, Raudah Maryam. Melihatkan rantai emas pemberian Zafran yang melilit bersama rantai emas miliknya sejak berbelas tahun yang lalu, Marissa Norhanis terkedu. Perasaan hiba tiba-tiba datang menyerang. Wajah sedih dan kecewa Raudah Maryam terpampang besar di layar skrin benaknya. Di sisi Raudah Maryam, seraut wajah Halim yang sedang bertangisan.

Episod sedih siang tadi berputar ligat di roda ingatan. Caci cerca Halim terngiang-ngiang di telinga. Sungguh, hatinya terluka kerana sikap sendiri. Ternyata, dia telah melukai hati-hati mereka yang pernah bersamanya selama ini.

Maafkan kakak ibu, ayah. Maafkanlah anakmu ini dan restuilah pernikahan kami. Kakak tahu dan faham, untuk mendapat redha ALLAH, harus mendapat redha ibu dan ayah terdahulu. In shaa ALLAH, semoga satu hari nanti, kalian mengerti mengapa kakak tega membuat keputusan sebegini.

“Ehem…okey ke sayang?” Zafran datang memeluknya dari belakang. Pipi Marissa Norhanis diciumnya mesra.

Marissa Norhanis tersentak. Dia cepat-cepat mengukir senyuman, cuba membuang segala lara yang bergayutan lebat di tangkai hati. Seboleh-bolehnya, Marissa Norhanis tidak mahu kesedihannya disedari Zafran lantas merosakkan mood hari bahagia mereka. Cukuplah kisah sedih siang tadi berlalu pergi. Malam ini, dia mahu menghabiskan saat-saat indah bersama suami tercinta.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.