-1-
Hajah Afida merenung ke
langit. Mendung. Mungkin hujan akan turun. Syukurlah, kerana sudah lama bumi
menjadi gersang akibat hujan yang tidak sudi merintik ke bumi. ALLAH belum
mengizinkan langit membenih awan hujan, itu sebenarnya.
“Mama, kenapa
termenung?” tegur Qisya sambil duduk di
sebelah Hajah Afida.
“Mana ada. Mama tak
termenung. Hanya melihat langit yang mendung. Kalau malam ni hujan bagus juga. Dah
berapa minggu ni panas sangat.”
Qisya mengangguk. Dia
ikut mendongak ke langit. Memang gelap. Langsung tidak berbintang. Angin pun
tidak bertiup. Itu yang udara terasa membahang panas.
“Ma, Sya ada hal nak
cakap dengan mama,” kata Qisya sambil menarik tangan Hajah Afida. Gayanya
memang seperti orang yang sedang menagih sesuatu.
Hajah Afida kerdipkan
mata, tanda izin.
Qisya tunduk. Tiba-tiba
lidahnya menjadi kelu. Ayat-ayat yang sudah disusun dalam fikiran, tiba-tiba
hilang. Dia gugup seketika.
“Ada apa ni?” Hajah Afida
menepuk-nepuk belakang tangan Qisya dengan penuh kasih sayang. Sebagai ibu yang
melahirkan Qisya, dia faham setiap gerak geri anaknya itu.
“Ma, harap mama tak
marah dan tak kecil hati dengan apa yang Sya nak cakap ni.”
“Kenapa pelik sangat
bunyinya? Cakap je.” Hajah Afida tersenyum.
“Ma, Sya nak kahwin!”
kata Qisya dengan lancar.
Namun kelancaran ayat
yang terbit dari bibir Qisya itu
membuatkan Hajah Afida tersentak. Dia terkedu seketika. Sebelum ini dia tidak
pernah tahu anaknya itu ada kekasih hati. Sejak di bangku sekolah menengah
hingga ke universiti, belum pernah dia terdengar Qisya ada hubungan dengan
sesiapa.
Tidak lama, Hajah Afida
tersenyum-senyum. Senyuman itu seolah-olah memperli Qisya.
“Mama, Sya serius.”
Senyuman Hajah Afida
terhenti. Wajah anaknya ditatap lama. Kekeliruan jelas menebal di wajahnya.
“Sya sedar apa yang Sya
cakap ni?”
“Sya bercakap dalam
keadaan waras dan rasional, ma,” jawab
Qisya bersungguh-sungguh.
Hajah Afida masih tidak
mampu percaya apa yang didengarnya. Qisya pula masih mengharapkan mamanya yakin
dengan apa yang dicakapkannya.
“Sya, dengan siapa?”
“Dengan Affian, rakan
sekuliah.”
Sekali lagi mata Hajah Afida
tidak berkelip. Satu demi satu kata-kata yang keluar dari bibir anaknya
menyentak jantungnya.
“Apa yang buat Sya buat
keputusan mendadak ni?” tanya Hajah Afida dengan suara yang meninggi. Mata
mereka bertembung dalam sebuah rona yang menggetarkan.
“Mama, Sya sangat
sayangkan dia. Kami saling menyintai.”
“Tapi, Sya masih
belajar. Ada satu semester lagi nak tamat. Tunggulah sampai tamat.”
“Apa bezanya dah tamat
atau belum tamat, ma?”
“Banyak bezanya. Tanggungjawab
seorang isteri itu tidak mudah. Kalau Sya dah tamat mungkin ia sedikit mudah.
Ini, mana nak belajar mana pula nak jaga suami,” jawab Hajah Afida.
Qisya terdiam.
“Lagipun Sya, mama dan
abah tak ada duit nak adakan majlis kahwin Sya dalam masa terdekat. Sya pun
tahu, simpanan yang ada adalah untuk belanja sekolah Sya dan adik-adik. Abah
mesti tak setuju dengan keputusan Sya ni,” tambah Hajah Afida lagi.
“Mama, Sya bukan nak
adakan majlis besar-besaran. Cukuplah sekadar majlis nikah yang sederhana. Kita
buat yang wajib saja, mama.”
Sungguh mudah Qisya
membuat keputusan. Sungguh senang dia berkata-kata. Mungkin dia ingat
perkahwinan ini seperti bermain pondok-pondok semasa kecilnya. Itu yang
terfikir dalam minda Hajah Afida.
“Sya, jangan buat
keputusan terburu-buru. Fikirlah beberapa kali. Bukan mama tak suka Sya kahwin.
Tapi rasanya masa belum sesuai. Habiskan dulu pengajian. Kemudian, mama tak
akan halang lagi kalau Sya nak kahwin,” kata Hajah Afida dengan suara yang
lemah lembut. Dia tidak mahu anak itu terguris.
“Jadi sekarang mama
menghalang?” Qisya merenung mata Hajah Afida.
“Sya, cuba fahamkan
maksud mama. Mama nak tengok Sya genggam segulung ijazah. Mama nak tengok Sya
kerja. Kemudian barulah Sya fikirkan soal kahwin. Sya masih terlalu muda. Baru
21 tahun. Masih banyak yang perlu Sya belajar…”
“Ma, keputusan Sya dah
muktamad. Affian pun dah cakap dengan keluarganya. Mama bincanglah dengan abah,” kata Qisya sambil bangun dan
meninggalkan Hajah Afida sendirian.
Qisya semakin bertegas.
Hajah Afida serba
salah. Kenapa Qisya mengambil keputusan
mendadak itu? Sedangkan sebelum ini, dia berjanji untuk belajar dengan tekun
hingga mendapat ijazah. Kemudian dia akan bekerja sebelum berfikir tentang
kahwin. Apakah dia sudah terlanjur?
‘Ya ALLAH, minta jauh
semua itu. Tetapkan iman anakku. Jauhi dia dari kemungkaran dan dekatkan dia
kepada-MU.’ Dia mendongak ke langit. Kali ini tidak mencari bintang di dada
langit yang kelam itu tetapi dia sedang merafak doa ke hadrat ILLAHI. Doa seorang
ibu amat tulus.
Batuk suaminya Haji Hasnan
kedengaran bergema kuat dari ruang tamu. Dia segera melangkah masuk.
“Abang, dah makan ubat
batuk?”
“Dah. Ida ke mana?”
tanya Haji Hasnan.
“Saja keluar ke beranda
tu. Panas sangat malam ni. Nak hujan agaknya. Bintang pun tak ada di langit.”
Haji Hasnan tersenyum.
“Kenapa abang senyum?” Hajah
Afida rasa cuak dengan senyuman itu. Dia meneliti wajah pucat suaminya. Sudah dua
hari Haji Hasnan demam dan batuk. Sejak dua hari ini pula dia menjadi jururawat
khas.
“Abang senyum sebab
hairan, sejak bila pula Ida jadi pakar kaji cuaca. Nak hujan ke tidak, bukan
kuasa kita. Itu hak DIA.”
Hajah Afida ikut
tersenyum. Namun senyumannya itu tidak lama. Dia teringat kepada anak sulungnya
Qisya. Permintaan Qisya yang mendadak itu tiba-tiba mengganggu fikirannya.
“Ida, kenapa ni?” tegur
Haji Hasnan. Wajah Hajah Afida diteliti dengan mata curiga. Mesti ada yang
tidak kena. Mesti ada yang sedang mengganggu fikiran isterinya itu.
Hajah Afida tergamam. Perlukah
hal itu diberitahu sekarang?
“Apa yang Ida fikirkan
ni? Jangan bimbang sangat demam abang ni. Esok lusa baiklah.” Haji Hasnan
menepuk bahu Hajah Afida.
Kata-kata Haji Hasnan
memberikan kelegaan kepada kebuntuan yang merantai fikiran Hajah Afida. Dia tersenyum
dan mengangguk perlahan.
“Ida mungkin penat jaga
abang dua hari ni. Tidurlah. Abang janji malam ni, abang tak akan ganggu tidur Ida
lagi.”
“Apa maksud abang?” Hajah
Afida menoleh. Senyum yang tadinya menguntum di bibirnya, segera hilang. Dia rasa
cuak dengan ayat yang diluahkan oleh suaminya.
“Abang akan minum ubat
batuk sebelum tidur. Insya-ALLAH abang
tak akan batuk lagi.”
Hajah Afida menarik
nafas lega. Dia amat tidak suka kalau suaminya bergurau pasal mati. Sungguh dia
belum bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan itu. Walaupun mati itu memang
pasti namun dia amat berharap agar mereka tidak berpisah secepat itu ketika
anak-anak masih memerlukan kasih sayang seorang ayah.
Lalu permintaan Qisya
melintas lagi.
Hajah Afida rasa dia perlukan
masa untuk berbincang mengenai permintaan Qisya itu. Suaminya sedang dalam
keadaan uzur. Tidak patut fikiran Haji Hasnan diganggu dengan hal itu.
“Pergilah masuk tidur. Abang
nak menonton siaran berita sekejap lagi,” suruh Haji Hasnan dengan senyum.
“Abang jangan tidur lambat sangat. Abang tu
kurang sihat, perlukan rehat yang banyak.”
Hajah Afida melangkah
masuk ke bilik. Selepas berbaring dengan selesa, dia cuba melelapkan mata. Suara
Qisya dan permintaannya cuba dilupakan seketika. Biarlah esok menentukan
semuanya.