RAUDAH MARYAM memandu
mengikut kata hati. Sudah empat hari dia dan Hakim ke Selatan Tanah Air, tetapi
arah tujunya kabur. Benaknya hanya memikirkan Marissa Norhanis. Dia berharap
akan segera bertemu puteri kesayangannya itu. Pun begitu, Raudah Maryam tidak tahu
sama ada usahanya berbaloi atau semuanya sia-sia belaka. Apatah lagi di daerah
Pontian ini jarang-jarang diterokainya. |
Sudahlah Negeri Johor
ni sangat luas. Keluasannya mencecah 18,985 kilometer persegi. Jadi, di
koordinat mana rumah anak menantunya berada? Benarkah mereka berada di Johor?
Kalau benar di Johor, di daerah mana? Di Pontian atau lain-lain di lapan
buah daerah di negeri paling Selatan,
peta Semenanjung Malaysia ini?
Raudah Maryam menghela
nafas berat. Adakah ALLAH akan memberi laluan mudah untuk dia bertemu Marissa
Norhanis? Sekalipun bukan untuk mengajak anaknya pulang ke rumah kerana
larangan Halim, Raudah Maryam tidak kisah berjumpa di mana-mana. Bukan untuk
jangka masa yang panjang, sejam dua pun memadai demi meleraikan perasaan rindu
yang sarat di dada.
Kalau boleh, Raudah
Maryam ingin memberitahu anaknya yang dia sudah buka pintu kemaafan. Tak
kisahlah siapa suami anaknya. Bagaimana mereka mengikat cinta, dia harus
menerima hakikat yang Zafran sudah menjadi menantunya. Asal saja Marissa
Norhanis bahagia dengan keputusannya, Raudah Maryam reda dengan apa yang
berlaku. Raudah Maryam mahu memujuk anaknya menyambung pelajaran biarpun dia
sudah bersuami. Raudah Maryam akan menanggung semua pembiayaan pembelajaran
Marissa Norhanis nanti.
“Ibu, kita nak ke mana
lagi?” soal Hakim. Kini, giliran dia pula yang berada di kerusi pemandu.
Melihat wajah letih dan hampa ibunya, perasaan Hakim tersayat.
Beberapa hari sebelum mereka bertolak ke Johor
Bharu, Hakim sudah puas menggeledah bilik Marissa Norhanis. Dia mahu mencari
klu, demi menjejak kakak kembar dan abang iparnya itu. Tetapi tiada sebarang
petunjuk yang ditemui mereka.
“Entahlah, Kim. Ibu pun
tak tahu lagi.”
“Susah juga ya, cari
tanpa arah tuju ni...”
“Tapi kalau tak salah
ibu, macam pernah dengar Zafran kata yang dia berasal dari Kampung Tengah,”
kata Raudah Maryam kala fikirannya teringa kata-kata Zafran sewaktu datang ke
rumahnya tempoh hari.
“Kampung Tengah,
Pontian? Pontian Kecil ke Pontian Besar, bu?” tanya Hakim keliru.
“Entahlah ya, Kim. Ibu
pun tak pasti pasal tu.” Jawapan Raudah Maryam tidak banyak membantu.
“Kita pusing-pusing
dulu, bu. Jumpa pam minyak nanti, kita tanya orang kat sana. Manalah tau senang
kita cari Kampung Tengah,” cadang Hakim.
Raudah Maryam
mengangguk bersetuju dengan cadangan anak lelakinya itu.
“Kita buat iklan kat
surat khabar nak tak ibu? Iklan supaya kakak balik rumah?”
“Hisy... tak usahlah,
Kim. Makin mengamuk sakan ayah kamu karang. Jiran-jiran kita pun, tak tentu
lagi semua tahu hal kakak. Nanti, orang yang tak tahu menjadi tahu. Makin malu
jadinya,” tolak Raudah Maryam akan cadangan anaknya.
Hakim tidak berkata
apa-apa. Namun, dia bersetuju dengan buah fikiran ibunya.
RAUDAH MARYAM
baring kepenatan. Di sebelahnya, Halim sudah pun tidur pulas. Raudah Maryam
mengiringkan tubuh, memerhatikan wajah suaminya dalam bias cahaya lampu bilik
air yang sengaja dipasang.
Hatinya sayu. Entah
kenapa, merenungi seraut wajah itu, Raudah Maryam berasa hendak menangis. Wajah
suaminya itu nampak cengkung dan kurang berseri sehari dua ini. Betapa
ketegangan yang dihadapi Halim lewat kebelakangan ini berpunca daripada sikap
anak perempuan mereka. Raudah Maryam tahu, tekanan di tempat kerja kerana umpat
keji orang lain menyebabkan wajah suaminya sentiasa mencuka.
Ketika Raudah Maryam
dan Hakim mahu bertolak ke Selatan Tanah Air, wajah suaminya itu menggambarkan
kekecewaan yang amat sangat. Dia mengerti, suaminya tidak bersetuju dengan
usahanya mahu mencari Marissa Norhanis. Saat dia menghulurkan salam, Halim acuh
tidak acuh menyambut salamnya.
“Jumpa ke anak perempuan kesayangan awak tu?” perli Halim
petang tadi. Ketika itu, Raudah Maryam sedang menyediakan juadah makan malam.
Halim baru saja pulang dari pejabat.
“Tak jumpa, bang. Tak
tahu nak cari kat mana dah,” balas Raudah Maryam berterus terang. Selepas lima
hari berada di Johor, pagi tadi dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Sekitar
tengah hari, dia sampai di rumah. Ketika itu, Halim ke tempat kerja seperti
biasa.
“Hmm... berialah
sangat.” Halim bersuara sinis sambil meletakkan bungkusan berisi makanan.
Raudah Maryam
tersentap. Tidak mahu membalas jawab.
Sebenarnya, dia malas mahu bertekak lagi dengan suaminya semata-mata
kerana Marissa Norhanis. Dia sudah penat. Terlalu penat fizikal mental melalui
fasa perubahan hidup mereka yang semakin sulit sekarang ini.
“Abang beli makanan
siap sebab ingatkan awak belum balik lagi. Tolong panaskan,” kata Halim separuh
mengarah sebelum beredar ke bilik tidur.
Namun, suasana makan
malam mereka hambar sekali. Halim tidak lagi bertanyakan usaha Raudah Maryam
dan Hakim. Di meja makan, Halim lebih senang bercerita tentang urusan
perpindahan mereka tidak lama lagi.
“Bulan depan?” soal
Raudah Maryam tidak percaya.
“Terpulanglah. Awak nak
ikut ke tak nak ikut. Keputusan abang dah tak berganjak lagi.”
“Rumah ni, ayah?” tanya
Hakim terkejut.
“Kalau jadi pindah,
ayah nak jual rumah ni!” tegas Halim.
“Jual, bang?” tanya
Raudah Maryam, mahukan kepastian. Matanya memandang tepat ke wajah Halim yang
serius.
“Ya, rumah ni kan rumah
abang!” tegas Halim.
Kata-kata suaminya itu
membuatkan perasaan Raudah Maryam tersentap. Memang pemilik rumah ini, atas
nama Halim. Raudah Maryam tidak punya hak untuk menghalang suaminya menjual
rumah itu. Tetapi, sebagai seorang isteri, dia berhak untuk menegur tindakan
Halim.
Namun dalam keadaan
sekarang, Raudah Maryam tiada kuasa untuk bertekak. Bukan isu siapa menang atau
kalah, tetapi adakala Halim menggunakan kedudukannya sebagai seorang suami dan
bersikap diktator seperti majistret.
Memang kadang-kadang
sikap Halim tidak ubah seperti sikap mendiang ayahnya yang dipanggil apai. Sama
saja. Ada waktunya, kedua-duanya bersikap penyayang dan suka memanjainya.
Tetapi pada lain waktu, sikap mereka boleh bertukar menjadi seorang yang
berbeza wataknya. Bersikap pembengis dan berkuasa veto.
Suami dan ayahnya.
Kenapa tiba-tiba Raudah Maryam dijelmakan dengan bayang wajah lelaki bernama
ayah?
“Indai, apai...”
Perkataan itu tiba-tiba terlontar dari bibirnya. Sudah bertahun-tahun dia tidak
menyebut panggilan itu. Raudah Maryam, merupakan mualaf berketurunan Iban. Bagi
masyarakat Iban di Sarawak, Indai, panggilan seorang anak terhadap ibu manakala
apai panggilan terhadap ayah.
“Keluar nuan ari tuk.
Aku enda ngasoh nuan pulai kituk agik. Nuan udah nukar pengarap ketegal ka jadi
enggau lelaki laut. (“Kau boleh berambus dari sini! Aku tak izinkan kau balik
ke sini lagi. Kau telah memilih jalan untuk menukar agama semata-mata mahu
menikahi lelaki Melayu.”) bentak Jenang. Kemarahannya tiba-tiba saja berapi.
Mahu saja dilempangnya wajah Stella Isabell.
“Aku masuk Islam laban
nerima petunjuk ukai laban ka jadi enggau lelaki laut.” (Saya menukar agama
Islam kerana mendapat hidayah ALLAH. Bukan semata-mata kerana mahu bernikah
dengan lelaki Muslim.”)
“Aku kecewa enggau nuan
Stella... aku kecewa. Anang pulai ka rumah tuk agik nuan, aku enggai purih aku
nukar agama.” (Aku kecewa banyak dengan kamu, Stella. Aku kecewa. Jangan kau
balik lagi ke rumah ini. Aku tak suka, keturunan aku menukar agama!”) Wajah
Jenang menyinga. Amarahnya membuak-buak.
“Aku minta ampun apai,
nadai penanggul aku terus begulai enggau kitak taja pan aku udah masuk Islam.”
(“Ayah, maafkan saya. Bukan menjadi halangan seorang anak yang menukar agama
untuk terus menjalinkan hubungan dengan ibu dan ayahnya yang berlainan agama.”)
rayu Stella Isabell.
“Pergi! Pergi! Pergi!”
Jenang memegang erat bahu Stella Isabell yang masih duduk di antara dua sujud,
di sejadah itu. Dia mahu mengheret keluar anak gadisnya itu dari rumah panjang
mereka.
“Nama hal capuh tuk?”
(“Kenapa bising-bising macam ni?”) soal Umang, emak Stella Isabell yang
tiba-tiba muncul.
“Stella nama hal nuan
ngena garik baka tuk?” (“Kamu buat apa ni, Stella? Berpakaian macam ni?”) soal
Umang lagi dengan muka terkejut.
Stella Isabell
terpinga-pinga menyedari dirinya masih dalam telekung sembahyang. Dia sudah
kantoi bersolat di rumahnya. Selama pulang bercuti di kampung, hari ke tiga di
sini, semua rahsianya sudah terbongkar.
“Indai, Stella udah
masuk Islam. Stella udah diberi petunjuk ari ALLAH.” (“Mak, Stella sudah
memeluk agama Islam. Stella mendapat hidayah ALLAH.”)
Kata-kata daripada
Stella itu membuatkan Umang terduduk.
“Indai enda nyangka
nuan udah muai pengarap ka di kemeran kitai ngelama tuk.” (“Emak tak sangka,
kamu mengkhianati agama yang kita anuti selama ini.)” Suara Umang
tersekat-sekat menahan perasaan kecewa.
“Stella ka indai enggau
apai pun sama masuk islam.” (Stella mahu ajak mak dan ayah memeluk agama
Islam.”) Stella cuba memujuk emak dan ayahnya.
“Aku bunuh nuan legik,
Stella! Aku bunuh!” (“Aku bunuh kamu Stella, aku bunuh kamu!”) teriak Jenang
macam orang kena histeria. Dia kemudiannya berlari ke ruang dapur mahu
mengambil pisau.
“Anang Jenang, anang!”
(“Jangan bang, jangan!”) Umang terkejut besar melihat di tangan Jenang sebilah
pisau. Pisau siang daging. Jenang macam orang hilang akal mahu menetak tubuh
Stella Isabell.
“Anang Jenang, anang!
Bunuh aku dulu Jenang, sebedau nuan munuh stella.” (“Jangan bang, jangan! Bunuh
aku dulu bang, sebelum kau bunuh Stella!”) jerit Umang merayu-rayu. Dia cuba menghalang
suaminya daripada menetak tubuh Stella Isabell.
Umang sedaya upaya
berusaha menghalang Jenang daripada bertindak yang bukan-bukan terhadap anak
gadisnya.
“Keluar nuan ari tuk, Stella. Anang pulai
kituk agik sampai kami mati jemah ila.” (Kamu pergi dari sini, Stella. Jangan
kau pulang biarpun pada hari kematian kami!)” Jenang beramaran keras.
Stella Isabell tidak
mampu berkata apa-apa apabila Jenang
sudah pun mengangkut keluar beg pakaiannya ke muka pintu. Dia sudah
tidak mampu untuk memujuk ayahnya lagi. Kemarahan Jenang menjulang-julang.
Benarlah kata orang, apabila sudah tidak mampu mengawal perasaan marah,
seseorang itu boleh hilang akal dan kawalan.
“Keluar meh ari tuk...
anang pulai agik ti enggai meda apai nuan jadi pembunuh.” (“Pergilah dari sini
dan jangan pernah kembali jika tidak mahu melihat ayah kamu menjadi seorang
pembunuh.)”
Kata-kata Umang
mencincang lumat perasaan Stella Isabell. Dia terpempan hebat. Tanpa sedar,
Stella Isabell turut menangis.
Jenang sudah pun
berdesup lari ke Langkau Umai (pondok di tepi huma) meskipun puas Stella
Isabell berteriak, memohon kemaafan daripada ayahnya. Stella Isabell faham
perangai ayahnya. Jenang biasa akan ke sana mencari ketenangan sekiranya
bermasalah. Umang pula sudah bertangisan panjang.
“Keluar meh sebedau
apai nuan pulai. Indai enggai meda utai enda manah nyadi legik.” (“Pergilah,
sebelum ayahmu pulang. Emak tidak mahu sesuatu yang lebih buruk berlaku,)” rayu
Umang dalam sedu-sedan yang masih menyesak dada.
Petang yang redup itu,
Stella Isabell keluar dari rumahnya dan pulang ke Semenanjung. Sepanjang
perjalanan, matanya bengkak mengenangkan dia dibuang keluarga. Bukan
semata-mata kerana mahu menikahi Halim, tetapi ALLAH telah memberikannya cahaya
Islam. Stella Isabell menukar agamanya yang terdahulu Kristian kepada Islam
setahun sebelum mengenali suaminya sekarang. Nama Stella Isabell bertukar
kepada Raudah Maryam.
Raudah Maryam bangkit
dari perbaringan. Air mata kian bertitisan lebat. Selepas kejadian itu, dia
tidak pernah lagi pulang ke rumahnya di Tuai Rumah Serit, Titikah, di Daerah
Sri Aman itu. Sepuluh tahun kemudian, pernah sekali, Raudah Maryam bertemu
Magreth, kawan sekampungnya. Ketika itu, dia dihantar bertugas di Kuching.
Magreth menjelaskan yang emak dan ayahnya sudah lama meninggal dunia kerana
demam panas.
Mendengar khabar
Magreth, Raudah Maryam pulang ke kampung halamannya tanpa pengetahuan Halim.
Lantaran Raudah Maryam anak tunggal dan tidak punya sesiapa lagi, dia ke sana
semata-mata mahu menziarahi kubur orang tuanya. Pergi dan pulangnya ke kampung
itu tidak disedari sesiapa kerana imej dirinya yang jauh berubah. Tiada sesiapa
pun mengecamnya.
“Aku lelengau ka kitak
semua” (“Aku benar-benar merindui kalian!”) bisik Raudah Maryam penuh sendu.
“Aku minta ampun indai,
apai.” (“Maafkanlah aku emak, ayah.” ) Esak tangis sudah bermula kala
wajah-wajah ibu dan ayah terbayang-bayang di ruang mata.
Raudah Maryam
cepat-cepat keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu kenangan-kenangan lalu yang
mengusik kalbu membuatkan dia mengongoi panjang sehingga Halim menyedari
tangisannya. Banyak persoalan yang perlu dijawab nanti.
Di dalam bilik tamu,
Raudah Maryam melepaskan perasaan. Tekanan di dadanya kian memberat.
“Ya ALLAH, berikan aku
kekuatan melalui ujian-MU dengan tabah dan sabar. Aku tahu, aku pernah
melukakan hati mereka. Tetapi tika itu, aku sedang berjuang ke jalan-MU. Aku
mahu mendapat rahmat dan hidayah-MU. Tanpa rela, aku telah memutuskan hubungan
kekeluargaan kami. Kasih sayangku terhadap mereka selama ini tiada lagi demi
mencari erti kasih sayang-MU yang sebenar. Akukah yang bersalah, Ya ALLAH?
Akukah yang berdosa?”
Raudah Maryam menangis
lagi. Kebelakangan ini, ALLAH telah memberikan peringatan kepadanya. Tindakan
Marissa Norhanis mengingatkan dia akan tindakannya satu ketika dulu. Benarkah
dia berdepan dengan hukuman TUHAN walhal tika itu, dia sedang berjuang ke jalan
ALLAH?
Seperti mana Marissa
Norhanis, Raudah Maryam terpaksa akui kehebatan yang pernah dirasainya bersama
Halim dulu. Cinta remaja yang tak pernah kenal sempadan dan benua. Cinta tak
kenal warna kulit, keturunan dan agama. Marissa Norhanis sedang membuktikan
kepada dunia betapa hebatnya cinta dia terhadap Zafran.