Hajah Afida pejamkan
mata. Dia menarik nafas berulang-kali. Dia cuba memujuk hati supaya bertenang.
“Fian, sabarlah. Nanti
mama ajak Kak Sara ke sana.”
“Mama nak datang? Abah
macam mana? Fian tak nak mama dimarahi. Tak apa. Fian boleh jaga Sya. Fian cuma
nak beritahu saja,” tingkah Affian.
“Abah dah izinkan mama
tengok Sya. Fian tunggu ya. Mama telefon Kak Sara dan Abang Is dulu,” balas
Hajah Afida.
Dia segera matikan
talian. Kemudian dengan cepat pula dia menelefon Qaisara. Semua yang terjadi
diceritakan.
“Alhamdulillah... kalau
macam tu, esok Sara ambil mama,” kata Qaisara.
“Bukan sekarang?”
“Mama, pergi sekarang
pun bukan boleh masuk. Esok masa melawat kita pergilah.”
Hajah Afida diam.
“Mama jangan risau
sangatlah. Kalau Fian dah bawa dia ke hospital, tak perlu bimbang lagi. Doktor
tahu nak buat apa,” pujuk Qaisara.
Akhirnya Hajah Afida
akur. Dia terpaksa bersabar menunggu hari esok. Lagipun, dia hanya diberi izin
keluar rumah hanya ketika Haji Hasnan tiada di rumah. Kalau dia ada, maknanya
Hajah Afida tidak boleh ke mana-mana. Dia perlu melayan suami!
Keesokan paginya selepas menyiapkan sarapan untuk Haji Hasnan,
Hajah Afida segera bersiap-siap. Dia keluar dari bilik ketika Haji Hasnan sudah
duduk mengadap sarapan.
“Ni nak ke mana bersiap
pagi-pagi ni?” tanya Haji Hasnan.
Hajah Afida menarik
nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu memulakan cakap. Dia sudah
ditanya, hanya perlu menjawab sahaja.
“Saya nak ke hospital,
tengok Sya. Dia pengsan malam tadi. Abang nak ikut?” Hajah Afida mempertaruhkan
perasaannya untuk mengajak. Jawapannya memang sudah diketahui. Namun dia masih
ingin menduga.
“Huh! Buang masa!” rengus
Haji Hasnan dengan kasar. Dia menghabiskan makanannya dengan cepat. Dengan muka
masam, dia bangun dan meninggalkan meja makan.
“Jangan tak ingat nak
balik pulak!” sindir Haji Hasnan ketika kakinya melangkah keluar dari pintu.
Hajah Afida menelan
nasi goreng yang disuapnya dengan payah. Sejak malam tadi, hanya wajah Qisya
yang terbayang di ruang matanya.
Setengah jam kemudian,
Qaisara sampai.
“Abah dah pergi kerja,
mama?”
“Dah. Bukan main masam
lagi,” jawab Hajah Afida.
“Biarlah dia nak masam
asalkan dia izinkan mama pergi. Itu dah cukup baik,” balas Qaisara, menyengih.
Hajah
Afida mengiakan dalam hati. Memang benar. Dia sudah tidak peduli kalau Haji
Hasnan mahu menyindir atau bermasam muka dengannya. Yang penting, dia sudah
mendapat kata izin yang ditunggu selama berbulan-bulan.
“Dah siap ke stokin
yang mama kait tu?” tanya Qaisara ketika terpandang benang-benang kait tersusun dalam sebuah
kotak.
“Tinggal sikit lagi.
Mama curi-curi mengait. Mama takut abah marah. Mama bimbang kalau dia buang
semuanya nanti.”
Qaisara merenung wajah
ibunya dengan mata belas. Kemudian dia mengkagumi ketaatan dan kesetiaan mamanya selama ini.
“Jomlah Sara. Mama dah
tak sabar nak jumpa Sya ni,” ajak Hajah Afida dengan senyuman senang. Di
tangannya sudah terbimbit sebuah mangkuk tingkat.
“Mama bawa apa
untuk Sya?”
“Bawa bubur nasi dengan
ikan bilis. Mana tahu dia selera nak makan.”
Mereka keluar dan
mengunci pintu. Qaisara memandu dengan hati-hati sementara Hajah Afida diam
mengelamun.
Sesampainya di
hospital, Qisya sedang menyandar di katil dan Affian sedang menyuakan sesudu
nasi ke mulutnya. Namun Qisya menolaknya.
“Sya tak selera.”
“Makanlah sikit Sya,”
pujuk Affian.
“Nanti Sya muntah
lagi,” balas Qisya pula.
“Mungkin Sya nak makan
bubur nasi dengan ikan bilis masakan mama. Ini ada mama bawakan untuk Sya,”
kata Hajah Afida dari belakang Qisya.
Dengan cepat Qisya
menoleh. Wajahnya berubah.
“Mama!” jerit Qisya
dengan sebak.
“Maafkan mama kerana
lambat datang anakku,” kata Hajah Afida sambil memeluk dan mencium Qisya dengan
penuh rindu.
“Mama, Sya rindukan
mama dan abah. Kenapa abah tak datang?”
“Sya jangan minta yang
lebih dari apa yang mama mampu buat. Sya tahu abah tu macam mana.”
“Mama datang ni abah
tak tahu?”
“Abah izinkan mama
datang tengok Sya. Kita kena bersyukur kerana ALLAH dah lembutkan sikit hati
dia,” jawab Hajah Afida, tersenyum senang. Qisya mengucap syukur.
“Mari, mama suapkan Sya
bubur ni. Cucu mama tentu dah lapar,” kata Hajah Afida.
Qisya rasa seleranya muncul.
Dia rasa semangatnya kembali kuat.