BAB 9
HALIM mengurut dadanya
yang sakit. Episod kisah duka yang sesekali datang, ternyata mengganggu
benaknya sepanjang hari. Perasaannya tidak lepas. Rasa marahnya terhadap
Marissa Norhanis menjadi dendam kesumat. Kerana anak itu, dia menjadi mangsa
umpatan. Sakitnya menahan umpat keji itu
hanya ALLAH saja yang tahu. Ikutkan hatinya mahu saja dilempang pipi tembam
Rosmah. Tetapi Rosmahkah yang bersalah dalam hal ini? Rosmahkah punca masalah
mereka sekeluarga?
‘Arghhh, semakin difikir, semakin sakit
kepalaku,’ rungut Halim seraya memicit-micit kepalanya yang semakin berat.
“Abang, abang okey ke ni?” soal
Raudah Maryam menyedari wajah Halim sedikit pucat.
“Kalau awak tak nak ikut abang, terpulang. Keputusan abang nekad.
Abang tetap akan mohon ditukarkan kerja ke daerah lain.”
Lagi-lagi itu yang dipersoal Halim kepada isterinya. Fikir Raudah
Maryam, fikiran suaminya kusut sebab memikirkan rancangan untuk berpindah
keluar dari daerah itu. Lewat kebelakangan ini, memang jelas Halim tertekan.
Seperti mana Raudah Maryam berasa malu dengan sikap Marissa Norhanis, dia yakin
Halim juga melalui hal yang sama. Raudah Maryam memang malu untuk berdepan
dengan rakan-rakan di pejabatnya. Mereka tahu perihal kehilangan Marissa
Norhanis.
Bagaimana huru haranya hidup Raudah Maryam dalam tempoh seminggu
Marissa Norhanis hilang tanpa dikesan. Kawan-kawan sepejabat yang
mententeramkan perasaannya. Merekalah yang banyak menyokong dan memberi
kekuatan kepadanya. Tetapi setelah kisah Marissa Norhanis bernikah lari ke Siam
terbongkar, dia berasa malu yang amat sangat. Mukanya dirasakan lebih buruk
daripada kain pengelap kaki yang dipijak orang. Tika itu, betapa dia berasa
sungguh terhina. Cerita tentang Marissa Norhanis merebak dengan begitu cepat,
tanpa diketahui siapakah yang mula-mula menyebarkannya.
Biarpun Raudah Maryam tidak berdepan dengan cemuhan nyata di
pejabatnya, namun dia tahu, pasti ada suara-suara sumbang yang bercakap di
belakangnya. Pasti ada angin yang menokok tambah cerita, yang memburuk-burukkan
mereka sekeluarga. Raudah Maryam cuba bertabah melalui semuanya meskipun imej
dan reputasinya sudah tercalar teruk.
“Keputusan abang nekad!” ulang Halim lagi apabila Raudah Maryam
terdiam lantaran larut dalam dunianya.
“Bang, saya belum bersedia nak
pindah ke mana-mana lagi. Kalau kata, kakak balik dan tengok kita tak ada kat
rumah ni macam mana? Kesian kakak, bang.”
“Maryam! Awak ni kenapa, hah?!
Kakak! Kakak! Kakak! Tak habis-habis bercakap pasal kakak. Awak tahu tak, abang
malu. Malu yang amat sangat. Kat pejabat abang, semua orang bercerita pasal
kakak. Naik tuli telinga abang mendengarnya. Awak tahu tahu, kat cafe semalam,
abang terkejut besar dengar dia orang bercerita yang anak kesayangan awak tu
mengandung anak tak sah taraf. Huhhhh, patutlah dia gesa-gesa benar nak
bernikah dengan jantan keparat tu. Nak tutup malu rupanya!”
“Astargfirullah hal azim, abang!
Tolong jangan hina anak kita macam tu. Tak mungkin kakak terlanjur sejauh itu.
Tak mungkin, bang. Kakak tak mungkin mengandung sebelum bernikah! Semua ni
fitnah. Semuanya fitnah yang nak mengeruhkan lagi keadaan. Orang sengaja nak
menokok tambah cerita tu. Semuanya nak porak perandakan keluarga bahagia kita aje.”
“Apa yang tak mungkinnya Maryam oiii?
Anak awak tu sanggup ke Siam sebab bernikah dengan jantan tu dengan
tergesa-gesa, kerana sebab tu lah kut! Maryam,
Maryam! Kita sebenarnya masih tak kenal anak kita sendiri. Kita terlalu
manjakan sangat kakak sampai dia sanggup conteng arang ke muka kita macam tu
saja. Semata-mata nak capai matlamat dia!”
“Sudahlah, bang. Sudah! Saya tak
percaya. Semua ni bohong bang. Semua ni bohong! Fitnah belaka. Mereka sengaja
mereka cerita sebab nak burukkan lagi nama kakak dan keluarga kita.” Raudah
Maryam sudah mengogoi panjang di kerusi itu.
Cerita yang dibawa suaminya itu membuatkan jantung hatinya bagai
dicincang lumat. Semangat roh dalam dirinya bagai melayang-layang. Sungguh, dia
tidak bermaya untuk memikirkan semua itu lagi. Benaknya tepu. Segalanya kusut.
“Sampai aku jadi semakin benci
dengan anak tu. Benci, arghhhh!!” marah Halim lagi sambil menumbuk badan meja
makan. Raudah Maryam yang sedang menangis, terperanjat besar dengan emosi luar
biasa suaminya.
“Madu yang aku bagi, tuba yang dia
balas. Kalau itu jalan yang dia pilih, teruskanlah. Memang dasar anak derhaka!
Derhaka!” Halim menjerit lantang.
Tangannya masih tak sudah-sudah menumbuk badan meja makan.
Berdebab-debuk bunyinya.
“Abang, buat mengucap bang.
Mengucap. Jangan terlalu cepat melatah dengan khabar angin. Kita tak tahu lagi
sejauh mana kebenarannya. Naluri saya kuat mengatakan yang kakak tak pernah
terlanjur sebelum kahwin.”
“Sudahlah, Maryam! Naluri
konon! Tak habis-habis dengan naluri
awak tu. Satu perkara yang abang nak beritahu awak, buat masa sekarang, abang
jadi percayakan orang lain berbanding anak awak tu. Cukuplah dengan segala
tindakan dia yang di luar dugaan. Cukuplah dengan pernikahan dia kat Siam tu
tanpa restu kita. Apa, awak tak rasa ke? Sikap kakak tu jelas tak menghormati
kita lagi?
Apa lagi yang kita harapkan daripada dia? Dia akan balik kat rumah
kita? Nak mohon ampun daripada kita. Huhhhh! Tak mungkin dan tak akan. Sebab
dia dah malu. Rahsianya dah terbongkar. Pekungnya dah membisul, bernanah dan
berbaur hanyir. Sorok macam mana pun, tetap orang tahu.”
“Astargfirullah hal azim abang.
Buat-buatlah mengucap. Kasihan kakak dituduh macam-macam. Pulak tu, bukan daripada orang lain, daripada ayahnya sendiri.”
“Habis tu? Awak nak suruh saya buat
apa?”
“ Abang, tolonglah…kita bagi kakak peluang ke dua. Kakak wajar
dimaafkan kalau dia tersilap. Kakak tak pernah buat silap macam ni. Dia tak pernah kecewakan kita, kan bang?
Apa salahnya kita tunjukkan dia jalan yang benar kalau kata dia tersalah pilih
jalan? Kalau kata kita sisihkan dia kerana kesilapan yang dia buat itu, saya
takut dia akan terus buat lebih banyak silap.
Buat masa sekarang, kita kena bagi sokongan kat dia. Buruk baik pun
kakak, dia tetap darah daging kita. Kalau benar pun kakak mengandung, cucu yang
dikandungnya pun, cucu kita.” Raudah Maryam bersuara tersekat-sekat. Sebak dan
sesak dadanya.
“Awak jangan buat darah saya
mendidih, Maryam! Silap haribulan, muka awak tu saya lempang. Jangan sesekali
bercakap pasal cucu dan keturunan!” teriak Halim lantang membuatkan Raudah
Maryam mengogoi lagi.
“Maryam, abang tak pernah berasa teruji sebegini teruk seperti mana
yang kakak buat terhadap keluarga kita!” Halim bersuara mendatar setelah
tangisan Raudah Maryam mulai reda.
“Tapi abang tahu, seorang suami akan diuji kerana isterinya. Begitu
juga seorang isteri, akan diuji kerana suaminya. Seorang ayah akan diuji kerana
anak-anaknya. Dan seorang anak juga akan menerima ujian kerana ibu dan ayahnya.
ALLAH sedang menguji kita, Maryam. Masya ALLAH, sungguh getir ujian-MU ini Ya
Rahman, Ya Rahim.” Halim bersuara sebak. Kelopak matanya sudah basah dan
bergenangan dengan cecair lisosim. Tanpa rela, dia kalah dalam tangisan.
“Abang, saya mintak maaf
banyak-banyak. Saya tak berniat nak menyinggung perasaan abang. Tapi abang tu
seorang majisteret. Takkan secepat ini abang menghukum seorang pesalah hanya
kerana kita tak pernah mendengar segala alasan-alasan atas sebab yang
dilakukannya. Abang ada bukti ke yang sahih ke, kakak mengandung sebelum
kahwin?” Dalam sisa sendu, Raudah Maryam berkata-kata. Sesak dan sebak jiwanya
mengenangkan tengkingan Halim tadi.
“Arghhhh, sudahlah! Bercakap dengan awak
ni buat kepala otak saya semakin peninglah!” Tangisan Halim bertukar ego.
Tiba-tiba saja dia beramarah apabila Raudah Maryam membela Marissa Norhanis.
“Abang…saya bukannya menyokong
tindakan kakak. Kakak memang bersalah dalam hal ini. Tapi bang, saya merayu…
kita bagi kakak peluang ke dua, ya?” rayu Raudah Maryam sambil memeluk belakang
tubuh Halim. Air mata semakin berjejehan di pipi.
“Please
ya bang. Lagipun, mungkin silap kita juga yang terlalu mengatur masa depan
kakak. Kita halang dia orang nak bernikah.”
“Bila masa pulakabang
halang? Abang mintak tangguhkan saja. Biar kakak habis belajar dulu…”
“Saya tahu bang. Tapi, tempoh empat tahun tu lama sangat bang, untuk
orang yang sedang bercinta.” Raudah Maryam bersuara. Nadanya mendatar.
Kesal juga andai difikirkan keputusan yang dibuat mereka. Walhal,
Zafran memang ada datang ke rumah mereka. Zafran pernah meminta izin dia dan
Halim agar cinta mereka disatukan lebih awal.
Halim tidak membalas akan kata-kata Raudah Maryam. Namun rengusannya
panjang.
“Hati saya pun pernah sakit. Pernah kecewa dan terkilan. Marah tak
usah cerita. Tapi macam mana-mana pun, kakak tetap anak kita bang, dunia
akhirat. Dari sudut lainnya, memanglah kita nampak kakak macam kurang ajar
sebab membelakangi kita. Sebab mencemarkan maruah kita dengan keputusannya
bernikah di Songkhla tu. Tapi saya tahu, kakak buat macam tu sebab nak buktikan
sesuatu agar dia tak dapat lebih perhatian kita. Kakak tu nak halalkan hubungan
dia dan Zafran. Saya percaya, kakak tak pernah mengandung sebelum bernikah.
Bulan lepas, kakak periodmacam
biasa. Selang beberapa hari saja dengan saya.”
Halim terdiam lagi. Seketika, suasana sepi tanpa bicara mereka.
“Please ya, bang. Kita
bagi kakak peluang ya? Terima dia dan restui sajalah pernikahan mereka. Lepas
tu kita pujuk kakak sambung belajar. Sayang
result bagus macam tu…”
“Tapi Maryam, kakak tu telefon kita pun tak pernah kan? Selepas dua
bulan berlalu, awak masih nak berharap dia pulang ke sini? Kakak tu dah bahagia
dengan laki dia. Jadi, kita dah tak diperlukan lagi. Awak saja yang masih
terhegeh-hegeh ingatkan dia, sedangkan dia tak tentu lagi ingatkan kita!”
Menggigil-gigil tubuh Halim mengeluarkan ayat-ayat itu. Antara sebak dan marah,
dia mahu bertenang dalam memberikan pendapat.
“Abang…kalau dia tak telefon kita,
apa salahnya kita yang telefon dia bertanya khabar,” cadang Raudah Maryam.
“Sudah, tak payah! Dia dah tak ingat
kita sebagai ibu ayahnya. Nak telefon buat apa?” Halim beremosi lagi.
“Abang, abang tak rasa ke kita pun
ada buat silap dalam konfliks ni? Kita pun terlalu berkasar dengan dia bang.
Abang pun tak mahu bertolak ansur dengan anak sendiri. Malah abang halau dia.
Abang haramkan dia jejak kaki kat rumah ni, macam mana dia nak balik lagi?”
Lembut suara Raudah Maryam memujuk Halim.
“Sudahlah Maryam, sudah! Jangan awak
ungkit hal tu lagi. Jangan kerana budak tu, kita pulak berperang.” Halim merengus panjang melihat wajah sebik
isterinya. Pantas, dia berlalu ke bilik tidur. Raudah Maryam terkulat-kulat
sendirian di ruang makan itu mengenangkan anak dan suaminya.
Air mata kian menghujan lebat di
pipi. Cepat-cepat Raudah Maryam menyapunya dengan hujung lengan baju.
Perasaannya masih terlalu sedih mengenangkan Marissa Norhanis. Memang benar,
untuk apa lagi mereka bertegang urat kerana Marissa Norhanis. Kelak hubungan
mereka suami isteri pula yang berantakan. Silap hari bulan, mereka pula boleh
bercerai berai.
Dalam keadaan marah dan tertekan sebegini, baiklah mereka jangan
bercakap apa-apa lagi. Benar, memang sukar untuk membuat satu keputusan yang
tepat dan adil apabila emosi marah mendahului akal yang tenang.