BAB 11
HAKIM berasa sungguh
hairan. Kenapa Marissa Norhanis langsung tidak membalas mesej di email
yahoonya? Kenapa dan Kenapa? Sudah lebih lima email dikirimkannya sejak hari
pertama kembarnya itu keluar dari rumah mereka. Adakah kakak sengaja
mengabaikan emailnya? Akaun facebook
dan akaun tagged Marissa Norhanis
juga tidak dikemas kini. Jadi harus bagaimana untuk Hakim menjejaki di
koordinat mana Marissa Norhanis berada saat ini?
Atau kakaknya itu tinggal di kawasan
yang tak ada line internet? Haprak
betullah kakak ni? Duk kat kawasan jin bertendang ke? Duk kat kawasan kampung mana ni? Adoiii!
“Sakitnya jiwa aku kenangkan kakak
ni. Perangai memang mengalahkan budak kecik yang merajuk. Dah kahwin, buatlah
cara dah kahwin. Matanglah sikit. Eiiii…” Hakim membebel dalam monolognya.
Tangannya laju menekan punat-punat di keyboard
laptop.
Hakim rindu nak baca status Marissa
Norhanis di facebook. Dia rindu nak tengok gambar-gambar mahupun video yang
dibuat Marissa Norhanis di tagged.
Rindu, rindu yang teramat sangat.
Sejak akaun facebook yang
diperkenalkan oleh Mark Zuckerberg pada Oktober 2003 dengan pengenalan awal facemash dan semakin meluas
penggunaannya sekitar tahun 2004 di Universiti Harvard, mereka turut
menggunakan perisian teknologi tersebut. Di Malaysia, facebook mula terkenal sekitar 2006-2007. Pada mulanya, mereka sangat
teruja menggunakan my friendsterdan my space, tetapi kini tidak lagi. Hanya tagged dan facebook diguna mereka. Seisi rumah turut mempunyai akaun facebook.
Meskipun Marissa Norhanis tinggal di asrama, dia masih menggunakan
perisian itu di makmal komputer di sekolahnya sekiranya berkelapangan. Marissa
Norhanis memang jenis suka berkongsi apa saja aktiviti hariannya di sekolah.
Aktiviti di dalam dan di luar asrama. Dia suka mengambil gambar bersama
kawan-kawan dan gurunya. Malah, dia juga mempunyai blog yang sendiri.
Di blog itu, pernah juga Marissa Norhanis berkongsi akan bakatnya
dengan kawan-kawan. Dia mula berjinak-jinak melukis kartun dan membuat komik.
Bakat Marissa menarik perhatian kawan-kawan. Ternyata, blognya punya pengikut
tersendiri. Lebih tiga ratus followers.
Tetapi, seingat Hakim, Marissa Norhanis tidak pernah sekalipun
berkongsi perihal belahan hatinya kepada mereka. Tidak pernah sekalipun,
kembarnya itu bercerita tentang Zafran. Tidak pernah, seingat Hakim. Juga,
Marissa Norhanis tidak pernah berkongsi akan kisah cintanya dengan sesiapa di
facebook, blog mahupun tagged. Bab itu, ternyata, Marissa Norhanis pandai
berahsia.
Kakak… kakak. Sungguh. Kim rindu
untuk meluangkan lebih masa bersama kakak. Menghabiskan waktu melihat Marissa
Norhanis melukis adalah saat yang selalu ditunggu-tunggu Hakim. Marissa
Norhanis telah dianugerahkan ALLAH bakat melukis. Namun, bakat itu hanya
terserlah sekiranya Marissa Norhanis punyai mood untuk berbuat demikian. Sesekali
kembarnya itu melukis, hasilnya memang umphhhh! Sesiapa saja yang melihatnya
pasti ternganga besar.
Hakim merenungi gambar lukisan di
dalam bingkai, di atas kepala katilnya. Gambar itu dilukis Marissa Norhanis
khas buat Hakim yang memakai jersi pasukan Selangor. Gambar Hakim bersama pemain
bola sepak kebanggaannya, iaitu Safiq Rahim. Petang itu, Hakim pulang ke rumah
dan menunjukkan beberapa keping gambar yang diambilnya bersama Safiq Rahim.
Juga gambar-gambarnya bersama pasukan bola sepak Selangor. Kerana keterujaan
dan rasa tidak percaya, Marissa Norhanis melompat kegembiraan.
Dia menghabiskan masa semalaman, melakarkan wajah Hakim bersama
pemain handalan itu. Bukan Hakim saja, malah Marissa Norhanis sangat meminati
pemain yang punya kaki berbisa itu. Gambar dari kamera Hakim itu turut disimpan
di dalam komputer Marissa Norhanis dan dicetak. Marissa Norhanis turut menulis
status dan memuat naik gambar Hakim dan Safiq Rahim di facebook.
My
twin, Hakim and my favorite football player, Safiq Rahim. Both of guys, are very
hemsem. Ermmm…
Status Marissa Norhanis menerima
hampir 200 like, dalam masa setengah
jam ditulis. Tidak cukup di facebook,
Marissa Norhanis memuat naik gambar itu di tagged
pula.
“Alahhh, kenapalah kau saja yang
boleh bergambar dengan dia Kim? Kakak pun nak juga!” kata Marissa Norhanis
bernada cemburu.
Terus-terang dia bercakap begitu di depan Halim dan Raudah Maryam. Mereka
hanya tergelak mendengar kata-kata itu. Seisi keluarga memang meminati bola
sepak. Sebab itulah, apabila Hakim melibatkan diri dalam dunia bola sepak,
seisi keluarga menyokong minat anaknya itu.
Cuma, Halim tidak gemar membawa isteri dan anaknya ke padang bola
untuk menyaksikan perlawanan. Sesak dan panas. Dia lebih suka menonton di rumah
saja. Lebih santai dan tak perlu berasak-asak dengan penonton yang berbagai
karenah. Apatah lagi terpaksa berjalan jauh semata-mata mencari tempat parkir
kereta.
“Itulah ayah. Kakak ajak tengok kat
padang, selalu tak boleh. Paling tidak, boleh bergambar dengan Safiq Rahim.”
“Okeylah kakak. Nanti satu hari ya,”
pujuk Halim lembut.
“Okey, janji!” kata Marissa Norhanis
manja. Dia memeluk lengan Halim erat-erat.
Hakim terkenangkan Marissa Norhanis.
Sungguh, kenangan demi kenangan berlumba-lumba datang ke benaknya membuatkan
perasaan rindunya menyala-nyala. Bahagia sangatkah kakak dengan lelaki pilihan
kakak sehingga melupakan kami semua? Kalau pun ayah dan ibu tidak merestui
perkahwinan kakak, mengapa hubungan kita adik beradik pun kakak abaikan? Kakak
pun nak putuskan hubungan dengan Kim ke? Kim tak halang kakak berkahwin. Cuma
Kim berasa terkilan sebab kakak menyepi langsung tiada khabar berita.
Hakim menarik nafas berat. Dia cuba
membuka akaun facebook nya dan
melewati ke wall Marissa Norhanis.
Sah, tiada sebarang status. Tiada sebarang kemas kini dilakukan Marissa Norhanis
sejak dua bulan yang lalu. Yang kelihatan meriah ialah post-post yang dihantar kawan-kawan kakaknya itu. Kegembiraan dan
keterujaan mereka yang menghabiskan masa selepas peperiksaan SPM.
Ada yang buat kerja part time.
Ada juga yang duduk di rumah, makan minum goyang kaki. Hakim membaca status
kawan-kawan di wall facebook kakaknya
itu. Setelah berlama-lama di situ, Hakim kemudiannya membuka email yang pernah
dihantar kepada Marissa Norhanis sebelum-sebelum ini. Setiap email itu dihantar
pada tarikh berbeza.
Email pertama
Hai, my dear Princess.
How are you? Harap kakak sihat dan
sentiasa dalam lindungan ALLAH selalu hendakNYA. Kakak kat mana? Harap kakak happydengan kehidupan baru bersama
suami yang dicintai. Kim doakan kebahagiaan kakak. Kim juga doakan kebahagiaan
keluarga kita kembali bersatu menjadi sebuah sebuah keluarga sakinah, mawaddah
wa rahmah. Harap kakak balas mesej Kim ya. Dah banyak kali try call tapi tak dapat. Kenapa kakak tak aktifkan telefon? Kakak
tak mahu bercakap dengan Kim dah ke? Kakak tak mahu jumpa Kim lagi ke? Salam
sayang…
Email kedua
Hai,
my dear princess. Assalamualaikum.
Kakak,
please call me. Kebisuan kakak membuatkan alam ni menjadi sepi. Ibu dan ayah
juga langsung tidak ceria. Dia orang nampak sedih aje sejak akak tinggalkan
rumah ni. Walaupun ayah tu marahkan kakak, tapi dia masih tanya khabar kakak
pada ibu. Percayalah. Call me please. Plese call us agar kami tahu keadaanmu.
Email ketiga
Hai, my dear princess.
Assalamualaikum.
Today is our birthday.
Remember? You never forget it, right? But now, I really missing your voice, to
hear your wish. Sungguh, Kim rindu nak dengar suara manja kakak wish birthday
kat Kim. Nak hadiah :)
Email keempat
Hai, my dear princess.
Assalamualaikum. Kakak, Kim tengah sedih sangat ni…Tahukah kakak yang…
Hakim teringat-ingat lagi saat dia menulis email-email itu kepada
kakaknya. Dia mahu Marissa Norhanis tahu, biarpun ayah pernah menghalau Marissa
Norhanis dari rumah itu, namun Hakim bersikap terbuka menerima Zafran sebagai
suami kakaknya. Biarpun Raudah Maryam tidak bersetuju dengan keputusan itu,
namun Marissa Norhanis harus diberi peluang demi memperbetulkan kesilapan.
Ya Rabbul Izzati, lindungilah
kami sekeluarga. Cantumkanlah hati-hati kami untuk terus bersatu memelihara
kebahagiaan ini. Lembutkanlah hati ayah dan ibu untuk menerima kakak.
Bukakanlah hati kakak untuk merendah diri, memohon ampun maaf daripada ibu ayah
sekali lagi. Moga apabila kemarahan dan rasa kecewa itu sudah reda, mereka
sedia menerima kakak kembali. Bantulah kami Ya ALLAH. Bantulah kami mengikat
kembali tali siratulrahim yang terlerai ini. Amin.
Kakak, dengarlah bisikan hati Kim. Runtuhkan egomu kakak dan
kembalilah ke rumah ini. Kim yakin, ayah kan menerima mu kembali. Baliklah.
Kim…rindu nak dengar suara kakak yang serak-serak basah tu. Kim rindu nak berkaroks dengan kakak. Kita nyanyi
lagu duet eh? Lagu Kumpulan May, Cintamu Mekar di Hati . Moga cinta kakak tidak
pernah hilang terhadap kami meskipun kakak dah temui cinta daripada lelaki
bernama Zafran.
Hakim menyandar tubuhnya lesu di kerusi. Sungguh, tiada istilah yang
boleh digambarkan betapa perasaan rindu yang tak terbendung di jiwa membuatkan
dia penasaran. Hari-hari terakhir Marissa Norhanis di rumah itu, dia sering
terdengar-dengar Marissa Norhanis mengalunkan lagu cinta dan rindu. Petanda
orang bercinta yang tidak diketahui Hakim. Mandi sambil menyanyi. Mengemas pun
menyanyi malah masuk dapur pun menyanyi. Pendek kata, lagu Aku Cinta Padamu
nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza tu tidak lekang dari bibir kembarnya itu.
Oh, kakak…