Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
90,340
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

BAB 3


SONGKHLA, THAILAND.


“SAYANG suka makan tom yam seafood?” Zafran bertanya.

“Suka sangat. Semua keluarga I suka makan tom yam seafood. Paling I suka ketam dan udang ni,” balas Marissa Norhanis seraya menggagau isi ketam dari dalam mangkuk tomyam di atas meja, di depan mereka. Kepala Zafran terangguk-angguk mendengar cerita Marissa Norhanis.

“Tapi ada satu perkara yang sayang tak suka tentang ketam. Kena kopek isinya. Kalau makan ketam, ayah yang kopek dan keluarkan isinya. Ayah tak pernah bagi I buat sendiri. Sebab I tak reti. Kalau gigit, kata ayah nanti bibir luka. Ayah selalu suapkan I kalau makan ketam dan udang kara. Tapi sekarang, tengok ketam ni memang terkenangkan famili I.

Ibu pulak selalu masak ketam berlada atau masak lemak cili api setiap kali I balik ke rumah dari asrama. Tapi sekarang ni…” Marissa Norhanis bersuara tersekat-sekat.

Ada hiba menyesak jiwa. Panas kepalanya menahan kelopak mata yang kian basah.Terlayar-layar di ruang mindanya wajah ayah, ibu dan Hakim. Terkenang-kenang saat indah bersama mereka apatah lagi hidangan ketam di depan mata membuatkan perasaan rindunya membuak-buak. Alangkah bahagianya andai dapat menikmati hidangan ini bersama mereka. Alangkah besar maknanya, andai hubungan cinta antara dia dan Zafran mendapat restu daripada mereka.

Marissa Norhanis terkenang-kenangkan pesanan Sarah agar menghubungi keluarganya sebaik saja sah sebagai isteri kepada Zafran. Tetapi selepas tiga hari berada di sini, Marissa Norhanis langsung tidak menghubungi keluarganya. Dia tidak mahu mereka melenting dan merosakkan detik-detik indah berbulan madu bersama Zafran.

“Janji dengan aku, Marissa. Sebaik saja kau orang dah sah kahwin, terus call ibu dan ayah supaya mereka tahu di mana kau berada. Supaya mereka tidak terlalu risaukan keselamatan kau.”

‘Maafkan aku, Sarah. Aku belum bersedia lagi nak call dia orang. Ibu, ayah, maafkan kakak ya. Maafkan kakak demi keputusan ini. Demi kasih kakak terhadap insan yang kakak cintai. Jangan bimbang pasal kakak. Kakak sudah punya seorang suami yang sah di sisi agama untuk melindungi kakak di sini.’

“Dah, jangan sedih. Abang kan ada kat sini. Sekarang adalah masa untuk kita berhoney moon. Hidup mesti enjoy!” Zafran memujuk lembut sambil mengesat titis air mata Marissa Norhanis dengan tisu.

“Jangan menangis lagi. Tak bestlah sayang menangis depan rezeki ni. Kita baru saja nak mula makan. Kalau sayang menangis, mood abang pun jadi tak best. Sayang tak kesian kat abang ke? Abang lapar sangat ni.”Zafran mengatur ayat, memujuk isterinya yang masih dalam emosi sedih.

Zafran faham. Isterinya itu terkenangkan keluarga di Malaysia. Zafran juga yakin, Marissa Norhanis bimbangkan perasaan orang-orang yang disayanginya. Tindakannya menikahi Marissa Norhanis pasti akan ditentang hebat Halim dan Raudah Maryam. Segala janji-janji yang pernah dibuat Zafran ketika bertemu Halim tempoh hari, lebur begitu saja. Halim mahu menangguhkan pernikahan mereka sehingga Marissa Norhanis habis belajar.

Sehingga habis belajar? Empat tahun nak tunggu? Mak aiihhh, lama tu!

Maka, kerana terlalu kemaruk cinta halal, mereka terpaksa melanggar adat resam orang Melayu. Kerana perasaan cinta yang membuak-buak, ikatan cinta mereka terpaksa disatukan di negara orang.

Dari segi hukum hakam agama, mereka sudah sah sebagai suami isteri. Mereka telah dinikahkan oleh seorang iman di sebuah masjid di sini. Apa lagi yang hendak ditakutkan dengan hukum ALLAH. Mereka tidak pernah berzina. Syukurlah, mereka terselamat daripada tergelincir ke landasan itu.

Selepas ini, sebaik saja pulang ke Malaysia, mereka suami isteri perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Entah bagaimana reaksi ibu dan ayah Marissa Norhanis sebaik saja dikhabarkan yang anak gadis mereka sudah sah menjadi isterinya. Fikiran Zafran menjadi kusut memikirkan hal itu.

“Oppsss!” Suara Marissa Norhanis berdesis.

“Kenapa sayang?” Terkejut Zafran melihat Marissa Norhanis sedang menghisap ibu jarinya. Segala apa yang bermain di fikirannya, hilang terbang entah ke mana.

“Terkena duri ketam ni hah,” adu Marissa Norhanis sambil meniup-niup jarinya yang masih berdenyut sakit.

“Alahai, ya ke?” soal Zafran dengan penuh cakna. Dia menarik tangan isterinya. Ibu jari Marissa Norhanis ditiupnya berulang kali.

“Dah lega sikit bang,” balas Marissa Norhanis manja. Terubat sakit di jarinya menerima layanan Zafran sedemikian.

“Okey, kalau sayang nak makan ketam ni, biar abang kopekkan. Kejap, ya?” Zafran beria-ria mengopek kerangka ketam di dalam pinggannya.

“Nah, nganga mulut. Senyum.” Zafran bersedia untuk menyuapkan isi ketam ke mulut Marissa Norhanis .

“Thank you, abang.”

“Sama-sama sayang. Sedapkan?” tanya Zafran tatkala isi ketam itu dikunyah Marissa Norhanis .

Marissa Norhanis hanya mengangguk sambil tersenyum. Meskipun perasaannya hambar, namun di depan Zafran dia mesti memaniskan wajah. Zafran itu suaminya. Dia harus membahagiakan insan yang kini pelindung dirinya. Sebahagian jasad dan rohnya tercipta daripada rusuk lelaki bergelar suami.

“Senyumlah sayang seikhlas hatimu. Jangan buat-buat senyum. Abang tahu bila masa senyuman sayang semanis gula. Bila masa senyuman sayang tak cukup gula,” usik Zafran. Tangan kirinya mencubit manja pipi Marissa Norhanis.

“Pandailah abang,”jawab Marissa Norhanis manja. Sedaya upaya, dia berusaha memaniskan senyuman.

“Nah, isi ketam lagi!” Isi ketam disuap Zafran ke mulut Marissa Norhanis.

“Sedap tak?”

“Mestilah sedap bang,” jawab Marissa Norhanis, cuba bernada gembira.

Sungguh, dalam rasa gembira mahu menikmati keindahan alam perkahwinan bersama suami tercinta, tiba-tiba satu perasaan halus datang menyapa jiwa. Kala perasaan itu hadir, sedikit demi sedikit ia mula meretus-retus relung hati Marissa Norhanis.

Ternyata, isi ketam yang sedap itu tidak mampu menyedapkan perasaan sayu tatkala terkenangkan keluarga yang jauh di mata. Entah bagaimana keadaan mereka menerima keputusannya. Entah risau tahap mana mereka tatkala menyedari kehilangannya? Marahkah, kecewakah mereka dengan keputusanku?

‘Ya ALLAH, sesungguhnya…hidupku, matiku hanya kerana ALLAH Taala.Ya ALLAH, sesungguhnya aku amat merindui mereka. Tolong jagakan mereka Ya ALLAH. Tolong, jagakan kasih sayang kami agar kukuh bertaut hingga ke jannah-MU.’ Hati Marissa Norhanis berbisik rawan.

“Sayang okey?” soal Zafran yang nampak berselera menikmati makan malam mereka di sebuah gerai makanan laut. Sajian masakan Thailand yang terdiri daripada nasi putih, tomyam campur, som tam boo balad (salad betik muda yang pedas) udang celup tepung dan telur dadar memang membuka seleranya.

“Okey, bang. Semuanya sedap.” Marissa Norhanis tersenyum seraya meneruskan suapan.

“Ermmm…macam tu la, my love. Esok malam abang nak ajak sayang makan malam di Asean Market. Kat sana, bihun sup dia memang power. Asam pedas pun menyengat.”

“Serius sedap bihun supnya?”

“Ya, memang sedap! Abang tahulah sayang suka makan bihun sup. In sha ALLAH, sayang mesti akan puji best punya. Sayang pun kena try asam pedas,” usul Zafran lagi.

“Okey!” Marissa Norhanis tersenyum manis seraya meneruskan suapan. Zafran mencuit mesra pipi gebu isterinya.

“Hahh...macam tu lah. Hidup kena senyum selalu. Hidup kena enjoy! Kita lupakan segala duka lara. Berilah abang peluang untuk menjadi penawar terbaik untuk segala masalah sayang. Berilah abang peluang membina hari-hari bahagia bersamamu. Kalau sayang terus-terusan bersedih, abang takut rumah tangga kita tak mampu bertahan. Abang tak mahu emosi sayang terus-terusan begini hingga merosakkan hubungan baik kita yang baru saja nak bermula.

In sha ALLAH, abang cuba untuk memahami kesedihan sayang. Moga kita sama-sama memahami. Saling bertolak ansur dan berusaha untuk membahagiakan masa depan kita. Abang cuma khuatir, kalau kita terlalu memikirkan kesedihan masa lalu, kita lupa untuk memikirkan kebahagiaan hari esok. Ya kan, sayang? ” Zafran memujuk.

Marissa Norhanis hanya mampu mengangguk dan mengangguk. Benar kata suaminya itu. Buat masa sekarang, biarlah dia mengecapi nikmat bahagia. Biarlah dia berdampingan dengan insan yang dicintainya. Mereka sudah sah sebagai suami isteri. Jadi, buat masa sekarang, biarlah dia merasai saat-saat indah berbulan madu. Keindahan memang terasa sebaik saja menjadi seorang isteri apabila hubungan mereka sudah sah di sisi agama.

“Makan kenyang-kenyang, sayang. Lepas ni, abang nak ajak sayang pergi Green World Night Market. Tengahari esok, kita jalan-jalan ke Hat Yai.” Zafran bersuara teruja.

“Kita naik tuk tuk ya, bang? Seronok pulak I naik benda alah tu.”

“Ermmm…suka hati sayanglah,” balas Zafran ceria melihat wajah riang isterinya.

“Esok I nak shopping puas-puas,” sambung Marissa Norhanis lagi. Raut wajahnya gembira. Dan Zafran bahagia sekali melihat wajah riang isterinya itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.